Beberapa hari lagi kita akan memasuki 10 malam terakhir Ramadan. Dalam tempoh ini umat Islam mencari-cari malam Lailatul Qadar, satu malam yang sangat istimewa kepada orang-orang beriman yang sentiasa mencari keredaan Allah.

Ini kerana Allah mengkhabarkan bahawa malam ini adalah lebih baik daripada 1,000 bulan. Kelebihan ini disebabkan kerana turunnya Al-Quran pada malam Lailatul Qadar yang mana ia merupakan malam yang penuh keberkatan seperti firman Allah dalam Surah Ad-Dukhon ayat ke 3 yang bermaksud: Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan.

Pada malam Lailatul Qadar ini ganjaran ibadah dilipat gandakan umpama beribadah 84 tahun. Cuma persoalannya sekarang ialah bilakah malam Lailatul Qadar itu?

Sabda Baginda Rasulullah: Carilah Lailatulqadar pada malam yang ganjil dalam sepuluh malam yang akhir dari Ramadan. – [HR Bukhari 1878].

Ini bermakna malam Lailatul Qadar akan jatuh pada malam-malam ganjil iaitu malam 21,23,25,27 dan 29.

Hikmah disembunyikan malam Lailatul Qadar

Namun begitu kenapa disembunyikan waktu malam Lailatul Qadar ini. Menurut para alim ulama ada hikmahnya;

1. Bagi menjadikan orang beriman sentiasa sibuk dengan ibadah sepanjang Ramadan khususnya pada waktu-waktu akhir di Bulan Ramadan.

2. Bagi menjadikan orang beriman beribadah pada semua malam dan tidak hanya tertumpu pada tanda-tanda malam Lailatul Qadar sahaja.

3. Supaya sentiasa dalam keadaan ibadah dan tidak melakukan maksiat kepada Allah. Ini kerana melakukan maksiat pada malam Lailatul Qadar adalah satu kerugian yang sangat besar kepada pelaku maksiat.

4. Bagi mendapat pahala yang berlipat kali ganda disebabkan usaha mencari dan sentiasa istiqamah dalam meminta kepada Allah.

5. Untuk menunjukkan kehebatan Allah kerana Dialah yang Maha Mengetahui seperti mana firmanNya di dalam Surah Al-Baqarah ayat 30: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak ketahui.

Tanda-tanda malam Lailatul Qadar

Namun begitu terdapat tanda-tanda malam Lailatul Qadar seperti yang diriwayat Ubadah bin al-Somit R.A.secara marfu; Sesungguhnya malam tersebut bersih terang, seolah-olah bulan yang menerangi tenang, nyaman tidak terlalu sejuk pada malam tersebut dan tidak terlalu panas dan tiadalah tempat bagi bintang untuk dilihat dengannya hingga ke waktu pagi.

Dan daripada tandanya bahawa matahari pada waktu paginya keluar dalam keadaan tidak bercahaya dengan kepanasan seperti bulan penuh purnama dan syaitan tidak ada tempat untuk keluar bersamanya pada hari tersebut. – (Umdah al-Qari11/134).

Maka pada 10 malam terakhir Ramadan ini marilah kita perbanyakkan berzikir, bersedekah atau apa sahaja amalan yang mendapat reda Allah dengan harapan ia dilakukan pada malam Lailatul Qadar.

Dalam pada itu ajaklah juga ahli keluarga untuk turut sama menghidupkan 10 malam terakhir ini.
Daripada Aisyah: Adalah Rasulullah jika masuk pada malam 10 malam terakhir, maka ia akan menghidupkan malam-malam itu, dan membangunkan ahli keluarganya, dan akan menjauhi daripada membuat hubungan suami isteri. – [HR Muslim 2008].

Sumber: Mstar

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI