
Ramai dalam kalangan wanita gemar membeli emas sebagai perhiasan, malah ada kedai emas yang menawarkan konsep “pakai dulu, bayar kemudian” secara ansuran.
Sekilas pandang, ia kelihatan menguntungkan pembeli. Namun, persoalan timbul: adakah cara pembelian sebegini dibenarkan dalam Islam atau termasuk dalam urusan yang melibatkan riba?
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, dalam bab jual beli emas, Islam menekankan syarat tertentu kerana emas tergolong dalam item ribawi. Kebiasaannya, pertukaran emas dengan wang mesti berlaku secara tunai (on the spot) tanpa bertangguh.
Hal ini jelas berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan Muslim: emas dengan emas mestilah sama nilai, serah terima pada masa yang sama, dan tidak boleh ada penangguhan.
Pandangan Ulama Tentang Emas Perhiasan
Ulama berbeza pendapat berkenaan hukum emas perhiasan. Jumhur ulama berpandangan ia tetap dikira sebagai item ribawi, maka tidak boleh dibeli secara ansuran.
Namun, Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim serta sebahagian ulama kontemporari berpendapat emas perhiasan tidak lagi berfungsi sebagai mata wang, sebaliknya hanya barang kemas. Oleh itu, jual beli emas perhiasan tidak tertakluk kepada syarat ketat item ribawi.
Pandangan kedua ini turut dipersetujui oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan (2011) yang memutuskan bahawa syarat khusus jual beli emas ribawi hanya terpakai untuk emas jongkong dan syiling emas. Manakala, emas perhiasan tidak dianggap ribawi dan boleh dibeli secara ansuran.
Kaedah Pembayaran Yang Selamat
Bagi mereka yang ingin berhati-hati dan keluar daripada khilaf, terdapat beberapa alternatif yang digalakkan:
- Menggunakan kad kredit Islamik – kerana ia dianggap sebagai pembayaran tunai, penjual terus menerima jumlah penuh.
- Membuat pinjaman daripada pihak ketiga yang patuh syariah – lalu membayar emas secara tunai.
Namun, jika pembelian menggunakan kad kredit konvensional atau pinjaman yang mengandungi riba, hukumnya jelas haram.
Secara kesimpulannya, membeli emas perhiasan secara ansuran adalah diharuskan menurut sebahagian ulama dan fatwa kontemporari, dengan syarat tidak melibatkan riba.
Walau bagaimanapun, jika ingin lebih berhati-hati, pilih kaedah tunai atau gunakan instrumen kewangan patuh syariah. Apa pun cara yang dipilih, pastikan ia tidak menjerumuskan diri dalam transaksi yang merosakkan keberkatan harta.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?





