Hukum Bermain Game Ada Unsur Sihir, ‘Bad Omen’

Hukum bermain game yang mempunyai unsur sihir ini memang perlu diberi perhatian memandangkan permainan seperti ini sudah jadi bentuk hiburan harian ramai.

Tak dinafikan terdapat game yang memaparkan elemen “magic”, kuasa luar biasa atau dark theme yang mana menimbulkan persoalan, adakah ia juga dikira sebagai syirik yang dilarang dalam Islam?

Isu ini diketengahkan oleh Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang yang turut memberi penjelasan tentang hukumnya.

Hukum bermain game

Memetik portal jabatan mufti tersebut, bermain video game atau game dalam talian adalah salah satu bentuk hiburan masa kini. Oleh itu, hukum asal permainan ini adalah harus. Namun begitu hukumnya boleh berubah kepada makruh atau haram mengikut garis panduan hukum berhibur yang telah dijelaskan.

Secara bahasa, sihir bermaksud satu amalan yang bertujuan mendekatkan diri kepada syaitan dengan memohon bantuan daripadanya atau  perbuatan atau kejadian yang luar biasa yang dilakukan oleh manusia secara tersembunyi atau ghaib yang melibatkan makhluk halus.

Secara istilahnya memberi pengertian ikatan, jampi dan perkataan yang diucapkan atau ditulis atau dibuat sesuatu yang mendatangkan kesan dan akibat buruk terhadap tubuh orang yang disihir atau terhadap hati dan akalnya tanpa menyentuhnya secara langsung.

Ads

Para ulama menyatakan bahawa sihir merupakan perbuatan yang berdosa besar dan boleh membawa kepada kesyirikan. Oleh itu, Islam melarang umatnya daripada terjerumus dengan sihir serta menyuruh mereka menjauhinya.

Namun, berdasarkan pemerhatian, sihir atau ‘magic’ dalam game adalah kesan khas yang berasaskan sumber tenaga alami seperti api atau air atau kilat sebagai kemahiran yang digunakan melalui butang permainan untuk mengalahkan musuh. Tujuan permainan tersebut juga adalah untuk menghiburkan para pemain.

Haram jika…

Berbalik kepada persoalan, kami berpandangan sebegini:

Ads
  1. Sekiranya game tersebut memerlukan pemain tersebut melakukan sebarang isyarat atau jampi atau ritual yang mempunyai unsur pemujaan atau melibatkan kepercayaan ajaran-ajaran yang menyalahi agama Islam yang boleh membawa kepada mensyirikkan Allah, maka hukumnya adalah haram. Hal ini bertepatan dengan kaedah:

ما أدى إلى الحرام فهو حرام

Maksudnya: “Sesuatu yang membawa kepada haram maka hukumnya juga haram.”

  1. Sekiranya game tersebut mempunyai elemen ‘magic’ atau ‘bad omen’ sebagai kemahiran untuk tujuan bermain semata-mata maka kami berpandangan bahawa permainan tersebut adalah boleh dimainkan kerana ia bukan sihir secara hakikat.

Hal ini kerana, permainan ini dimainkan semata-mata atas tujuan hiburan. Oleh itu, hukum bermain permainan tersebut tidak boleh diletakkan dalam golongan yang membenarkan atau mempercayai sihir yang telah diharamkan berdasarkan hadis Nabi SAW melalui sabdanya:

Ads

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَة

Maksudnya: “Siapa yang mendatangi tukang tilik lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu maka tidak diterima darinya solat selama empat puluh malam.” [Sahih Muslim 2230]

Kesimpulan

Berdasarkan pernyataan di atas, kami menyimpulkan bahawa bermain video games yang mempunyai unsur ‘magic’ atau ‘bad omen’ yang tidak mempunyai sebarang ritual atau jampi atau isyarat yang berkaitan dengan keagamaan tertentu atau kefahaman yang menyeleweng daripada agama Islam adalah dibenarkan.

Sumber: Jabatan Mufti Pulau Pinang

 

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download sekarang ya?

KLIK DI SEENI
Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi
Ads