![kawin 1](https://cdn.kashoorga.com/2018/11/kawin-1-696x638.jpg)
Menurut sebuah artikel di laman web World Bride Magazine[1], ‘bridal’ ini berasal dari Holand pada kurun ke-16. Ia disambut untuk mengembirakan bakal pengantin yang akan menamatkan zaman bujang. Ia juga untuk membantu pengantin perempuan bagi menyediakan dowry iaitu hadiah daripada pihak pengantin perempuan kepada pengantin lelaki.
Perkataan shower pula muncul di Amerika Syarikat ketika era Victoria. Gadis-gadis daripada golongan pembesar meraikan bakal pengantin dengan sesi bersuka-ria, menukar hadiah dan makan bersama. Selepas beberapa kurun, hal ini menjadi suatu kebiasaan bagi pengantin untuk diraikan sebelum perkahwinan mereka.
SOALAN:
Adakah bridal shower yang diamalkan oleh pengantin yang berbangsa Melayu beragama Islam sebelum malam perkahwinan itu dibenarkan syarak?
JAWAPAN:
Islam merupakan agama yang amat mementingkan identiti. Sedangkan manusia amat menitikberatkan identiti bangsa yang dianuti dan negara yang diduduki, apatah lagi Allah SWT, Tuhan yang menurunkan agama ini. Oleh itu, sebagai hamba-Nya yang taat, kita perlu berhati-hati dalam memastikan identiti Islam sentiasa terpelihara daripada penyerupaan dengan agama lain.
Lantaran itu, kita dilarang oleh Rasulullah SAW menyerupai golongan kafir dalam hal yang merupakan identiti atau lambang atau syiar agama mereka. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah dari kalangan mereka.”
Riwayat Abu Daud (4031)
Imam al-San’ani (w.1182H) Rahimahullah berkata bahawa hadis di atas menunjukkan barangsiapa yang menyerupai orang-orang fasiq ataupun kafir ataupun orang yang melakukan bid’ah dalam apa jua perkara yang dikhaskan padanya dari segi pemakaian, tunggangan ataupun gerak-geri tingkah laku maka dirinya tergolong dalam kalangan mereka. Lihat Subul al-Salam (2/647).
KESIMPULANNYA:
Setelah meneliti asal-usul bridal shower, kami melihat ia bukanlah suatu syiar mana-mana agama, ia hanyalah amalan yang dilakukan oleh kumpulan tertentu. Oleh itu, kami mencadangkan dan memutuskan seperti berikut:
1.Sekiranya hendaklah melakukan acara ini, hendaklah menjauhi segala larangan dan perkara yang diharamkan syarak
2.Hendaklah memastikan tiada hidangan arak atau minuman yang memabukkan ketika acara ini berlangsung
3.Hendaklah menjaga batasan pergaulan di antara lelaki dan perempuan ketika majlis ini berlangsung
4.Hendaklah acara ini hanya bertujuan untuk mengeratkan silaturahim di antara pengantin dan sahabat-sahabatnya, dan bukan bertujuan untuk mengikuti budaya barat
5.Dicadangkan agar menukar nama acara ini, kepada malam silaturahim, atau nama yang dirasakan bersesuaian agar dapat keluar daripada fitnah
6.Hendaklah mengelakkan sebarang pembaziran ketika berlangsung acara ini dan mengelakkan daripada bermegah-megah.
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Hj. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
VIDEO KASHOORGA:
https://www.youtube.com/watch?v=QfVbdNdazBM
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Ramai Ragu-Ragu Boleh Atau Tak Warnakan Rambut Dengan Warna Hitam, Ini Hukumnya Patut Ambil Tahu
![Ramai Ragu-Ragu Boleh Atau Tak Warnakan Rambut Dengan Warna Hitam, Ini Hukumnya Patut Ambil Tahu](https://cdn.kashoorga.com/2019/09/untitled-design-6-03_16_020786.jpg)
SOALAN:
Saya berumur 32 tahun mempunyai masalah uban yang agak kritikal. Bolehkah saya mewarnakan rambut menggunakan inai/pewarna hitam. Ada sesetengah ustaz menasihati saya mewarna rambut saya warna merah (inai) tapi saya agak malu jika warna rambut saya berwarna merah.
JAWAPAN:
Perbuatan menghitamkan uban mengandungi unsur-unsur pemalsuan dan mengubah keadaan yang sebenar. Dengan celupan warna hitam, seseorang dewasa kelihatan seperti remaja, orang tua kelihatan muda kepada pandangan orang ramai.
Hal ini menyebabkan sangkaan mereka berlainan daripada keadaan yang sebenar. Adapun warna yang lain tidaklah sampai ke tahap pengubahan, penipuan dan pemalsuan.
Inilah pendapat mazhab al-Syafie. Adapun di sisi mazhab Maliki, Hanafi dan Hanabilah, hukum mewarnakan rambut dengan warna hitam adalah makruh dan diharuskan semasa perang.
Imam Abu Yusuf daripada Hanafiyyah mengharuskan secara mutlak. Rujuk al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (2/281).
Berkata Imam al-Syaukani:
“Sebahagian Jemaah (ulama salaf) mewarnakan rambut mereka dengan warna hitam. Diriwayatkan hal ini daripada (para sahabat seperti) Uthman (bin `Affan), al-Hasan dan al-Hussein anak-anak (Saidina) Ali, `Uqbah bin `Amir dan Ibn Sirin, Abi Burdah dan lain-lain.” Rujuk Nail al-Autar (2/281)
Prof. Dr Yusuf al-Qadhawi dalam karyanya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam (hal. 117) menyebut:
“Manakala orang yang tidak setua Abu Quhafah tidak mengapa jiialau dia mewarnakan rambutnya dengan warna hitam. Dalam hal ini al-Zuhri (seorang Tabien) mengatakan: “Kami menginai rambut dengan warna hitam jikalau wajah masih kelihatan muda. Apabila wajah sudah berkedut dan gigi sudah bergoyang kami meninggalkannya.”
Sekiranya seseorang ingin mewarnakan rambut, hendaklah dia mewarnakan rambut atau uban dengan warna apa pun selain warna hitam, atau warna dan gaya yang menyerupai syiar agama lain.
Ini bagi meraikan mazhab al-Syafie yang merupakan mazhab yang diamalkan di Malaysia. Namun begitu, kami tidak mengingkari pendapat-pendapat lain yang memakruhkan bahkan mengharuskan pewarna hitam, khususnya jika tidak melibatkan penipuan.
Sumber: Laman Web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Siapakah Suami Di Syurga Kepada Seorang Isteri Yang Pernah Berkahwin Lebih Daripada Sekali
![Siapakah Suami Di Syurga Kepada Seorang Isteri Yang Pernah Berkahwin Lebih Daripada Sekali](https://cdn.kashoorga.com/2019/03/RM_20180523_COUPLE_008.jpg)
SOALAN: Siapakah yang akan menjadi suami kepada isteri yang memiliki lebih daripada seorang suami?
JAWAPAN:
Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah R.anha:
الْمَرْأَةُ مِنَّا تَتَزَوَّجُ الزَّوْجَيْنِ وَالثَّلَاثَةَ وَالْأَرْبَعَةَ، ثُمَّ تَمُوتُ فَتَدْخُلُ الْجَنَّةَ وَيَدْخُلُونَ مَعَهَا، مَنْ يَكُونُ زَوْجَهَا مِنْهُمْ؟ فَقَالَ: يَا أُمَّ سَلَمَةَ، إِنَّهَا تُخَيَّرُ، فَتَخْتَارُ أَحْسَنَهُمْ خُلُقًا
Maksudnya: “Ada wanita daripada kalangan kami berkahwin dua, tiga dan empat kali. Kemudian dia (wanita) meninggal dunia serta dimasukkan ke dalam Syurga dan yang masuk bersamanya adalah para suaminya. Siapakah (daripada kalangan suaminya) yang akan menjadi suaminya (di dalam Syurga)?. Maka Nabi SAW bersabda: “Wahai Ummu Salamah, dia (isteri) itu diberi pilihan maka dia akan memilih yang lebih baik akhlaknya.” [Riwayat al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsath (3141) dan al-Mu’jam al-Akbar (870)]
Imam al-Thabarani menyatakan tidak meriwayatkan hadis ini daripada Hisyam bin Hassan melainkan Sulaiman bin Abi Karimah. Maka ‘Amr bin Hasyim telah bertafarrud (bersendiri) dalam meriwayatkan hadith ini. [Lihat: al-Mu’jam al-Awsath. 279/3] Tambahan pula, Imam al-Haithami menyatakan salah seorang perawi di dalam sanad hadith ini iaitu Sulaiman bin Abi Karimah dinilai dhaif oleh Abi Hatim dan Ibn ‘Adiy. [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 119/7] Selain itu, Imam Ibn al-Jauzi menilai hadith ini adalah tidak sahih. [Lihat: al-‘Ilal al-Mutanahiyah, 161/2]
Antara riwayat lain yang menceritakan akan masalah ini adalah kisah ketika Mu’awiyah bin Abi Sufiyan ingin meminang Ummu al-Darda’ selepas kewafatan Abu al-Darda’:
أَيُّمَا امْرَأَةٍ تُوُفِّيَ عَنْهَا زَوْجُهَا، فَتَزَوَّجَتْ بَعْدَهُ فَهِيَ لِآخِرِ أَزْوَاجِهَا
Maksudnya: “Mana-mana wanita yang kematian suami dan dia bernikah lagi selepas daripada itu, maka suaminya di Syurga adalah yang paling akhir dinikahinya.” [Riwayat al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsath (3130)]
Imam al-Haithami mengatakan di dalam sanad hadis ini terdapat Abu Bakar bin Abi Mariam dan dia merupakan seorang perawi yang bercampur hafalannya (tidak kuat hafalannya). [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 270/4] Imam al-Suyuthi menilai hadith ini sebagai dhaif.
Terdapat sebuah lagi riwayat dalam masalah ini iaitu kisah yang berlaku kepada Ummu Habibah yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, bahawa Ummu Habibah berkata:
يَا رَسولَ اللهِ الْمَرْأَةُ يَكُونُ لَهَا الزَّوْجَانِ فِي الدُّنْيَا، يَعْنِي يَكُونُ زَوْجًا بَعْدَ زَوْجٍ فَيَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ فَلِأَيِّهِمَا تَكُونُ؟ قَالَ: لأَحْسَنِهِمَا خُلُقًا
Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Sekiranya seorang wanita itu mempunyai dua orang suami di dunia, iaitu suami yang dinikahinya selepas pernikahan yang pertama dan kesemua mereka itu memasuki Syurga. Siapakah yang akan menjadi suaminya (di Syurga nanti)? Nabi SAW menjawab: Suami yang akan bersamanya adalah yang paling baik akhlaknya.” [Riwayat al-Bazzar (6631)]
Imam al-Iraqi mengdhaifkan sanad hadis ini. Selain itu juga, Imam al-Bazzar menyatakan hadith ini tidak diketahui bahawa Humaid meriwayatkan daripada Anas bin Malik. [Lihat: Musnad al-Bazzar, 183/13]
Berikut adalah sebahagian riwayat-riwayat yang menceritakan berkaitan permasalahan ini dan kesemua riwayat-riwayat tersebut tidak terlepas daripada kritikan oleh para ulama atau tokoh-tokoh hadith.
Untuk itu, kami simpulkan sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama bahawa masalah ini terbahagi kepada beberapa pendapat dan para ulama berbeza pandangan dalam menentukan masalah ini:
*Isteri tersebut akan bersama suami yang paling baik akhlaknya ketika di dunia.
*Isteri tersebut diberi pilihan untuk memilih.
*Isteri tersebut akan bersama suaminya yang terakhir.
Imam al-Suyuthi cuba untuk menghimpunkan kesemua riwayat tersebut dengan menyatakan bahawa seorang wanita (isteri) itu akan bersama suaminya yang terakhir sekiranya kesemua suaminya itu sama pada sudut akhlak. Sekiranya tidak begitu, maka wanita tersebut akan memilih yang paling baik akhlaknya.
Di dalam masalah ini, kami cenderung untuk bertawaqquf kerana dalil yang menyatakan tentang masalah ini adalah tidak begitu kuat melainkan hadis yang menceritakan kisah Ummu al-Darda’ adalah yang paling kuat dari sudut kesahihannya. Tambahan pula, perkara ini termasuk di dalam perkara-perkara yang ghaib kerana ia melibatkan Syurga. Justeru itu, sebaiknya perkara ini diserahkan kepada Allah SWT dan pendapat ini juga difatwakan oleh Syeikh ‘Athiyyah al-Saqar.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, setiap insan itu sama ada wanita atau lelaki perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang isteri atau suami yang terbaik kepada pasangannya di dunia ini, agar dengan cara itu akan memasukkan kita ke dalam Syurga. Adapun berkaitan urusan di dalam Syurga kelak, kita sewajarnya menyerahkan sepenuhnya kepada Allah SWT dan perkara yang boleh dilakukan atau diusahakan oleh kita adalah memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT akan menghimpunkan kita bersama isteri kita dan juga menghimpunkan kita bersama orang-orang yang soleh di dalam Syurga kelak. Akhirnya, semoga Allah SWT memasukkan kita dan seluruh ahli keluarga kita ke dalam Syurga-Nya di Akhirat kelak. Amin.
Wallahua’lam
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
VIDEO:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Benarkah Wanita Mempunyai Sembilan Nafsu Dan 1 Akal
![Benarkah Wanita Mempunyai Sembilan Nafsu Dan 1 Akal](https://cdn.kashoorga.com/2019/03/img.jpg)
SOALAN:
Benarkah terdapat hadis yang menyatakan wanita mempunyai SEMBILAN nafsu dan hanya SATU akal?
JAWAPAN:
Wanita 9 Nafsu, 1 Akal? Seringkali kita mendengar di kalangan masyarakat kita kata-kata bahawa wanita itu mempunyai sembilan nafsu dan satu akal. Apakah kenyataan ini benar?
Terdapat riwayat daripada Abi Muslim al, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لشهوة عشرة أجزاءٍ: التسعة للنساء والعاشر للرجال
Maksudnya: Syahwat itu mempunyai sepuluh bahagian: Sembilan bahagian diberi kepada wanita, dan satu bahagian diberi kepada lelaki.
Dicatat oleh Abu Marwan Abdul Malik al-Salmi dalam Adab al-Nisaa’, 1/183
Diriwayatkan juga bahawa Baginda SAW bersabda:
وَجُعِلَتِ الشَّهْوَةُ عَلَى عَشَرَةِ أَجْزَاءٍ، وَجُعِلَتْ تِسْعَةُ أَجْزَاءٍ مِنْهَا فِي النِّسَاءِ، وَوَاحِدَةٌ فِي الرِّجَالِ
Maksudnya: Dijadikan syahwat itu sebanyak sepuluh bahagian, sembilan darinya untuk wanita, satu untuk lelaki.
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat (567), dan disebut juga oleh al-Haithami dalam Majma’ al-Zawa’id (10/30)
Terdapat juga satu riwayat tentang dialog yang berlaku antara Imam al-Hasan al-Basri dengan seorang tokoh Sufi yang amat terkenal, Rabiatul Adawiyah. Dikisahkan bahawa semasa al-Hasan pergi meminangnya setelah kematian suaminya, beliau telah disoal beberapa perkara oleh Rabiah dan tidak dapat menjawabnya.
Tetapi apabila ditanya tentang akal, dikatakan bahawa al-Hasan telah menjawab bahawa wanita mempunyai sembilan nafsu dan satu akal. Tapi lantas Rabiah menjawab kembali “jika aku mempunyai sembilan nafsu, mengapa aku mampu menahannya dengan satu akal, sedangkan kamu yang mahu meminang aku ini tidak mampu menahan nafsu kamu sedangkan kamu mempunyai sembilan akal dan satu nafsu?” Maka al-Hasan pun malu apabila mendengar jawapan itu dan terus pulang.
Kisah ini telah dinukilkan oleh Uthman al-Khaubawi dalam kitabnya Durrah an-Nasihin dan juga Abu al-Fidaa’ al-Istanbuli al-Hanafi (Rujuk Tafsir Ruh al-Bayan, 6/179). Cerita ini boleh dipertikaikan dari sudut penisbahannya kepada al-Hasan al-Basri. Hal ini kerana, al-Hasan al-Basri dilahirkan pada tahun 21H dan meninggal dunia pada 110H. Manakala Rabiatul Adawiyah pula -berdasarkan pandangan yang paling tepat- dilahirkan pada tahun 100H dan meninggal dunia pada 180H. Ini bermakna ketika al-Hasan meninggal dunia, Rabiatul Adawiyah baru berumur 10 tahun, maka adalah tidak munasabah berlakunya dialog sebegini antara mereka berdua.
Memandangkan kata-kata ini tidak mempunyai sandaran yang sahih dalam al-Quran mahupun al-Sunnah, bukan juga kata-kata ulamaK yang mu’tabar, dan bukan juga satu fakta yang disahihkan dari sudut saintifik, bahkan kisah yang dinukilkan di atas juga dipertikaikan kesahihannya; maka kami berpandangan ianya tidak wajar sama sekali diterima, disebarkan dan disandarkan kepada agama.
WANITA KURANG DARI SUDUT AGAMA DAN AKAL?
Meskipun begitu, terdapat juga satu hadis daripada Nabi SAW bahawa Baginda pernah bersabda:
يَا مَعْشَرَ النِّسَاءِ تَصَدَّقْنَ وَأَكْثِرْنَ الاِسْتِغْفَارَ فَإِنِّي رَأَيْتُكُنَّ أَكْثَرَ أَهْلِ النَّارِ. فَقَالَتِ امْرَأَةٌ مِنْهُنَّ جَزْلَةٌ وَمَا لَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَكْثَرَ أَهْلِ النَّارِ . قَالَ تُكْثِرْنَ اللَّعْنَ وَتَكْفُرْنَ الْعَشِيرَ وَمَا رَأَيْتُ مِنْ نَاقِصَاتِ عَقْلٍ وَدِينٍ أَغْلَبَ لِذِي لُبٍّ مِنْكُنَّ . قَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا نُقْصَانُ الْعَقْلِ وَالدِّينِ قَالَ أَمَّا نُقْصَانُ الْعَقْلِ فَشَهَادَةُ امْرَأَتَيْنِ تَعْدِلُ شَهَادَةَ رَجُلٍ فَهَذَا نُقْصَانُ الْعَقْلِ وَتَمْكُثُ اللَّيَالِيَ مَا تُصَلِّي وَتُفْطِرُ فِي رَمَضَانَ فَهَذَا نُقْصَانُ الدِّينِ
Maksudnya: Wahai sekalian wanita, banyakkanlah bersedeqah dan istighfar, kerana aku melihat wanita banyak yang menjadi penghuni neraka. Seorang wanita yang bijak berkata: “Mengapa demikian wahai Rasulullah?” Nabi SAW menjawab “Kerana kalian banyak berkata yang buruk dan tidak berterima kasih kepada suami kalian. Aku juga melihat kalian kurang dari sudut dan agama, tapi pada sama aku belum pernah melihat orang yang kurang akal dan agamanya yang lebih mampu mengalahkan laki-laki yang berakal dibandingkan kalian.
Wanita itu bertanya lagi “Apa maksud kurang sudut akal dan agama itu?” Nabi menjawab “Kurang dari sudut aqal boleh dilihat dari sudut kesaksian dua orang wanita sama dengan kesaksian seorang lelaki, manakala kurang dari sudut agama ialah ada hari-hari tertentu kalian tidak solat dan berpuasa”.
Imam al-Qasthalani sewaktu menjelaskan frasa kekurangan agama tidaklah semestinya disebabkan oleh dosa, tapi boleh juga disebabkan oleh perkara yang sudah menjadi lumrah manusiawi seperti halnya wanita. (Rujuk Irsyad al-Sari, 1/347)
Adapun berkenaan kekurangan akal pula, Muhammad al-Amin al-‘Alawi al-Harari telah meriwayatkan pandangan Al-Maziri, bahawa ia adalah kerana wanita kurang terpercaya dari sudut ketepatan atau kecekapan.
Hadis ini juga menjadi penguat kepada ayat al-Quran yang berbunyi:
فَتُذَكِّرَ إِحْدَاهُمَا الْأُخْرَى
Maksudnya: …supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Surah al-Baqarah (282)
Dapat difahami juga daripada hadis di atas, kekurangan agama hanya terbatas dari sudut kuantiti ibadah dan bukan kualiti, serta sedikit keterbatasan dari sudut tempoh masa untuk melakukan ibadat. Namun wanita hanya ditegah dari melakukan sebahagian ibadat sahaja sewaktu haid, iaitu solat, tawaf dan membaca al-Quran.
Adapun ibadat lain seperti zikrullah, selawat dan manasik haji selain tawaf, mereka dibenarkan melaksanakannya. Bahkan puasa yang ditinggalkan sewaktu haid boleh digantikan semula semasa dalam keadaan suci.
Kekurangan tersebut juga bersifat sementara, bukan sepanjang hidup kaum wanita. Haid hanya berlaku selama beberapa hari dalam sebulan, tiada haid sewaktu tempoh kehamilan dan haid akan terhenti sama sekali setelah mereka monopaus, iaitu setelah berhentinya kitaran haid.
Manakala kekurangan dari sudut akal pula adalah dalam erti kata penglibatan mereka dalam urusan-urusan awam secara umumnya adalah agak terbatas berbanding lelaki, maka pengetahuan dan pengalaman mereka dalam bidang-bidang tertentu seperti politik, ekonomi dan ketenteraan adalah kurang berbanding lelaki.
Syeikh Mustafa al-Maraghi berpandangan bahawa keperluan kepada dua orang saksi perempuan adalah disebabkan faktor setempat dan semasa, di mana wanita jarang melibatkan diri, ataupun dilibatkan dalam aktiviti di ruang awam seperti politik dan ekonomi. Oleh karena itu kesaksian mereka dalam hal ini memerlukan kepada lebih penelitian sebelum dapat diterima. (Rujuk Tafsir al-Maraghi 3/75)
Maka dapat difahami di sini, kesaksian dua orang wanita bersamaan dengan kesaksian seorang lelaki adalah disebabkan kurangnya penglibatan mereka dalam urusan muamalat, pentadbiran dan perundangan, bukan disebabkan kaum wanita itu lemah dari sudut akal dan ingatan secara azali.
Jika benar wanita itu kekurangan akal sejak azali, maka pastilah periwayatan hadith oleh wanita boleh diragui. Namun demikian, para ulama tidak pernah meletakkan jantina sebagai kayu ukur dalam menilai kekuatan dan kebolehpercayaan seorang rawi.
Bahkan Imam al-Zahabi, seorang pakar dalam bidang ilmu rijal dan perawi, pernah menyebut bahawa beliau tidak mengetahui adanya walau seorang perawi wanita yang dituduh sebagai pemalsu hadis (muttaham) atau yang ditolak kerana tidak diyakini kebolehpercayaannya (matruk). Hal ini menunjukkan bahawa wanita juga mampu menggapai kedudukan yang tinggi dalam apa jua bidang yang diceburi, sekiranya diberi peluang dan ruang yang saksama.
Terbatasnya penglibatan wanita dalam urusan awam juga bukanlah suatu yang menjadi ketetapan syarak, namun ia hanya sekadar kebiasaan setempat dan bergantung kepada zaman. Saidina Umar RA sewaktu menjadi khalifah pernah melantik seorang wanita sebagai pegawai hisbah yang menyelia urusan jual beli di pasar di Madinah. Saidatina ‘Aisyah R.’Anha sendiri pernah mengetuai umat Islam pergi menghadap Khalifah Ali bin Abi Thalib sebelum tercetusnya Perang Jamal.
Pada zaman sekarang juga kita menyaksikan peningkatan penyertaan dan penglibatan wanita dalam urusan-urusan awam. Malaysia menyaksikan dua orang wanita telah menjawat jawatan sebagai Gabenor Bank Negara setakat ini. Kita juga menyaksikan peningkatan bilangan wanita yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Syarie di pelbagai negeri.
Inilah keadilan Islam yang memberi ruang dan peluang kepada wanita dan lelaki untuk sama-sama menyumbang, dan mereka dijanjikan ganjaran yang setimpal.
Firman Allah SWT:
لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُوا ۖ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ ۚ
Maksudnya: Bagi lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan; dan bagi wanita ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan. Surah al-Nisaa’ (32)
KESIMPULAN:
Secara tuntasnya, kami berpandangan bahawa pernyataan wanita mempunyai hanya satu akal dan sembilan nafsu adalah kata-kata yang tidak ada sumbernya dalam agama ini dan tidak wajar sama-sekali disebarkan.
Adapun hadiS yang menyatakan bahawa wanita itu kurang dari sudut agama, kekurangan mereka hanya terbatas dari sudut kuantiti ibadah dan bukan kualiti, serta sedikit keterbatasan dari sudut tempoh masa untuk melakukan ibadat.
Manakala kekurangan dari sudut akal pula adalah dalam erti kata penglibatan mereka dalam urusan-urusan awam secara umumnya adalah agak terbatas berbanding lelaki, maka pengetahuan dan pengalaman mereka dalam bidang-bidang tertentu seperti politik, ekonomi dan ketenteraan adalah kurang berbanding lelaki.
Namun demikian dalam konteks zaman sekarang, peningkatan penglibatan wanita dalam pelbagai bidang dan peluang pendidikan yang sama rata telah meningkatkan keupayaan dan kebolehan wanita. Banyak jawatan penting disandang oleh wanita dan mereka membuktikan kemampuan bersaing secara kompetitif dengan lelaki meskipun terpaksa berhadapan dengan banyak cabaran dan kekangan, bahkan melebihi kaum lelaki dalam banyak keadaan.
Wallahu a’lam.
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan Sahibus Samahah Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI