Bila menimang cahaya mata, kebiasaannya bayi menerima banyak wang sedekah daripada saudara mara atau rakan taulan. Dan menjelang sambutan Aidiladha nanti mungkin ada ibu bapa yang berhajat melakukan akikah untuk bayi ini dengan menggunakan wang tersebut.

Dalam hal ini adakah dibolehkan melaksanakan akikah menggunakan harta bayi dan bukannya ibu bapa?

Akikah dituntut ke atas penjaga bayi 

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan melalui portalnya, pihak yang dituntut untuk melaksanakan akikah adalah ayah ataupun orang yang bertanggungjawab terhadap nafkah anak (bayi) yang dilahirkan.

Oleh itu, akikah tidak boleh dilaksanakan dengan menggunakan harta anak tersebut. Malah ia perlu dilaksanakan dengan menggunakan harta penjaganya.

Bahkan, sekiranya anak itu dalam kalangan kaya dengan mewarisi harta yang banyak, akikah tetap tidak boleh dilaksanakan daripada hartanya.

Huraian

Akikah sunat dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi tersebut di samping memberikan nama yang baik dan mencukur rambut bayi tersebut. Ini berdasarkan sabda Baginda SAW daripada Samurah RA:
الْغُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ

IKLAN

Maksudnya: “Bayi itu tertebus dengan akikahnya. Binatang akikah disembelih pada hari ketujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya”. Riwayat al-Tarmizi (1522)

Akikah dituntut ke atas penjaga bayi kerana dia bertanggungjawab terhadap nafkah bayi itu.

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami berkata:
والمخاطب بها: مَن عليه نفقة الولد، فليس للولي فعلها من مال ولده؛ لأنها تبرع

Maksudnya: “Perintah tuntutan akikah ditujukan kepada orang yang bertanggungjawab dengan nafkah anak. Maka penjaganya tidak berhak melaksanakan akikah tersebut menggunakan harta anaknya kerana akikah merupakan sedekah”. (Rujuk: Al-Minhaj al-Qowim, 310)

IKLAN

Oleh itu, akikah hendaklah dilaksanakan dengan tidak menggunakan harta anaknya bahkan menggunakan hartanya sendiri.

Penjaga kepada anak yang diharuskan untuk melaksanakan akikah adalah ayah, datuk, ibu dan nenek kepada bayi tersebut.

Meskipun begitu, sekiranya anak (bayi) itu dalam kalangan orang yang kaya dan berkemampuan, akikah tetap tidak boleh dilaksanakan daripada hartanya. Hal ini dinyatakan oleh Imam al-Mawardi:

IKLAN

وإن كانت نفقته من ماله كأن يكون غنيًّا بميراثٍ وعطيةٍ، لم يجز أن يخرج من مالهِ؛ لأنَّها ليست بواجبة، كما لا يخرج منه الأضحية

Bermaksud: Meskipun nafkah (bayi itu) bersumberkan dari hartanya seperti dia seorang yang kaya disebabkan harta pusaka dan pemberian, maka hartanya tidak boleh(haram) dikeluarkan (untuk perlaksanaan akikah) kerana ia tidak wajib (dilaksanakan) seperti mana tidak boleh(haram) menggunakan hartanya untuk dilaksanakan korban. (Rujuk: Al-Hawi al-Kabir, 15/296)

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan ulama disimpulkan bahawa pihak yang dituntut untuk melaksanakan akikah adalah ayah ataupun orang yang bertanggungjawab terhadap nafkah anak (bayi) yang dilahirkan.

Oleh itu, akikah tidak boleh dilaksanakan dengan menggunakan harta anak tersebut. Malah ia perlu dilaksanakan dengan menggunakan harta penjaganya. Bahkan, sekiranya anak itu dalam kalangan kaya dengan mewarisi harta yang banyak, akikah tetap tidak boleh dilaksanakan daripada hartanya.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI