
Hukum Ulang Sujud Kerana Sujud Tak Sempurna
Sujud merupakan salah satu daripada rukun-rukun solat. Boleh terjadi ketika solat kita melakukannya dengan cara tidak sempurna lantas bertindak mengulang sujud menjadikan jumlah sujud sebanyak tiga kali. Dalam hal ini apakah hukumnya dan adakah ia dibolehkan?
Persoalan ini mendapat perhatian dan penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam AL-KAFI #2013: HUKUM MENGULANGI SUJUD SEKIRANYA SUJUD TIDAK SEMPURNA.
Dalam penjelasan yang diberi, sekiranya seseorang melakukan sujud secara tidak sah, maka kesannya solat yang dikerjakan itu juga dikira sebagai tidak sah.
Hal ini adalah bersandarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَسْتَوِيَ وَتَطْمَئِنَّ جَالِسًا، ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا
Terjemahan: “…Kemudian sujudlah sehingga kamu tenang dalam keadaan sujud (ṭama’nīnah), kemudian bangunlah duduk dalam keadaan tegak dan tenang (ṭama’nīnah), kemudian sujudlah (sekali lagi) sehingga kamu tenang dalam keadaan sujud (ṭama’nīnah)…”. [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Syarat Minimum Sah Sujud
Sujud yang dilakukan oleh seseorang dikira sebagai sah dan diterima sekiranya dia melakukan sujud sekurang-kurangnya menepati kadar minimum syarat sujud yang telah ditetapkan.
Yakni dengan memastikan sekurang-kurangnya sebahagian dahi bersentuhan dengan tempat sujud, dan begitu juga anggota-anggota sujud yang lain seperti dua tapak tangan, dua lutut, dan dua bahagian dalam jari kaki.
Hukum-Hukum Berkaitan Sujud Yang Tidak Sempurna
Apabila seseorang itu meyakini bahawa sujud yang dilakukan itu tidak sah, maka dia perlulah mengulanginya semula. Misalnya seseorang yang dalam keadaan sujudnya dengan tidak sengaja telah melakukan sujud di atas pakaiannya sendiri, maka dia wajib mengulangi semula sujud tersebut.
Walau bagaimanapun, sekiranya seseorang itu dengan sengaja melakukan sujud tersebut secara tidak sempurna, maka solatnya dikira terbatal.
Imam al-Khaṭīb al-Shirbīniy menghuraikan permasalahan ini seperti berikut:[4]
فَإِنْ كَانَ مُتَعَمِّدًا عَالِمًا بَطَلَتْ صَلَاتُهُ أَوْ نَاسِيًا أَوْ جَاهِلًا لَمْ تَبْطُلْ وَأَعَادَ السُّجُودَ
Terjemahan: “Sekiranya dia sengaja dan mengetahui (tentang perbuatan sujud yang tidak sah) maka solatnya terbatal. Jika dalam keadaan terlupa atau tidak tahu, maka tidak batal dan dia mestilah mengulangi solat”.
Tidak Dianggap Menambah Rukun
Perbuatan seseorang yang mengulangi sujud tersebut tidaklah dianggap sebagai menambahkan rukun dalam solat ataupun melakukan sujud 3 kali. Ini kerana walaupun secara zahirnya nampak seperti melakukan 3 kali sujud, namun hakikatnya dia hanya melakukan 2 kali sujud sahaja kerana salah satu sujud tidak dikira sah, sebagai contoh sujud yang tiada tomakninah.
Justeru, sesiapa yang tidak sengaja melakukan perkara-perkara yang menyebabkan sujudnya itu tidak sah, maka dia mestilah mengulangi semula sujud tersebut. Ini kerana sujud merupakan salah satu daripada rukun solat dan mestilah dilaksanakan dengan sempurna.
Walau bagaimana pun, sekiranya seseorang hanya syak sahaja bahawa sujud yang dilakukannya itu tidak sah, maka dia hendaklah meneruskan sahaja solat tanpa diulangi semula perbuatan sujud tersebut.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?





