SOALAN: Apa patut saya lakukan kalau saya melihat aurat imam terdedah semasa solat berjamaah. Ini kerana imam memakai baju t-shirt yang mana jika sujud, akan terdedah sedikit dari bahagian aurat. Mohon penjelasan.
JAWAPAN:
Umat Islam dituntut untuk menutup aurat ketika hadir ke mana-mana masjid. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ
“Wahai anak Adam, pakailah pakaian yang indah (menutup aurat) setiap kali memasuki masjid.” [Surah Al-A’raaf (31)]
Menutup aurat adalah syarat sah solat. Jika aurat terdedah semasa solat maka wajib untuk segera menutupnya. Jika orang yang solat itu lalai dan membiarkan auratnya terbuka tanpa segera ditutup, maka batal solatnya dan hendaklah dimulakan semula. Namun jika dia sempat menutup aurat yang terdedah tadi dengan segera maka solatnya tidak batal dan dia boleh meneruskan solatnya. [Rujuk: Al-Fiqh al-Manhaji (1/124), Al-Taqrirat al-Sadidah (hlm. 206)]
Aurat bagi lelaki di dalam solat adalah bahagian di antara pusat dan lutut. Justeru wajib bagi seseorang lelaki itu menutup bahagian ini dengan pakaian yang bersih dari najis di dalam solat yang didirikan. Sekiranya dibiarkan auratnya terdedah dengan sengaja maka solatnya adalah batal.
Ads
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami menyatakan bahawa salah satu daripada syarat sah solat berjemaah ialah makmum mestilah tidak mengetahui atau tidak meyakini bahawa solat imamnya itu batal. Sama ada batal disebabkan hadas, tidak menutup aurat, atau selainnya. [Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji (1/179)]
Ads
Justeru, sekiranya makmum tidak mengetahui yang solat imam terbatal disebabkan terdedahnya aurat, maka solat mereka adalah sah. Ini kerana dalam kes seperti ini, yang batal adalah solat imam manakala solat para jemaah yang menepati syarat dan rukun solat tidak batal. Ini bertepatan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
يُصَلُّونَ لَكُمْ، فَإِنْ أَصَابُوا فَلَكُمْ، وَإِنْ أَخْطَئُوا فَلَكُمْ وَعَلَيْهِمْ
“Para imam solat memimpin kalian. Maka jika dia benar, mereka mendapat pahala dan kalian juga mendapatkan bahagian pahalanya. Namun apabila mereka salah, kalian tetap mendapatkan pahala dan mereka (para imam) mendapatkan dosa (atau kesalahan ke atas mereka).” [Riwayat Al-Bukhari (694)]
Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa sekiranya seorang makmum itu melihat aurat imam yang terdedah di dalam solat, dan dia risau sekiranya dengan menegur imam akan timbul tasywisy (kacau bilau) dalam kalangan jemaah, maka dia hendaklah mufaraqah (berpisah atau keluar) dari solat berjemaah tersebut. Namun hendaklah makmum tersebut menegur imam sesudah solat supaya imam memastikan pakaian yang dipakai semasa solat adalah menutup aurat.
Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Cinta agung di dunia ini selain mencintai Allah SWT adalah mencintai Rasulullah SAW, kekasih Allah. Mencintai Rasulullah bukan sekadar menyebut “Aku Sayangkan Rasulullah” Ia perlu dizahirkan bersungguh-sungguh.
Mencintai dan dicintai adalah fitrah manusia. Siapa tak suka mencintai dan dicintai? Jika pasangan suami isteri, perasaan mencintai ini memberi kesan emosi positif tinggi yang mana Allah akan memberkati kehidupan pasangan ini.
Mencintai Rasulullah bukan bermaksud meluahkan kata-kata cinta kepada Baginda, tetapi ia dizahirkan menerusi akhlak, tingkah laku dan tindak balas kita.
Sekarang cuba audit diri, adakah kita benar-benar mencintai Rasulullah SAW atau hanya cinta palsu yang ditunjukkan?
Tanda kita sangat mencintai Rasulullah ialah apabila kita membaca dan mengamalkan segala isi kandungannya dalam urusan harian kita.
Jika kita sayang kan Rasulullah, secara automatiknya kita akan menerapkan segala peraturan Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.
Bukti penting bahawasanya kita mencintai Rasulullah ialah kita menjalankan sunnah Nabi tanpa ragu. Semakin kita mencintai Sunnah, semakin kita akan mencuba untuk menerapkannya dalam kehidupan.
Jika ada sesuatu yang dicontohkan Nabi maka kerjakanlah, namun jika ada sesuatu yang bertentangan dengan sunnah Nabi maka tinggalkanlah.
Dari bangku sekolah lagi kita didedahkan dengan sirah atau sejarah kehidupan Rasulullah SAW.
Apabila kita mempelajari sirah nabi maka kita akan mengetahui bagaimana kasih sayang, cinta, dedikasi, ketulusan, kecantikan, karakter mulia, perhatian terhadap umat, dan apa pun yang Nabi SAW lakukan untuk menyampaikan Islam ke seluruh dunia.
Lagi banyak yang kita tahu tentang kisah nabi SAW, lagi menebal rasa cinta kita padanya.
Kita biasa mendoakan ibu, ayah, suami, isteri dan anak-anak kita, sebagai tanda sayangnya kita kepada mereka. Begitu jugalah harus kita lakukan pada Nabi SAW.
Jika kita mengaku mencinta Nabi SAW, maka janganlah lupa mendoakan Nabi Muhammad kepada Allah SWT. Sebenarnya jika kita memahami makna bacaan solat, kita sering mendoakan Nabi SAW melalui bacaan “Allahumma Sholi ‘ala Muhammad”
Semakin kita sering mengirimkan doa kepada Nabi SAW, maka kita akan semakin dekat kepada beliau kelak di hari kiamat dan Nabi SAW akan memberikan syafaat kepada umat yang mencintainya ketika kita di akhirat nanti.
Jika kita mengaku mencintai Nabi SAW, maka kita harus menyukai hal-hal yang nabi Muhammad cintai. Sebagai contoh sering melakukan ibadah puasa sunnah Isnin dan khamis, menggunakan siwak, menyayangi haiwan, melayan semua orang sama rata tanpa prejudis dan sunah-sunah lainnya yang Rasulullah cintai.
Dalam masa sama, kita juga harus mencintai orang-orang yang dicintai Nabi SAW, seperti Abu Bakar, Umar bin Khattab, Usman bin Affan, Ali bin Abi Thalib dan seluruh keluarga Nabi SAW serta para sahabat pada umumnya.
Ketika kita mencintai seseorang, maka kita sering memikirkan nya hingga kita berharap bertemu dengan sekerap mungkin. Begitu juga apabila semakin kita mencintai Rasulullah maka kita sering mengingatnya dengan membaca sirah nabawiyah, memperbanyakkan doa dan membaca selawat untuk beliau, hingga kita berharap kepada Allah SWT agar dipertemukan dengan Nabi SAW di akhirat kelak.
Kashoorga: Jika kita ada merasai tanda-tanda ini, maka teruskanlah istikomah dengan setiap amalan baik kita. Berselawatlah kepadanya, kerana itu sebahagian daripada tanda betapa kita kasihkan Baginda.
Sejak semalam tular mengenai satu status mengenai pertanyaan seorang isteri tentang status perkahwinannya kerana suami melarang dan akan menceraikan dirinya seandainya menerima suntikan vaksin. Apa yang menjadi pertanyaannya ialah dirinya sudah pun menerima suntikan berkenaan sebelum suaminya mengeluarkan kaat-kata itu kerana mereka merupakan pasangan jarak jauh.
Di page Mufti Wilayah Persekutuan, timbul pertanyaan dari seorang isteri yang mahu mengambil suntikan vaksin namun suaminya tak izinkan. Ikuti penjelasan berkaitan isu ini.
Assalamualaikum Datuk. Saya nak vaksin tapi suami saya tak izinkan langsung, sebab saya isteri dia kena dengar kata dia dalam undang-undang perkahwinan. Macam mana saya nak defend diri saya? Saya sedih.
RINGKASAN JAWAPAN
Dalam Islam adalah menjadi kewajipan seorang isteri untuk mentaati suami. Manakala vaksinisasi pula adalah satu bentuk penjagaan dari mendapat sesuatu penyakit yang mana dalam situasi sekarang ia untuk menjaga dari dijangkiti COVID-19 yang boleh mengancam nyawa. Dalam keputusan muzakarah MKI menyatakan hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan.
Manakala pihak pemerintah pula telah menjalankan program vaksinisasi besar-besaran di seluruh negara maka sepatutnya ia diambil cakna oleh setiap rakyat untuk menyambut baik usaha-usaha ini. Untuk menjaga kerukunan rumah tangga isteri sebaiknya berbincang dengan suami dalam perkara ini, begitu juga pihak suami tidak seharusnya menghalang pihak isteri untuk mengambil vaksin lebih-lebih lagi itu adalah hak isteri untuk mendapat kaedah penjagaan yang sebaiknya daripada jangkitan COVID-19 berdasarkan pandangan pakar.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Sistem kekeluargaan Islam sangat memberi penekanan dalam aspek tanggungjawab atau hak-hak antara suami dan isteri. Suami isteri mesti bertanggungjawab dalam memastikan segala hak tersebut dilaksanakan dengan baik. Hal ini kerana, sebarang bentuk pengabaian terhadap hak dan tanggungjawab boleh menyebabkan keruntuhan dan kecelaruan berlaku dalam rumah tangga. Islam memberi penekanan yang jelas dalam perkara ini. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya).” Surah al-Baqarah (228)
Imam al-Thobari dalam menjelaskan ayat di atas, beliau menukilkan kata-kata al-Dhahhak bahawa jika para isteri taat kepada Allah dan para suami mereka, maka suami perlu berkelakuan baik serta bertanggungjawab dalam menunaikan hak-hak isteri dengan sebaik mungkin.(Rujuk:Jaami’ al-Bayan li al-Thobari, 4/531)
Selain itu, kesihatan dan keselamatan isteri merupakan hak yang wajib dipelihara oleh suami. Hal ini kerana aspek ini merupakan suatu tuntutan syarak dan maqasid syariah, bahkan ia berada dalam kategori al-Dharuriyyat al-Khamsah yang wajib setiap individu memeliharanya. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazali R.H di dalam kitabnya:
Maksudnya: “Dan tujuan Syari’at itu ada lima, iaitu: untuk memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta mereka.” (Rujuk:al-Mustasfa min ‘Ilm al-Usul, 174)
Memelihara nyawa merupakan prinsip yang kedua terpenting mengikut urutan keutamaan untuk dijaga selepas memelihara agama. Justeru, Ikhtiar perubatan adalah bertujuan untuk memelihara nyawa termasuklah mengambil vaksin. Tambahan pula, dalam keadaan wabak yang semakin kritikal adalah satu keperluan untuk seseorang itu mendapat vaksin bagi mencegah jangkitan COVID-19.
Perkara yang perlu difahami ialah ketetapan oleh pihak kerajaan berdasarkan pandangan pakar-pakar yang dipercayai telah memutuskan untuk mengambil kaedah vaksinisasi sebagai langkah pencegahan dalam menangani wabak COVID-19.
Bagi kita sebagai seorang Muslim, Islam telah mengajar supaya merujuk kepada pakar dalam bidangnya. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:
Maksudnya:Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui. Surah al-Nahl (43)
Sebagaimana umat Islam dituntut agar memelihara lima perkara teras dalam kehidupan seperti agama, nyawa, akal, harta dan maruah. Oleh yang demikian, sebagai Muslim perlu menjaga kesihatan tubuh badan agar memelihara kelangsungan hidup berpanjangan. Lebih-lebih lagi apabila keadaan dunia dilanda dengan wabak yang berbahaya sehingga membawa kepada kematian. Oleh itu, kita perlu mencegah diri kita daripada terkena dengan wabak tersebut dengan cara yang ditetapkan oleh pemerintah seperti pematuhan SOP dan pengambilan vaksin yang dapat mengurangkan kebarangkalian dijangkiti wabak COVID-19 yang sedang melanda. Hal ini kerana kaedah fiqh yang masyhur ada menyatakan bahawa:
الضرر يُزَال
Maksudnya:Kemudaratan itu disingkirkan. (Rujuk: Al-Asybah wa al-Nazhoir, al-Subki, 1/41)
Berdasarkan kaedah fiqh ini, Syeikh Mustafa Al-Zarqa ada menyatakan bahawa sesuatu kemudaratan itu WAJIB dihilangkan atau disingkirkan. Kaedah ini berkaitan dengan kemudaratan dari sudut larangan melakukannya dan kewajipan mencegah dan menyingkirkannya setelah ianya berlaku. (Rujuk: Syarah Al-Qawa’id Al-Fiqhiyyah, 179)
Oleh itu, sekiranya terdapat sesuatu yang boleh mendatangkan kemudaratan terhadap diri dan nyawa individu seperti wabak virus maka perlulah disingkirkan dan dihilangkan. Antaranya adalah dengan mengambil langkah berhati-hati terhadap sesuatu bahaya yang bakal menimpa seperti pengambilan vaksin yang turut termasuk dalam cara menyingkirkan kemudaratan daripada menimpa seseorang individu.
Oleh yang demikian, pengambilan vaksin ini selari dengan kaedah fekah ini. Sebaliknya, perbuatan meninggalkan pengambilan vaksin yang boleh memberikan kemudaratan jangkitan terhadap seseorang individu adalah tindakan yang bertentangan dengan kaedah fekah tersebut.
Justeru itu, sekiranya terdapat dakwaan bahawa vaksin ini akan memberikan kesan sampingan kepada individu yang menggunakannya, maka mudarat ini tidak sebesar jika dibandingkan dengan mudarat tidak mengambil vaksin secara total. Hal ini selari dengan kaedah yang menyatakan apabila bertembung dua mafsadah atau keburukan maka kita lakukan mafsadah yang lebih ringan kesannya. Hal ini seperti yang disebutkan oleh Imam Ibnu Nujaim:
Maksudnya:Apabila bertembungnya dua mafsadah, maka dipelihara (ditolak) mudarat yang paling besar dengan melakukan mudarat yang lebih ringan.
(Rujuk: Al-Asybah wa al-Nazhair, Ibn Nujaim, 76)
Syeikh Mustafa Al-Zarqa’ memperincikan kaedah tersebut bahawa maksud meraikan kemudaratan yang paling berat diantara kedua-dua mudarat itu adalah dengan cara membuangnya (meninggalkannya). Hal ini kerana segala kemudaratan dipertimbangkan untuk kita mengelak dari melakukannya sepertimana segala kebaikan dipertimbangkan untuk kita melaksanakannya.
(Rujuk: Syarah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 201)
Dalam isu vaksin ini sekiranya benar terdapat kesan-kesan sampingan seperti demam-demam kecil dan seumpamanya, maka pengambilannya tetap diteruskan kerana ia bertujuan untuk mengelakkan kesan mudarat yang lebih besar yang bakal berlaku sekiranya ia tidak diambil seperti jangkitan wabak COVID-19 berskala yang lebih besar lagi.
KESIMPULAN
Berdasarkan huraian di atas adalah jelas tentang keperluan untuk menyambut usaha kerajaan ini dengan sebaiknya. Manakala dari sudut hubungan antara suami dan isteri pula adalah menjadi kewajipan seorang isteri untuk mentaati suami. Manakala vaksinisasi pula adalah satu bentuk penjagaan dari mendapat sesuatu penyakit yang mana dalam situasi sekarang ia untuk menjaga dari dijangkiti COVID-19 yang boleh mengancam nyawa. Dalam keputusan muzakarah MKI menyatakan hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan.
Manakala pihak pemerintah pula telah menjalankan program vaksinisasi besar-besaran di seluruh negara maka sepatutnya ia diambil cakna oleh setiap rakyat untuk menyambut baik usaha-usaha ini. Untuk menjaga kerukunan rumah tangga isteri sebaiknya berbincang dengan suami dalam perkara ini, begitu juga pihak suami tidak seharusnya menghalang phak isteri untuk mengambil vaksin lebih-lebih lagi itu adalah hak isteri untuk mendapat kaedah penjagaan yang sebaiknya daripada jangkitan COVID-19 berdasarkan pandangan pakar. Sumber : Mufti Wilayah
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Ada kala kita diberikan ujian apabila mempunyai dua calon jodoh dalam satu masa. Di sana kita sayang, di sini kita suka. Justeru kebuntuan datang melanda. Hati mulai berbelah bagi.
Perasaan kasih dan sayang tiada sesiapa yang memaksa. Kita sendiri kena faham apa sebenarnya yang kita mahukan dalam perkahwinan.
Jadi apabila kita ada dua pilihan, mana satu yang kita perlu pilih? Dalam hal ini, anda perlu meneliti kriteria setiap calon. Ya, memang pastinya ada yang terkecewa.
Namun anda perlu betul-betul terbuka dalam memilih. Ingat ya, anda perlu jaga hati semua orang. Jadi mintalah bantuan daripada Yang Maha Esa.
Ini yang perlu anda lakukan!
Jangan lupa dirikan solat istikharah supaya ALLAH membantu anda dalam proses membuat pilihan. Petunjuk daripada-Nya pasti membantu anda membuat pilihan yang betul. Petunjuk selalunya diberikan melalui mimpi dan gerak hati. Mudah-mudahan anda dapat petunjuk yang mudah dikenal pasti.
Sebelum solat istikharah, anda perlu penuhi terlebih dahulu solat fardu. Jangan tinggal solat. Rajinkan diri membuat solat sunat. Solat ialah tiang agama. Berdoalah ALLAH tunjukkan jalan dan mintalah pada Dia supaya tiada hati yang terluka. Manalah tahu, si dia yang tidak terpilih akan berasa dendam. Jadi elakkanlah semua itu terjadi. Biarlah masing-masing terbuka hatinya.
Buka hati anda untuk melihat kebaikan antara calon. Lain orang pasti lain sikap dan perangainya. Pasti ada kebaikan antara mereka yang mencuri hati anda. Namun hati-hati. Jangan tertipu dengan kebaikan yang palsu. Selidiki tahap agamanya, solatnya, puasanya dan amal jariahnya. Bukanlah bermaksud perlu mencari ustaz atau ustazah. Namun carilah pasangan yang ada pegangan agama yang kukuh demi masa depan yang lebih baik.
Pada hari ini, mungkin memilih si dia yang mempunyai kedudukan kewangan lebih baik menjadi keutamaan. Pun begitu, janganlah sampai anda jadi orang yang mata duitan. Ya, memang wang itu penting. Sekali lagi ditegaskan, calon jodoh perlulah saling melengkapi. Pilihlah yang agamanya kuat, tahu tanggungjawab dan menyenangkan hati anda dari segi sikapnya. Di samping itu, perasaan cinta juga penting supaya anda ada rasa kasih kepadanya.
Dapatkan nasihat daripada individu lebih berpengalaman. Paling dekat ialah daripada ibu bapa. Tiada salahnya jika anda mahu mendapatkan pandangan daripada sahabat baik. Rangkumkan semua pendapat dan buatlah pilihan yang dekat dengan hati anda.
Nasihat daripada orang tua dan sahabat baik boleh dijadikan panduan. Mereka boleh nampak orang yang sesuai untuk anda. Ada kala mata kita dikaburi dengan perasaan cinta. Jadi, pandangan orang lain boleh menjadikan pilihan kita lebih bersifat realistik.
Selamat memilih!
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Kirim doa kepada jemaah umrah atau haji merupakan amalan yang harus dalam Islam. Ketahui hukum, dalil hadis serta adab mengirim doa tanpa membebankan para jemaah.