“Ini Bukan Soal Fesyen” — Ustazah Asmak Tegur Isu Pekerja Berhijab Disyaratkan Pakai Turban

Share

Menutup aurat adalah kewajipan bagi setiap umat Islam. Bagi wanita Muslim, aurat merangkumi seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan. Namun baru-baru ini, tular dakwaan berhubung sebuah premis jualan yang hanya membenarkan pekerja wanita Muslim memakai turban sebagai pilihan menutup kepala ketika bekerja.

Situasi itu mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat dan netizen kerana ia dilihat masih berlaku pada tahun 2026, ketika pendedahan terhadap sensitiviti agama sepatutnya sudah lebih meluas. Apatah lagi Malaysia merupakan sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Berhubung isu tersebut, pendakwah bebas, Ustazah Asmak Husin tampil memberikan pandangan menerusi akaun

Instagram miliknya. Menurut beliau, kod pakaian di tempat kerja tidak sepatutnya dibuat sesuka hati atas alasan imej syarikat atau trend fesyen semata-mata.

Jelasnya, menutup aurat dengan sempurna adalah sebahagian daripada pengamalan agama yang perlu dihormati. Majikan, sama ada syarikat tempatan atau antarabangsa, seharusnya memahami sensitiviti serta hak pekerja Muslimah, bukan meletakkan mereka dalam keadaan terpaksa bertoleransi demi menjaga imej syarikat.

“Malaysia masih ketinggalan dari aspek undang-undang yang melindungi pencari kerja daripada diskriminasi sebelum mereka diambil bekerja, iaitu sewaktu proses iklan jawatan, temu duga dan pengambilan.

“Ini menyebabkan ramai wanita berhijab terpaksa mendiamkan diri atau menolak peluang pekerjaan awal-awal lagi kerana syarat yang menindas,” katanya.

BACA JUGA: Bolehkah Wanita Buka Aurat Di Hadapan Lelaki Buta? Ini Hukumnya

Menurut Ustazah Asmak, kes seperti ini tidak seharusnya dibiarkan begitu sahaja selepas tular. Sebaliknya, aduan rasmi boleh dibuat kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bagi membolehkan perkara tersebut disiasat dan didokumentasikan.

Beliau turut menggesa pihak kerajaan agar meneliti keperluan meminda undang-undang sedia ada bagi memastikan perlindungan lebih menyeluruh terhadap isu diskriminasi di tempat kerja, khususnya yang melibatkan hak pekerja Muslimah untuk menutup aurat.

Dalam pada masa yang sama, sebagai pengguna Muslim, masyarakat juga mempunyai kuasa melalui pilihan masing-masing. 

Sekiranya sesebuah jenama secara terang-terangan mengamalkan dasar yang dilihat mendiskriminasi pekerja berhijab, pengguna berhak membuat pilihan sama ada mahu terus menyokong atau sebaliknya.

Solidariti pengguna penting sebagai mesej jelas kepada industri korporat bahawa hak wanita Muslimah untuk menutup aurat tidak wajar dianggap sebagai hal kecil atau sekadar isu fesyen.

Kesimpulannya, mencari rezeki adalah satu ibadah. Namun ia tidak sepatutnya datang dengan harga yang terlalu mahal sehingga memaksa seorang wanita Muslimah menggadaikan prinsip syariat dan maruah dirinya.

Wanita berhijab tidak seharusnya dihukum hanya kerana mahu mempertahankan identiti, pegangan agama dan cara berpakaian yang diyakini. Sebaliknya, mereka wajar disokong kerana keberanian mempertahankan prinsip dalam dunia pekerjaan yang masih perlu lebih adil dan sensitif terhadap hak beragama.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok

Related Post
Published by
Balqis Qadisah