Ramai kalangan kita yang sudah terbiasa memeluk rakan sama jantina malah mencium pipi bila bertemu. Bukan wanita saja malah lelaki juga sama.
Mungkin ramai yang tidak tahu terdapat hukum makruh dalam hal ini, malah ada hadis yang melarang akan perbuatan memeluk yakni sesama lelaki. Perkara ini dijelaskan Mufti Wilayah Persekutuan apabila menjawab persoalan netizen berkaitan hal ini.
Assalamualaikum tuan, saya ada satu kemusykilan. Saya ceritakan keadaan saya begini, apabila saya berjumpa dengan rakan-rakan saya yang sebaya dan sama jantina, kebiasaannya kami akan bersalaman dan berpelukan kerana kami rapat sebab berkawan semenjak kecil. Persoalannya saya pernah mendengar terdapat larangan dalam hal ini. Benarkah mohon pencerahan.
Jawapan Mufti
Makruh bagi seorang lelaki memeluk sahabat lelakinya melainkan apabila ingin bermusafir, pulang dari musafir atau lama tidak bertemu. Selain itu juga, tidak makruh memeluk individu yang mempunyai hubungan mahram.
Huraian
Terdapat sebahagian dalam kalangan masyarakat, berpeluk dan mencium pipi atau dahi sahabatnya ketika bertemu kerana keakraban hubungan sesama mereka sudah menjadi satu adat dan kebiasaan di Malaysia.
Dalam hal ini, terdapat hadis yang menunjukkan bahawa Nabi SAW pernah peluk dan cium sahabatnya Zaid bin Harithah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Saidatina Aishah R.Anha katanya:
قَدِمَ زَيْدُ بْنُ حَارِثَةَ الْمَدِينَةَ وَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي بَيْتِي فَأَتَاهُ فَقَرَعَ الْبَابَ فَقَامَ إِلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عُرْيَانًا يَجُرُّ ثَوْبَهُ وَاللَّهِ مَا رَأَيْتُهُ عُرْيَانًا قَبْلَهُ وَلاَ بَعْدَهُ فَاعْتَنَقَهُ وَقَبَّلَهُ
Maksudnya: Ketika Zaid bin Harithah sampai di kota Madinah, dan pada waktu itu Rasulullah SAW berada di dalam rumahku. Lalu beliau datang dan mengetuk pintu, lantas Rasulullah SAW bangun pergi kepadanya dalam keadaan tidak berbaju (kerana kegembiraan) sambil memegang pakaiannya. Demi Allah aku tidak pernah melihatnya seperti itu sebelum atau selepasnya. Lalu Baginda memeluk dan menciumnya. (Riwayat al-Tirmizi)
Menurut Syeikh al-Mubarakfuri hadis di atas menceritakan bahawa Baginda SAW begitu gembira atas kepulangan sahabatnya Zaid bin Harithah, lalu Baginda SAW segera bangun untuk menyambutnya sehingga selendang yang dipakai Baginda SAW untuk menutupi bahagian atas tubuh terjatuh,[1] lantas Baginda SAW memeluk dan menciumnya.
Berkaitan hukum peluk dan cium sesama jantina, para ulama berbeza pandangan.
Melainkan ketika kembali dari musafir dan lama tidak bertemu
Mazhab al-Syafi’i berpendapat perbuatan tersebut adalah makruh melainkan ketika kembali dari permusafiran atau lama tidak bertemu kerana berjauhan.[2] Imam al-Nawawi menukilkan kalam Imam al-Baghawi yang menyatakan bahawa makruh peluk dan cium sesama jantina melainkan kanak-kanak dan pulang daripada bermusafir[3]. .[4] Pendapat ini juga bertepatan dengan pandangan Imam Malik yang menyatakan bahawa perbuatan tersebut bukan perlakuan bangsa Arab.[5]
Hal ini kerana Nabi SAW pernah menyarankan untuk bersalaman ketika bertemu sahabat dan melarang berpeluk dan cium serta tunduk hormat sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA katanya:
قَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ الرَّجُلُ مِنَّا يَلْقَى أَخَاهُ أَوْ صَدِيقَهُ أَيَنْحَنِي لَهُ قَالَ ” لاَ ” . قَالَ أَفَيَلْتَزِمُهُ وَيُقَبِّلُهُ قَالَ ” لاَ ” . قَالَ أَفَيَأْخُذُ بِيَدِهِ وَيُصَافِحُهُ قَالَ ” نَعَمْ ”
Maksudnya: Seorang pemuda berkata: Wahai Rasulullah, apabila seorang lelaki dalam kalangan kami bertemu saudara atau sahabat lelakinya, bolehkah dia menunduk kepala? Baginda SAW menjawab: Tidak. Pemuda itu bertanya: Bolehkah dia memeluk dan menciumnya? Baginda SAW menjawab: Tidak. Dia bertanya lagi: bolehkah dia memegang tangan saudara kemudian bersalaman dengannya? Baginda SAW menjawab: Ya. (Riwayat al-Tirmizi)
Namun peluk dan cium ini tidak dihukum sebagai makruh jika mereka merupakan anak dan mahram serta dilakukan kerana perasaan kasih dan sayang. Imam al-Nawawi menyebut:
ويستثنى من هذا تقبيل الوالد والوالدة ونحوهما من المحارم على سبيل الشفقة
Maksudnya: Dikecualikan daripada hukum (makruh) ini adalah mencium anak lelaki, perempuan dan selainnya daripada kalangan mahram atas sebab kasih sayang.[6]
Kesimpulan
Makruh bagi seorang lelaki memeluk sahabat lelakinya melainkan apabila ingin bermusafir, pulang dari musafir atau lama tidak bertemu. Selain itu juga,
Hukum makruh ini tidak bersangkutan dengan mana-mana individu yang mempunyai hubungan mahram.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI