Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula rumah tangga. Perkahwinan adalah satu perkongsian hidup antara seorang lelaki dan wanita yang telah bersetuju untuk hidup bersama. Apabila sudah lama hidup bersama maka sudah tentulah banyak ‘perubahan-perubahan’ yang akan berlaku. Di sinilah terletaknya toleransi antara pasangan suami isteri.
Perkongsian Mohd Fhais dilaman Facebooknya tentang perkahwinan ada benarnya. Itulah yang dinamakan realiti.
Orang kahwin mana yang tak ada masalah. Semua bermasalah. Tapi tak bermaksud dah berkahwin tak boleh enjoy. Malah lepas kahwinlah kena banyak enjoy, baru bahagia!
Pejam celik dah masuk 6 tahun usia rumahtangga saya dan isteri. Mula berdua sekarang dah berempat.
BANYAK YANG BERUBAH
Banyak sangat perubahan dah berlaku. Baik buruk perubahan itu semua di telan. Suka atau tak tetap kena telan. Inilah kehidupan berumahtangga.
Sekarang dah tak sama macam dulu:
IKLAN
1. Masa mula kahwin dulu tak boleh cakap sebarangan. Walaupun typo kat whatsapp, mudah curiga. Boleh buat merajuk 2-3 hari. Sensetif ya amat.
Sekarang dah lain. Trust tu lebih kuat. Pergi kerja jauh sampai ke negara orang pun dia tak curiga. Nak trust kuat, jangan sesekali buat onak, sekali buat sampai ke tua dia tak percaya.
2. Kalau dulu masing-masing jaga badan. Maintain pakai baju saiz m. Tapi sekarang asal nampak makanan, semua di bedal. Itu sebab saiz baju dah bertukar xl. Suami badan berisi tandanya bahagia. Betul ke??
Tapi badan je berisi tapi poket tak berisi pun tak boleh bahagia juga. Kena lah rajin usaha.
IKLAN
3. Dulu setiap masa nak meseg tanya buat apa tu. Kalau boleh setiap minit nak tahu status terkini. Kadang rasa annoying pun ada.
Tapi sekarang tak ada dah nak meseg-meseg. Call terus je. Itu pun kalau ada emergency baru nak call. Rasa rindu pula nak meseg sweet-sweet.?
4. Dulu cepat gelabah. Masalah kecil pun nak haru biru. Ingat lagi masa rania kecil, dia menangis je, dah jerit-jerit panggil isteri. Punyalah gelabah tak tahu nak buat apa masa tu.
JADIKAN KITA KUAT
IKLAN
Tapi sekarang dah kental. Nak mandi anak, cebuk berak, bagi anak makan semua dah teror. Siap boleh bagi isteri rehat lagi kat rumah. Bukan kena Queen Control ye tapi dah boleh Control Ego sendiri.
Itulah maksud perkahwinan, semua akan berubah. Berubah lebih baik, atau lebih buruk. Pilihan pada kita sendiri.
Perkahwinan sepatutnya menjadikan kita lebih kuat. Setiap dugaan dan masalah yang di tempuh sepanjang perkahwinan adalah untuk menjadikan kita manusia yang lebih kuat.
Bak kata Prof. Muhaya,
“Kena ENJOY dengan masalah, sebab masalah itulah yang akan buat kita jadi lebih kuat!”
Perkahwinan adalah ujian. Ujian kejujuran, ketahanan dan kepimpinan. Lulus ujian ini jambatan menuju kebahagiaan menanti kita.
Ini fakta zaman sekarang. Bila jadi pengantin, memang semua nak nampak cantik dan pakaian pun mengerlip. Tapi sayangnya kecantikan itu takut dicemari lalu meninggalkan solat, yang wajib buat diri.
Akibat nak bermekap, mak andam sampai ke rumah pengantin seawal jam 11 pagi. Maka si pengantin pun menadah muka selama sejam dua lamanya, akhirnya siap bermekap setelah hampir jam 1 tengah hari.
Dah tahu Zohor masuk setengah jam lagi, terus disarungkan busana perkahwinan yang ketat membaluti seluruh tubuh wanita. Tak ada seinci pun kelonggaran, malah lebih ketat lebih mengujakan.
Itu belum lagi menyentuh hal mak andam separa alam, yang tidak dapat dipastikan jantinanya lelaki mahupun wanita. Maka bersentuhan la kulit sang ajnabi bertopengkan wajah si pari-pari, untuk menatariaskan pengantin akhir zaman yang hanyut dengan kejahilan diri.
Apatah lagi jika mak andamnya lelaki, walau bersarung tangan tetap dia ajnabi dan si bakal suami pula jenis berpenyakit bisu bila isteri disentuh lelaki yang juga halal untuk dinikahi si bakal isteri.
Akhir zaman, majlis pernikahan yang sepatutnya mengundang seribu keberkatan dan malaikat rahmat turut sama mendoakan, telah dicemari dengan kemaksiatan yang tiada berkesudahan.
Busana yang anggun disarung tadi, dibawa pula ke majlis pernikahan untuk menjadi saksi penyatuan dua hati. Saat sah menjadi isteri, maka tertanggunglah segala dosa atas bahu si suami yang dayus membiarkan sang bidadari menjadi tatapan nafsu ajnabi.
Hilanglah kesucian dan jatuhlah maruah seorang isteri, sebelum malam pertamanya lagi. Manakan tidak, beratus pasang mata melirik menjamu kecantikan si pengantin rupawan yang tidak memberatkan hukum menutup aurat buat dirinya.
Belum lagi disebut tentang perihal solat yang dianggap remeh, di hari persandingan kedua mempelai. Sibuk menjamu telinga dengan bunyi karaoke, sampaikan azan pun diperlekeh dan solat juga tercicir.
Pengantin takut merosak kecantikan majlis dan wajah hanya kerana sudah lengkap berbusana, lalu solat yang fardhu ditinggalkan tanpa ada rasa malu melayan tetamu.
Maka bermulalah episod cinta yang disaksikan kemurkaan Allah SWT, buat kedua mereka. Namun masih beria-ia kata, LOVE TILL JANNAH..
Sebut sahaja poligami pastinya ia seperti ‘nightmare’ kepada wanita-wanita di luar sana. Bimbang dimadukan ada wanita yang meletakkan syarat agar bakal suami mereka tidak boleh berpoligami.
Namun apakah hukum jika seorang isteri meletakkan syarat dalam perkahwinan bahawa suaminya tidak boleh berpoligami? Adakah syarat ini sah disisi syarak, dan perlukah suami mematuhinya?
Berikut ulasan Mufti Wilayah Persekutuan.
Para ulama telah membahaskan isu ini dalam karangan-karangan mereka, dan kami bawakan sebahagian nukilan pandangan mereka:
Pertama: Mazhab Hanafi
Menurut Akmal al-Din al-Babarti, syarat seumpama ini adalah fasid, kerana ia berbentuk larangan ke atas perkara yang diharuskan syara’, namun ia tidak membatalkan nikah. Jika suami mematuhi syarat itu, maka isteri perlu diberikan mahar musamma, dan jika syarat itu tidak dipatuhi, isteri perlu diberikan mahar mitsil. (Rujuk Al-‘Inayah Syarh al-Hidayah, 3/350) Menurut Imam al-Sarakhsi pula, syarat sebegini tidak perlu dituruti oleh suami. (Rujuk Al-Mabsuth, 19/120)
Kedua: Mazhab Maliki
Menurut Imam Malik, syarat seumpama ini adalah batil, namun nikah itu tetap sah. Beliau menukilkan pandangan Sa’id ibn Musayyib menyatakan perkahwinan seumpama ini adalah sah dan diharuskan. Namun menurut satu atsar yang diriwayatkan oleh Al-Laith ibn Sa’ad dimana pada zaman Umar al-Khattab, seorang lelaki telah berkahwin dengan seorang wanita yang mensyaratkannya agar tidak membawanya keluar dari negeri asalnya. Umar apabila mendengar hal ini, telah mengangkat syarat itu dari lelaki tersebut, dan perkahwinan itu tidak dibatalkan. (Rujuk Al-Mudawwanah, 2/131)
Menurut Khalil ibn Ishaq al-Jundi, syarat-syarat yang dikenakakan oleh isteri untuk bernikah seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh dibawa mengikuti peperangan dan tidak tidak boleh dibawa keluar daripada rumah dan seumpamanya adalah makruh, dan Imam Malik berkata beliau telah meminta para hakim untuk melarang orang ramai daripada terlibat dengan syarat-syarat seumpama itu. (Rujuk Al-Taudhih fi Syarh Mukhtasar Ibn al-Hajib, 4/181)
Ketiga: Mazhab Syafie
Menurut para fuqaha’ mazhab Syafi’e iaitu Imam al-Nawawi, Ibn Hajar al-Haitami, Imam Khathib al-Syarbini dan Syeikh Zakariyya al-Ansari, syarat jenis ini dihukum sebagai fasid dan ia turut menyebabkan mahar menjadi fasid, namun ia tidak membatalkan akad nikah itu sendiri. (Rujuk Raudhah al-Talibin, 7/265; Tuhfah al-Muhtaj, 7/312 dan 387; Mughni al-Muhtaj, 4/377 dan Al-Ghurar al-Bahiyyah, 4/186)
Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji juga ada disebut bahawa syarat seumpama ini adalah bercanggah dengan tuntutan nikah itu sendiri, tapi ia tidak menafikan tujuan asasi nikah iaitu menghalalkan persetubuhan. Syarat seperti ini ialah fasid, namun nikah itu tetap sah. (Rujuk Al-Fiqh al-Manhaji, 4/83-83)
Keempat: Mazhab Hanbali
Menurut Ibn Qudamah, syarat nikah terbahagi kepada tiga, salah satunya ialah yang wajib dipenuhi oleh suami, yang berkait dengan maslahah terhadap dirinya sendiri, seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh dibawa bermusafir dan tidak dibawa menemani ke peperangan. Jika syarat ini tidak dipenuhi, isteri berhak untuk menuntut fasakh. Pendapat ini juga diriwayatkan daripada Umar Al-Khattab, Sa’ad bin Abi Waqqas, Mu’awiyah, Amru bin Al-‘Aas R.Anhum, Syuraih, Umar bin Abdul Aziz, Thawus dan Al-Auza’ie. Menurut beliau lagi, ini merupakan pandangan para sahabat dan beliau tidak dapati sebarang sanggahan daripada para sahabat lain pada permasalahan ini, maka ia menjadi ijma’.
Selain itu, sabda Nabi SAW juga:
الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ
Maksudnya: Kaum Muslimin itu terikat dengan janji-janji mereka. Sunan Tirmidzi (1352) dan Sunan Abu Daud (3594)
Dakwaan bahawa syarat seperti ini mengharamkan yang halal juga tidak tepat, kerana syarat itu hanya berbentuk pilihan kepada isteri untuk menuntut fasakh daripada suami, jika syaratnya itu tidak dipatuhi. Namun demikian, tidak diharuskan jika syarat itu menghendaki bakal suaminya untuk menceraikan isterinya yang sedia ada, kerana terdapat larangan yang jelas dalam hadis:
Maksudnya: Janganlah seorang wanita meminta bakal suaminya untuk menceraikan isterinya yang sedia ada dan merampas haknya. Berkahwinlah (walaupun tanpa menetapkan syarat demikian), sesungguhnya dia akan memperoleh apa yang Allah SWT telah tetapkan kepadanya. Sahih Muslim (1408)(Rujuk Al-Mughni, 7/93-94)
Imam al-Mardawi pula menganggapnya sebagai satu syarat yang sah dan perlu dipatuhi, dan jika suami melanggar syarat ini, isteri berhak untuk memohon fasakh.
Syeikhul Islam ibn Taimiyyah juga pernah ditanya soalan ini, dan beliau menyebut bahawa syarat tersebut adalah sah, dan suami perlu mematuhinya. Antara dalil beliau ialah kata-kata Umar al-Khattab yang dihadapkan dengan satu kes melibatkan suami isteri yang telah bersetuju sewaktu akad supaya suami tidak berpoligami, beliau mengesahkan syarat tersebut dan berkata:
مَقَاطِعُ الْحُقُوقِ عِنْدَ الشُّرُوطِ
Maksudnya: Pemutus-pemutus hak itu bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan. (Rujuk Al-Fatawa al-Kubra, 3/90)
Mengikut satu qaul Imam Ahmad yang diterima jumhur fuqaha’ mazhab Hanbali, mematuhi syarat ini hukumnya sunat, dan isteri berhak menuntut fasakh jika suami tidak mematuhinya. Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah pula memilih pandangan yang mewajibkannya, dan ia adalah pendapat yang lebih sahih.
Namun demikian, jika isteri itu reda dengan pelanggaran syarat yang dilakukan oleh suami, isteri tidak berhak lagi untuk menuntut fasakh. Namun kedua-dua suami dan isteri tidak boleh mensyaratkan agar kedua-duanya tidak boleh berkahwin lagi setelah mereka bercerai atau salah seorang daripada mereka meninggal dunia.
Namun jika syarat seumpama ini ditetapkan setelah berlaku akad, maka syarat itu tidak lagi perlu dipatuhi. Namun kata Ibn Rajab, syarat itu tetap wajib dipatuhi meskipun ia ditetapkan setelah akad nikah, dan inilah pandangan yang azhar dalam mazhab Hanbali. (Rujuk Syarh Zad al-Mustaqni’, 20/60-62)
KESIMPULAN
Tuntasnya, kami mentarjihkan pandangan yang mengharuskan syarat yang dikemukakan isteri sebelum akad agar suami tidak boleh berpoligami, dan para suami hendaklah mematuhi persetujuan yang telah ditetapkan bersama isteri, demi memelihara keutuhan rumah tangga yang harmoni.
Namun dalam masa yang sama, syarat-syarat yang diletakkan manusia bukanlah hukum Allah SWT yang tidak boleh dipinda dan diubah. Sikap toleransi dan berlapang dada mestilah diutamakan, dan dalam banyak keadaan, perbincangan hati ke hati pastinya akan menatijahkan hasil yang positif. Maka, meskipun isteri memiliki hak untuk menuntut fasakh jika suami tidak mematuhi syarat yang ditetapkan, pertimbangan yang rasional dan pemikiran matang haruslah digunakan dalam membuat sebarang keputusan.
Kami akhiri dengan doa seperti yang diajar oleh Allah SWT:
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Surah al-Furqan: 74)
Tanggungjawab suami terhadap isteri merangkumi banyak aspek terutama yang membabitkan emosi, tingkah laku dan perwatakan isteri. Dalam aspek membina keluarga bahagia, keperibadian Rasulullah SAW terhadap isteri dan anak-anak wajar dicontohi pasangan pada zaman kini.
Rasulullah SAW adalah seorang suami dan ayah yang sangat mengambil berat terhadap kebajikan keluarga. Walaupun Baginda seorang pemimpin masyarakat, kewibawaannya sebagai suami dan ayah tidak dapat ditandingi. Nabi Muhammad SAW juga seorang suami yang ringan tulang, sering membantu isteri dalam urusan rumah tangga tanpa disuruh.
Oleh itu amat penting untuk seorang suami itu menjaga emosi isterinya agar kehidupan seharian berjalan dengan ‘lancar.’ Antara perkara penting yang perlu dilakukan oleh seorang suami ialah membahagiakan isteri di pagi hari.
Ikuti perkongsian Najmi Nawawidi laman Facebooknya tentang mengapa begitu pentingnya seorang suami membahagiakan isteri di pagi hari.
Ianya umpama kunci yang sangat penting untuk menentukan emosi isteri sepanjang hari berkenaan. Jadi para suami dah tak perlu risau lagi untuk hadapi isteri yang selalu ‘bad mood’ sekiranya anda berjaya ‘tackle’ hati pasangan setiap pagi.
Jadi perkongsian kali ini aku kongsikan 5 teknik penting berkenaan apa kita (suami), boleh cuba lakukan untuk bahagiakan hati isteri pada setiap pagi.
1. Bangun lebih awal dari isteri
Ianya nampak macam biasa, tetapi mampu memberi kesan besar kepada emosi isteri. Para suami kalau boleh jangan biarkan isteri yang kejut anda dari tidur, kerana anda ialah pemimpin keluarga dan perlu tunjuk contoh yang baik kepada isteri. Isteri akan rasa bahagia kerana suaminya seorang yang berdisiplin dan layak dihormati.
2. Senyum dan berbual dengan isteri
Banyakkan bertanya tentang aktiviti yang isteri anda akan lakukan. Jika isteri anda bekerja, boleh juga tanya tentang kerjanya, adakah semuanya berjalan dengan baik atau tidak. Yang paling penting ialah perlu sentiasa senyum. Isteri pastinya akan rasa selamat dan disayangi sepanjang hari.
3. Jangan terus melihat smartphone
Ini ialah satu pantang larang yang besar dan jangan dibuat kerana mampu menanam emosi tidak gembira dalam isteri anda. Sekadar untuk melihat waktu dan tutup alarm itu tiada masalah, tetapi ia akan jadi masalah kalau bangun tidur terus menghadap laman sosial dan tersengih sendirian. Umpama, alam maya itu lebih utama dari alam realiti yang ada di depan anda. Lupakan smartphone untuk seketika dan tataplah wajah pasangan anda.
4. Kemaslah rumah itu sikit
Katil, ruang tamu dan dapur ialah kawasan yang kita perlu sentiasa pastikan kemas sebelum keluar dari rumah untuk ke tempat kerja. Kalau tidak ia akan memberi impak tenaga yang negatif jika kita pulang dari kerja nanti dalam keadaan rumah yang tidak kemas. Jadi kalau sebagai seorang suami kita boleh kemaskan serba sedikit mana yang sempat, pasti akan membuat isteri bertambah gembira.
5. Beri perhatian kepada anak
Tunjuk depan isteri bahawa kita juga tidak lupa tentang kewujudan anak-anak. Luangkan masa untuk tegur anak-anak dan beri ciuman dan pelukan kasih sayang pada anak-anak. Ianya umpama langkah akhir dalam usaha kita untuk ‘tackle’ hati isteri. Suami yang zahirkan kasih sayang pada anak-anak setiap pagi ialah suami yang tulus ikhlas mahukan yang terbaik untuk keluarganya. Saat ini, hati isteri anda sudah ibarat di taman-taman bunga bahagia.
Moga perkongsian ini bermanfaat untuk menjadikan rumah tangga lebih bahagia dan harmoni.