
Menjadi kebiasaan anak-anak muda ketika ini pergi bercuti bersama rakan-rakan termasuklah dengan rakan yang berlainan jantina.
Ada juga yang tidak kisah menyewa satu rumah kerana menyatakan mereka akan tidur dalam bilik berasingan antara rakan wanita dan juga lelaki.
Dalam hal ini menurut bekas menteri agama Islam Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri meski tidur berasingan tapi hukum perkongsian rumah antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah haram.
Hal ini kerana ia boleh membawa kepada fitnah dan mendorong kepada perkara yang tidak sepatutnya.
Firman Allah SWT
قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ (30) وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya;
Begitu juga, sabda Nabi SAW:
أَلَا لَا يَخْلُوَنَّ رجلٌ بامْرَأَةٍ إِلَّا كَانَ ثاَلثهُمَا الشَيْطَان

Maksudnya: Ketahuilah bahawa tidak sesekali bersunyi-sunyian seorang lelaki ajnabi dengan seorang wanita ajnabiyah kecuali datang yang ketiga di antara mereka berdua iaitu syaitan. Riwayat al-Tirmizi (2165)
Berbalik kepada soalan di atas, hukum perkongsian rumah antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah haram. Hal ini kerana ia boleh membawa kepada fitnah dan mendorong kepada perkara yang tidak sepatutnya sepertimana hadith di atas. Oleh itu, kami berpandangan sebaiknya, menetap di hotel yang berasingan bilik, jauh lebih baik dari satu rumah.
Isu seperti ini juga perlu diberi kecaknaan dan perhatian yang sewajarnya oleh para ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka terutamanya melangkah alam dewasa. Semoga sebarang tindakan mereka selaras dengan kehendak Allah SWT dan rasul-Nya serta mengikut neraca syariah.
Sumber: Maktabah Albakri
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
“’Aamin’kan Doa Imam Pun Boleh Terampun Dosa Jika Serentak Dengan Aamin Malaikat”-Da’i Luqman

Ramai yang ingat lafaz “Aamin” itu hanyalah sekadar lafaz menyambut doa imam agar doa kita diterima Allah hendaknya. Lafaz ‘Aamin’ bermaksud “perkenankanlah”. Ia adalah kalimah doa yang bukan daripada al-Quran al-Karim dengan ijma’
Antara amalan sunnah selepas membaca al-Fatihah ialah membaca “Aamin”. Ia berdasarkan hadis Wail bin Hujr RA daripada Rasulullah SAW yang menyuruh dibaca panjang Aamin. Riwayat Ahmad (no: 18842), Abu Daud (no: 933) dan al-Tirmizi (no: 248). Kata Tirmizi, “Hadith hasan”. Dinilai sahih oleh Ibn Hibban (no: 1805).
Dalam hadis Abi Musa al-Asy’ari, sabda Rasulullah SAW:
“Apabila selesai membaca ayat akhir al-Fatihah, maka sebutlah Aamin nescaya diterima Allah SWT bagimu.” Riwayat Muslim (no: 404)
Kelebihannya jelas berdasarkan hadis Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila imam mengaminkan, maka hendaklah kamu aminkan bersama, kerana siapa yang berbetulan aminnya dengan amin malaikat nescaya diampunkan baginya dosa yang terdahulu.” Riwayat al-Bukhari (no: 747) dan Muslim (no: 410)
Artikel berkaitan: Moga Abah Dapat Lihat Kami Di Syurga Handal Pu Amin Berdakwah, Rupanya Hasil Didikan Ayahnya Yang Cacat Penglihatan
Artikel berkaitan: Doa Ubah Takdir Jodoh, Masih Ada Peluang Dapatkan Bantuan Allah
Meng”Aamin”kan doa ini sebenarnya mempunyai senjata halus yang kita pun tak perasan ia juga adalah sebaik-baik senjata untuk pengampunan dosa silam.
Bayangkan hanya dengan sebut ‘Aamin’ bagi menyahut doa imam pun kita boleh dapat manfaatnya.
Ikuti penjelasan lanjut daripada Da’i Luqman akan perkara ini dalam ciapan di akaun twitternya.
Tahukah anda! Bila kita ‘Amin’ kan do’a yang dibaca Imam, jika kena timing, maka dosa-dosa kita yang lalu akan diampunkan Allah.
Rasulullah SAW bersabda : “Bila imam menyebut ‘Amiin’, lalu disahut oleh kamu ‘Amiin’. Barangsiapa ‘Amiin’ nya bertepatan dengan Amiin para malaikat, maka diampunkan dosa-dosanya yg lalu.” (HR At-Tirmidzi, Sohih, hadith no. 250)
Kata ‘ulama, ada EMPAT tempoh masa imam menyebut ‘Amiin’ :
1. Selepas membaca Al-Fatihah dalam solat
2. Selepas bacaan Do’a Qunut
3. Selepas membaca Al-Fatihah sewaktu wirid
4. Dan sewaktu imam membaca do’a selepas solat

Dosa-dosa yang terampun adalah semua dosa-dosa yang kecil, kecuali :
1. Dosa-dosa besar
2. Dosa syirik
3. Dosa dengan ibu ayah
4. Dosa-dosa sesama manusia lain
Dosa-dosa yang besar tidak diampunkan, kecuali melalui :
1. Taubat nasuha, jika dosa dengan Allah
2. Kembalikan hak, jika dosa sesama manusia. Hak tersebut merujuk kepada meminta kemaafan dan melunaskan kembali hutang jika ada
Jadi, pastikan kita sentiasa bersedia merebut peluang penghapusan dosa dengan meng ‘Amiin’ kan do’a imam ni. Musim PKPB ni, apa kata selalu-selalulah dirikan solat berjemaah bersama keluarga di rumah ya?
Kashoorga: Ini lah antara cara paling mudah untuk kita mendapat pengampunan dosa-dosa kecil daripada Allah.
Jadi lepas ini, pastikan jangan sambil lewa apabila nak sahut doa imam dengan meng”Aamin”kan penuh perasaan dan harapan.
Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Da’I Luqman
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Jangan Tunggu Syarat ‘Mimpi’ Selepas Solat Istikharah. Berlapang Dada Buat Keputusan Juga Petunjuk

Isi Kandungan
ToggleSeringkali bila terpaksa memilih antara dua pilihan atau membuat keputusan penting dalam hidup termasukkan perihal jodoh kita disaran melakukan solat istikharah.
Istikharah dari sudut istilah feqah membawa maksud permintaan kepada Allah SWT agar diberi pertunjuk dalam memilih sesuatu perkara yang terbaik.
Dalam hal petunjuk ini ramai yang mengganggap ‘mimpi’ adalah jawapan kepada istikharah yang dilakukan. Namun tidak semestinya begitu. Perkara ini dijelaskan oleh Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al Bakri di dalam Maktabah Al Bakri.
Adakah disyaratkan mimpi untuk menentukan pilihan terhadap Istikharah
Menjadi kepercayaan masyarakat kita bahawa jawapan istikharah yang dilakukan oleh seseorang mestilah datang dalam bentuk mimpi ketika dia tidur. Hal ini seperti yang didakwa banyak pihak apabila melihat salah satu pilihannya di dalam mimpi, lalu mereka memilih berdasarkan mimpinya tersebut. Namun sebenarnya perkara tersebut tiada sandaran di dalam syarak dan tidak disyaratkan jawapan tersebut melalui mimpi sahaja.
Bahkan, para ulama’ menyatakan bahawa antara petunjuk yang diberikan Allah SWT kepada orang yang melaksanakan istikharah ialah dengan apa yang dilapangkan dadanya dalam membuat keputusan. Hal ini disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Adzkar dengan berkata:
وَإِذَا اسْتَخَارَ مَضَى بَعْدَهَا لِمَا يَنْشَرِحُ لَهُ صَدْرُهُ ، والله أعلم
Maksudnya: Dan apabila seseorang itu selesai melaksanakan istikharah, maka hendaklah dia melakukan urusannya menurut apa yang dilapangkan dadanya untuk membuat keputusan. WaAllahu a’lam. ( Lihat al-Azkar al-Nawawiyyah, 2/241)
Begitu juga, Imam al-Nawawi menyebutnya di dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab dengan berkata:
ثمَّ يَنْهَض بَعْد الاسْتِخَارَة لِمَا يَنْشَرِحُ لَهُ صَدْرُهُ
Maksudnya: “Kemudian hendaklah dia bangkit daripada melakukan istikharah tersebut terhadap apa yang telah dilapangkan dadanya kepadanya.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/546)
Jika tidak berlapang dada bagaimana pula?
Walau bagaimanapun, jika masih tidak dilapangkan dada atau masih berasa ragu-ragu terhadap pilihan, maka hendaklah mengulangi istikharahnya sehingga dia merasa lapang dadanya untuk memilih.
Jika sekiranya masih juga dalam keadaan yang sama, maka jika dia boleh untuk menunda membuat pilihan, maka hendaklah dia menunda, Namun, jika tidak boleh ditunda, maka hendaklah dia meneruskan urusan yang dirasakan mudah baginya.
Hal ini disebutkan oleh Ibn ‘Allan, katanya: Jika sekiranya tidak dilapangkan dadanya untuk memilih satu pilihan, maka apa yang zahir bagi kami ialah hendaklah dia mengulangi kembali istikharahnya dengan mendirikan solat dan berdoa sehingga dilapangkan hatinya untuk membuat pilihan.
Namun, jika diandaikan masih tidak dilapangkan hatinya untuk membuat pilihan walaupun selepas mengulangi solatnya, jika sekiranya dia boleh untuk menunda untuk membuat keputusan, maka hendaklah dia menundanya terlebih dahulu. Jika sekiranya tidak boleh untuk menundanya, maka hendaklah meneruskan urusan yang dipermudahkan untuknya, sesungguhnya ia merupakan tanda izin daripada Allah SWT dan kebaikan. (Lihat al-Futuhat al-Rabbaniyyah, 2/241)
Penutup
Berdasarkan nas dan kenyataan di atas, kami nyatakan bahawa tidak disyaratkan untuk bermimpi untuk mendapat jawapan terhadap istikharah yang dilakukan, bahkan tidak memerlukan apa-apa petunjuk melainkan dengan dilapangkan dadanya dan dipermudahkan urusan.

Oleh itu, apabila seseorang telah melakukan istikharah hendaklah dia melakukan hal urusannya seperti biasa berdasarkan apa yang dilapangkan hatinya dan dimudahkan urusannya, serta tidak menunggu untuk mendapat jawapan dalam bentuk mimpi atau seumpamanya. Hal ini kerana istikharah yang dilakukan adalah untuk kita memohon pengakhiran yang baik kepada Allah SWT terhadap urusan yang kita usahakan.
Istikharah hanya untuk perkara yang harus saja
Perlu diingat solat istikharah hendaklah dilakukan untuk perkara-perkara yang harus bukannya perkara yang haram. Bagaimana mungkin adanya kebaikan di dalam perkara yang diharamkan oleh Allah. Hal ini jelas dilihat melalui sebahagian doa istikharah yang diajarkan oleh Nabi SAW.
اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي ، أَوْ قَالَ : فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ ، فَيَسِّرْهُ لِي ، ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ
Maksudnya: “Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini baik untuk untuk agamaku, kehidupanku dan penghujungku. Ataupun Nabi bersabda : sama ada perkara yang segera atau yang lambat. Maka permudahkanlah urusanku dan berkatilah aku dalam urusan tersebut.”
Hukum solat isktikharah adalah sunat. Bagi sesiapa yang ada hajat atau ingin memohon petunjuk tentang satu perkara yang ingin dilakukannya maka disunatkan kepadanya solat dua rakaat dan berdoa dengan doa yang telah diajarkan oleh Nabi saw.
Sumber: Maktabah Al Bakri
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Ketika Berdoa Jangan Sesekali Sebut “Jika Engkau (Allah) Mahu”

Isi Kandungan
ToggleSeperti yang kita tahu untuk berdoa memohon sesuatu yang kita hajati daripada Allah SWT ada adabnya.
Salah satu yang perlu kita tahu ketika berdoa janganlah menyebut “Jika Engkau (Allah) mahu.
Perkara ini diterangkan oleh bekas mufti Datuk Seri Zulkifli Mohamed Al Bakri melalui laman web Maktabah Al Bakri
Firman Allah SWT:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Maksudnya: “Dan telah berkata Tuhan kamu: “Berdoalah kamu semua kepada-Ku nescaya Aku akan memustajabkan buat kamu.”
(Surah al-Ghafir: 60)
Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya bagi ayat di atas menukilkan kalam Imam Sufyan al-Thauri, katanya: “Hamba-hamba yang paling dicintai-Nya adalah mereka yang meminta kepada-Nya dan banyak permintaannya. Dan golongan yang dimurkai Allah dari kalangan hamba-Nya adalah mereka yang tidak meminta kepada-Nya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-A ‘Azim, 7/156)
Tapi dalam berdoa terdapat lafaz hadith yang melarang kita berdoa dengan menyebut: “Jika Engkau (Allah) mahu.”
Ini thabit seperti mana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا دَعَا أَحَدُكُمْ فَلَا يَقُلْ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي إِنْ شِئْتَ، وَلَكِنْ لِيَعْزِمْ الْمَسْأَلَةَ وَلْيُعَظِّمَ الرَّغْبَةَ
Maksudnya: “Apabila seseorang kamu berdoa, janganlah dia berkata: ‘Wahai tuhanku ampunilah aku jika Engkau mahu’, akan tetapi jelaskanlah masalah tersebut dan besarkanlah pengharapan.”
Riwayat al-Bukhari (6339) dan Muslim (2679)
Pandangan yang tepat mengatakan bahawa larangan di dalam hadith di atas adalah larangan yang membawa maksud makruh. Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan kalam Ibn ‘Abdil Bar, katanya bahawa perkataan ini dilarangan kerana ia merupakan perkataan yang mustahil dan (seakan) tiada tujuan padanya.
Ini kerana Allah tidak melakukan sesuatu melainkan atas kehendak-Nya. Pada zahirnya (lafaz hadith) ia membawa maksud haram, dan Imam al-Nawawi mengatakan bahawa larangan ini berbentu tanzih (makruh), dan inilah pandangan yang lebih aula.
Kemudian Ibn Hajar menukilkan kalam Ibn Battal, bahawa orang yang berdoa perlulah bersungguh-sungguh ketika berdoa dengan penuh pengharapan agar doanya dikabulkan dan tidak berputus asa dengan rahmat Allah. (Lihat Fath al-Bari, 11/140)
Bahkan syara‘ telah mengisyaratkan kepada kita beberapa adab ketika berdoa, antaranya adalah berdoa dengan penuh keyakinan dan pengharapan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا
Maksudnya: “Sesungguhnya mereka itu (para Nabi) sentiasa bersegera dalam melakukan perkara kebaikan. Dan mereka berdoa kepada Kami dalam keadaan penuh harap dan rasa takut.”
(Surah al-Anbiya’: 90)
Ini juga seperti yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ
Maksudnya: “Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan. Dan ketahuilah kamu bahawa Allah S.W.T tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa.”
Riwayat al-Tirmizi (3479)
Berdoalah dengan mengatakan: “Jika Itu yang Terbaik”
Berkenaan dengan berdoa dengan mengatakan: “Jika Itu yang Terbaik”, ia sebenarnya telah diajarkan oleh Rasulullah SAW sendiri kepada para sahabatnya. Hadith ini juga thabit berdasarkan riwayat Jabir bin Abdullah al-Sulami R.A bahawa Rasulullah SAW mengajarkan kepada sahabat Baginda doaa ketika beristikharah. Baginda SAW bersabda: “Kemudian katakanlah:
اللَّهُمَّ إنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَسْتَقْدِرُكَ بقُدْرَتِكَ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلَا أَقْدِرُ، وَتَعْلَمُ وَلَا أَعْلَمُ، وَأَنْتَ عَلَّامُ الغُيُوبِ، اللَّهُمَّ فَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ هَذَا الأَمْرَ ثُمَّ تُسَمِّيهِ بِعَيْنِهِ خَيْرًا لِي فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ، قَالَ: أَوْ فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي فَاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لِي، ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ، اللَّهُمَّ وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّهُ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي، أَوْ قَالَ: فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ، فَاصْرِفْنِي عَنْهُ، وَاقْدُرْ لِي الخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ رَضِّنِي بِهِ
Maksudnya: Ya Allah, aku memohon pilihan dengan ilmu-Mu, aku memohon kekuatan dengan kekuatan-Mu, Aku juga memohon daripada limpahan-Mu yang Agung. Engkau mampu sedangkan aku tidak. Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak tahu. Engkau Maha Tahu tentang perkara yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini yang terbaik untukku sama ada perkara yang segera atau yang lambat Ataupun
Nabi bersabda: (atau yang terbaik) untuk agamaku, kehidupanku dan penghujungku, maka permudahkanlah urusanku dan berkatilah aku dalam urusan tersebut. Jika Engkau tahu bahawa perkara ini amat buruk bagiku pada agamaku, kehidupanku dan penghujung hidupku. Ataupun Baginda bersabda: sama ada yang segera atau yang lambat. Maka, jauhkanlah ia dariku dan jauhkan aku darinya. Dan tentukan bagiku yang terbaik kemudian redhailah aku dengannnya.”
Riwayat al-Bukhari (7390)
Di dalam hadith di atas, Rasulullah SAW ajarkan sahabatnya berdoa dengan menyebutkan (اللَّهُمَّ فَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ هَذَا الأَمْرَ خَيْرًا لِي) yang bermaksud: “Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini yang terbaik untukku.”
Ibn Rejab al-Hanbali menyebutkan, permintaan yang dipinta oleh seorang hamba kepda Allah SWT ada dua:

Perkara yang sudah pasti bahawa ianya baik untuk hamba tersebut, seperti dia memohon agar dikurniakan ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah SWT, serta berlindung dengan-Nya dari api neraka.
Perkara yang hamba itu tidak tahu sama ada ianya baik buatnya atau buruk, seperti Seperti kematian dan hidup, kekayaan dan kemiskinan, anak-anak dan keluarga, dan semua keperluan dunia yang akibatnya tidak kesannya. (Lihat Majmu‘ Rasa’il Ibn Rejab, 1/153)
Galakan untuk berdoa seperti yang diajarkan dalam doa istikharah ini kerana kita tidak tahu jika sesuatu perkara itu sebenarnya baik atau buruk untuk kita. Boleh jadi perkara yang kita tidak ingini berlaku dalam hidup kita kerana Allah SWT tahu bahawa itulah yang terbaik untuk kita. Dan boleh jadi perkara yang kita inginkan tidak berlaku dalam hidup kita kerana Allah SWT lebih tahu bahawa ianya buruk bagi kita.
Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:
وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”
(Surah al-Baqarah: 216)
Kesimpulan
Berdasarkan penerangan yang kami bawakan di atas, jelas daripada larangan berdoa dengan berkata: “Jika Engkau (Allah) mahu” di dalam hadith bahawa ia bertujuan agar ummat Islam bersungguh-sungguh dalam berdoa dan merasakan bahawa Allah SWT sentiasa mempunyai sifat rahmah terhadap hambanya yang memohon kepadanya. Dan pandangan yang kuat mengatakan bahawa larangan tersebut membawa maksud makruh sahaja.
Manakala berdoa dengan berkata: “Jika Itu yang Terbaik”, ini merupakan cara berdoa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabatnya dalam doa istikharah, dalam membuat pilihan antara dua perkara yang kita tidak ada ilmu tentangnya sama ada ia menatijahkan sesuatu yang baik buat kita atau sesuatu yang buruk buat kita.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita yang terbaik di dalam setiap urusan hidup kita dan juga urusan akhirat. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا دُعَاءَنَا إِنَّكَ أَنْتَ السَمِيعُ العَلِيمُ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, Engkau perkenankanlah permintaan kami, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Menedengar lagi Maha Mengetahui.”
Sumber: Maktabah Al Bakri
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI