Selawat dan zikir keduanya merupakan tuntutan di dalam syarak kerana terdapat banyak dalil yang menyeru manusia agar sentiasa melaziminya. Dalam menjadikan zikir dan selawat ini sebagai rutin mungkin terlintas di fikiran sebahagian daripada kita antara keduanya mana yang lebih tinggi kedudukannya?
Penjelasan tentang persoalan ini berikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Namun sebelum menjawab persoalan ni ada baiknya kita fahami dulu maksud zikir dan selawat.
Makna selawat dan zikir
Selawat adalah perkataan jama’ bagi solat (الصلاة) yang bermaksud doa atau pujian. Tambahan pula, makna selawat Allah SWT, selawat para malaikat dan juga selawat manusia adalah berbeza di antara satu sama lain.
Selawat Allah ialah pujian-Nya di sisi para malaikat yang tinggi. Manakala selawat malaikat pula ialah doa tambahan gandaan pahala dan selawat orang mukmin ialah berdoa memohon supaya Allah SWT melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita Nabi Muhammad SAW.
Zikir dari sudut bahasa bermaksud mengingati. Manakala dari sudut istilah pula, zikir merupakan sesuatu perkara yang dilakukan dengan tujuan mengingati Allah SWT dengan cara-cara yang dibolehkan oleh syarak seperti menerusi ucapan, perbuatan atau dengan hati.
Di dalam al-Quran, Allah SWT menyatakan dengan begitu jelas berkaitan tuntutan untuk kita sentiasa berselawat dan berzikir. Antaranya:
Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” al-Ahzab: 56
Syeikh al-Maraghi dalam mentafsirkan ayat ini berkata: Wahai orang beriman, doakanlah supaya Nabi SAW mendapat rahmat, muliakan Baginda walau dengan apa cara yang kamu mampu lakukan. Umpamanya mengikut Baginda secara baik atau mematuhi setiap arahannya. Begitu juga, dengan cara mengucapkan selawat dan salam kepada Baginda dengan lidahmu. [Lihat: Tafsir al-Maraghi, 11/5511)]
Adapun ayat al-Quran berkaitan tuntuan berzikir adalah:
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! berzikirlah kamu kepada Allah dengan zikir yang banyak.” al-Ahzab: 41
Terdapat banyak lagi ayat al-Quran berkaitan seruan agar kita sentiasa berzikir dengan mengingati Allah SWT. Di samping itu, di dalam hadith juga ada dinyatakan kelebihan atau tuntutan untuk kita sentiasa berselawat dan berzikir, antaranya:
Daripada Abu Umamah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ
Maksudnya: “Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat.” [Riwayat al-Baihaqi (5995)][Imam al-Syaukani menilai sanad hadith ini adalah hasan]
Tinggalkan salah satu adalah perbuatan sia-sia
Berdasarkan kepada persoalan di atas, kami berpandangan keduanya iaitu selawat dan zikir adalah disyariatkan oleh Allah SWT berdasarkan kepada nas al-Quran dan hadith Nabi SAW yang jelas dan di sana tidak ada dinyatakan dari sudut keutamaan di antara keduanya.
Untuk itu, meninggalkan salah satu daripadanya adalah satu perbuatan yang sia-sia yang menyebabkan hilangnya kelebihan yang akan kita perolehi apabila melakukannya.
Oleh sebab itu, kita dituntut untuk sentiasa melazimi keduanya pada setiap hari dengan memperbanyakkan selawat dan juga zikir kepada Allah kerana itu adalah yang terbaik agar kita mendapat kelebihan-kelebihan yang dijanjikan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW apabila melakukannya.
Kesimpulannya, selawat dan zikir adalah ibadah yang masyru’ (disyariatkan) oleh agama kita. Sebahagian ulama juga ada menyatakan bahawa selawat merupakan satu juzuk daripada zikir.
Oleh sebab itu, Allah SWT menuntut kita untuk sentiasa berselawat ke atas junjungan Nabi SAW. Tambahan pula, ia iaitu selawat merupakan wasilah atau jalan kita untuk mendapatkan cinta Allah SWT.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Bila menghadiri kenduri, baik majlis kahwin, doa selamat dan sebagainya jadi perkara biasa untuk kita tapau lauk atau bungkus untuk dibawa balik. Tapi awas ya, jangan suka hati tapau makanan ini walaupun majlis saudara mara. Boleh jadi haram hukumnya walaupun yang diambil itu sikit saja.
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, hukum tapau makanan kenduri adalah harus sekiranya mendapat keizinan daripada tuan rumah atau tuan majlis.
Begitu juga, pada setengah keadaan, adat kebiasaan setempat atau sebarang petunjuk lain membenarkan perbuatan menapau makanan.
Namun, sekiranya tidak mendapat keizinan daripada tuan majlis atau adat setempat menunjukkan perbuatan tersebut tidak dibenarkan meskipun untuk kuantiti yang sedikit, maka hukumnya adalah haram.
Perbuatan mengambil sesuatu barangan tanpa keizinan atau keredhaan seseorang merupakan suatu perbuatan mencuri dan ia amatlah dilarang di dalam Islam.
Firman Allah SWT:
وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.” Surah Al-Baqarah, 2:188
Oleh yang demikian, sebaiknya tetamu meminta izin terlebih dahulu daripada tuan rumah atau tuan majlis untuk menapau makanan agar kita terhindar daripada memakan makanan yang haram oleh kerana tuan rumah tidak redha akan perbuatan tersebut.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Tahniah buat pengantin baharu, Mira Filzah dan suami, Wan Emir yang telah selamat diijabkabulkan pada 3 September 2020. Semoga sahaja pernikahan ini kekal bahagia hingga ke Jannah.
Begitu juga buat pengantin baharu lainnya. Sesungguhnya perkahwinan adalah satu ikatan suci yang diredha Allah SWT. Pernikahan adalah ibadah yang begitu suci dan mulia, di dalam agama Islam sendiri pernikahan digambarkan dengan kata mitsaqan ghalizha, iaitu janji yang sangat agung.
Artikel berkaitan: Viral Pengantin Comel Pikul Suami Rupanya Dah Kenal Sejak Sekolah Lagi. Netizen Doakan Bahagia Till Jannah!
Artikel berkaitan:Nak Cari Pasangan Hidup Kena Yang Sekufu, Wali Boleh Bantah Kalau Tak Setuju Sebab Bimbang Perkahwinan Tak Bahagia
Ikatan agung ini tidak hanya menyatukan adam dan hawa saja, tetapi juga dengan kedua keluarga. Maka jelaslah, restu dan redha daripada kedua orang tua adalah sesuatu yang harus diambil perhatian.
Oleh itu, doa yang paling penting adalah doa dari ibu dan ayah mempelai agar berkahnya pernikahan yang dijalani. Semoga Allah SWT sentiasa melimpahkan rahmatNya untuk kita semua.
Doa yang terbaik adalah doa yang diajar oleh Rasulullah SAW. Jika kebiasaannya kita hanya ucapkan “Selamat Pengantin Baharu, semoga berbahagia ke anak cucu” Tahukah kita bahawa doa begini tidak ‘dipersetujui oleh Rasulullah SAW? Oleh itu, kita amalkan doa berikut yang jauh lebih baik mengikut Sunnah.
Doa untuk Pasangan Pengantin Mengikut Sunnah
Dari Abu Hurairah r.a mengatakan bahawa, jika Nabi SAW ingin mengucapkan selamat kepada seorang yang telah menikah, Baginda mendoakan,
“Semoga Allah memberkahimu ketika bahagia dan ketika susah dan mengumpulkan kalian berdua dalam kebaikan” (HR Abu Daud: 2130)
Kashoorga : Oleh yang demikian, selepas ini, kita titipkan doa sebagaimana sunnah sama ada diucapkan atau ditulis pada kad. Semoga kita mendapat manfaatnya. Bagaimanapun selagi kalimat doa itu masih mempunyai maksud yang baik, maka ia tidak menjadi kesalahan.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Selain solat berjemaah, mengaji Al-Quran bersama pasangan juga membawa kepada hubungan harmoni dalam rumahtangga. Betapa indahnya jika anda berdua dapat mengalunkan kalam ALLAH ini dengan baik.
Di samping itu, ajarkanlah al-Quran kepada anak-anak. Semaikan semangat cintakan al-Quran dalam diri anak-anak sejak mereka kecil lagi. Jika boleh, biarlah al-Quran sentiasa ada dalam diri mereka. Mudah-mudahan mereka mampu menghafaz al-Quran.
Jangan jadikan alasan sibuk untuk tidak mengaji al-Quran. Jika tidak mampu mengaji satu juzuk, mengajilah separuh juzuk. Jika tidak mampu, 10 muka surat cukuplah. Jika tidak mampu juga, mengajilah satu muka surat. Jika tidak juga berkemampuan, mengajilah sekurang-kurangnya satu ayat al-Quran sehari. Begitulah pentingnya al-Quran dalam hidup kita.
Carilah masa. Masa paling sesuai ialah selepas mendirikan solat fardu maghrib. Selepas solat, duduk sebentar di atas sejadah dan bukalah al-Quran. Mengajilah bersama pasangan anda. Anda pasti terasa harmoni dalam hati. Malah suasana kediaman anda juga pasti lebih tenang apabila penghuninya selalu mengaji al-Quran.
Tip mudah mengaji:
- Jadikan mengaji sebagai amalan setiap hari. Jadi jika tidak mengaji anda akan rasa kekurangan.
- Beli al-Quran kecil supaya mudah dibawa ke mana-mana sahaja. Misalnya ke destinasi percutian. Jadi tiada alasan untuk tidak mengaji jika berada di luar rumah.
- Beli al-Quran yang ada terjemahan supaya anda faham maksud ayat yang dibaca.
- Beli al-Quran yang ada panduan tajwid supaya anda membaca mengikut tajwid yang betul.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI