Puasa Nabi Daud merupakan salah satu puasa sunat yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menyatakan  amalan puasa Nabi Daud adalah yang disukai oleh Allah SWT.  Perkara ini disabdakan oleh baginda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amru:

إنَّ أَحَبَّ الصِّيَامِ إلى اللهِ، صِيَامُ دَاوُدَ، وَأَحَبَّ الصَّلَاةِ إلى اللهِ، صَلَاةُ دَاوُدَ عليه السَّلَام، كانَ يَنَامُ نِصْفَ اللَّيْلِ، ويقومُ ثُلُثَهُ، وَيَنَامُ سُدُسَهُ، وَكانَ يَصُومُ يَوْمًا، وَيُفْطِرُ يَوْمًا.

Terjemahan: “Sesungguhnya puasa yang paling disukai oleh Allah ialah puasa Nabi Daud. Sebaik-baik Solat di sisi Allah ialah Solat Nabi Daud AS. Baginda tidur separuh malam, kemudian bangun pada sepertiganya, kemudian tidur dulu seperenamnya. Baginda berpuasa sehari, dan berbuka sehari.” (Riwayat al-Bukhari, 1131)

Hukum berkaitan “Puasa Nabi Daud”

Hukum melaksanakan ibadah puasa Nabi Daud ialah sunat, selagi seseorang itu mampu untuk melaksanakan ibadah ini, dan tidak menyebabkan apa-apa kewajipannya terganggu.

Apabila seseorang melakukan puasa Nabi Daud, sekiranya hari dia berbuka puasa itu jatuh pada hari-hari yang disunatkan berpuasa seperti hari Isnin dan hari Khamis, maka lebih afdal baginya untuk meneruskan puasa dan berbuka secara berselang-seli tanpa mengambil kira hari-hari yang disunatkan berpuasa.

Ads

Shaykh al-Jamal menjelaskan mengenai hal ini seperti berikut:

مَنْ فَعَلَهُ فَوَافَقَ فِطْرَهُ يَوْمًا سُنَّ صَوْمُهُ كَالِاثْنَيْنِ، وَالْخَمِيسِ، وَالْبِيضِ يَكُونُ فِطْرُهُ فِيهِ أَفْضَلُ لِيَتِمَّ لَهُ صَوْمُ يَوْمٍ وَفِطْرُ يَوْمٍ

Terjemahan: “Sesiapa yang melakukannya (puasa Nabi Daud) dan bertepatan hari berbukanya dengan hari yang disunatkan berpuasa seperti hari Isnin, Khamis, hari-hari putih; maka lebih afdal baginya untuk berbuka pada hari tersebut supaya sempurna baginya (turutan) puasa sehari dan berbuka sehari”.

Imam al-Qalyubi turut menjelaskan hal yang sama, bahkan beliau menyatakan bahawa sekiranya hari berbuka puasa itu jatuh pada hari ‘Arafah sekali pun, maka yang lebih baik bagi orang yang melakukan puasa Nabi Daud untuk meneruskan amalan puasa berselang-seli antara hari puasa dan hari berpuasa.

Kata Imam al-Qalyubi:

Ads

لَوْ وَافَقَ يَوْمُ فِطْرِهِ يَوْمَ خَمِيسٍ أَوْ عَرَفَةَ فَفِطْرُهُ فِيهِ أَفْضَلُ لِيَتِمَّ لَهُ ذَلِكَ

Terjemahan: “Sekiranya hari berbuka puasanya jatuh pada hari Khamis atau hari Arafah; maka lebih afdal baginya untuk berbuka pada hari tersebut”.

Begitu juga sekiranya seseorang itu melakukan puasa Nabi Daud, dan kebetulan hari puasanya itu jatuh pada hari-hari yang dimakruhkan berpuasa, maka dalam keadaan ini dia disunatkan meneruskan berpuasa pada hari tersebut.

Hal ini kerana, puasanya itu telah menjadi satu adat kebiasaan, dan tidak dianggap sebagai sengaja mengkhusus hari-hari yang makruh tersebut untuk berpuasa.

Ads

Manakala sekiranya hari puasa seseorang yang melakukan Puasa Nabi Daud ini jatuh pada hari-hari yang diharamkan berpuasa, maka dia mestilah meninggalkan puasa pada hari-hari yang tersebut.

Begitu juga golongan wanita yang berada dalam keadaan haid, walaupun dia sememangnya melakukan puasa Nabi Daud, namun dia hendaklah tidak berpuasa pada hari-hari yang dia berada dalam keadaan haid.

Boleh terus berpuasa pada hari makruh berpuasa

Kesimpulannya puasa Nabi Daud bermaksud amalan berpuasa pada setiap selang sehari, dan berterusan keadaan ini sehingga ke hari-hari yang lain.

Sekiranya hari puasanya itu berlaku pada hari haram berpuasa, maka seseorang itu mestilah meninggalkan puasa pada hari tersebut. Manakala sekiranya hari berpuasa itu jatuh pada hari-hari yang makruh berpuasa, maka pada ketika itu dia boleh berpuasa tanpa makruh.

Hukum puasa Nabi Daud ini ialah sunat bagi mereka yang mampu untuk melaksanakannya dan pelaksanaannya tidak mengakibatkan kewajipan lain terganggu.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI