Lelaki fasiq tak sesuai dengan wanita solehah. ‘Suami mengaku songsang, isteri berhak tuntut fasakh.’ Demi kelangsungan hidup dan keharmonian hidup bersama, sebaiknya berbincang dari hati ke hati.
Jika suami ingin berubah, bertaubat dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang sama, sebagai isteri berilah peluang. Namun jika beberapa peluang disia-siakan adalah lebih baik anda sebagai isteri angkat kaki.
Adakah seorang isteri dibenarkan untuk menuntut fasakh atau bercerai apabila situasi ini menimpa. Ikuti kemusykilan yang dikemukakan kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ini. Hadam baik-baik penjelasannya.
Soalan
Saya telah berkahwin dengan suami hampir dua tahun. Sebelum ini saya hanya mengesyaki suami saya ini seorang gay atas beberapa faktor.
Akan tetapi baru-baru ini barulah saya dapat mengesahkannya apabila suami sendiri mengaku. Apakah yang saya perlu lakukan, adakah saya perlu meneruskan perkahwinan ini kerana saya berasa amat kecewa.
Dengan Wanita Solehah
Ringkasan jawapan
Dalam kes ini, suami wajib bertaubat dan berazam tidak akan mengulangi lagi perbuatan maksiat tersebut. Namun sekiranya perkara ini masih berlarutan, tindakan undang-undang hendaklah diambil seperti membuat tuntutan fasakh mengikut peruntukan yang ada.
Ini kerana status perkahwinan itu dianggap tidak sekufu dari sudut kesolehan dan ketakwaan pasangan.
Suami Mengaku Songsang
Huraian jawapan
Sifat kafaah (sekufu) dalam membuat pilihan pasangan adalah suatu perkara yang penting bagi kelangsungan hidup di dalam rumah tangga. Seorang suami yang fasiq tidak sama taraf dengan isteri yang solehah. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “(Jika demikian halnya) maka adakah orang yang beriman sama seperti orang yang fasik? Mereka tidaklah sama (dalam menerima balasan)”.- Surah al-Sajadah (18)
Imam Zakaria al-Ansori menyatakan di dalam kitabnya bahawa kesolehan dan iffah iaitu penjagaan maruah diri sebagai salah satu daripada aspek sekufu bagi setiap pasangan. Beliau menyebut:
Maksudnya: “Seorang yang fasik itu tidaklah sekufu dengan seorang yang menjaga maruah diri. Orang yang menjaga maruah diri itu adalah sekufu dengan seorang yang menjaga maruah diri juga”.
(Rujuk: Fath al-Wahhab, 2/47)
Isteri Berhak
Dalam hal ini, isteri wajib memberi nasihat kepada suami agar kembali bertaubat dan berazam tidak akan melakukan perbuatan songsang tersebut.
Namun sekiranya perbuatan itu masih dilakukan oleh suami, isteri diberi hak menuntut fasakh melalui peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam di dalam seksyen 52 (h) (ii) iaitu menyebut:
“Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau fasakh. (h) bahawa suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya, mengikut mana-mana yang berkenaan, iaitu, antara lain—(ii) berkawan dengan perempuan atau lelaki yang berperangai jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak.”
Berdasarkan perbahasan di atas, keadaan suami seperti melakukan perbuatan yang tidak bermoral, berkelakuan songsang, dan seumpamanya merupakan dosa-dosa besar yang dilarang keras oleh hukum syarak.
Suami hendaklah segera bertaubat daripada dosa yang dilakukannya itu dan kembali beramal soleh, nescaya Allah SWT akan menggantikan dosanya dengan amal kebaikan, sebagaimana firman Allah SWT:
Maksudnya: “Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” – Surah al-Furqan (70)
Jika perbuatan tersebut masih berlarutan, status perkahwinan itu adalah tidak sekufu dari sudut kesolehan dan ketakwaan pasangan. Seorang yang fasiq dan suka melakukan perbuatan maksiat tidak sekufu dengan seorang yang mengikut syariat yang benar dan sentiasa melakukan amal-amal soleh.
Tindakan undang-undang hendaklah diambil seperti membuat tuntutan fasakh mengikut peruntukan perundangan yang telah termaktub dengan merujuk kepada pengamal undang-undang syariah.
Kashoorga : Isteri juga berhak merasa bahagia dan disayangi, jangan sia-siakan masa depan dek kerana seorang lelaki. Nak sayang suami pun berpada-padalah.
Tumpang cas telefon di pejabat bukan perkara baharu. Adakala kita terpaksa melakukannya kerana terlupa untuk cas di rumah. Nak tahu apa hukumnya? Baca sampai habis jawapannya
SOALAN: Assalamualaikum, Apakah hukum mengecas telefon bimbit di tempat kerja. Adakah halal atau haram kerana kita menggunakan elektrik tempat kerja.
Ringkasan Jawapan : Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Hukum mengecas telefon di pejabat adalah bergantung kepada peraturan penggunaan elektrik daripada pihak pengurusan pejabat masing-masing.
Adapun sekiranya tiada peraturan yang menghalang, maka mengecas telefon bimbit di pejabat dibenarkanberdasarkan uruf (kebiasaan setempat) kerana ia sudah dianggap sebagai satu keperluan dan penggunaannya adalah sedikit dan tidak memberi kesan yang besar kepada penggunaan elektrik.
Huraian Jawapan : Secara umumnya, menggunakan atau mengambil harta tanpa kebenaran pemilik adalah dilarang, Ini berdasarkan hadis berikut: Daripada Anas bin Malik RA, Sabda Nabi SAW:
لَا يَحِلُّ مَالُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ إِلَّا بِطِيبِ نَفْسِهِ Maksudnya: “Tidak halal mengambil harta seseorang muslim kecuali dengan kerelaan dirinya” Riwayat al-Daraqutni (2885)
Walaupun demikian, terdapat beberapa perkara yang berkaitan hukum feqah akan merujuk kepada amalan tradisi dan kebiasaan selagi ianya tidak bertentangan dengan hukum syara’. Imam Jalaluddin al-Suyuti menyebut antaranya seperti mengambil buah yang terjatuh dan seumpamanya menurut pandangan paling sahih diukur dengan tradisi setempat. ( Lihat :al-Suyuti, al-Asybah wa al-Nazha’ir, 90)
Sehubungan itu, mengecas telefon bimbit di pejabat adalah dibenarkan berdasarkan kepada uruf (kebiasaan setempat) selagi tiada peraturan yang melarangnya kerana ia sudah menjadi hajat dan keperluan kepada semua pihak.
Selain itu, pekerja perlu merujuk kod etika jabatan masing-masing terhadap penggunaan elektrik untuk kegunaan peribadi.
Akhir kalam, semoga kita terhindar daripada perkara-perkara syubhah.
Allah selalu temukan kita dengan seseorang yang beza karektornya. Misalannya kita pembersih sementara pasangan suka buat sepah. Ada pula suami banyak mulut sementara isteri tidak gemar mesra berbual.
Dan kerana berbeza perangai inilah ia memberikan cabaran dalam alam rumahtangga dan lama kelamaan membentuk keserasian. Amat jarang kita bertemu pasangan yang sama karektor dengan kita kerana lama kelamaan ia menjadi hal yang membosankan.
Dikongsi dari Tik Tok @NonoAini, jika kebanyakan pasangan pengantin perempuan agak malu-malu dan berjalan sopan santun di majlis raja sehari, tapi karektor pengantin perempuan yang jalan “agak rock” membuatkan ramai rasa terhibur.
Tiada istilah ayu atau kontrol ayu sebaliknya dirinya menunjukkan karektor dirinya yang agak sempoi. Dan videonya ini sudah ditonton hampir sejuta orang dan rata-rata menyifatkan pengantin ini memang sempoi.
Dari lengggoknya berjalan, seolah-olah amat santai hinggakan ramai menyifatkan dirinya seolah-olah ingin mencari gaduh ketika majlis bertandang ke rumah pengantin lelaki di Banir Belikong, Pasir Puteh, Kelantan.
Dalam pada itu, saat ditanya adakah suaminya seorang yang pemalu selepas videonya tular, kata pemilik akaun, Nor, suaminya seorang yang sangat pemalu kerana saat melakukan selfie dalam kereta, suaminya sempat memaklumkan tidak sesuai ambil gambar waktu begitu.
Dan selepas tular juga, pengantin baru ini mengakui dirinya seorang yang amat berdikari selain memaklumkan dia tidak suka memakai kasut tumit tinggi.
Ya, jangan risau kalau kita berbeza karektor dengan pasangan kerana hal sama pernah berlaku di zaman Khalifah Umar Al Khattab yang terkenal garangnya.
Namun bila isterinya membebel, Saidina Umar hanya diam membisu hingga seorang sahabat yang ingin mengadu masalah rumahtangga tidak jadi mengadu selepas melihat peristiwa ini.
Namun Umar yang bijaksana memaklumkan, tiada keperluan dirinya menunjukkan kuasa sebagai lelaki kerana isterinya telah banyak membuat bakti kepadanya termasuk mengasuh anak, memasak, melayani nafsu syahwatnya dan nasihat diberikan olehnya kepada sahabat yang datang bertanya agar diam sahaja kalau isteri marah-marah kerana lama kelamaan marah isteri itu akan reda sendiri.
Ya begitulah,suami isteri. Ia ibarat tangan kiri dan kanan, keduanya saling diperlukan. Jadilah dirinya sendiri, itulah lebih baik dari berpura-pura dalam hidup. Dan Allah aturkan jodoh semuanya bersebab. Moga till jannah buat pasangan pengantin baru ini.
Ibadah haji adalah satu ibadah yang wajib dilakukan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup oleh setiap umat Islam yang berkuasa dan berkemampuan.
Setelah Baitullah iaitu Tanah Suci Mekah, tiada lagi tempat yang lebih mulia diciptakan oleh Allah SWT di atas muka bumi ini selain Kota Madinah yang juga dikenali sebagai Madinatul Rasul atau Kota Rasulullah SAW.
Ini jelas membuktikan Baitullah yang juga dikenali sebagai tanah haram adalah tempat yang sangat Istimewa kepada umat Islam di atas dunia ini.
Allah SWT berfirman dalam kitab suci al-Quran yang bermaksud: “Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan unta yang kurus, yang datang dari segenap penjuru (dan ceruk rantau) yang jauh.”(Surah Al-Hajj : 27)
Namun hendak menunggu ‘peluang’ pergi menunaikan haji itu menyebabkan kita hanya mampu bersabar dan berdoa agar sampai masanya untuk ke sana.
Hari ini saya nak kongsikan tips-tips pergi haji dengan cepat. Saya sendiri guna kaedah yang ke-9 tu. Tak susah pun, cuma kita nak buat ke tak nak je:
1. BUKA AKAUN TABUNG HAJI
Bagi rakyat Malaysia, kalau nak pegi haji, #MESTI buka akaun dengan Tabung Haji dahulu. Sebab yang uruskan kuota haji Malaysia adalah Tabung Haji. Bagi yang kali pertama akan dapat subsidi dan cuma bayar RM9,980 sahaja.
Di Indonesia mereka bayar kos haji sebanyak SR29,000 dan dapat subsidi SR1,500 sahaja. Jadi jangan mengomel tengok angka RM9,980 tu.
Nota: SR = Saudi Riyal
2. SIMPAN MINIMUM RM1,300 DALAM TABUNG HAJI SEBAGAI PENDAFTARAN HAJI
Lepas dah ada akaun, kita mesti simpan ada RM1300 dalam akaun kita. Genap je RM1,300 terus ke kaunter Tabung Haji untuk dapatkan nombor giliran. (#Nota: Ramai Terlepas Pandang Step Ini)
Selagi kita takde simpanan minimum RM1300 ni, kita takkan dapat nombor giliran walaupun kita dah ada akaun Tabung Haji 30 tahun yang lepas.
Ada dua cara untuk dapatkan simpanan minimum ni:
3. MASUKKAN DUIT SEBANYAK RM1300 DALAM AKAUN TABUNG HAJI
Untuk para ibu bapa, saya sangat sarankan anda buka akaun Tabung Haji seawal yang mungkin untuk anak anda, kalau boleh lepas anak lahir dan ada surat beranak, terus pergi buka akaun untuk mereka.
Kalau anda mampu, masukkan terus RM1300 dalam akaun anak anda supaya mereka terus dapat giliran haji. Kalau tak mampu, bila anak anda dapat duit raya nanti, daripada dia guna beli mainan, ambil lah duit tu dan masukkan dalam akaun Tabung Haji mereka.
Pada masa yang sama cukupkanlah simpanan untuk akaun anak kita secepatnya. Masa anak saya lahir 2011 dulu, antara benda pertama yang saya buat selain buat simpanan emas adalah buka akaun TH dan daftar giliran hajinya.
In sha Allah kalau ikut giliran yang diberikan, anak saya akan pergi menunaikan haji pada umur 30 nanti.
Untuk para ibu bapa, inilah antara hadiah terbaik yang kita boleh berikan pada anak kita. Bila mereka buat haji besok nanti, in sha Allah kita pun dapat bahagian pahalanya.
4. BAWA PENYATA KWSP
Kalau kita takde cash RM1,300 untuk masukkan dalam Tabung Haji, jangan risau, ada satu lagi cara. Kalau kita bekerja, print sahaja penyata KWSP yang terkini dan bawa bersama ketika mendaftar di kaunter TH.
Buka akaun TH cuma bayar RM10, manakala daftar haji pula PERCUMA (asalkan ada penyata KWSP). Tak susah pun kan?
Kalau kita sibuk dan tak sempat nak pergi Tabung Haji, zaman sekarang dah senang. Selain cawangan TH, kita boleh mendaftar giliran haji di laman web TH, cawangan Uniteller Bank Islam dan Bank Rakyat, ATM / CDM Maybank atau ATM BIMB. Yang penting ada simpanan minimum RM1,300.
Baik, sekarang saya nak cerita pula macam mana cara nak cepatkan giliran haji kita. Cara pertama yang biasa orang buat untuk cepatkan giliran adalah dengan buat #RAYUAN pada Tabung Haji.
Kenapa ye kalau buat rayuan boleh cepatkan giliran? Sebabnya, ramai orang yang dapat panggilan haji akan tidak dapat pergi atas pelbagai faktor seperti masalah kesihatan, kematian, tiada mahram, hamil, duit belum cukup dan macam-macam lagi sebab.
Jadi mereka yang buat rayuanlah yang akan dipilih untuk ganti tempat yang kosong ni.
Untuk bagi rayuan anda lebih mudah diterima di kalangan puluhan ribu rayuan yang lain, ini ada tips penting:
5. CUKUPKAN DUIT DALAM AKAUN TABUNG HAJI
Cukupkan duit dalam akaun Tabung Haji anda sekurang-kurangnya bersamaan dengan jumlah terendah bayaran haji untuk tahun tersebut. Untuk tahun ni, bayaran haji paling rendah adalah dalam RM10 ribu untuk pergi bersama Tabung Haji (Muassasah).
Dalam surat rayuan anda, sila nyatakan yang duit anda dah cukup, sertakan bukti akaun terkini dan maklumkan anda bersedia untuk pergi haji bila-bila masa. Barulah pegawai Tabung Haji senang nak bagi giliran pada anda, sebab dia tahu anda memang dah mampu pergi.
Link contoh surat rayuan: https://www.facebook.com/590569571/posts/10159218949384572?sfns=mo
Ada ramai yang buat rayuan, duit dalam akaun tak cukup pun. Agak-agak macam mana pegawai Tabung Haji nak luluskan? Semestinya mereka lebih cenderung pilih mereka yang ada simpanan cukup kan.
6. NYATAKAN KEBAIKAN DALAM SURAT RAYUAN
Dalam surat rayuan anda, nyatakan secara baik dan sopan apa kebaikannya kepada Tabung Haji kalau mereka bagi anda pergi haji segera. Sebagai contoh:
(a) Cakaplah anda masih sihat dan tiada penyakit, jadi takkan menyusahkan Tabung Haji di sana nanti. Faktor kesihatan adalah faktor utama kenapa ramai gagal untuk pergi haji. Jadi kalau anda sihat, besarlah peluang anda nak dapat pergi haji.
(b) Beritahu apa khidmat yang anda boleh sumbangkan di tanah suci nanti. Kalau anda doktor, beritahu dalam surat rayuan yang anda adalah doktor dan boleh bantu untuk memberi khidmat kesihatan bila diperlukan di sana.
Kalau anda masih muda dan gagah, beritahu yang anda nanti boleh bantu untuk tolong jemaah lain yang tak larat. Senang cerita, letak je dalam surat rayuan tu apa sahaja yang anda boleh sumbangkan untuk bantu kerja Tabung Haji.
Sebab memang susah kerja Tabung Haji di sini, macam-macam masalah yang mereka kena uruskan. Siapa lagi nak bantu kalau bukan para jemaah.
7. HANTAR SURAT RAYUAN ANDA SECEPAT MUNGKIN BILA KAUNTER RAYUAN SUDAH DIBUKA
Biasanya kaunter rayuan akan dibuka sebulan dua selepas setiap musim haji. Rasanya untuk haji tahun hadapan, kaunter rayuan akan mula dibuka pada November ni. Nak tarikh lagi tepat, boleh call no Tabung Haji di 03-6207 1919.
Kenapa kena hantar segera? Sebab Tabung Haji akan nilai secara ‘first come first serve basis’. Jadi katakan ada mana-mana jemaah yang tolak tawaran atau tak dapat pergi atas macam-macam sebab, tawaran baru akan terus dibuat secepatnya kepada orang lain.
Kalau anda merayu dan tak dapat untuk tahun tersebut, jangan putus asa, cuba lagi hantar rayuan pada tahun berikutnya. Rayuan kena buat setiap tahun sampai dapat, jangan buat sekali je ye.
8. DALAM SURAT RAYUAN TU, JANGAN SESEKALI KRITIK ATAU MARAH TABUNG HAJI SEBAB MASIH TAK BAGI KITA GILIRAN WALAUPUN KITA DAH BANYAK KALI MERAYU.
Ingat ye, yang baca surat rayuan kita tu manusia, bukan robot. Dia pun ada hati dan perasaan. Dan ada berpuluh ribu surat rayuan yang dia perlu baca setiap tahun.
Kalau kitalah berada di tempat dia, mungkin kita dah buang dalam tong sampah mana-mana surat yang kasar dan tak beradab.
Ok, cukup bab rayuan.
Ni nak bagitau pula cara-cara lain yang jarang kita dengar untuk cepatkan giliran haji:
9. CARI JODOH YANG GILIRAN HAJINYA DAH DEKAT Lepas ni mungkin boleh masuk dalam kriteria untuk pilih bakal suami atau isteri, selain cantik, hensem dan pandai memasak. Sebabnya, kalau isteri pergi haji, memang automatik mahramnya akan dapat pergi haji, jadi suamilah orangnya yang akan teman.
Kalau suami pula yang dapat, walaupun tak automatik dan masih perlu buat rayuan, biasanya lebih mudah untuk dapat berbanding kes lain. Saya dapat pergi awal sebab isteri dapat tawaran haji, masa mula-mula kenal dulu memang tak tahu pun dia dah daftar haji ke belum. Huhu.
10. PERGI MELALUI PAKEJ
Kalau pergi melalui pakej, taklah automatik dapat. Biasanya masih kena tunggu giliran daripada Tabung Haji juga. Ramai je yang kaya raya mampu guna pakej, tapi masih tak dapat-dapat pergi sebab giliran belum dapat.
Cuma kadangkala ada sedikit kuota yang diperuntukkan pada beberapa travel agency terpilih untuk bawa jemaah haji. Kadangkala kuota tu last minute baru dapat.
Jadi kalau anda memang banyak duit, boleh guna cara ni. Cubalah tanya mana-mana travel agency yang famous, mungkin ada rezeki anda. Sediakan duit dalam RM30,000 hingga RM40,000 ya.
11. KERJA DI BADAN-BADAN TERTENTU YANG ADA KOUTA HAJI KHAS
Ramai rasanya tak tahu yang ada beberapa badan di Malaysia yang mendapat kuota khas haji untuk staf mereka. Setakat yang saya tahu adalah pegawai perubatan, syarikat pengeposan, Tentera, Polis.
12. SENTIASA BERDOA PADA ALLAH DAN BERBUAT BAIK.
Ada orang yang saya kenal dapat pergi haji dan kosnya suami isteri dibayarkan oleh seorang kaya. Dia sentiasa ke masjid, jaga kebersihan masjid dan baik orangnya. Rezeki pergi haji Allah salurkan melalui orang kaya tadi.
Jadi inilah serba sedikit yang saya boleh share tips-tips untuk cepatkan giliran haji. Cuma saya nak pesan sikit kat sini:
Orang selalu kata pergi haji ni jemputan tuhan. Sama macam jodoh dan ajal maut.
Saya nak beritahu, ye, memang jemputan haji, jodoh dan maut di tangan Tuhan. Tapi ingat bukan tu sahaja takdir Tuhan, tapi semua benda yang berlaku kat dunia ni pun memang takdir Tuhan.
Kat dunia ni, Tuhan nak tengok apa usaha kita. Sebagai manusia, kita buatlah kerja kita iaitu usaha untuk dapatkan pergj haji ni. Dapat atau tidak nanti tu bukan urusan kita, tu kerja Tuhan.
Sekurang-kurangnya kalau kita mati nanti, walaupun tak sempat pergi haji, kita boleh jawab yang kita dah usaha seboleh mungkin untuk pergi, cuma tak dapat je.
Jadi tepuk dada tanyalah iman ye.
Apapun saya doakan untuk mereka yang memang ikhlas berusaha untuk pergi menunaikan haji, moga Allah permudahkan usaha anda dan jemput anda ke sini sebagai tetamu-Nya nanti. Begitulah.
Sumber Kredit: Hafizul Hakim
VIDEO KASHOORGA:
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Menular secara senyap dalam masyarakat, isu penyelewengan akidah melalui ajaran sesat sentiasa perlu dibendung.Dalam hal ini orang ramai juga perlu didedahkan dengan ciri-ciri ajaran...