Tidak dinafikan sebagai pasangan yang baru berkahwin, soal kewangan menjadi tunggak utama dalam merencakan perjalanan hidup sebagai suami isteri.
Jangan disebabkan sudah berbelanja berlebihan di majlis perkahwinan atau pergi berbulan madu selepas itu menyebabkan pasangan menghadapi masalah kewangan di awal perkahwinan.
Perkongsian lelaki ini yang memberi nasihat kewangan kepada pengantin baru. Boleh dijadikan panduan kepada yang bercadang untuk berkahwin dalam masa terdekat atau merancang pada masa telah ditetapkan.
7 Nasihat Kewangan Untuk Pengantin Baru
====
Bagi pasangan muda, pernikahan merupakan detik terindah dan sebuah harapan baru yang diimpikan.
Sebaik saja selesai majlis, ada yang tanpa berfikir panjang terus bercuti ke luar negara, tidak kurang terus swipe kad kredit untuk beli macam-macam keperluan berkeluarga. Tanpa disedari, mereka mungkin akan terjerumus ke dalam perangkap kewangan.
Baru selangkah memulakan perjalanan kehidupan baru, tetapi sudah membawa beban hutang untuk mengharungi bahtera perkahwinan. Jadi, apabila baru berkeluarga, kami cadangkan ikut tips ini;
1. Merangka Bajet Keluarga
Dulu makan seorang, malam makan megi pun tak apa. Dulu sabun mandi jadikan sabun basuh pinggan pun tak apa. Bila dah berumahtangga, kena mula ada bajet kewangan supaya tahu berapa kos barang keperluan setiap bulan.
Nanti apabila dah ada anak nanti mudah, sebab dah terbiasa buat bajet.
2. Merekod Perbelanjaan
Penting untuk merekod segala perbelanjaan keluarga. Paling tidak pun, catat segala belanja luar jangka. Ada banyak apps yang bantu korang ‘track’ belanja misalnya:
– Spendee
– Wally
IKLAN
– Seedly
– Pocket Expense
3. Membuat Tabung / Pecahan Keperluan
Bila dah kahwin, eloklah merancang semua kos keperluan dan perlu dibincang bersama-sama. Boleh ikut idea ini (susunan tidak mengikut keutamaan):
Belanja barang dapur
Belanja makan
Belanja utiliti (bil air & elektrik)
Hiburan
Ansuran rumah
Ansuran kereta
Perlindungan takaful
IKLAN
Tabung simpanan
Tabung pelaburan
Tabung pendidikan anak-anak
Tabung kecemasan
Tabungan bercuti
Tabung pencen
4. Menabung & Melabur
Menyimpan dalam bank itu baik tetapi tidak bijak. Simpan duit di bank hanya untuk tujuan kecemasan. Mulakan dengan melabur di instrumen pelaburan yang sah dan selamat.
Antaranya ialah pelaburan saham Bursa Malaysia, unit trust, simpanan emas, ASB Financing dan sebagainya.
5. Perlindungan Takaful
IKLAN
Lindungi keluarga dengan takaful. Banyak produk takaful yang bagus. Jangan ambil remeh hal ini. Ini langganan Astro mampu bayar bulan-bulan, takaful tak nak ambil.
Bila dah dalam hospital dan kena bayar kos perubatan yang tinggi, jangan mula menyesal tak sudah.
6. Jauhkan Hutang
Amalkan doa ini, baca tiap kali lepas solat:
“Ya Allah, lindungilah diriku dari kesusahan dan dukacita, Engkau lindungilah aku dari sifat lemah dan malas, peliharalah diriku dari sifat bakhil dan pengecut dan Engkau peliharalah diriku dari hutang-piutang dan kekuasaan orang lain ke atas diriku.”
Apabila memulakan kehidupan baru, memang banyak nak pakai duit. Nak beli katil, tilam, almari, sofa, dapur semua. Ingat, jangan sampai korang berhutang. Skim ansuran mudah dekat kedai tu memang mengiurkan, tetapi lebih baik kumpul duit, beli secara tunai lagi bagus daripada bayar ansuran.
7. Kad Kredit Cukup Satu
Jika anda dan pasangan masing-masing ada kad kredit, bila dah kahwin biar tinggal satu saja. Pergi beli barang dapur bersama, isi minyak kereta pun guna satu kad kredit. Senang nak uruskan dan jaga kewangan.
Kena ingat tindakan sekarang akan memberi kesan yang besar kepada cash flow 5-10 tahun akan datang.
Kepada yang baru berkahwin, Selamat Pengantin Baru saya ucapkan. Kalau bergaduh, kena sabar, jangan dua-dua meletup. Tak perlu juga perang sampai update dekat Facebook dan Instagram. Tak selesai masalah. Bila seorang jadi api, seorang kena jadi air atau salji.
Gaduh kejap je, lepas tu baik balik ye. Kata cinta dan sayang, laut mana tidak ditimpa badai. Sedangkan lidah lagi tergigit.
Panggilan kepada pasangan juga memainkan peranan. Menurut saudari Farhana Muhammad , dia tertarik dengan salah satu daripada kuliah Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa berkaitan dengan nada suara isteri kepada suami. Ustazah menceritakan bahawa beliau pernah ditegur oleh suaminya berkenaan nada suara, bukannya pemilihan kata ketika bertutur dengan suami.
Kadang ustazah tidak perasan jika ustazah tertinggikan suara kepada ustaz. Mungkin ada ketikanya tidak bersetuju dengan ustaz, mengeluarkan pendapat, mungkin ada nada suara yang sedikit tinggi ketika berbicara dengan ustaz. Kata ustaz, ibunya bukanlah seorang yang belajar tinggi. Bukanlah seorang ustazah, tiada master dan phd jauh sama sekali.
Seingat suami ustazah, ibunya tidak pernah sekali mengangkat suara di depan ayahnya. Kata ustazah, ustazah terasa amat malu mendengar kata-kata ustaz dan lebih berhati-hati apabila berbicara dengan suami. Ustazah terbayang bagaimana ibu mertuanya menyantuni ayah mertuanya. Dengan manis tutur katanya, lemah-lembut bicaranya apabila berbicara dengan suami.
JANGAN TINGGI SUARA PADA SUAMI
Jadi, adakah langsung tidak boleh marah sama suami? Tidak. Jika langsung tidak marah itu malaikat namanya. Kata ustazah, ada juga ketikanya marah, tetapi berhati-hati supaya suara ustazah tidak tinggi daripada suara suaminya. Itu baharu berkaitan dengan nada, berkaitan dengan intonasi. Nada dan intonasi ketika bercakap dengan suami amatlah penting. Itu belum lagi termasuk dengan pemilihan kata ketika berbicara dengan suami.
Cuba muhasabah diri, sepanjang perkahwinan bagaimana kita bercakap dengan suami? Pernahkah kita terjerit kepada suami dari tingkat atas ke tingkat bawah? “Awak kalau nak makan bang, makanlah sudah ada di bawah tudung saji!” Kata si isteri sambil menjerit kepada suami di tingkat bawah.
Ada orang, suka sangat bercakap dengan tinggi nada suara. Apabila ditegur lantas menjawab, “Saya bukannya marah, memang macam ni keturunan saya cakap begini.” Kata ustazah, janganlah menyalahkan keturunan apabila kita bercakap dengan nada yang tinggi. Kita boleh berubah.
Takkan kita mahu gunakan alasan seperti ini, “Nak buat macam mana, memang adik-beradik saya bercakap begini, macam nak berkelahi.” Takkan kita mahu bersandar pada hujah ini sedangkan kita ada potensi untuk memperbaiki diri kita? Apabila bercakap dengan suami, kena ada satu intonasi suara apabila berbicara dengan suami.
INTONASI LEMBUT
Intonasi yang lembut bicaranya. Sepertimana sabda Rasulullah shallahu alaihi wasallam, ‘Apabila kamu pandang isteri kamu, bergaul dengan isteri kamu, bermuamalah dengan isteri kamu, dia akan membahagiakan kamu.’ Penampilan diri, suara, tutur kata, perilaku, bahasa tubuh, akhlak, cara berfikir.
Semua ini datang dalam satu pakej menenangkan suami iaitu isteri solehah. Sambung ustazah lagi, pada awalnya beliau cukup stress memikirkan bagaimana lagi perlu bercakap lembut dengan suami? Tetapi ustazah berfikir secara positif. ‘Ya Allah, sampai begini sekali Engkau mendidik aku istiqamah supaya kelembutan menjadi sikapku.’
Allah memberikan sesuatu kepada orang yang lembut, sesuatu yang Allah tidak berikan kepada orang yang bersikap kasar. Ada sesuatu Allah hanya berikan kepada orang yang bersikap lembut. Salah satu cara bersifat santun ialah, memanggil orang dengan gelaran yang dia gemar, lebih-lebih lagi kepada pasangan kita.
PANGGILAN YANG MENYENANGKAN
Jika bercakap dengan suami, perlu ada panggilan yang menyenangkan. Begitu juga panggilan buat isteri, suami perlulah memanggil dengan panggilan yang menyenangkan hati si isteri. Ustazah meyakini bahawa panggilan kepada pasangan dalam rumah tangga amatlah penting dan memberi kesan yang besar. Kerana.. semakin lama sesebuah perkahwinan, semakin sukar untuk menyuburkan kasih sayang.
Elakkan panggilan saya-awak, I-you dan gantikanlah dengan panggilan yang lebih lunak dan mesra didengar oleh suami kepada isteri ataupun oleh isteri kepada suami. Maka, panggillah pasangan dengan panggilan yang menyenangkan. Dan bertuturlah dengan pasangan dengan tona suara yang sedap didengar oleh pasangan.
Salah satu tujuan perkahwinan ialah untuk menjaga kemaslahatan di kalangan masyarakat dan terbina dengan cara yang terbaik. Melalui perkahwinan jugalah dapat mendatangkan ketenteraman hati dan jiwa manusia. Di antara kebesaran Allah S.W.T ialah menciptakan isteri kepada golongan pemuda tanpa diduga oleh mereka sendiri kerana sudah tertulis dan ditakdirkan siapakah pasangan mereka.
Firman Allah S.W.T.:
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
(Surah ar-Rum: 21)
Namun hubungan batin yang tidak diuruskan dengan sempurna akan menyebabkan berlakunya masalah perceraian.
Dulu saya tidak bersetuju kenyataan, “jangan kawin kerana hubungan batin”, tetapi setelah membuat kajian dan pengalaman berhadapan dengan kes perceraian, saya bersetuju. Malah itulah yang menyebabkan berlakunya perceraian dengan mudah.
Tahukah anda rupa orang yang berkahwin kerana hubungan batin?
1. Setelah kahwin dia hanya beri perhatian kepada hubungan batin. Selepas bersama isteri dia tidur atau keluar rumah. Nanti bila dia perlukan hubungan batin lagi dia akan pulang.
2. Dia tidak fikirkan soal nafkah isteri, kebajikan isteri, kesihatan isteri dan keselamatan isteri.
3. Bila isteri tidak memberi layanan seks dia akan pukul dan dera isterinya.
4. Bila isteri sudah putus haid, dia akan tinggalkan isterinya, dan berkahwin lain.
Apabila keadaan ini berterusan, isteri akan bertindak memohon cerai, tetapi suami tidak mahu melepaskannya. Inilah yang banyak berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini.
Sebenarnya Islam tidak menafikan hubungan batin, malah hubungan batin merupakan tarikan utama kepada perkahwinan. Bahkan orang yang tidak berkeinginan untuk melakukan hubungan batin, haram berkahwin. Jadi, hubungan batin bukanlah musuh Islam.
Berdasarkan itu, berkahwin dalam Islam adalah untuk mengurus nafsu seseorang supaya halal dan selamat.
Dengan pengurusan yang sempurna itu akan terbinalah:
1. Kebahagiaan kerana pihak-pihak boleh bermain-main dan bergurau senda mengikut kehendak mereka.
2. Terbina kasih dan sayang apa yang disebutkan oleh Allah mawaddah wa rahmah.
3. Dikurniakan anak sebagai pengikut kasih sayang.
4. Rasa terhutang budi dan rasa tanggungjawab membela isteri.
Kalau semua ini terjadi dalam keluarga anda, tentu ada seperti satu jaminan untuk kekal hingga ke syurga. Jadi, anda boleh nilai perkahwinan anda sama ada yang pertama atau yang kedua. Wallahu aklam.
Sebut saja romantik, anak muda mula tertarik hati…mungkin yang diketahui romantik sesama ‘couple’…No..No..No..ini romantik sesama pasangan suami isteri. Apa lag, jom ramai-ramai kita pakat kahwin. Isy..Isy..best oo kahwin…kalau tak percaya..cubalah kahwin..hehehe..
Rasulullah SAW adalah gedung segala sifat-sifat kesempurnaan yang sukar dicari tandingannya. Allah membimbing baginda dengan didikan-Nya yang terbaik. Sehingga Allah berfirman kepada baginda seraya memuji baginda di dalam surah al-Qalam ayat 4 bermaksud : “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung”.
Sifat-sifat yang sempurna inlah yang membuat jiwa manusia merasa dekat dengan Rasulullah SAW. Membuatkan hati mereka mencintai baginda. Menempatkan baginda sebagai tumpuan hati. Bahkan berapa ramai yang dahulunya bersikap keras dengan Nabi SAW berubah menjadi lembut dan akhirnya masuk Islam setelah terpanah kemuliaan akhlak dan budinya baginda Nabi SAW.
Kemuliaan ini bukan sekadar lakonan di hadapan manusia. Namun dibuktikan oleh insan pendamping baginda. Meneliti satu persatu perbuatan, pertuturan dan lenggok gayanya. Mereka ialah serikandi rumahtangga baginda Nabi SAW. Sehinggakan kemuliaan akhlak seorang suami bernama Muhammad bin Abdullah tidak dapat digambarkan oleh Aisyah RA, lalu menisbahkan akhlaknya dengan akhlak kitab suci al-Quran.
KAYA NILAI KASIH SAYANG
Walaupun Rasulullah seorang panglima perang, pemimpin tertinggi umat Islam, namun di sisinya terdapat nilai kasih sayang dan jalan kisah yang cukup romantis antara baginda dan isteri-isterinya. Namun berapa banyak sunnah ini dilupakan lalu suami masakini menggambarkan dirinya bagaikan pemegang kuasa keluarga yang perlu sentiasa kelihatan bengis dan penuh egois.
Siapalah kita berbanding Rasulullah SAW yang jauh kedudukannya lebih mulia dari segala manusia. Namun atas tawaduk dan romantisnya baginda membuatkan umat yang membaca kisah cinta baginda bersama isterinya seolah sedang menghayati novel cinta romantik.
Diberitakan bahawa Rasulullah pernah bermandi air cinta bersama isterinya. Dalam Sahih Bukhari diriwayatkan bahawa Aisyah berkata bahawa : “Aku sering mandi bersama Nabi Muhammad dari satu bekas air yang disebut al-faraq.” Perbuatan Nabi mandi bersama Aisyah tanpa sebarang tabir penghalang menunjukkan ianya satu sunnah. Terutamanya setelah melakukan hubungan intim sesama pasangan.
Romantik gaya Rasulullah SAW boleh diteladani. Walaupun hidup suami isteri masa kini sentiasa disibukkan dengan pekerjaan. Kita juga boleh mengambil sunnah-sunnah romantik Rasulullah SAW bermula dari sebelum keluar bekerja.
Sebagai contoh menghantar isteri ketika hendak keluar rumah seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW kepada isterinya Shafiyyah binti Huyay sehinggakan Nabi SAW berkata “Jangan terburu-buru hingga aku mengiringimu (menemani sampai ke pintu)”. Hadis Bukhari dan Muslim. Bahkan Nabi SAW turut membantu isterinya menaiki kenderaan.
Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim menceritakan bahawa “Nabi Muhammad SAW duduk di sisi unta baginda. Kemudian baginda menekukkan lututnya. Lalu isteri baginda Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad SAW hingga naik atas unta”. Bukankah ini sesuai dipraktikkan dengan membuka pintu kepada isteri seperti zaman memikat isteri dahulu. Ataupun sekali sekala membonceng isteri di belakang seperti dalam riwayat Bukhari yang menyatakan Anas bin Malik menceritakan bahawa ketika pulang dari perang Khaibar salah seorang isteri Rasulullah membonceng di belakangnya.
Apabila waktu cuti hujung minggu atau di malam hari, bawalah isteri bersiar-siar. Ini bukanlah sekadar tips dari seorang pakar motivasi. Namun ianya merupakan suatu sunnah romantis Nabi SAW bersama isterinya. Diberitakan dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa “Rasulullah apabila datang waktu malam, baginda berjalan bersama Aisyah dan berbincang-bincang dengannya”.
Malah apabila baginda ingin keluar baginda akan mengundi siapa yang akan menemaninya untuk keluar bersama. Malah Rasulullah juga membawa Aisyah untuk makan bersama di luar. Sehinggakan suatu ketika Nabi pernah menolak pelawaan jirannya yang berbangsa Parsi untuk makan di rumah mereka sekiranya isterinya Aisyah RA tidak turut diundang bersama. (Hadis riwayat Muslim)
SUAP MAKANAN KE MULUT ISTERI
Untuk menambahkan romantis terhadap isteri, disarankan suami menyuap sendiri makanan ke mulut isterinya. Sepertimana dalam sahih Bukhari dan Muslim sabda Nabi SAW : “Sesungguhnya apapun yang kamu nafkahkan, maka hal itu adalah sedekah hingga suapan yang kamu suapkan ke mulut isterimu.” Walaupun hadis ini berkisar tentang pemberian nafkah, namun bukankah menjalin ikatan romantik antara suami isteri itu satu tuntutan.
Romantik sesama suami isteri ini semakin malu untuk diamalkan. Mungkin bagi yang sudah lama berkahwin akan bertambah rasa jelik bermadu kasih dengan isterinya. Namun jika diteliti, sebenarnya sikap romantis ini adalah datang dari Nabi SAW. Sayang apabila kita lebih malu mengamalkan sunnah romantis sesudah berkahwin sedangkan kita tanpa segan silu melakukannya sebelum ianya dihalalkan.
Sebenarnya, gambaran seorang suami yang garang dan bengis bukanlah suatu yang datangnya dari agama. Nabi SAW tidak mendidik para isteri untuk takut kepadanya. Namun didikan sebagai pemimpin rumahtangga yang hebat membuatkan rasa takut itu bertukar menjadi lebih menghormati. Nikmat suasana percintaan itu lebih dihargai apabila suami turut meluang masa bergurau senda dan bermesra seakan-akan baru sehari diijabkabulkan.
Belaian terhadap isteri dapat memupuk kasih antara sesama pasangan. Nabi SAW dalam satu riwayat Ahmad berkata bahawa “ Rasulullah tidaklah setiap hari melainkan baginda selalu mengunjungi isteri-isterinya seorang demi seorang. Rasulullah menghampiri dan membelai mereka secara bergantian”.
Adakalanya romantisnya Nabi SAW sehinggakan beliau sengaja bermanja dengan menyandarkan kepalanya kepangkuan isterinya sepertimana yang dipertuturkan Aisyah RA dalam Sahih Bukhari bahawa “Nabi SAW membaca al-Quran (mengulang hafalan) dan kepalanya berada di pangkuanku sedangkan aku dalam keadaan haid”. Bahkan amalan ini berlarutan sehingga detik-detik akhir hayat Rasulullah SAW. Aisyah berkata “ Ketika maut menghampiri Rasulullah SAW, kepala baginda berada diatas pahaku.”
Ada suatu hari ketika Aisyah sedang asyik menyaksikan kanak-kanak bermain bersama ibu mereka, datang baginda Nabi SAW mengangkat Aisyah. Lalu baginda mendukung Aisyah di belakang beliau. Aisyah menuturkan bahawa : “Baginda mendirikanku di belakang dan pipiku di atas pipi baginda. Ku letakkan bahuku di atas bahu Rasulullah SAW”. (Bukhari dan Muslim). Begitu juga isteri Nabi SAW sentiasa mendapat kucupan mesra daripada Nabi SAW ketika ingin pergi ke masjid.
Rasulullah bukan seorang yang kaku dan keras. Ia juga seorang manusia yang mempunyai emosi tersendiri. Pemergian baginda telah membuatkan kehangatan rasa rindu di kalangan isterinya. Dikala isteri kesunyian, hadirnya mengungkap keriangan. Sewaktu isteri dalam kedukaan, baginda bukanlah sekadar pemerhati. Namun baginda juga sebagai ubat kedukaan dan kesakitan. Diriwayatkan dari Aisyah bahawa : Nabi Muhammad SAW adalah orang yang penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang yang sangat lembut dan paling banyak menemani ketika isterinya sakit.” (Bukhari dan Muslim) Hadirnya Nabi SAW mengubat hati para isteri.
MENYANTUNI ISTERI
Baginda paling banyak bergurau senda bersama isterinya. Suatu hari datang Saodah (salah seorang isteri Nabi SAW) kerumah Aisyah. Lalu Nabi SAW duduk diantara Aisyah dan Saodah dan meletakkan kaki beliau di atas pangkuan mereka. Ketika Aisyah menjemput Saodah makan, ia menolaknya kerana tidak berselera. Lalu Aisyah berkata : “(Demi Allah), makanlah atau aku akan mengotori wajahmu”. Saodah menolak dengan berkata : Aku tidak akan memakannya”.
Lalu Aisyah mengambil makanan dan disapukan ke wajah Saodah. Rasulullah SAW tertawa. Kemudian Rasulullah menyuruh Saodah membalas semula dengan mengotori wajah Aisyah. Setelah Saodah mengotori wajah Aisyah, Rasulullah terus tertawa. (an-Nasai’e, Ibn Abi Dunya). Kisah ini merupakan senda gurau Nabi SAW bersama isteri-isterinya. Pernah juga Rasulullah memujuk Aisyah untuk menghilangkan marahnya dengan sengaja memegang hidung Aisyah seperti dalam riwayat Ibnu Sunni.
Begitu romantisnya rumahtangga Rasulullah SAW. Mungkin inilah rahsia cinta sejati yang kekal ke akhir hayat Nabi SAW. Beramah mesra, bergurau senda, belaian dan sentuhan. Sehinggalah ayat-ayat cinta terukir dari bibir seorang Nabi dengan memanggil panggilan manja terhadap isterinya. Suara indah memanggil “Ya Humaira” kepada Aisyah yang bermaksud “Wahai si putih kemerah-merahan atau Mawar merah”. Membuatkan ikatan itu lebih intim. Adakalanya Nabi SAW memanggil Aisyah dengan singkatan manja “Ya Aisy” yang bermaksud kehidupan ketika mana beliau menyampaikan salam daripada Malaikat Jibril untuk Aisyah RA. Dengan membuang huruf terakhir itu menunjukkan besarnya rasa cinta, kemanjaan dan kesayangan yang ditonjolkan dari Nabi SAW.
Sesungguhnya bersikap romantis sesama isteri itu adalah sunnah Nabi SAW. Kita berharap dengan sunnah ini dapat memupuk ikatan yang lebih erat antara sesama pasangan. Bukanlah sunnah ini suatu yang perlu dimalukan untuk diamalkan. Kepada suami, ayuh mengikut petunjuk Nabi dalam berkasih sayang sesama isteri. Andai isteri berasa pelik dari mana datangnya sikap romantis seorang suami. Adakah suami baru sahaja selesai menamatkan buku novel cinta Romeo dan Juliet. Jawablah dengan manja. Romantis ini bukan dari novel biasa, namun romantis ini datangnya daripada hadis Nabi SAW.