Main ‘Osom’ Siapa Kalah Bayar Makanan. Awas, Hukumnya Seperti Perbuatan Judi!

Share
Soalan

Assamualaikum WBT. Saya ada situasi yang menjadi kemusykilan.

Situasinya ada 4 orang kawan lepak minum di kedai mamak. Bila nak bayar, mereka main osom. Siapa kalah kena bayar. Soalan saya:
1) Adakah itu dikira berjudi?
2) Makanan/minuman yang kita minum itu dikira jadi haram ke?

Jawapan

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Perbuatan judi ialah suatu perbuatan atau permainan yang mempunyai unsur pertaruhan wang, adu nasib serta menzalimi satu pihak dan menguntungkan satu pihak yang lain.

Berkenaan persoalan tuan, perbuatan tersebut adalah judi dan dikhuatiri makanan tersebut boleh menjadi haram.

Walaupun penyertaan dalam situasi tersebut kelihatan tiada yuran atau kos hadiah tapi hakikatnya kedua-dua pihak berpotensi mengalami untung dan rugi iaitu dibebani atau tidak dibebani dengan kos makanan yang belum diketahui jumlahnya.

Ia adalah judi walaupun ada unsur usaha dari kedua belah pihak dan bukan permainan nasib semata. Unsur judinya datang dari sudut hadiah, seolah-olah kedua-dua pihak meletakkan sejumlah wang untuk makanan tersebut, hanya yang kalah akan terkena.

Ia tetap judi walaupun kedua-dua pihak redha meredhainya. Tiada redha dalam perihal haram. Namun jika hanya salah seorang yang menjanjikan hadiah tanpa mengira kalah atau menang, orang lain tidak, hukumnya berubah menjadi harus atau halal kerana tiada kebarangkalian untuk seseorang di antara mereka untung dan rugi.

Soalan dan jawapan kemusykilan agama ini dipetik dari laman web Mufti Selangor

 

IKLAN