Mungkin ramai yang berasa seronok menggunakan bila mana laman web pilihan Shopee menawarkan perkhidmatan Shopee Pay Later. Namun sebelum terus menerima tawaran transaksi ini, ada beberapa perkara kena tahu khususnya dalam bab riba yang merupakan dosa besar.
Dikongsi dari page Mufti Wilayah Persekutuan, pembaca ada bertanya hukum menggunakan Shopee Pay Later ini.
Jawapan Ringkas:-
Terdapat beberapa isu syariah yang timbul melibatkan caj pemprosesan dan caj lewat bayar dalam sistem SpayLater sebagaimana berikut:
1) Bagi kaedah pembayaran secara one-off dalam tempoh sebulan, tiada isu syariah padanya sekiranya pembayaran diselesaikan dalam tempoh sebulan sepertimana yang ditetapkan. Sebaliknya, sekiranya pelanggan lewat menyelesaikan bayaran dan dikenakan caj lewat bayar, maka berlakulah riba yang diharamkan Syarak.
2) Bagi kaedah pembayaran secara ansuran pula, terdapat dua isu Syariah padanya melibatkan caj pemprosesan dan caj lewat bayar. Hal ini kerana setiap caj pemprosesan dan caj lewat bayar yang dikenakan melebihi kos operasi dan kerugian sebenar adalah sebahagian daripada riba.
Oleh itu, umat Islam dilarang untuk terlibat dengan sebarang transaksi yang mempunyai unsur riba kerana riba adalah haram dan berdosa besar.
Huraian Jawapan:-
SPayLater adalah sistem pembayaran beli sekarang bayar kemudian (buy now pay later) yang disediakan oleh Shopee. Pengguna boleh membuat belian dengan segera dan membayarnya pada bulan hadapan sekaligus atau melalui pelan bayaran ansuran ansuran (instalment plan) selama beberapa bulan sama ada 2 bulan, 3 bulan atau 6 bulan. Pihak Shopee telah melantik SeaMoney Capital Malaysia Sdn Bhd untuk menguruskan operasi pembayaran ansuran Shopee ini.[1]
Sistem SPayLater adalah melibatkan hutang. Ini adalah kerana, pihak SeaMoney yang dilantik Shopee akan bayar kepada penjual Shopee terlebih dahulu bagi pihak pembeli, kemudian pelanggan perlu membayar kepada SeaMoney secara ansuran atau one-off dalam tempoh sebulan. Justeru itu, pelanggan dianggap berhutang dengan pihak SeaMoney ketika menggunakan perkhidmatan SPayLater ini. Oleh kerana persoalan yang diajukan adalah berkaitan hutang, perbincangan artikel ini akan memfokuskan isu-isu riba yang berlaku dalam sistem bayaran ansuran ini yang melibatkan bayaran tertanguh (hutang) dan pengenaan caj lebihan.
Dalam Islam, riba adalah diharamkan dan pihak yang terlibat dengannya akan mendapat dosa besar. Hal ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT berikut:
وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا
Maksudnya: Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Surah al-Baqarah (275)
Para ulama ketika menerangkan pengharaman riba menyatakan bahawa, riba bermaksud tambahan. Dalam konteks hutang, riba adalah caj tambahan yang dikenakan ke atas jumlah hutang atau caj tambahan kerana seseorang lewat membayar hutang. Manakala pertambahan atau margin untung yang berlaku dalam jual beli biasa tidak dianggap sebagai riba. (Rujuk Tafsir al-Tabari 13/6[2]; Tafsir al-Mawardi 347/1[3]; Tafsir al-Baghawi 342/1[4])
Ulama membahagikan riba kepada dua kategori utama iaitu Riba al-Qard (berlaku dalam transaksi hutang) dan Riba al-Buyu’ (berlaku dalam jual beli barang-barang ribawi seperti emas dan perak). (Rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh 3739/5[5])
Oleh itu, perbahasan yang menjadi fokus dalam menjawab persoalan ini akan bertumpukan hukum hakam berkaitan riba dalam hutang (riba al-Qard).
Selain itu, terdapat hadis yang diriwayatkan oleh al-Haris di mana Rasulullah SAW menyatakan bahawa setiap hutang yang disertakan manfaat atau keuntungan sebagai balasan dianggap sebagai riba. Rasulullah SAW bersabda:-
كل قرض جر منفعة فهو ربا
Maksudnya: Setiap hutang yang mendatangkan manfaat keuntungan (kepada pemiutang) maka ia adalah riba.
Riwayat al-Haris dalam Musnad al-Haris (437)
Untuk memudahkan kefahaman berkenaan Riba al-Qard ini, dinyatakan di sini dua situasi berikut:
- Ali memberi pinjam RM100 kepada Ahmad dan memintanya membayar RM110, RM10 lebihan itu adalah riba.
- Ali meminjamkan RM100 kepada Ahmad dan Ahmad perlu membayar dalam tempoh sebulan. Namun begitu Ahmad terlewat bayar hutangnya itu. Ali mengenakan caj RM10 kerana Ahmad lambat bayar. RM10 caj tersebut adalah riba.
Isu-Isu Syariah dalam SPayLater
Setelah meneliti berkaitan sistem yang ditawarkan ini, kami rumuskan bahawa terdapat beberapa isu syariah bagi kaedah bayaran yang ditawarkan. Isu-isu syariah yang dikenal pasti adalah sebagaimana berikut:
- Processing Fee (Caj Pemprosesan)
Processing Fee adalah caj tambahan yang dikenakan bagi pelanggan yang memilih pelan ansuran yang ditawarkan pihak Shopee. Pelanggan yang memilih bayaran menggunakan installment plan akan dikenakan caj pemprosesan sebanyak 1.25% setiap bulan daripada jumlah belian.[6] Tiada caj tambahan akan dikenakan sekiranya pelanggan bayar secara one-off dalam tempoh sebulan.[7]
Processing Fee yang dikenakan di atas dilihat mempunyai unsur riba kerana mengambil manfaat keuntungan daripada pinjaman yang diberikan. Namun begitu, para ulama kontemporari telah membincangkan berkenaan caj servis perkhidmatan dan seumpama dengannya. Caj servis perkhidmatan dibenarkan dengan mematuhi syarat-syarat ketat yang berikut:
- Caj yang dikenakan hendaklah bertepatan dengan kos sebenar (actual cost).
- Caj yang dikenakan hendaklah berdasarkan kos langsung (direct cost) bukannya kos tidak langsung (indirect cost) seperti pembayaran gaji pekerja dan sewa pejabat.
- Caj yang dikenakan tidak boleh dikenakan secara peratusan daripada jumlah pinjaman. Sebaliknya, ia hendaklah mengikut kadar sebenar kos pengurusan yang terlibat tanpa sebarang penambahan.
- Boleh dikenakan caj dalam bentuk anggaran sekiranya sukar untuk meletakkan satu amaun yang pasti melainkan selepas akaun tutup pada penghujung tahun. Jadi, sekiranya amaun sebenar sudah diketahui, setiap lebihan perlulah dipulangkan semula kepada penghutang mengikut medium yang dipersetujui bersama.
(Rujuk AAOIFI Shariah Standards, No.19 Loan (Qard)[8], hlm 518-519; Fatwa Dar al-Ifta’ Jordan No.3073[9])
- Late Payment Fee (Caj Lewat Bayar)
Late payment Fee atau Caj lewat bayar akan dikenakan kepada pelanggan yang gagal membuat bayaran dalam tempoh masa yang ditentukan bagi kedua-dua kaedah pembayaran. Pelanggan akan dikenakan caj tambahan sebanyak 1.5% daripada jumlah yang tertunggak secara bulanan.[10] [11]
Caj Lewat Bayar di atas dilihat mempunyai unsur riba yang jelas. Hal ini kerana setiap hutang yang disertakan bayaran tambahan akibat berlaku kelewatan dalam pembayaran adalah termasuk dalam kategori Riba al-Qard sepertimana yang telah dijelaskan.
Namun begitu, sekiranya caj tersebut dikenakan bagi menampung kos kerugian maka ia dibenarkan dengan syarat kos tersebut berdasarkan actual cost (kerugian sebenar) sebagai pampasan (ta’widh) bukanlah dianggap sebagai denda (gharamah) mahupun pendapatan tambahan bagi syarikat penyedia kewangan. (Rujuk: Resolusi Syariah Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia Berkaitan Ta’widh dan Gharamah, hlm. 129-130[12])
Kesimpulan
Setelah penelitian dilakukan terhadap sistem pembayaran ansuran yang ditawarkan Shopee iaitu SPayLater, kami mendapati bahawa terdapat beberapa isu-isu syariah yang timbul. Isu-isu syariah tersebut adalah pada caj pemprosesan dan Caj lewat bayar yang mempunyai unsur riba. Manakala bagi kaedah pembayaran secara one-off dalam tempoh sebulan, maka tiada isu syariah padanya kerana tidak ada unsur riba dan ia boleh digunakan. Namun, sekiranya pelanggan lewat bayar dan dikenakan caj tambahan, maka berlakukah riba al-Qard. Adalah ditegaskan bahawa umat Islam dilarang untuk terlibat dengan sebarang transaksi yang mempunyai unsur riba kerana riba adalah haram dan berdosa besar.
Wallahualam.
[1] https://shopee.com.my/docs/6977, Welcome to SPayLater Services (the “Services” or “SPayLater”) by SeaMoney Capital Malaysia Sdn Bhd
[2] =”وحرّم الربا”، يعني الزيادةَ التي يزاد رب المال بسبب زيادته غريمه في الأجل، وتأخيره دَيْنه عليه….. والأخرى من وجه تأخير المال والزيادة في الأجل، سواء
[3] والربا: هو الزيادة من قولهم: ربا السويق يربو إذا زاد , وهو الزيادة على مقدار الدَّيْنِ لمكان الأجل
[4] أَنَّ الرِّبَا فِي اللُّغَةِ الزِّيَادَةُ قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: “وَمَا آتيتم من الربا لِيَرْبُوَ فِي أَمْوَالِ النَّاسِ” أَيْ لِيَكْثُرَ “فَلَا يَرْبُو عِنْدَ اللَّهِ” (39-الرُّومِ) وَطَلَبُ الزِّيَادَةِ بِطَرِيقِ التِّجَارَةِ غَيْرُ حَرَامٍ فِي الْجُمْلَةِ، إِنَّمَا الْمُحَرَّمُ زِيَادَةٌ عَلَى صِفَةٍ مَخْصُوصَةٍ فِي مَالٍ مَخْصُوصٍ بَيَّنَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
[5] ربا القرض: الربا يجري في البيع كما تقدم في بحث الربا ـ ربا الفضل وربا النسيئة. ويجري أيضاً في القرض: بأن يقرض شخص آخر مبلغاً من المال على أن يرد له زيادة معينة أو يجري التعارف بالزيادة، أو يشترط عليه دفع فائدة شهرية أو سنوية على مبلغ القرض، كما يحدث الآن في التعامل مع البنوك الربوية ومع بعض التجار الذين يقومون بتشغيل بعض أموال الناس.
[6] https://help.shopee.com.my/s/article/SPayLater-What-is-SPayLater
[7] https://help.shopee.com.my/s/article/ShopeePay-Later-What-is-Processing-Fee-for-SPayLater-when-placing-orders-via-installment
[9] https://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=3073#.YWj0zBpBy5c
[10] https://help.shopee.com.my/s/article/ShopeePay-Later-What-are-SPayLater-Late-Payment-Charges
[11] https://help.shopee.com.my/s/article/ShopeePay-Later-What-happens-if-I-do-not-make-payment-on-time
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI