Ads

Pendermaan Organ & Tulang Arwah Aidil Bantu Puluhan Pesakit, Ini Perkongsian Sebak Dr. Syahr Musafir

arwah aidil

Bagi petugas perubatan, melangkah masuk ke dalam dewan bedah merupakan rutin harian yang menuntut fokus, ketelitian dan profesionalisme tinggi termasuklah menguruskan pendermaan organ arwah Aidil.

Namun, ada ketikanya sesuatu tugas yang digalas itu mampu menyentuh jiwa dengan begitu mendalam hingga sukar untuk menahan air mata.

Itulah pengalaman penuh keinsafan yang dikongsikan oleh Dr. Syahr Musafir, seorang doktor yang berkongsi pengalamannya menguruskan pendermaan organ oleh Allahyarham Muhammad Aidil Ahmad Zupard menerusi hantaran di laman Facebook miliknya pada Khamis lalu.

BACA JUGA: Eizlan Yusof Berjaya Genggam Sarjana Selepas 11 Tahun, Kisah Inspirasi Penuh Kesabaran

Menurut Dr. Syahr, sejak sehari sebelum prosedur pembedahan dijalankan lagi, hatinya sudah diselubungi rasa sebak yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Malah, perasaan itu terus terbawa-bawa sehingga keesokan paginya ketika beliau berada di dalam dewan bedah.

“Sejak semalam hingga hari ini pula, rasa lain macam hingga bergenang air mata. Berada dalam dewan bedah pagi-pagian hari ini pun rasa lain, mata tak kering. Badan tak makan apa-apa sejak pagi tetapi hingga tengah hari pun tak rasa apa. Entah dari mana datang kekuatannya,” luah beliau.

Mengulas lanjut mengenai proses tersebut, Dr. Syahr menyifatkan tanggungjawab menguruskan tisu tulang yang didermakan oleh seorang insan yang telah pergi menghadap Ilahi bukanlah sekadar prosedur kerja yang boleh diagihkan sesama rakan sepasukan. 

Ads

Sebaliknya, ia adalah satu amanah besar yang perlu disempurnakan dengan penuh penghormatan dan ketelitian.

Amanah Arwah Aidil Terhadap Organnya

“Arwah dermakan tulang. Amanah untuk kita ambil dengan baik. Amanah untuk kita kembalikan arwah dengan baik. Amanah untuk kita pastikan tulang-tulang ini dijaga dan akhirnya nanti boleh digunakan untuk merawat para pesakit lain dengan baik. Semua ini amanah,” tulisnya mengingatkan diri sendiri.

Bagi beliau, kesungguhan memberikan yang terbaik itu lahir daripada kesedaran bahawa tugas tersebut merupakan amanah daripada arwah sendiri, ahli keluarganya, rakan-rakan sepasukan dan yang paling utama, amanah daripada Allah SWT.

Apa yang paling menjentik hati doktor berkenaan adalah bagaimana seorang insan yang sudah menutup mata masih mampu meneruskan bakti dan memberi harapan baharu kepada puluhan pesakit lain. 

Selain tisu tulang yang bakal memulihkan kehidupan ramai penerima, penderma terbabit turut mendermakan dua biji buah pinggang, paru-paru, hati serta kornea mata.

Ads

“Setiap orang memainkan peranan masing-masing. Dan arwah walaupun meninggal dunia, ‘meneruskan lagi peranannya’ sebagai penderma. 

Ya Allah masya-Allah insan mulia…. Terima kasih, insan mulia,” katanya penuh syahdu.

Penghargaan Kepada Keluarga Arwah Aidil

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada ibu ayah serta adik-beradik penderma atas keikhlasan dan keredaan mereka mengizinkan pembedahan pendermaan organ serta tisu itu dilaksanakan.

“Insaf saya. Sebak tak terkata. Moga syurga buat arwah yang menderma. Ya Allah… Moga syurga buat kita sebab kita pun nak syurga,” titipnya di akhir perkongsian tersebut.

Ads

Terdahulu, insan mulia yang dimaksudkan dalam perkongsian Dr. Syahr itu ialah Allahyarham Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, anak bongsu daripada empat beradik yang meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Pengkalan Chepa, Kelantan baru-baru ini.

Sebelum pemergiannya, bekas graduan Diploma Pengurusan Pentadbiran dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang yang bekerja di sebuah kafe di Kota Bharu itu dikenali sebagai anak muda yang sangat pemurah, ringan tulang serta sempat membelikan burger buat ibu bapanya sebelum keluar dari rumah pada hari kejadian.

Selepas disahkan mengalami mati otak (brain dead) di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), keluarga Allahyarham bersepakat mendermakan organ serta tisu arwah yang berada dalam keadaan sangat sihat.

Ini adalah hasil gaya hidupnya yang aktif dan tidak merokok sebagai saham amal jariah yang berterusan buat arwah di alam sana.

Sumber: Syahr Musafir / Facebook

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download sekarang ya?

KLIK DI SEENI
Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi
∞
∞
Ads

Inspirasi Lain

Malcolm X: Kisah Menakjubkan Haji Yang Mengubah Pandangan Hidupnya

Malcolm X menemui keindahan persaudaraan Islam ketika menunaikan haji di Mekah pada 1964. Ketahui kisah menakjubkan yang mengubah pandangan hidupnya.