Rasa terhina dengan iklan raih simpati mohon sumbangan tahfiz, maahad mahupun masjid. ‘Macam Islam ini miskin sangat, tukarlah cara lain.’
Sebenarnya untuk memohon derma dan sumbangan tidak perlu meraih simpati atau merayu melalui cerita-cerita sedih atau kesusahan yang dilalui.
Sebaliknya ceritakan sesuatu yang lebih positif kerana pembinaan maahad, tahfiz dan masjid bukanlah sesuatu yang memalukan tetapi perkara yang cukup membanggakan sehingga sepatutnya orang lain berlumba-lumba untuk mengejar pahala.
Ikuti perkongsian Ustaz Nur Firdaus yang tidak selesa dengan cara mohon sumbangan sebegini kerana Islam bukan begini.
Maaf cakaplah. Saya secara peribadi tidak boleh terima cara mohon sumbangan maahad, pembinaan masjid dan tahfiz yang menggunakan NADA SEDIH serta RAIH SIMPATI dalam iklan mereka.
Tolonglah bangkit. Ingat kata-kata Abdullah bin Rawahah r.a ketika memberikan semangat kepada tentera Mu’tah,
“Kita berperang kerana Islam yang dengannya kita dimuliakan!”
Tolonglah bangkit. Bila kita bina sekolah, bermaksud kita sedang membina sebuah “pusat kecemerlangan dan pembentukan bakal-bakal penggerak dunia”.
Raih Simpati Mohon Sumbangan Tahfiz
Yang buka tahfiz, kamu sedang bina “pusat pembentukan pembawa kalam Allah, para penjaga Al-Quran”.
Ads
Malah, yang buka maahad, kamu sedang bina “pusat pembentukan ulama muda dan pakar syariah”.
Yang bina masjid, kamu sedang bina “pusat nukleus masyarakat untuk ibadah, pendidikan dan kebajikan.”
Mengapa guna nada sedih?
Mengapa ditonjolkan video keuzuran, runtuh, berlumut, anak-anak tidur atas lantai? Inikah rupa yang layak untuk pusat-pusat tersebut?
Macam Islam Ini Miskin Sangat
Gunakanlah nada semangat. Penerangan kena konstruktif, biar orang nampak jelas bahawa yang akan dibina ini bukan calang-calang tempat, tetapi tempat lahirnya bakal penjaga al-Quran, bakal ulama, bakal pakar-pakar bidang dan seumpamanya.
Terangkan visi dan misi betul-betul. Bagi orang faham bahawa sumbangan ini adalah untuk membangunkan agama dan anak-anak kita.
Ads
Jika guna nada sedih, maka ia lahirkan penderma yang selfish. Derma supaya lepas azab neraka. Derma supaya terbina mahligai di syurga. Itu yang jadi derma sekali sahaja. “Oklah tu, ustaz kata RM2.00 dapat satu bata di syurga.”
Bila kita terangkan matlamat dan nada motivasi, maka orang akan bersemangat untuk terus menderma sepanjang hayat, sebab dia tahu dari duit dialah akan lahirnya tokoh-tokoh di masa hadapan.
Kadang-kadang rasa terhina dengan sebahagian iklan yang terlalu mendayu raih simpati. Macam Islam ini miskin sangat.
Tukarlah Cara Lain
Fikirlah betul-betul, orang lain akan anggap orang Islam tiada semangat membangunkan manusia, tapi sekadar untuk melepaskan akhirat masing-masing.
Pahala itu belum tentu kita dapat. Banyak juga ujian untuk kekalkannya.
Tapi kalau berniat untuk bangunkan agama dan bangsa, insyaallah lebih mudah menjaga keikhlasan dan di situlah sebenarnya jaminan pahalanya.
Ads
Harvard dan hampir semua university Ivy League terbina atas sistem waqaf (endowment). Berbilion dollar mereka ada, macam-macam mereka boleh buat. Sebab ada ramai yang menyumbang?
Sebabnya satu, kerana institusi ini sentiasa bentangkan visi mereka, apa yang mereka hendak capai dan lahirkan. Orang confident, orang terus fund.
Kita Islam. Lagilah ada satu kelebihan. Setiap yang kita fund itu ada nilaian akhirat, malah diganda-gandakan oleh Allah.
Allah ambil suami mengejut, ibu muda ini bangkit demi anak. “Nekad berhenti kerja, pulang ke kampung halaman dan kini mula berniaga untuk meneruskan hidup.
Benarlah kehidupan di kota tak seindah yang disangka, apa lagi kehilangan suami secara tiba-tiba. Pasti segalanya tak mudah untuk diharungi ibu muda.
“Saya tidak mahu terlalu memikirkan kehilangannya dan fokus meneruskan kehidupan bersama anak,” kata bekas pekerja kilang elektronik, Nadzirah Kamaruzzaman, 29, yang kematian suami lebih sebulan lalu.
Nadzirah mengambil keputusan berhenti kerja di Shah Alam, Selangor dan pulang ke rumah keluarganya di Kampung Kubang Kuar, Rantau Panjang, Kelantan, untuk menjual kasut terpakai selepas suaminya, Allahyarham Mohamad Hafiz Sohani meninggal dunia akibat mati mengejut.
Berkongsi kisahnya, Nadzirah memberitahu, pada malam 31 November, dia menerima panggilan telefon yang memaklumkan Mohamad Hafiz mengalami sawan dan tidak sedarkan diri.
Bagaimanapun katanya, ada rakan yang membantu dan suaminya boleh bercakap seperti biasa sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
“Saya berada di rumah bersama anak kami, Mohd Faeq Mikael Mohd Hafiz, yang ketika itu berusia tiga bulan kerana bekerja shif pagi.
“Kira-kira jam 1 pagi, adik lelaki saya datang ke rumah dan memaklumkan suami saya meninggal dunia. Luruh jantung mendengarnya kerana dia tiada penyakit selama kami saling mengenali,” katanya.
Nadzirah tidak mengambil masa panjang kerana memikirkan anak yang masih kecil dengan terus berhenti kerja dan pulang ke kampung.
“Alhamdulillah, ALLAH SWT permudahkan kehidupan kami dua beranak selepas adik saya, Mohd Baharizi Kamaruzzaman mencadangkan menjual kasut berjenama terpakai,” katanya.
Lebih mengharukan katanya, modal untuk membeli kasut hasil daripada sedekah rakan-rakan dan keluarga yang tidak pernah putus.
Nadzirah yang berpengalaman menjual beberapa produk lain sebelum ini memberitahu, jualannya kini sudah dikenali penduduk setempat dan ada yang singgah untuk membeli dan mencadangkan supaya menambah jenis kasut.
Dia juga berhasrat menjualnya melalui dalam talian dibantu adik. Malahan, jelas ibu muda itu juga, tiada yang dimahukan dalam hidup selain membesarkan anaknya dengan sokongan dan kasih sayang keluarga.
Sementara itu, menurut Timbalan Pengarah Perkeso negeri, Wan Izani Wan Isa , Nadzirah layak menerima pencen penakat sebanyak RM1,746 sebulan seumur hidup.
“Anak Nadzirah turut layak menerima syer pencen itu sehingga berusia 21 tahun.
Menurut beliau, sebelum itu Skuad Perkeso Prihatin mengunjungi Nadzirah selepas menerima maklumat daripada orang awam dan memaklumkan layak menerima faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000.
Apabila sudah berjumpa calon yang sesuai, kedua-dua pihak baik lelaki atau perempuan perlu lebih berterus terang. Suarakan isi hati mahu mengakhiri perhubungan dengan satu ikatan halal.
Namun sebagai perempuan pastinya ada terselit rasa malu untuk bercakap secara terus terang dengan pasangannya.
Dalam hal ini lelaki sepatutnya lebih bersikap ‘gentleman’, beritahu pasangan anda untuk menjadikan pasangannya sebagai isteri yang sah.
Kalau hati sudah suka, tidak ada alasan untuk melenggahkan sebuah ikatan perkahwinan. Kebiasaannya lelaki yang seperti tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seoang suami, malah sering memberi alasan ‘kalau ada jodoh adalah’.
Ini menunjukkan mereka sebenarnya tidak serius dalam membina suatu hubungan itu. Wanita pula kalau sudah sayang, hatinya tidak akan berbolak balik, malah mengimpikan kehidupan lebih bahagia bersama Imamnya yang akan membimbing hingga ke jannah.
Ikuti perkongsian yang dari laman sosial Facebook yang boleh kita jadikan panduan terutama buat pasangan yang masih dalam fasa bercinta. Tetapi diingatkan bercinta lama-lama tida elok kerana boleh menjurus kepada perlakuan zina.
“Awak, awak serius ke nak kahwin dengan saya?”
“Kalau ada jodoh, ada la. Kalau tak de nak buat macam mana?”
***
Akan ada lelaki yang tidak merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat tetapi menjalinkan hubungan cinta dengan seorang perempuan sekadar suka-suka dan mengisi kesepian di hati. Tengok semua kawan-kawan dia ada makwe, dia pun nak ada sama.
Perempuan dah sayang kat kau, kau boleh pula cakap kalau ada jodoh ada la. Dah tiga tahun bercinta, kau bagi harapan kat dia, kau ajak dia keluar dating boleh lagi cakap macam tu?
Kaum perempuan ni, malas nak start balik. Dia setia je dengan kau, tapi kau buat tak kisah pulak. Kalau kau tak ada niat nak kahwin dengan dia tak payah la nak beri harapan atau ajak dia bercinta dulu. Simple.
Dah bercinta lama-lama bila dah rasa boring, mula la nak minta putus. Bagi alasan “awak terlalu baik untuk saya la”, “saya tak sempurna”, “saya tak bersedia jadi suami la”. Macam bangang.
Sekurang-kurangnya masuk meminang dulu. Biarlah ada ikatan. Usaha ke arah perkahwinan itu kena ada. Ini tiap minggu ajak keluar, makwe kau suruh masuk meminang taknak. Suruh datang jumpa keluarga terus menggelupur sawan pula. Kakakaka.
Kau usaha la. Perempuan ni tak kisah pun nak kumpul duit hantaran sama-sama. Masa bercinta kemain caring. Dah dapat terus dingin dan langsung tak merancang untuk berkahwin.
Kalau tak serius lepas tu tak sempat simpan duit belanja kahwin. Akhirnya pinjam bank RM20K. Lepas tu? Kau fikirlah sendiri.
Perancangan kena ada. Kahwin mudah, tapi janganlah kau ambil mudah. Lepas kahwin kena rancang juga. Kena fikir juga perancangan keluarga kau.
***
Kalau kau dah berkenan dengan seseorang tu atau dah lama bercinta cepat-cepatlah berkahwin. Jangan buang masa dengan bercinta tapi akhirnya tidak ke mana.
Lelaki yang bakal jadi ketua keluarga. Kau lah patut berusaha ke arah menjadikan perempuan yang kau suka jadi yang halal. Jangan teruskan bagi harapan palsu. Jangan teruskan menabur janji manis. Jangan terus membiarkan makwe kau menanti dan terus menanti.
Jangan sebab nak majlis kahwin yang grand, kau tangguhkan perkahwinan. Rugi bercinta lama-lama.
Jadi, fikir-fikirkanlah apa yang perlu kau buat lepas ni. Jangan tunggu lama-lama, nanti lama-lama dia diambil orang. Baru padan muka kau. Kah3!
Kredit: Amir Shahir
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Malam Nisfu Sya’ban adalah hari di mana buku catatan amalan orang-orang Muslimin selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru.
Nisfu bermaksud separuh (Nisf). Oleh itu Nisfu Sya’ban bermaksud separuh daripada bulan Sya’ban, iaitu pada malam ke-15. Malam Nisfu Sya’ban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar. Malam Nisfu Sya’ban tahun ini jatuh pada hari ini, 28 Mac membawa ke 29 Mac 2021.
Dalam pada itu tiada amalan khusus perlu dibuat di malam Nisfu Sya’ban sebagaimana yang tular dalam masyarakat tapi kita digalakkan berdoa, berzikir dan mengaji di malam Nisfu Sya’ban. Bahkan kita disunatkan berpuasa sunat Sya’ban pada esok harinya.
Dipetik dari pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan status hadis beberapa amalan yang perlu dibuat di malam Nisfu Sya’ban, ini panduan yang boleh kita fahami mengenainya.
Jawapan :-
Segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Bulan Sya’ban adalah merupakan di antara bulan yang agung dalam syarak. Rasulullah SAW memperbanyakkan ibadah pada bulan ini dan disunatkan bagi kita untuk mempertingkatkan amalan dan ibadah kita sebagaimana yang disebut di dalam hadith yang sahih. Di samping itu, terdapat beberapa hadith yang menceritakan akan kelebihan malam nisfu Sya’ban.
Hadith-hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban telah diriwayatkan daripada Nabi SAW melalui beberapa jalur. Antaranya melalui jalur Abu Musa al-Asy’ari RA, Aisyah RA, Abu Tha’labah RA, Abdullah bin Amr RA, Mu’az bin Jabal RA, Abu Hurairah RA dan Abu Bakar RA.
Matan hadith
Di sini kami datangkan beberapa matan hadith yang berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban. Antaranya:
إِنَّ اللَّهَ لَيَطَّلِعُ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 1380] Imam al-Zahabi mengatakan hadith ini dhaif disebabkan terdapat pada sanadnya Ibn Lahi’ah. [Lihat: Talkhis al-‘ilal al-Mutanihiyah, 184]
إنَّ اللهَ تعالى يَنْزِلُ ليلةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا ، فيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعْرِ غَنَمِ كلبٍ Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan sebanyak bilangan bulu kambing pengawal”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 670] Al-‘Aini mengatakan hukum hadith ini adalah munqathi’. [Lihat: ‘Umdah al-Qari, 11:116]
إِذَا كَانَ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ اطَّلَعَ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فَيَغْفِرُ لِلْمُؤْمِنِ، وَيُمْلِي لِلْكَافِرِينَ، وَيَدَعُ أَهْلَ الْحِقْدِ بِحِقْدِهِمْ حَتَّى يَدَعُوهُ Maksudnya: “Apabila tiba malam nisfu Sya’ban, Allah SWT melihat kepada makhluk-Nya. Kemudian Allah SWT mengampunkan orang yang beriman serta mengabaikan orang yang kufur dan membiarkan orang yang dengki dengan dengkinya sehingga mereka itu meninggalkannya”. [Syu’ab al-Iman, no. Hadith 3551] Ibn Jauzi mengatakan bahawa hukum hadith ini adalah tidak sahih. [Lihat: al-‘Ilal al-Mutanihiyah, 2:560]
يَطَّلِعُ اللهُ عزَّ وجلَّ إلى خَلْقِهِ ليلَةَ النِّصفِ مِنْ شَعْبَانَ ، فيَغْفِرُ لِعبادِهِ إِلَّا لِاثْنَيْنِ مُشَاحِنٍ ، وقَاتِلِ نَفْسٍ Maksudnya: “Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan hamba-Nya kecuali dua (golongan) iaitu orang yang bermusuhan dan orang yang membunuh diri”. [Riwayat Ahmad, no. Hadith 6353] Ibn Hajar mengatakan sanadnya layyin (salah satu daripada ciri hadith dhaif). [Lihat: al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair, 2:43] Manakala Ahmad Syakir mengatakan sanadnya adalah sahih [Lihat: Musnad Ahmad, 10:127]
يَطَّلِعُ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فِيْ لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيْعِ خَلْقِه إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ Maksudnya: “Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 5665]
إِذَا كَانَ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ يَغْفِرُ اللهُ لِعِبَادِهِ إِلَّا لمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ Maksudnya: “Apabial tiba malam nisfu Sya’ban, Allah SWT mengampunkan hamba-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Majma’ al-Zawaid, 8:68] Imam al-Sakhawi menyatakan bahawa perawi-perawinya tidak ada dipertikaikan. [Lihat: al-Ajwibah al-Mardhiyyah, 1:325]
يَنْزِلُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لِكُلِّ نَفْسٍ إِلَّا إِنْسَانًا فِيْ قَلْبِهِ شَحْنَاء أَوِ المُشْرِكَ بِاللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ Maksudnya: “Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan setiap yang bernyawa kecuali orang yang ada dalam hatinya permusuhan dan juga orang yang syirik”. Imam al-Bukhari mengatakan padanya nazhar (perlu diteliti),manakala Ibn ‘Adiy mengatakan sanadnya mungkar. [Lihat: Lisan al-Mizan, 5:269]
Tarjih hukum hadith
Setelah melihat hadith-hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban telah berlaku perselisihan antara para ulama’ dalam menyatakan hukum berkenaan hadith ini.
Sebahagian mereka mengsahihkan hadith ini dan sebahagian lagi sebaliknya. Berdasarkan hadith-hadith yang kami nyatakan, ia menunjukkan akan sabitnya hadith-hadith yang menceritakan akan kelebihan malam nisfu Sya’ban sehinggakan Ibn Hibban mengsahihkan satu riwayat daripada Mu’az bin Jabal tanpa memerlukan sokongan daripada jalur yang lain. Untuk itu, kami cenderung untuk mengatakan bahawa hukum hadith ini sahih dengan kesemua jalur-jalurnya yang lain dan ini menunjukkan bahawa hadith ini mempunyai asal. Walaubagaimanapun, kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sabit namun amalan tertentu pada malam tersebut adalah tidak ada sama sekali melainkan amalan yang bersifat umum seperti memperbanyakkan zikir, istighfar kepada Allah SWT, solat-solat sunat, berdoa, bersedekah dan lain-lain lagi.
Antara ulama’ yang menyatakan sedemikian ialah Syeikh Syuaib al-Arnaouth ketika mentahqiqkan kitab Sahih Ibn Hibban bahawa hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sahih berdasarkansyawahid-syawahidnya dan syawahid-syawahid ini saling menguatkan antara satu sama lain dalam bab ini (kelebihan malam pertengahan bulan Sya’ban) walaupun setiap jalur itu mempunyai perbincangan. [Lihat: Sahih Ibn Hibban, 12:481]
Feqah hadith
Antara feqah hadith yang boleh diambil dan difahami daripada hadith-hadith ini:
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا Maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun”. [Nuh:10]
إِنَّ اللَّـهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّـهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa syirik yang mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah SWT (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar”. [al-Nisa’:48]
تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ، فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لَا يُشْرِكُ بِالله شَيْئًا إِلَّا رَجُلًا كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ، فَيُقَالُ: أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا، أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا، أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا Maksudnya: “Sesungguhnya pintu-pintu syurga pada hari Isnin dan Khamis maka diampunkan setiap hamba yang tidak syirik kepada Allah SWT dengan sesuatu kecuali bagi orang yang antara dia dan saudaranya saling bermusuhan. Lalu dikatakan: Tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai”. [Riwayat Muslim, 4652]
لاَ تَبَاغَضُوا ، وَلاَ تَحَاسَدُوا ، وَلاَ تَدَابَرُوا ، وَكُونُوا عِبَادَ اللهِ إِخْوَانًا Maksudnya: “Janganlah saling memarahi, saling mendengki, saling membelakangi. Jadilah kalian hamba-hamba Allah SWT yang bersaudara”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 5612]
Maksudnya: “Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan. Para sahabat RA bertanya: Wahai Rasulullah SAW, apakah perkara-perkara tersebut? Rasulullah SAW bersabda: Syirik kepada Allah SWT, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah SWT kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri daripada peperangan dan menuduh wanita mukmin yang suci melakukan zina”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 2560]
Pendapat ulama’ berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban
Berikut adalah beberapa pendapat ulama’ berkaitan malam nisfu Sya’ban:
Telah berkata Imam al-Syafie RA: “Doa mustajab adalah pada 5 malam, iaitu malam jumat, malam al-Adha, malam al-Fitri, malam awal bulan Rejab, dan malam nisfu Sya’ban”. [Lihat: al-Um, 1:264]
Ibnu Rajab RA mengatakan: “Berkaitan malam nisfu Sya’ban, pada zaman dahulu para tabi’in daripada penduduk al-Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir, dan beberapa para tabi’in yang lain memuliakannya (malam tersebut) dan mereka bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu”. [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 247]
Pendapat ulama’ berkaitan solat sunat al-Raghaib (الرغائب)
Solat al-Raghaib adalah solat sunat yang dilakukan pada awal malam dalam bulan Rejab sebanyak 12 rakaat dan juga ia dilakukan pada malam nisfu Sya’ban sebanyak 100 rakaat. Selain itu, solat ini dilakukan antara waktu Maghrib dan Isyak. Antara dalil yang digunakan bagi menyatakan akan kewujudan solat ini adalah:
Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda: يَا عَلِي, مَنْ صَلَّى مِائَة رَكْعَة لَيْلَة النِّصْفِ مِنْ شَعْبَان، يَقْرَأ فِي كُلِّ رَكْعَة بِفَاتِحَةِ الكِتَاب, وَقُلْ هُوَ اللهُ أَحَدْ عَشرَ مَرَّات, إِلَّا قَضَى اللهُ لَهُ كُلّ حَاجَة Maksudnya: “Wahai Ali, barangsiapa yang solat seratus rakaat pada malam nisfu Sya’ban, lalu dia membaca setiap rakaat itu surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas sebanyak sepuluh kali pasti Allah SWT akan memakbulkan setiap hajatnya”.
Hadith ini adalah palsu sebagaimana dihukum oleh Imam al-Syaukani , Imam Ibn al-Jauzi dan ramai lagi dalam kalangan ahli hadith. Selain itu, Imam Ibn al-Qayyim juga menyatakan bahawa antara hadith-hadith palsu adalah hadith berkaitan solat pada malam nisfu Sya’ban. [Lihat al-Manar al-Munif, 98] Antara pendapat para ulama’ berkaitan solat sunat al-Raghaib adalah:
“Adapun solat sunat al-Raghaib adalah seperti solat yang biasa pada malam nisfu Sya’ban dan kedua-dua ini (solat pada awal malam dalam bulan Rejab dan malam nisfu Sya’ban ) adalah bid’ah yang buruk dan dikeji. Hadith berkaitannya pula adalah palsu maka ia dibenci kepada pelakunya samada bersendiri atau berjemaah”. [Lihat: al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1:216]
“Solat yang dikenali dengan solat al-Raghaib adalah solat yang dilakukan pada awal malam dalam bulan Rejab sebanyak 12 rakaat antara waktu Maghrib dan Isyak dan juga solat pada malam nisfu Sya’ban sebanyak 100 rakaat. Kedua-dua solat ini adalah bid’ah yang mungkar lagi buruk”. [Lihat: al-Majmu’, 3:548]
“Solat al-Raghaib adalah palsu (direka) di atas nama Rasulullah SAW dan pendustaan ke atas Baginda SAW. Para ulama’ telah menyebut akan bid’ah dan keburukan kedua solat ini dengan beberapa cara: Antaranya adalah bahawa sahabat, tabi’in dan generasi selepas daripada mereka daripada kalangan imam-imam yang mujtahid tidak menyatakan akan kedua solat ini. Jika kedua solat ini disyariatkan maka mereka tidak akan terlepas daripada melakukannya. Tambahan pula, ia muncul selepas 400 tahun”.
“Ini adalah solat al-Raghaib yang masyhur yang mana para huffaz telah bersepakat bahawa ianya palsu atau direka”. [Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 48] Berdasarkan sebahagian pendapat ulama’ yang kami nyatakan ini, maka di sini kami ingin tekankan dan jelaskan bahawa solat al-Raghaib adalah tidak mempunyai asal di dalam agama dan ia merupakan satu pendustaan yang direka di atas nama Nabi SAW.
Amalan yang digalakkan pada malam nisfu Sya’ban
Islam tidak meletakkan sesuatu amalan khusus yang mungkin boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah untuk diamalkan pada malam nisfu Sya’ban tetapi dalam masa yang sama, kita hendaklah mengambil peluang dengan kelebihan yang ada pada malam tersebut dengan beramal sebanyak-banyaknya samada dengan membaca al-Quran, solat sunat, berzikir dan lain-lain lagi. Walaubagaimanapun, kesemua amalan ini tidak boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah yang mesti dibuat dalam bentuk tuntutan kerana kesemua amalan ini adalah bersifat umum. Oleh itu, sekali lagi kami nyatakan bahawa tiada amalan khusus yang sabit daripada Nabi SAW berkaitan malam nisfu Sya’ban.
Penutup
Kesimpulannya, kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sabit berdasarkan hadith yang kami nyatakan di awal perbahasan iaitu Allah SWT akan turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban dan mengampunkan hamba-hamba-Nya. Dalam masa yang sama, tidak ada amalan yang khusus pada malam nisfu Sya’ban melainkan amalan-amalan yang bersifat umum. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam melaksanakan ibadah serta memelihara kita daripada melakukan perkara-perkara yang tidak mempunyai asal di dalam agama. Amin.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Dalam kesibukan kehidupan seharian yang sering menuntut tenaga fizikal dan emosi, waktu sebelum tidur menjadi detik paling sesuai untuk seorang Muslim kembali menenangkan jiwa...