Solat jenazah ibu bapa, anak lebih afdal jadi imam…
Hati mana yang tak tersentuh bila mana melihat anak yang kematian ibu bapa mengambil tanggungjawab menyempurnakan solat jenazah untuk orang tua mereka.
Apatah lagi bila anak-anak ini masih lagi muda remaja. Sebak dan dalam masa yang sama terharu. Terbaru adalah tatkala melihat foto anak kepada arwah penyanyi nasyid Suhaimi Saad yang mengimamkan solat jenazah bapanya.
Hakikatnya sememangnya seorang anak itu lebih afdal menjadi imam untuk solat jenazah orang tuanya. Perkara ini dijelaskan oleh Ustaz Azhar Idrus dalam satu ceramahnya bila ditanya persoalan antara anak dan imam, siapakah yang afdal menjadi imam solat jenazah?
Anak lebih afdal jadi imam solat jenazah ibu bapa
Menjawab persoalan itu, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, sudah tentulah anak yang paling afdal mengimamkan solat jenazah untuk ibu bapanya.
“Para ulama menyebut, apabila berlaku kematian seseorang contohnya ibu bapa, yang paling afdal adalah anak si mati (imamkan solat jenazah).
Ads
“Andai tok imam atau orang kampung dan sebagainya menjadi imam (solat jenazah ibu bapa kita), harus hukumnya.
“Perlu difahami afdal itu bukanlah bermaksud wajib, tetapi dialah yang terlebih molek (terbaik) dan terlebih banyak pahala,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di YouTube miliknya.
Sementara itu, pendakwah Syeikh Zaini Ahmad menerusi video yang disiarkan dalam YouTube D’nar Cairo SKJDP berkongsikan fadilat apabila seorang anak mengimamkan solat jenazah ibu bapanya yang meninggal dunia.
Ads
Jelas beliau, pintu syurga akan terbuka kerana ALLAH merahmati si mati asbab anaknya yang mendirikan solat jenazah buat orang tua mereka.
“Bayangkan anaknya sendiri yang bertakbir dengan penuh kasih sayang. Sebenarnya harapan dia (anak) supaya ALLAH buat baik pada mak dia, itulah doanya dalam hati yang tidak terkeluar pada mulut. Doa itu mustajab.
“Dia (anak) tak baca doa apa, tapi harapan dia itu ‘Ya ALLAH, ampunkanlah dosa mak aku’, itu doalah tu. Mana-mana mak ayah yang mati disolatkan jenazah diimamkan oleh anak, ketahuilah, mak ayah itu calon ahli syurga.
“Kalau kami hendak mak kamu di syurga, maka buatlah sesuatu yang terbaik kali terakhir untuk dia,” ungkapnya.
Dalam pada itu, sebaiknya kita belajar solat jenazah yang menjadi fardu kifayah buat umat Islam. Sesungguhnya menyempurnakan solat jenazah adalah bakti terakhir seorang anak lelaki buat orang tua mereka.
Gaduh sikit merajuk. Gaduh sikit minta pulangkan hadiah yang diberi minggu lepas.
Meminta semula hadiah yang sebelumnya diberikan penuh keikhlasan boleh diibaratkan buruk siku. Tindakan ini seperti tidak matang dan berdasarkan emosi.
Apapun juga, pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ada jawapannya.
Soalan Assalamualaikum w.b.t Datuk Mufti. Saya ada soalan berkenaan hadiah. Individu A memberikan hadiah kepada individu B. Kemudian, setelah 2 bulan, individu A meminta semula hadiah yang diberikannya kepada individu B.
Jawapan Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Akhirat.
Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah S.W.T: فَإِنْ طِبْنَ لَكُمْ عَنْ شَيْءٍ مِنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَرِيئًا Maksudnya: Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya. (Surah al-Nisa’: 4)
Ayat ini menerangkan bahawa apabila seorang isteri memberikan sesuatu dari maharnya kepada suaminya selepas mahar tersebut diserahkan kepadanya (isteri), maka diharuskan bagi suami tersebut untuk menerimanya.
Dan ia adalah perkara yang baik selagimana dalam keredhaan. Justeru, jelas melalui ayat ini, Allah S.W.T telah mensyariatkan hibah dan menyatakan keharusannya.
Ini dikuatkan juga dengan sabda Nabi Muhammad S.A.W: تهادُوْا تحابُّوا Maksudnya: “Hendaknya kalian saling memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai”.
Riwayat al-Bukhari (594). (Lihat: al-Adab al-Mufrad; muka surat 306), Hadith Shohih, (Lihat juga Irwa’ al-Ghalil; 6/44)
Hadis ini merupakan galakan daripada Nabi Muhammad S.A.W buat umatnya. Maka, sudah jelas terang lagi bersuluh bahawa hibah merupakan sunnah berdasarkan kepada nas al-Quran, hadis Nabi Muhammad S.A.W dan juga ijma’ ulama’.
Sebelum diulas lanjut berkenaan hadiah, maka perlu kita bezakan terlebih dahulu pengertian hibah, hadiah dan juga sedekah.
Hibah ialah suatu akad yang merujuk kepada pemindahan hak milik tanpa sebarang gantian, ketika masih hidup dan dilakukan secara sukarela.
Pada dasarnya, ia mempunyai persamaan dengan hadiah dan juga sedekah dari sudut pengertian, bahkan ia lebih umum berbanding keduanya. Namun, ia juga mempunyai perbezaan.
Sedekah pada zahirnya ialah pemindahan hak milik kepada orang yang memerlukan, biasanya sebagai usaha mendekatkan diri kepada Allah dan beroleh pahala. Manakala hadiah pula pada zahirnya ialah pemindahan hak milik kepada orang yang mahu didekati dan dikasihi.
Biasanya ia membabitkan pemindahan barangan yang dihadiahkan kepada penerima. Justeru itu, ulama’ mengatakan setiap hadiah atau sedekah merupakan hibah, dan bukan semua hibah adalah hadiah ataupun sedekah. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji; 6/116)
Berbalik kepada soalan yang diajukan, ia berkait rapat dengan rukun-rukun hibah. Rukun-rukun ini ialah:
Pada dasarnya, akad ini tidak sempurna hanya dengan sighah aqad iaitu lafaz ijab dan qabul. Bahkan perlunya kepada penerimaan barangan hibah atau hadiah tersebut.
Ini bermakna, jika seseorang mengucapkan lafaz ingin memberikan hadiah kepada seseorang namun barangan yang ingin dihadiahkannya itu belum lagi diserahkan kepada si penerima, maka pemberi hadiah ini berhak untuk menarik semula keinginannya itu.
Justeru, akad ini akan menjadi sempurna dan berkuatkuasa hanya setelah apabila hadiah tersebut diterima dan memenuhi syarat-syarat bagi hibah atau hadiah, maka sahlah pemilikannya (penerima) ke atas barangan hibah itu.
Asal bagi aqad hadiah mahupun hibah adalah kedua-duanya merupakan akad tabarru’at (kebajikan) dan bukannya akad mu’awadhat (pertukaran). Maka, dalam hal kebajikan, tidak berlakunya pertukaran barangan sepertimana urusan jual beli dan lain-lain.
Seperti yang dibincangkan dalam perihal di atas, asas aqad hibah atau hadiah ini ialah apabila sempurnanya rukun-rukun dan juga syarat-syaratnya, serta telah sempurna penerimaan barangan hadiah/hibah tersebut, maka jelaslah ia merupakan hak milik si penerima, tanpa perlu kepada sebarang pertukaran sepertimana jual beli.
Sehubungan dengan itu, tidak dibenarkan atau tidaklah dibolehkan bagi si pemberi untuk meminta semula hadiah atau hibah yang telah diberikannya melainkan seorang ayah meminta semula harta yang telah diberikan kepada anaknya atau sesorang yang melakukan hibah dengan syarat pertukaran.
Maka, dalil bagi perbuatan ini adalah berdasarkan kepada hadis Nabi Muhammad S.A.W: «العَائِدُ فِي هِبَتِهِ كَالعَائِدِ فِي قَيْئِهِ» Maksudnya:
“Orang yang meminta semula hibahnya sama seperti orang yang memakan semula muntahnya”.
Riwayat al-Bukhari (2621)
Atau dalam riwayat yang lain: «لَيْسَ لَنَا مَثَلُ السَّوْءِ، الَّذِي يَعُودُ فِي هِبَتِهِ كَالكَلْبِ يَرْجِعُ فِي قَيْئِهِ» Maksudnya: “Kita tidak melakukan perbuatan yang buruk itu, iaitu orang yang meminta semula anugerah (hibah) mereka samalah seperti anjing yang menelan semula muntahnya.” Riwayat al-Bukhari (2622)
Justeru itu, melalui kedua-dua hadith ini, jelas menunjukkan larangan dan juga betapa buruknya sikap mereka yang meminta semula pemberian itu.
Maka, Dr.Wahbah al-Zuhaili berkata: فالرجوع في القيء حرام، فكذلك الرجوع في الهبة، وأن ذلك مثل السوء الذي يتنافى مع أخلاق المسلم Maksudnya: Maka menelan semula muntah adalah haram. Begitu juga meminta semula hibah atau hadiah yang telah diberikan. Dan sesungguhnya ia adalah perbuatan dan juga sikap yang buruk, lantas ia bukanlah akhlak seorang Muslim.
Penutup Kesimpulannya, hukum meminta semula hadiah yang telah diberikan kepada seseorang adalah haram melainkan tuntutan semula seorang ayah terhadap anaknya dan juga hibah yang diberikan berserta syarat pertukaran.
Akhir kalam, kami menasihati orang ramai agar menjauhkan diri dari bersikap dengan perbuatan ini iaitu meminta semula hadiah, kerana ia merupakan perbuatan yang buruk dan tidak sesuai dengan akhlak seorang Muslim.
Semoga Allah S.W.T meletakkan keikhlasan dalam diri kita dalam hal kebajikan, murahkan rezeki kita agar dapat perbanyakkan diri dengan amalan-amalan kebajikan.
Semoga Allah S.W.T memberkati segala amal kebajikan kita semua.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Begitu mulianya seorang ibu hingga disebut doanya mampu menembus langit. Tak ada lagi hijab antara ibu dan Allah SWT ketika ia panjatkan doa penuh ketulusan untuk anaknya. Malah setiap anak dituntut berbuat baik dengan kedua ibu bapa tanpa mengira kedudukan ibu bapa itu sendiri.
"Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun . Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapakmu, hanya kepada-Kulah kembalimu.” (Qs. Luqman : 14)
Tentu ada antara kita tahu, kisah Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam yang pernah ditanya oleh sahabatnya mengenai orang yang wajib kita hormati. Baginda menjawab “Ibumu”, Ibumu, Ibumu hingga tiga kali kemudian barulah Rasulullah SAW menjawab “Ayahmu” selepas itu.
Begitu mulianya seorang Ibu sehingga harus kita hormati hingga tiga kali lebih besar dibandingkan dengan seorang ayah. Bagaimana tidak? Pengorbanan seorang ibu terhadap anaknya sangatlah besar. Dari mula mengandung, melahirkan, mendidik hingga dewasa.
Selepas mendirikan rumahtangga, setiap pasangan pasti inginkan anak sebagai penyeri rumahtangga.
Ketika seorang wanita sudah menjadi IBU, maka ALLAH akan menganugerahkan kepadanya satu senjata yang sangat ampuh di muka bumi..
"Tahukah apa itu?"
Itu adalah Lisannya.
Lisannya akan menjadi berat timbangannya.
Lisannya akan menjadi pembuka pintu-pintu langit.
Ucapannya akan diangkat ke langit. Doanya langsung tiada hijab dengan Allah.
Doa ibu akan mampu menjadi penghalang kesulitan bagi setiap zuriat keturunannya.
Dan apabila seorang ibu mengeluh tentang anak-anaknya, ia menjadi langkah pemberat setiap urusan ahli keluarganya termasuk suaminya.
Maka jangan sesekali seorang ibu mengeluh kerana setiap setiap keluhan itu akan menjadi satu kenyataan, sebagaimana harapan dan doanya akan menjadi kenyataan di hadapan Allah. Setiap ucapan seorang ibu akan menjadi keburukan buat diri anak-anak dan keluarganya.
Lisan seorang ibu itu layaknya mukjizat para Nabi atau karomah para kiai.
Maka berhati-hatilah wahai para ibu ketika anda menggunakan senjata terampuh ini.
Gunakan untuk bermunajat meminta kepada ALLAH agar suamimu dipermudahkan dalam mencari nafkah. Jangan mengeluhkan tentang dirinya. Kerana mengeluh itu akan semakin memberatkan rezekinya.
Gunakan untuk bermunajat meminta kemudahan dan kesolehan atas anak-anakmu kepada Yang Maha Esa, jangan mengeluh langsung kerana ia akan menjadi keburukan pada penghidupan anak-anakmu.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Anak kecil menangis waktu malam terutamanya jika berpanjangan memang meresahkan ibu bapa. Boleh jadi kerana tidak selesa, sakit atau tak mustahil adanya gangguan syaitan.
Dalam hal ini bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil ini ada beberapa amalan yang boleh dilakukan sebagai usaha untuk menghentikan bayi yang menangis ini.
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan walaupun tiada doa khusus yang perlu dibacakan supaya anak kecil tidak menangis namun ibu bapa boleh saja mempraktikkan doa dengan apa lafaz sekali pun dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh syarak.
Namun begitu, yang terbaiknya adalah dengan membacakan doa yang terdapat di dalam al-Quran mahupun hadis Nabi SAW.
Boleh jadi bayi menangis di waktu malam disebabkan lapar. Boleh jadi juga kerana sakit dan boleh jadi juga kerana gangguan dari syaitan.
Maka yang pertamanya perlulah diketahui akan sebab utamanya terlebih dahulu. Adapun untuk mengelak dari gangguan syaitan, terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan. Antaranya:
2. Membaca Ayat al-Kursi
3. Membaca Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah al-Nas.
Doa dan ayat al-Qur’an di atas boleh dibacakan pada air dan dipercikkan kepada mereka yang sakit. Ini berdasarkan perbuatan Nabi SAW kepada Thabit bin Qais.
Amalan ini boleh diamalkan dan insyaAllah dengan izin Allah SWT dapat menghilangkan rasa sakit serta gangguan terhadap anak kecil.
Batas aurat Muslimah di hadapan wanita bukan Islam sering menjadi persoalan. Ketahui pandangan jumhur ulama, penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan serta panduan menjaga aurat mengikut syariat Islam.