Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca dua ayat terakhir dari surah al-Baqarah pada waktu malam telah cukup baginya dengan keduanya.” [Riwayat al-Bukhari (5009)]
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
IKLAN
Al-Quran merupakan sebuah kitab mukjizat yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril AS. Di samping itu, di dalam al-Quran juga terkandung seribu satu rahsia bagi sesiapa yang mentadabburnya dan sentiasa melaziminya dengan membacanya. Selain itu, terdapat banyak kelebihan yang akan diperolehi bagi orang yang sentiasa membaca dan mengamalkan ayat-ayat suci al-Quran berdasarkan kepada nas yang sahih sama ada daripada al-Quran dan juga hadith Nabi SAW.
Berdasarkan soalan di atas, antara makna telah cukup baginya di dalam hadith di atas sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya ketika mensyarahkan hadith ini terbahagi kepada beberapa makna:
Telah cukup baginya qiyamullail (bangun di tengah malam untuk beribadah)
Telah cukup baginya untuk membaca al-Quran sama ada di dalam atau di luar solat.
Telah cukup baginya perkara-perkara yang melibatkan aqidah kerana ayat tersebut menceritakan tentang keimanan dan amalan secara umum.
Telah cukup baginya (terselamat) daripada segala keburukan.
Telah cukup baginya (terselamat) daripada keburukan syaitan
Telah menolak keduanya (ayat tersebut) daripada keburukan manusia dan jin.
Telah cukup baginya untuk mendapatkan kebaikan daripada keduanya.
Melihat kepada makna-makna di atas, Imam Ibn Hajar mengatakan boleh jadi yang dimaksudkan oleh hadith adalah semua yang telah disebutkan. [Lihat: Fath al-Bari, 9/56] Tambahan pula, Imam al-Nawawi berkata makna cukup baginya di dalam hadith di atas adalah cukup baginya mendirikan malam pada malam tersebut, cukup baginya (terpelihara) daripada keburukan syaitan serta daripada kebinasaan-kebinasaan dan boleh jadi ia membawa makna kesemuanya sekali. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 6/91-92]
Maksudnya: “Rasulullah telah beriman terhadap apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya dan juga orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, Malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan Rasul-rasul-Nya. (Mereka berkata): Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain daripada kalangan rasul-rasulnya. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunan-Mu wahai Tuhan kami dan kepada-Mu jualah tempat kembali. Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami. Oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”
Penutup
Kesimpulannya, terdapat banyak kelebihan yang akan diperolehi bagi orang yang membaca di waktu malam dua ayat yang terakhir dari surah al-Baqarah ini serta memahaminya dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian mereka. Tambahan pula, hadith yang menceritakan berkaitan kelebihan ini adalah bersumberkan daripada hadith yang sahih iaitu daripada kitab Sahih al-Bukhari yang merupakan kitab paling sahih selepas al-Quran. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan ahli al-Quran dan orang-orang yang sentiasa mencintai serta mengamalkan apa yang terdapat di dalam al-Quran. Amin.
Kala ini netizen mungkin sedang berbalah mengenai isu instafamous yang juga usahawan Hafiz Mahamad yang berkongsi kenangan menguruskan sahabat baiknya, Loh atau nama sebenar arwah Wan Mohd Abdullah Wan Mohd Noor. Walau Hafiz sudah memberi penjelasan bahawa dia tiada niat membuka aib sesiapa tapi isu ini terus mendapat perhatian ramai.
Dalam ramai mungkin mengecam tindakan Hafiz, sedar atau tidak kita mungkin pernah membuat naik gambar mangsa kemalangan jalan raya, ,mangsa bunuh dan sebagainya tanda sedar, ia adalah haram.
Dalam satu perkongsian dari pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, adalah jelas kenapa kita dilarang menyebarkan gambar jenazah sama sekali.
Assalamualaikum W.B.T. Sesetengah masyarakat kita yang gemar mengambil dan menyebarkan gambar mangsa kemalangan atau kes tertentu di media sosial, apakah hukum perbuatan ini dari perspektif agama?
Ringkasan Jawapan:
Perbuatan menyebarkan gambar mayat orang yang meninggal dunia adalah haram kerana ia boleh mendedahkan aib si mati dan menyakiti hati keluarga waris. Apatah lagi sekiranya keadaan mayat tersebut yang agak tidak sempurna seperti terdedah aurat, tertanggal anggota tubuh dari badan kerana Islam melarang umatnya mendedahkan aurat dan ia boleh menjatuhkan kehormatan si mati.
Selain itu ia boleh mendatangkan trauma kepada keluarga si mati dan boleh mengundang pelbagai perkara yang tidak diingini. Justeru, perbuatan menyebarkan gambar mayat yang meninggal dunia perlu dihentikan kerana ia bercanggah dengan etika, moral dan akhlak Islam. Di samping itu, individu yang melakukan perbuatan ini juga harus diambil tindakan tegas agar fenomena ini tidak berleluasa dalam masyarakat.
Huraian Jawapan:
Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga, sahabat-sahabat baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian. Sabda Nabi Muhammad S.A.W:
لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه
Maksudnya:“Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri”. Riwayat al-Bukhari (13) dan Muslim (45)
Berdasarkan hadis di atas, jelaslah bahawa seorang muslim hendaklah menyukai segala kebaikan yang diperoleh oleh saudara muslim yang lain sebagaimana dia menyukai kebaikan itu untuk dirinya, dan membenci segala keburukan yang menimpa saudara muslim yang lain sebagaimana dia membenci keburukan itu menimpa dirinya. Oleh itu hendaklah seseorang muslim berlaku ihsan dan berbuat baik kepada saudara semuslim-nya yang lain, menutup segala keaibannya serta menjaga hak-hak ke atas mereka (sesama muslim). (Rujuk: ‘Umdah al-Qori Syarh Sahih al-Bukhari, 1/141).
Justeru, pada asasnya perbuatan menyebarkan gambar mayat si mati adalah haram dan bercanggah dengan moral dan akhlak Islam kerana hal tersebut boleh membuka aib si mati dan menyakiti hati keluarga waris.
Islam sangat menitikberatkan kewajipan seseorang Islam terhadap saudaranya yang lain iaitu antaranya menjaga nyawa, harta dan kehormatan diri sebagaimana sabda Nabi S.A.W:
Maksudnya: “Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya”. Riwayat Muslim (2564)
Berdasarkan hadis di atas, ia menunjukkan kewajipan seseorang muslim terhadap saudaranya yang lain maka haram ke atasnya untuk menumpahkan darah saudara muslim yang lain dan mencerobohi hartanya seperti mencuri atau merompak atau menipu dalam urusan jual beli, dan hendaklah menjaga kehormatan dirinya iaitu tidak boleh menghina sifatnya atau rupa paras atau keturunannya kerana hal itu boleh menjatuhkan kehormatannya dan hendaklah memelihara kemuliaan dirinya. (Rujuk: Al-Adab al-Nabawi, 1/137).
Firman Allah S.W.T:
….ولقد كرمنا بني آدم
Maksudnya:“Dan sesungguhnya kami telah memuliakan anak Adam…..”.
( Surah al-Isra’ : 70)
Ayat dia atas menunjukkan Allah S.W.T. memuliakan manusia samada semasa hidup atau matinya. Dan tidak syak lagi apa yang diharamkan oleh seseorang muslim ke atas saudaranya ketika hidup sama seperti pengharamannya setelah meninggal dunia. Hal ini berdasarkan hadis Nabi S.A.W:
إن كسر عظم المؤمن ميتا مثل كسره حيا
Berkata Imam Ibnu Hajar al-Asqalani “dapat diambil iktibar daripada hadis ini bahawasanya pengharaman seseorang muslim ke atas saudaranya ketika meninggal dunia sama seperti halnya ketika hidup”. (Rujuk: Fath al-Bari, 9/142).
Oleh itu, berdasarkan dalil-dalil di atas wajib ke atas kita untuk beradab dan memuliakan saudara muslim yang lain samada ketika hidup ataupun setelah meninggal dunia. Segala perkara yang boleh membawa kepada pencerobohan nyawa, harta dan kehormatan diri seseorang muslim adalah haram dan dilarang di sisi agama kita yang mulia.
Selain itu, perbuatan menyebarkan gambar mayat yang kurang elok atau tidak menutup aurat adalah suatu bentuk pendedahan aib dan ia merupakan suatu perkara yang ditegah dalam agama. Malah tiada khilaf dalam kalangan para ulama’ bahawa wajib menutup aurat jenazah. (Rujuk: Hasyiyah al-Dasuqi, 1/408). Sehinggakan para ulama menitikberatkan hendaklah dijaga aurat dan aib si mati sekalipun ketika urusan memandikan jenazah.
Berkata Imam al-Nawawi: “Dan disunatkan agar ditutup mayat (ketika memandikan jenazah) daripada orang lain, kerana berkemungkinan terdapat pada badannya itu suatu aib yang beliau menutupinya dahulu (ketika dia hidup), dan boleh jadi terdapat badannya itu suatu tompokan darah, lalu disangka oleh orang yang melihatnya itu sebagai suatu hukuman baginya (mayat itu).” (Rujuk: Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/154).
Sabda Nabi S.A.W yang mengisyaratkan hal ini:
لا تبرز فخذك ولا تنظر إلى فخذ حي ولا ميت
Maksudnya: “Jangan membuka paha kamu dan janganlah melihat kepada paha orang yang hidup atau meninggal dunia”.
Riwayat Abu Daud (3140), Ibnu Majah (1460)
Apatah lagi sekiranya keadaan mayat tersebut mengaibkan seperti tertanggal anggota dari badan, terburai jasad dan sebagainya maka itu boleh membuka aib si mayat tersebut. Jelaslah bahawa perbuatan seperti ini adalah sangat tidak bertanggungjawab dan dilarang tegas oleh agama.
Oleh itu, berdasarkan dalil-dalil di atas jelaslah bahawa wajib ke atas kita menutup aurat dan aib seseorang sekalipun orang tersebut telah meninggal dunia. Malah wajib hukumnya bagi seorang muslim menutup apa jua yang tidak disukai oleh seseorang ketika hidupnya. Barangsiapa yang melakukan sebarang perbuatan yang mendedahkan aurat dan aib si mati maka dia telah tergolong dalam golongan yang mencerobohi maruah saudara muslimnya yang lain dan ianya termasuk dalam perkara yang dibenci oleh Allah dan rasulnya.
Kesimpulan
Tunstasnya, perbuatan menyebarkan mayat orang yang meninggal dunia adalah haram kerana ia boleh mendedahkan aib si mati dan menyakiti hati keluarga waris. Tambahan pula, sekiranya keadaan mayat yang agak tidak sempurna seperti terdedah aurat, tertanggal anggota tubuh dari badan maka haram menyebarkan gambar tersebut kerana Islam melarang umatnya mendedahkan aurat dan hal tersebut boleh menjatuhkan kehormatan si mati. Selain itu ia boleh mendatangkan trauma kepada keluarga si mati dan boleh mengundang pelbagai perkara yang tidak diingini. Justeru, perbuatan menyebarkan gambar mayat yang meninggal dunia perlu dihentikan kerana ia bercanggah dengan etika, moral dan akhlak Islam. Di samping itu, individu yang melakukan perbuatan ini juga harus diambil tindakan tegas agar fenomena ini tidak berleluasa dalam masyarakat. Wallahu a’lam.
Semoga Allah memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen.
Sumber gambar kemalangan : Kosmo
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Ramai tahu solat itu wajib. Malah meninggalkannya dengan sengaja hukumnya berdosa besar. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli ketika menjadi Mufti Wilayah sebelum ini pernah menulis di akaun Instagramnya, ada pasangan suami isteri yang bercerai kerana ada pasangan enggan solat lima waktu.
Kata beliau lagi, kegagalan menjaga rukun Islam kedua itu menyebabkan wujudnya habluminassyaitan iaitu hubungan yang terbina antara manusia dengan syaitan. “Kalau solat ini merupakan hablumminannas (hubungan sesama manusia), bila mana wujudnya habluminnallah (hubungan manusia dengan Allah), hablumminannas akan terwujud.
“Bila wujudnya hablumimallah, maknanya tak wujud lagi hablumminasyaitan kerana sifat syaitan akan pisahkan suami isteri, tetapi apabila ini berlaku, dia akan jadi kukuh dan ampuh,” katanya.
Hari ini dapat dilihat segelintir pasangan yang tidak menitik beratkan soal solat dalam kehidupan rumahtangga mereka. Baik ibu, ayah mahu pun anak-anak juga seakan tidak mempedulikan ibadah ini, seolah-olah makan itu perkara wajib dan solat lima waktu itu perkara sunat (moga keluarga kita dijauhkan). Bagi yang kurang sedar betapa pentingnya ibadah solat ini, kalau kita mampu sedekah RM1 juta sekali pun tapi semua ibadah kita itu tidak diterima Allah jika tidak bersolat. Memetik dari perkongsian dari page Mufti Pulau Pinang, ibadah solat ini amat penting, perlu dijaga dan jangan sekali memberi alasan kenapa kita tidak mampu bersolat.
Jelas Mufti Pulau Pinang ini, solat merupakan ibadah yang utama dalam syariat dan ia berada pada kedudukan yang tinggi dan agung. Disebabkan kedudukan solat yang sangat agung ini, Allah SWT menyeru agar setiap insan yang beriman mendirikannya, sebagaimana firman-Nya:
Maksudnya: Dan dirikanlah kamu akan solat serta berikanlah zakat; dan taatlah kamu kepada utusan Allah; supaya kamu beroleh rahmat. (Surah al-Nur ayat 56) Perintah agar mendirikan serta menjaga solat banyak dinyatakan di dalam al-Quran, antaranya firman Allah SWT:
Maksudnya: Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri dan duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. (Surah Al-Nisa’ ayat 103)
Hikmah di sebalik perintah mendirikan solat itu adalah untuk menghindarkan diri seseorang individu daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Ini telah dijelaskan dalam firman Allah SWT:
Maksudnya: Bacalah serta ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. (Surah Al-Ankabut ayat 45)
Maksudnya: Dari Abu Hurairah dia berkata, “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya amal yang seorang hamba yang pertama kali dihisab di hari Kiamat adalah solatnya. Jika solatnya bagus, maka dia berjaya. Dan jika solatnya rosak, maka dia akan menyesal dan rugi. Maka jika ada yang kurang dari solat fardunya, Allah SWT berfirman, “Lihatlah kalian, apakah hamba-Ku mempunyai (amal) solat sunnah, maka itulah yang dapat menyempurnakan kekurangan fardunya, kemudian semua amalnya (juga) seperti itu.” (Hadis riwayat Tirmizi, no. 413 dan al-Nasa’i, no. 466. al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahawa hadis ini sahih.)
Allah mencampakkan orang yang meninggalkan solat dengan sengaja ke dalam neraka Saqar;
Maksudnya: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?" Orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan solat; (Surah al-Muddathir ayat 42-43)
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang berdosa berada dalam keadaan sesat (di dunia), dan (di akhirat pula mereka berada dalam) api neraka. Semasa mereka diseret di dalam neraka (dengan tertiarap) atas muka mereka, (serta dikatakan kepada mereka): rasalah kamu bakaran api neraka.(Surah al-Qamar ayat 47-48)
Maksudnya: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu; diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang satu; maka hendaklah kamu tetap teguh di atas jalan yang betul lurus (yang membawa kepada mencapai keredaan-Nya), serta pohonlah kepadanya mengampuni (dosa-dosa kamu yang telah lalu). dan (ingatlah), Kecelakaan besar bagi orang-orang yang mempersekutukanNya (dengan sesuatu yang lain); "Iaitu orang-orang yang tidak memberi zakat (untuk membersihkan jiwa dan harta bendanya) dan mereka pula kufur ingkar akan adanya hari akhirat". (Surah al-Fussilat ayat 6-7)
Pendapat ulama mengenai isu sengaja tinggalkan solat atau kerana rasa malas?
Memandangkan kedudukan ibadat solat yang begitu penting, maka solat fardu sama sekali tidak boleh diabaikan atau ditinggalkan dengan sewenang-wenangnya. Ulama sepakat berpendapat, mereka yang mengingkari kewajipan solat dihukumkan sebagai kafir. Bagaimanapun jika meninggalkannya disebabkan sifat malas tetapi masih mengakui kewajipannya, menurut Imam Malik dan Imam al-Syafie orang tersebut hanya dianggap fasiq. (Lihat:Nayl al-Awtar, juz. 1, Matba’ah Mustafa al-Bab al-Halibi, hlm. 240-241)
Golongan tersebut hanya dipandang fasiq (melakukan dosa besar) dan disuruh bertaubat. Jika dia tidak mahu bertaubat, nescaya dibunuh (hukum hudud) selaku suatu hukuman yang mesti dijalankan.
Oleh yang demikian ibadat solat perlu dipelihara dan dilaksanakan oleh setiap muslim. Pengabaiannya akan menjejaskan kedudukannya sebagai seorang muslim. Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Dari Abu Sufyan dia berkata, saya mendengar Jabir berkata, “Saya mendengar Nabi SAW bersabda: “Sungguh, yang memisahkan antara seorang lelaki dengan kesyirikan dan kekufuran adalah meninggalkan solat’.” (Hadis riwayat Muslim No: 116)
Perbahasan Ulama
Hukuman bagi orang yang meninggalkan solat akan bergantung kepada keadaan sama ada ia ditinggalkan dengan sengaja atau tidak sengaja. Meninggalkan solat dengan sengaja ada dua cara:
Keadaan pertama: Meninggalkan solat kerana ingkar tentang kewajipannya (tidak mengaku akan wajibnya hukum solat itu). Dalam keadaan ini hukum orang yang ingkar itu ialah kafir murtad dengan ijmak ulama, kerana hukum wajib solat itu telah nyata dan dimaklumi dalam agama Islam. Sikap mengingkarinya menunjukkan orang itu telah mendustakan Allah dan Rasulullah SAW dan dia adalah sama dengan orang-orang kafir yang disifatkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:
Maksudnya: Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan solat, mereka menjadikan solat itu sebagai ejek-ejekan dan permainan, yang demikian itu ialah kerana mereka suatu kaum yang tidak berakal. (Surah al-Ma’idah ayat 58)
Berkata al-Syirazi bahawa mana-mana orang yang wajib ke atasnya mengerjakan solat dan dia enggan mengerjakannya serta mengingkari (tidak mengakui) bahawa solat itu wajib sedangkan dia tahu bahawa solat itu wajib, maka jadilah dia kafir murtad, kerana dia mendustakan Allah SWT, dan jika dia tidak mengerjakan solat sedangkan dia tahu dan beriktikad bahawa solat itu wajib, maka wajib dia dibunuh. (Lihat: Kitab Muhazzab, Hlm. 476)
Imam al-Nawawi menyebut: “Jika mana-mana orang meninggalkan solat dalam keadaan mengingkari akan wajibnya solat itu atau mengingkari hukum wajib solat itu, maka dihukumkan ke atasnya kafir murtad dengan ijmak ulama dan wajib dijalankan ke atasnya hukuman bagi orang murtad iaitu dihukum bunuh dengan perintah raja, kecuali jika dia Islam semula. Jika dia tidak tahu akan wajibnya solat itu dengan sebab baharu masuk Islam atau tinggal di suatu tempat yang jauh daripada orang Islam yang boleh menyebabkan tidak sampainya hukum wajib solat itu, maka tidaklah dia menjadi kafir kerana keingkarannya itu, bahkan kita perlu mengajarnya. Jika setelah diajarkan hukum tersebut dan dia tetap mengingkarinya, maka dia menjadi murtad.” (Lihat: Riyad al-Solihin)
Enggan solat kerana malas
Keadaan kedua: Meninggalkan solat kerana malas, sibuk dengan urusan-urusan dunia dan mengikut hawa nafsu dan bisikan syaitan. Dalam perkara demikian para ulama berselisih pendapat, sama ada dia dihukumkan kafir atau fasiq dan sama ada dia berhak dibunuh atau cukup dengan hukuman takzir (disebat dan dipenjarakan)?
Imam al-Nawawi telah menjelaskan bahawa jika dia tinggalkan solat dengan tiada uzur, malas dan mempermudah-mudahkan, maka hukumnya berdosa dan dia wajib dibunuh tetapi tidak dihukumkan kafir pada qaul al-aṣhah.
Berkata ulama al-Syafie bahawa perkara meninggalkan solat yang dijelaskan di atas iaitu hukuman bunuh, tidak akan dijalankan kecuali jika dia enggan bertaubat setelah diperintahkan untuk bertaubat. (Lihat: al-Umm, Jld.1, Hlm.281)
Pendapat al-Buwaithi, dihukumkan bunuh ke atas orang yang meninggalkan solat itu dengan cara memancung tengkuknya dengan pedang sebagaimana dijalankan ke atas orang murtad. Sementara pendapat Ibnu Suraij, dicucuk punggungnya dengan besi atau dipukul dengan kayu sambil berkata kepadanya: “solatlah kamu, jika tidak, kami akan membunuh kamu” dengan berulang-ulang sehingga dia mengerjakan solat atau mati.
Mengenai hukum orang yang meninggalkan solat dengan sebab malas padahal dia beriktikad bahawa solat itu wajib, pendapat yang masyhur dalam mazhab al-Syafie ialah dia dihukum bunuh secara had dan tidak dihukumkan kafir.
Pendapat ini juga dipegang oleh Malik dan kebanyakan daripada ulama salaf dan khalaf, dan sebahagian mereka berkata, dia dihukumkan kafir dan berjalan ke atasnya hukuman bagi orang murtad.
Berkata al-Hafiz al-Mundziri: “Segolongan para sahabat Nabi SAW dan orang-orang (generasi) selepas mereka berpendapat adalah kufur orang-orang yang meninggalkan solat dengan sengaja sehingga habis waktunya. Di antara mereka yang berpendapat demikian di kalangan sahabat ialah ‘Umar bin Al‑Khathab, Abdullah bin Mas‘ud, Abdullah bin ‘Abbas, Muadz bin Jabal, Jabir bin Abdullah dan Abu Darda’. Di kalangan bukan sahabat pula ialah Ahmad bin Ḥanbal, Ishak bin Rahawaih, Abdullah bin Al-Mubarak, Al-Nakha‘i, Hakam bin ‘Utaibah, Ayyub al‑Sakhtayaniy, Abu Daud, Abu Bakar bin Abu Syaibah dan Zuhair bin Harb.”
Begitulah pendapat para sahabat dan generasi selepas mereka (tabi‘in), mengenai kufurnya orang yang meninggalkan satu solat dengan sengaja hingga luput waktu mengerjakannya.
Kesimpulannya para ulama berselisih pendapat pada menghukum seseorang yang meninggalkan solat. Perkara ini berlaku adalah disebabkan keutamaan ibadah solat itu sendiri di sisi Allah SWT berdasarkan nas-nas yang sahih yang terdapat dalam al-Quran dan hadis.
Justeru para ulama telah membahagikannya kepada dua keadaan sebagai mana yang dihuraikan di atas. Oleh itu hukum meninggalkan solat tertakluk kepada bagaimana tanggapan seseorang individu terhadap solat itu. Boleh jadi tanggapannya itu menjadikan dia sebagai kafir yang musyrik (murtad) atau boleh jadi juga sebagai kafir fasiq (berdosa besar), malah kedua-duanya perlu dihukum oleh pemerintah sebagai peringatan dan pengajaran kepada mereka yang meninggalkan perlaksanaannya. Wallahu’aklam.
Sumber : Jabatan Mufti Pulau Pinang
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Antara doa golongan yang mustajab doanya adalah daripada orang yang beramal soleh dan solehah. Kita disarankan untuk sentiasa memanjatkan doa kepada Allah SWT. Tidak hairanlah apabila setiap apa yang kita hajatkan mempunyai permintaan tertentu.
Namun, waktu yang pasti kita akan panjatkan doa adalah selepas mendirikan solat fardhu. Selesai berwirid dan zikir selepas solat, maka kita panjatkan lah permintaan yang bersesuaian dengan hajat kita.
Ada solat yang dibaca secara umum dan sebaliknya. Rasulullah SAW bersabda kepada Muaz:
Hai Muaz, aku menyayangimu. Justeru jangan kamu tinggalkan untuk berdoa setiap kali selepas solat dengan membaca doa ini: Ya Allah, tolonglah aku untuk mengingatimu, bersyukur kepadamu dan membaikkan dalam beribadat kepadamu.
Riwayat Ahmad (no: 22119), Abu Daud (no: 1524), dan al-Nasaie dalam Sunan al-Kubra (no: 9937). Dinilai sahih oleh Ibn Hibban dalam Sahihnya (no: 2020), dan Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya (no: 751)
Berikut dikongsikan bacaannya selepas solat fardu berserta maksud untuk panduan dan rujukan semua. Ia merupakan satu ibadat. Ianya merupakan satu tanda kerendahan hamba terhadap Allah S.W.T.
Sepanjang Ramadan dahulu, kita bersemangat menunaikan solat tarawih sebanyak 8 atau 20 rakaat. Alangkah sayangnya andai kekuatan ini dilenyapkan selepas berlalunya Ramadan.
Justeru sangat elok...