Nur Syamimi Mohamad Suhaimi mungkin sama seperti ribuan pelajar Malaysia yang merantau mencari ilmu namun tetap memiliki kekuatan tersendiri di Poland. Berasal dari Kampung Bunga Emas, Perlis, pelajar perubatan berusia 23 tahun ini adalah satu-satunya pelajar Malaysia beragama Islam di Medical University of Lodz (MUL) yang terletak di tengah negara Poland.
Bagaimanapun, gadis bertubuh kecil itu mengakui bahawa beliau mempunyai kekuatan tersendiri dan sentiasa bersedia menghadapi cabaran ilmu dan kehidupan di rantau orang yang cuaca dan budayanya tidak sama seperti di Malaysia.
Menceritakan detik awalnya ke situ, dia berkata agak sukar untuk menyesuaikan diri pada peringkat awal kerana segala-galanya dirasakan baharu namun selepas menuntut di sini, dia bersyukur kerana kehidupannya sebagai umat Islam tidak dipandang serong.
TIDAK PERNAH RASA TERASING
Nur Syamimi berkata, dia kini kian selesa dan tidak pernah merasa terasing daripada penuntut lain universiti itu apatah lagi terdapat pelajar Malaysia lain yang berbilang kaum.
“Kami seperti bersaudara dan saling menghormati walaupun berbeza kaum dan agama kerana yang penting kami bawa budaya Malaysia yang harmoni,” katanya ketika ditemui Bernama di Lodz baru-baru ini.
Ads
Ditanya mengapa beliau memilih Lodz sebagai lokasi pengajian, Nur Syamimi berkata kos sara hidup di situ adalah murah begitu juga dengan kos pengajiannya selama enam tahun.
Beliau kini mengikuti pengajian tahun pertama dan akan berada di situ selama lima tahun lagi sebelum membawa pulang ijazah.
DIBIAYAI KELUARGA
Ads
Nur Syamimi berkata, dia belajar di universiti itu dengan biaya keluarganya dan bersyukur dengan pengorbanan kesemua anggota keluarga yang menyokongnya.
“Saya ingin menjadi seorang doktor dan saya telah memilih universiti yang sesuai dengan kos pengajian yang lebih wajar iaitu sekitar RM300,000.
Nur Syamimi juga berterima kasih kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang menghulurkan sumbangan kepadanya baru-baru ini.
Nur Syamimi teruja kerana Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Pengerusi YTSP dan Yang Dipertua MAIPs begitu prihatin dengan pelajar sepertinya dan singgah menghulurkan sumbangan.
Dalam masa yang sama, Nur Syamimi turut berusaha mencari pendapatan sendiri selain memastikan pengajiannya tidak terjejas termasuk menjual makanan Malaysia.
“Saya membekalkan makanan kepada rakyat Malaysia yang berurusan di Lodz atau mana-mana pihak yang inginkan masakan Malaysia,”katanya.
Nur Syamimi berkebolehan menyediakan nasi lemak, makanan bergoreng dan kuih-muih Malaysia.
Sumber kredit: FB: Bernama
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Di dalam hidup berumah tangga, seorang isteri itu wajib untuk mentaati suaminya pada perkara yang ma’ruf. Ini kerana, dengan ketaatan tersebut akan memudahkannya jalan untuk ke syurga berdasarkan sebuah hadis yang disahihkan oleh Imam Ibn Hibban:
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan ta’at kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki”. [Riwayat Ibn Hibban, no. Hadith (4163), 471/9]
Bagi menjawab pertanyaan pertama di atas, hadis sujud pada suami telah diriwayatkan oleh beberapa orang sahabat Nabi SAW. Antaranya Abu Hurairah, Mu’az bin Jabal, Suraqah bin Malik, Aisyah, Ibn Abbas, Abdullah bin Abi Awfa, Ummu Salamah, Anas bin Malik dan beberapa orang lagi sahabat Nabi SAW yang lain. Adapun berkaitan matan hadith adalah seperti berikut:
Maksudnya: “Jika aku boleh memerintahkan seseorang itu untuk sujud kepada seseorang, maka aku memerintahkan isteri untuk sujud pada suaminya.” [Riwayat al-Tirmizi (1159)][Imam al-Tirmizi mengatakan hadith ini melalui jalur Abu Hurairah RA adalah hasan gharib] Hadith ini juga disahihkan oleh Imam al-Hakim di dalam al-Mustadrak melalui jalur Mu’az bin Jabal [Lihat: al-Mustadrak, 190/4]
Tambahan pula, hadis ini mempunyai sebab wurudnya (sebab Nabi SAW ucapkan hadis ini) iaitu apabila salah seorang daripada sahabat Nabi SAW pulang daripada Syam dan melihat orang-orang Nasrani dan Yahudi sujud kepada pembesar dan ulamak mereka sebagai tanda penghormatan nabi-nabi mereka. Maka sahabat ini berkata bahawa Rasulullah SAW lebih berhak untuk dilakukan sedemikian tetapi Nabi SAW melarang para sahabat melakukan hal tersebut dengan mengatakan bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani ini mereka mendustakan serta menyelewengkan kitab-kitab nabi-nabi mereka. [Lihat: al-Mustadrak, 190/4]
MAKNA HADIS
Antara yang boleh difahami daripada hadis ini adalah kewajipan seorang isteri itu mentaati suaminya kerana sujud ini tidak dihalalkan melainkan kepada Allah SWT sahaja. Ini kerana terdapat banyak hak-hak suami yang perlu dilaksanakan oleh isteri dan sebahagiannya tidak terlaksana oleh si isteri.
Imam al-Syaukani berkata makna hadis ini adalah jika dibolehkan sujud kepada manusia nescaya Nabi SAW akan memerintahkan para isteri untuk sujud kepada suaminya. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 272/4] Di dalam Musnad Ahmad, daripada Anas bin Malik RA bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Tidak dibenarkan seorang manusia itu untuk sujud kepada manusia. Jika dibenarkan untuk manusia itu sujud kepada manusia nescaya aku akan meminta isteri untuk sujud kepada suaminya kerana besarnya hak suami ke atas isteri itu.” [Riwayat Ahmad (12614)] [Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sahih li ghairihi]
Kesimpulannya hadis di atas adalah sahih dan ia tidaklah menunjukkan kebolehan seorang isteri itu untuk sujud kepada suaminya. Ini kerana sujud hanya dibenarkan kepada Allah SWT sahaja dan tidak dibenarkan sujud kepada selain daripada Allah SWT sebagaimana larangan jelas daripada Nabi SAW berdasarkan riwayat di dalam Musnad Ahmad di atas.
Akan tetapi hadis ini menggambarkan bahawa kedudukan suami itu tinggi di sisi isteri dan si isteri wajib untuk mentaati suaminya selagi mana apa yang diperintahkan itu tidak bercanggah dengan agama. Semoga Allah SWT mengurniakan suami yang soleh dan isteri yang solehah agar rumahtangga yang dibina itu mendapat keberkatan dan keredaan daripada Allah SWT.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Tidak dapat digambarkan bagaimanakah perasaannya apabila terpaksa ‘melepaskan pergi’ ibu yang amat disayangi. Bayangkan jika kita ada hanya tiga hari untuk bersama ibu lalu terpaksa menerima hakikat bahawa wajah itu akan ‘pergi’ buat selama-lamanya.
Ikuti luahan seperti yang tertulis di laman muka buku Suhaili Baharudin.
Beberapa tahun lepas sejak arwah mak sakit beria bila payudara yang dah dibuang sebelah akibat kanser melarat pula ke sebelah lagi, kami 3 beradik mula berkampung di hospital putrajaya.
Bergilir-gilir lah kami waktu itu mengikut shift masing-masing. Kebiasaannya Kak Eli kena shift malam sebab masa itu Malaeka masih belum sekolah jadi esoknya tak perlu kalut macam adik beradik yang lain.
Bila weekend dapatlah Kak Eli shift pagi, rotate semula jadual dengan kakak dan abang. Yang penting arwah mak tak pernah ditinggalkan seorang diri dalam wad walaupun dalam 1 wad tu ada 3 pesakit lain.
ADA TIGA HARI SAJA LAGI
Ada satu pagi tu, Kak Eli tiba di wad dan kebetulan ada doktor perempuan yang baru keluar dari bilik mak. Dia tarik tangan Kak Eli dan bawa ke sudut dinding.
‘Saya nak beritahu ni, mak awak cuma ada 3 hari saja lagi. Beri dia makan apa dia nak makan, bagitahu saudara mara dan kawan-kawan dia, saya nak awak dan adik beradik awak ready.’
Awak, awak dan awak, Andai ditoreh pipi Kak Eli waktu tu memang rasanya takkan keluar darah. Lembik dan longgar terus lutut dan rasanya kalau tak kawal mungkin Kak Eli dah rebah kelantai.
Ingin sekali Kak Eli tampar muka doktor waktu itu. How dare you, how could you say that to my mother?
Tapi Kak Eli berterima kasih pada doktor tu sebab sebenarnya dia sudah memberi hint pada kami adik beradik yang kami hanya ada 3 hari saja lagi untuk berbakti untuk mak.
Hanya ada 3 hari untuk mengisytiharkan dan mempersembahkan cinta yang paling tulus kepada mak.
Kak Eli masuk bilik wad mak dan mak tersenyum ceria seperti biasa. Kak Eli tenung dia, this is the moment when a word doesn’t come to me.
Kelu.
Mak masih ceria, tanya mana Malaeka? Tanya itu ini dan tiada langsung pernah mengeluh dan menyatakan sakit.
Kak Eli bagitahu ada barang tertinggal dalam kereta dan nak ambil sekejap. Sampai saja di parking kereta terus Kak Eli meraung bagai nak gila disitu.
Telefon adik beradik dan kami pakat menangis bersama-sama dan semua nekad takkan ada shift dah selepas ini. Semua adik beradik mesti ada disisi mak pada waktu genting begini.
Naik semula atas, makcik di sebelah katil mak dah beberapa hari tak sedar, bergantung pada oksigen sepenuhnya. Anak perempuan beliau setiap hari tanpa gagal menemani mak dia tu.
Tapi waktu tu, dia sibuk baca suratkhabar di sebelah mak dia. Mak Kak Eli toleh pada katil sebelah dan tegur perempuan tersebut.
‘Adik cuba tengok mak tu, makcik rasa mak tu dah tak ada.’
Ringkas saja ayat mak, dan perempuan tu bingkas panggil mak dia.
‘Mak, mak, makkkkkkkk!!!’
Dia jerit pada nurse dan bila mereka datang doktor sahkan mak dia baru saja meninggal, waktu dia sedang leka membaca suratkhabar.
Betullah ajal itu tidak kita sangka dan kalau bukan rezeki kita dapat mengadap saat-saat terakhir kematian ibu bapa kita, memang takkan dapat walaupun kita hanya di sebelah.
MASIH SEMPAT BERSEDEKAH
Berpuluh tahun mak bekerja di hospital, sedikit sebanyak pengalaman mematangkan dia. Mak minta Kak Eli ambil handbag dia dan keluarkan duit untuk sedekah pada perempuan tu.
Mak, mak tau tak doktor cakap mak ada 3 hari lagi dan mak masih tak lupa nak bersedekah jariah waktu ini?
Tak, Kak Eli dan adik beradik sikitpun tak berbunyi pasal ni. Kami buat macam biasa saja.
Malam tu mak kata dia sakit belakang, dia suruh panggilkan doktor dan doktor ambik darah dia dari belakang bahu.
Doktor tu termenung lama kemudian dia cakap ‘saya minta maaf ya opah, saya tak dapat nak bantu opah. Tak mampu nak legakan opah’
Kak Eli masih ingat nama dia. Doktor Lisa.
Semua doktor yang merawat mak bahasakan diri dia sebagai opah sebab mak is over peramah. Dan para doktor memang selalu bagi special treatment pada emak walaupun sibuk.
Mak kata ‘eh tak apa doktor. Ini pun opah dah lega sangat. Terima kasih ya.’
Kak Eli dan adik beradik meraung lagi di belakang dia.
Hari kedua dan ketiga, mak dah kerap penat. Saudara mara dan kawan-kawan mak penuh setiap masa datang melawat sampai mak tak boleh nak tidur. Dia masih gagah melayan bersembang dan tersenyum.
Malam terakhir dia mintak morfin dose tinggi sebab nak berehat. Tapi waktu itu malaikat maut mungkin sudah menyapa, menunggu masa untuk mencabut nyawa. Mak tak boleh nak lelap.
“ANAK-ANAK MAK TAK ADA DOSA DENGAN MAK”
Esoknya pukul 11.32 malam mak pergi selamanya sambil menyebut Allah Allah Allah tanpa henti. Setelah kami teresak-esak meminta ampun bergilir-gilir setiap seorang dan mak jawab,
‘anak-anak mak tak ada dosa dengan mak. Kenapa menangis, janganlah menangis’
Betul kata doktor, Mak cuma ada 3 hari saja didunia yang fana ini. Meninggalkan kami terpinga-pinga tetapi sudah bersedia.
Kak Eli ingat lagi selepas itu kami berpeluk 3 beradik dan menangis teresak-esak sehingga makcik yang kanser leher didepan katil mak menenangkan kami.
Makcik tu tak boleh bercakap dah, tapi dia guna isyarat tangan.
Sungguh, kematian itu satu perkara yang hebat dan besar. Ia mengubah kehidupan kita yang masih didunia ini dengan sakit merindu.
Kak Eli memilih untuk berhenti kerja, tinggalkan rumah sendiri di kota damansara begitu saja dan balik ke jerantut supaya dekat dengan kubur mak.
Dengan harapan bila duduk dirumah dia ni dapatlah melepaskan rindu bila tengok tombol pintu bilik dia, tengok pokok orked dia. Apa sajalah yang dia tinggalkan.
HADIRNYA AMANDA SAFIYA SEPERTI JELMAAN ARWAH MAK
Sakit merindu yang takkan surut sambil merenung dosa yang segunung banyaknya pada mak, dengan air mata yang tak pernah kering tiap kali terkenangkan dia, Allah hadirkan Amanda Safiya.
Dia lahir genap setahun selepas mak pergi, di tarikh yang sama mak pergi, di jam yang hampir sama mak pergi, dan mewarisi rupa paras mak serta kelakuan.
Keduanya sangat membahagiakan.
Amanda lahir selepas genap setahun arwah mak pergi. Dan dia mewarisi banyak persamaan dengan mak.
Sama rupa paras dan warna kulit, sama peramah, sama terlebih mengambil berat pada orang lain, sama berhati tisu, sama bila part membebel sampai sakit rasa telinga ya ampun.
Ya Amanda adalah seperti jelmaan arwah mak.
Tuhan ambil satu dan kemudian dia gantikan dengan yang hampir sama dalam versi berbeza. Bagai disusun cantik semua percaturan tuhan untuk Kak Eli. Sesungguhnya Dia maha baik.
Dan kami abadikan nama dia seakan nama arwah mak.
Bila jiran-jiran tengok Amanda mereka akan kata eh sama rupa arwah kak Piah. Maka semua pakat panggil Amanda kak Piah dan makcik Piah.
Ajaibnya si Amanda ni menyahut la pulak.
Lahirnya dia adalah kesyukuran dan dalam masa yang sama akan sentiasa ingatkan Kak Eli dan adik beradik bahawa tarikh inilah arwah mak pergi meninggalkan kami jauh ke negeri kekal abadi.
Semalam Amanda ingatkan Kak Eli yang dia nak kek untuk dibawa ke sekolah dan party dirumah lengkap pinata tema pj masks.
Kamu fikir mak ada masa untuk sakit kepala?
Tapi suami kata layan kan sajalah sebab bila dia dah tahun 1 nanti mesti dia jadi macam Malaeka, malu nak buat party bagai. Dah besar kan?
Untuk anak kedua mommy Amanda Safiya yang cantik rupawan lagi bijaksana,
Selamat hari lahir yang ke 6. Semoga akan datang kamu istikhomah dan yakin dalam segala hal untuk menyonsong hari depan. Kamu mempesona dan sering membuatkan kami tenteram hati.
Semoga kamu sentiasa mengucap syukur saat melihat langit. Dan tuhan memang selalu menyusun jalan yang terbaik untuk kita tanpa kita sedar.
Ya Allah, berilah aku dari sisi Mu anak-anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar Doa.
Kepada yang masih ada emak, berbaktilah sehabis daya seolah esok hari terakhir kita bersama dia.
Sumber kredit: Suhaili Baharudin
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Mimpi itu adalah main tidur. Tetapi mimpi juga turut memberi petanda atau sebagai perantara dari seseorang yang sudah meninggal dunia.
Seperti kisah lelaki ini yang bermimpikan anak gadisnya yang meminta dia memindahkan kubur walaupun setelah dua tahun meninggal dunia.
Dalam perkongsian daripada laman sosial Facebook Ashraf Muslim yang berkongsi satu video di mana menceritakan kisah kubur seorang gadis kecil yang sudah meninggal dunia dua tahun lepas tetapi kuburnya telah digali semula.
Dalam video yang tular berkenaan memperlihatkan di mana jenazah gadis berkenaan masih berada dalam keadaan elok dan dirinya diumpamakan seperti sedang tidur.
Berdasarkan dalam video berkenaan, gadis ini dipercayai datang ke dalam mimpi ayahnya dan meminta agar jenazahnya diubah ke tempat lain.
Ini kerana dalam mimpi berkenaan dia telah berkata seperti ini:
“Kemarilah engkau.. pindahkan kuburku kerana tetanggaku ini tidak pernah solat sampai akhirnya dia meninggal dan dikuburkan di sebelahku dan aku terganggu olehnya kerana azab”
Dan sesungguhnya apabila jenazah gadis berkenaan diangkat, kelihatan kain kapan menyelimutinya masih berada dalam keadaan yang sangat elok.
Malah raut wajah gadis ini juga erada dalam keadaan yang sangat tenang.
Dalam kaspyen ditulis oleh Ashraf Muslim, video ini memang begitu terkesan buat dirinya. Malah dia turut berasa cemburu dengan jenazah adik kecil ini dan berdoa agar Allah menolongnya untuk menjaga solat 5 waktu serta kuatkan imannya.
Allahuakbar.. Video ini mmg terkesan buatku. Rasa cemburu dgn jenazah adik ini. “Ya Allah.. tolonglah aku utkku menjaga solat 5 waktu setiap hari dan kuatkan imanku ini, matikanlah aku dalam keadaan yg dimulai olehmu dan tempatkanku bersama mereka yang beriman sewaktu ku dialam barzakhmu..amin”
Sebaik muat naik video ini, warganet turut memberi respon dengan mendapat butang share 12K dan butang like pula lebih 15K.
Rata-rata meninggalkan komen yang cukup baik dan menganggap video ini sebagai satu peringatan buat mereka betapa besarnya kekuasaan Allah.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Batas aurat Muslimah di hadapan wanita bukan Islam sering menjadi persoalan. Ketahui pandangan jumhur ulama, penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan serta panduan menjaga aurat mengikut syariat Islam.