Siapa yang tidak mengenali pelakon tinggi lampai, Fouziah Gous. Penampilan yang cantik dan santun mengenakan hijab cukup menyerlahkan sisi jelita ibu kepada dua anak ini.
Dia yang juga merupakan seorang usahawan berjaya tidak lokek berkongsi petua diamalkan dalam menjaga penampilan diri.
Ketika ditemui di majlis sambutan hari lahir bersama media baru-baru ini, Hajah Fouziah Gous memberitahu setiap kali mengambil air sembahyang, dia tidak lupa menitipkan doa.
“Apa yang saya amalkan sejak dulu, setiap kali ambik wuduk dengan dimulai basuh tangan saya akan berniat semoga tangan ini memberi yang terbaik dan menerima yang baik. Begitu juga ketika basuh muka, saya minta agar kelihatan berseri, ada cahaya dan sentiasa tenang.
Ads
“Begitu juga setiap kalimembasuh anggota lain. Ssaya akan sentiasa berdoa dengan apa yang kita basuh dan berniat.
“Setiap kali basuh kepala saya mohon semoga sentiasa berfikir positif, mohon pada Allah telinga mendengar benda yang baik dan kaki melangkah ke jalan yang baik.
Ads
“Inilah amalan yang saya amalkan sejak dari dulu hingga sekarang setiap kali ambik wiuduk. Lima kali mengambil wuduk dan lima kali sehari jugalah saya akan berniat,” jelasnya yang turut mengamalkan pengambilan suplemen minuman sarang burung untuk kesihatan dalaman serta kecantikan
Pengusaha produk minuman kesihatan sarang burung dari label FG Walet sejak 2014 ini juga turut memberitahu dirinya juga akan sentiasa berfikiran positif agar aura yang baik-baik sahaja akan berada di sekelililing.
Salah satu pemandangan biasa di kawasan perumahan adalah kehadiran kucing-kucing jalanan berlegaran mencari makanan. Tidak dinafikan, rezeki mereka ini pasti ada kerana ramai juga yang suka memberinya makan.
Namun dalam kemurahan hati memberi makan, ada juga kalangan jiran yang tidak sukakannya. Bukan membencinya tetapi mungkin alergik dan ingin memelihara kebersihan persekitaran kerana terganggu dengan bau busuk tinja kucing yang menyengat.
Kucing jalanan ini biasanya akan membuang hajat di halaman kediaman kejiranan tanpa mengira rumah siapa pun. Najis kelihatan di merata tempat; dalam pasu tanaman, depan pagar utama, anjung meletak kereta dan banyak lagi tempat yang mengundang rasa marah dan geram ‘mangsa’.
Isu ini sering menjadi perbincangan hangat dalam grup whatsapp kawasan perumahan. Kita ikuti apa hukumnya memberi makan kucing jalanan sehingga jiran-jiran terganggu disebabkan najis-najisnya berselerakan oleh SS Mufti Wilayah Persekutuan.
Pada asalnya sunat untuk memberi makanan kepada kucing jalanan selagi mana tidak mengganggu ketenteraman awam.
Justeru, keutamaan wajib diberi berdasarkan keadaan di tempatnya, sekiranya memberi makanan tersebut akan mengganggu dan menyusahkan jiran tetangga disebabkan najis atau bau yang tidak menyenangkan, maka perbuatan memberi makan itu adalah tidak digalakkan bagi menjamin keharmonian hubungan antara jiran.
Sebaiknya gunakan kebijaksanaan dalam mempertimbangkan kaedah yang terbaik bagi mendapat dua kebaikan, iaitu kebaikan dalam menjaga hubungan di antara jiran dan juga kebaikan dengan memberi makan kepada kucing jalanan.
Memberi makan kepada kucing jalanan merupakan salah satu sikap yang terpuji dan Islam mengajar umatnya supaya berbuat baik sesama makhluk sekalipun terhadap haiwan.
Ini adalah sifat ihsan yang diterapkan di dalam agama Islam. Nabi SAW menceritakan berkenaan dengan kebaikan yang dilakukan oleh seorang pelacur sehingga diampunkan dosanya hanya dengan memberi minum seekor anjing yang kehausan dengan menggunakan kasutnya.
Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, daripada Nabi SAW bersabda:
أَنَّ امْرَأَةً بَغِيًّا رَأَتْ كَلْبًا فِي يَوْمٍ حَارٍّ يُطِيفُ بِبِئْرٍ قَدْ أَدْلَعَ لِسَانَهُ مِنَ الْعَطَشِ فَنَزَعَتْ لَهُ بِمُوقِهَا فَغُفِرَ لَهَا Maksudnya: Sesungguhnya seorang pelacur wanita melihat seekor anjing mundar-mandir mengelilingi telaga pada hari yang sangat panas dengan lidahnya yang terkeluar kerana kehausan, lalu perempuan itu memberi minum menggunakan kasutnya, maka dia diberi pengampunan segala dosanya. (Riwayat Muslim: 2245)
Selain itu, tanggungjawab untuk menjaga nafkah dan keperluan haiwan yang dipelihara adalah wajib di atas tuannya.
Sekiranya seseorang itu gagal memenuhi keperluan haiwan peliharaannya itu maka ia akan menanggung dosa di atas perbuatannya, seperti tidak menyediakan makanan, tempat tinggal dan kebersihannya.
Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar r.a, sabda Nabi SAW:
دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ Maksudnya: Seorang wanita dimasukkan ke dalam neraka disebabkan seekor kucing yang ditambatnya, tidak diberi makanannya, dan tidak melepaskannya untuk mencari makanan di atas muka bumi (Riwayat Muslim: 2619)
Berbalik kepada persoalan, tanggungjawab dalam menjaga kebajikan haiwan adalah salah satu perkara yang perlu dilakukan oleh penjaganya, terutamanya dalam menjaga kebersihan sehingga tidak mengganggu jiran tetangga yang lain.
Dalam hal ini, keharmonian jiran tetangga merupakan perkara yang sangat penting dan perlu diberi perhatian oleh setiap umat Islam. Baginda Nabi SAW memberi amaran kepada umatnya bahawa tidak akan dimasukkan ke dalam syurga kepada sesiapa yang melakukan sesuatu perkara sehingga mengganggu jiran tetangganya.
Ini jelas seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ لاَ يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَائِقَهُ Maksudnya: Tidak akan masuk syurga bagi seseorang itu apabila jirannya tidak merasa aman dengan gangguannya (Riwayat Muslim: 46)
Nabi SAW menasihatkan para sahabatnya supaya berbuat baik kepada jirannya kerana sikap dan keperibadian seorang muslim yang sejati itu adalah mereka yang sentiasa berbuat baik kepada jiran tetangganya.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, berdasarkan kepada persoalan yang diajukan di atas serta nas yang diberikan, pada asalnya sunat untuk memberi makanan kepada kucing jalanan selagi mana tidak mengganggu ketenteraman awam.
Justeru, keutamaan wajib diberi dengan berpandukan keadaan ditempatnya, sekiranya dengan memberi makanan tersebut akan mengganggu dan menyusahkan jiran tetangga disebabkan najis atau bau yang tidak menyenangkan, maka perbuatan memberi makan itu adalah tidak digalakkan bagi menjamin keharmonian hubungan antara jiran.
Sebaiknya kebijaksanaan dalam mempertimbangkan kaedah yang terbaik bagi mendapat dua kebaikan, iaitu kebaikan dalam menjaga hubungan di antara jiran dan juga kebaikan dengan memberi makan kepada kucing jalanan.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Tak pernah rasa terbeban dan anggap seperti anak sendiri. ‘Kami akan jaga amanah yang ditinggalkan.’ Biarpun perit kehilangan dua insan tersayang, namun kehidupan perlu diteruskan.
Wanita ini bukan saja kehilangan abang sulungnya, malah dia turut kehilangan kakak ipar yang juga sahabat baiknya selepas dua insan kesayangan itu meninggal dunia dalam kemalangan, tahun lalu.
Sejak tragedi itu, Norhaziantie Zailani, 33, mengambil alih tugas dan tanggungjawab menjaga tiga anak pasangan itu yang kini meneruskan kehidupan dengan kasih sayang dan perhatiannya serta keluarga.
Mengimbas tragedi hitam itu, abangnya, Mohamad Shafiq Zailani dan isteri, Faieznoor Mansor serta bayi mereka berusia 10 bulan, Daryan Marwa meninggal dunia akibat kemalangan di Kilometer 200 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di sini, 19 November tahun lalu.
Manakala, tiga anak mereka yang selamat dalam kejadian itu ialah Mohamad Danish Uqasha, 10, Dhia Medina, 6, serta Damiaa Melissa, 3.
Jelas Norhaziantie, hubungannya dengan abang, Mohamad Shafiq yang dipanggil Along memang sangat rapat selain kakak ipar, Faeiznoor adalah sahabat baiknya, malah mereka juga tinggal di kawasan perumahan sama dan bersebelahan.
Menurutnya, sejak pemergian dua insan tersayang itu dia mengambil tanggungjawab menjaga tiga anak saudara dengan kerelaan diri sendiri dengan persetujuan suami Khairul Haznizam Roslan, 37.
“Suami juga mahu menjaga semua anak Along, malah dia juga sahabat baik Along sejak dari dulu dan selalu menghabiskan masa bersama.
“Mereka juga selalu meminta kami menjaga semua anaknya dan tak sangka apa yang selalu dikatakan itu akhirnya terjadi juga.
“Alhamdulillah, ketiga-tiga anak Along berada dalam keadaan baik dan mereka menerima kehilangan ibu bapa biarpun perit, namun kehilangan itu bukan saja dirasai mereka tetapi seluruh keluarga kedua pihak,” katanya tinggal di Bukit Sagu 2, Kuantan, Pahang.
Di samping itu, anak sulung abangnya, Mohamad Danish Uqasha adalah anak susuannya dan kanak-kanak itu bersama dua lagi adiknya memang memanggil dirinya dan suami dengan panggilan ibu dan papa.
“Saya menjaga mereka dengan ikhlas dan tidak pernah berasa terbeban langsung, malah memang menganggap mereka seperti anak sendiri sejak Along dan Kak Long masih ada lagi. Saya layan anak mereka sama seperti anak kandung, tiada beza.
“Saya masih ingat pada hari pertama along dan isterinya meninggal dunia, acah (nama panggilan untuk anak sulung) cakap ‘abah dan mama sudah tiada. Acah tahu ibu sayang acah, boleh tak sayang adik macam acah?’. Itu memang menyedihkan saya kerana saya sayang mereka semua tiada beza.
“Kami akan jaga amanah yang ditinggalkan Along dan isterinya dengan baik dan akan cuba berikan pendidikan dunia dan akhirat yang lengkap untuk mereka sama seperti tiga anak kami,” katanya yang berniaga dalam talian dan menjahit barangan kanak-kanak seperti bantal dan tilam kekabu.
Norhaziantie yang kini mendapat hak penjagaan sepenuhnya tiga anak saudaranya itu mengakui tahun pertama Aidilfitri tanpa dua insan tersayang itu sangat berbeza terutama kepada anak arwah.
“Tahun pertama tanpa along sangat berbeza untuk keluarga kami. Kakak ipar pandai memasak, dia boleh dianggap ketua tukang masak keluarga. Along pula seorang yang manja, ceria dan suka berkongsi cerita dengan adiknya dan rakan.
“Kami sekeluarga sedih tetapi kami sepakat tidak menunjukkan perasaan itu di depan anak Along sebab kami tak mahu mereka juga berasa sedih dan merasai kekosongan itu,” katanya.
Manakala di akaun Facebooknya, Haziantie meluahkan rasa hatinya:
Raya penuh makna yang sangat dalam buat kami tahun ini.
Terima kasih Along membahagiakan adik dengan meninggalkan anak anak Along bersama adik untuk adik terus perjuangkan rasa sayang kita yang tak kan pernah putus.
Walaupun anak-anak Along kehilangan Along ,Paih dan Dayyan adik cuba sedaya upaya adik bahagiakan mereka sama macam adanya abah dan mamanya,sehingga tiada rasa kurang yang dalam buat mereka.
Kami bahagia berlapan long..kami happy sangat. Along berbahagialah bersama isteri dan anak Along di sana seperti kami di sini.
Kita pasti berjumpa nanti, kita hanya berubah Alam tapi kita tetap ada. Al-fatihah.
Kashoorga : Peritnya menerima kehilangan ibu dan ayah, apa lagi anak-anak ini masih kecil. Semoga terus kuat menghadapi hidup wahai anak-anak.
Tiada yang mustahil di muka bumi ini kerana segalanya milik Allah SWT.
Allah SWT adalah Maha Pencipta dan Maha Besar. Tiada yang setanding dengan-Nya. Kekuasaan-Nya tiada batasan begitu juga dengan dan tiada juga yang mampu menandingi-Nya.
Maksudnya:Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Ia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Ia hanya berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” Lalu menjadilah ia. (Al-Baqarah: 117)
Setiap kejadian yang terjadi atas izin dari Allah. Ia untuk dipelajari dan direnungi bahawa kita hanyalah hamba-Nya.Jangan pernah sesekali berasa pelik dengan sesuatu kejadian walau ianya amat jarang terjadi.
Satu perkongsian di tik tok @aeidieyzaidi5 berkongsi kisah kubur sahabatnya, Nurulizwan Ismawi yang meninggal Januari tahun lalu ditumbuhi pokok tembikai yang sudah pun mengeluarkan hasilnya tanpa ditanam sesiapa. Barangkali benihnya dibawa binatang lalu pokok itu tumbuh subur di kubur arwah sahabatnya.
Ternyata peristiwa sebegini jarang terjadi kerana banyak kubur ditanam rumput dan pokok-pokok renek yang mana tanaman ini biasanya akan bertasbih kepada di mati.
Ini sebahagian dari sunnah Rasulullah SAW yang meletakkan tumbuhan di atas kubur dan mendoakan agar penghuni kubur diringankan azabnya selama tumbuhan itu masih hidup.
Tulisnya, kebesaran dan kekuasaan Allah SWT. Semoga kuburmu diterangi cahayaNYA sahabatku..Aamiin #Al -Fatihah_sahabatku.
Hal ini mendapat respon dari pengikutnya termasuk ada yang bertanya adakah buah ini boleh dimakan.
Saat diajukan pertanyaan, adakah buah tembikai ini boleh dimakan, @aeidieyzaidi5 mengakui dia kurang arif mengenainya namun untuk kepastian boleh rujuk kepada mereka yang berilmu.
Bahkan dari satu perkongsian, ada memaklumkan kubur onjangnya ditumbuhi pokok betik yang lebat buahnya dan semua ini adalah atas izin dari-Nya.
Apa pun, tiada yang mustahil jika Allah mengkehendaki-Nya.