Salah satu pemandangan biasa di kawasan perumahan adalah kehadiran kucing-kucing jalanan berlegaran mencari makanan. Tidak dinafikan, rezeki mereka ini pasti ada kerana ramai juga yang suka memberinya makan.
Namun dalam kemurahan hati memberi makan, ada juga kalangan jiran yang tidak sukakannya. Bukan membencinya tetapi mungkin alergik dan ingin memelihara kebersihan persekitaran kerana terganggu dengan bau busuk tinja kucing yang menyengat.
Kucing jalanan ini biasanya akan membuang hajat di halaman kediaman kejiranan tanpa mengira rumah siapa pun. Najis kelihatan di merata tempat; dalam pasu tanaman, depan pagar utama, anjung meletak kereta dan banyak lagi tempat yang mengundang rasa marah dan geram ‘mangsa’.
Isu ini sering menjadi perbincangan hangat dalam grup whatsapp kawasan perumahan. Kita ikuti apa hukumnya memberi makan kucing jalanan sehingga jiran-jiran terganggu disebabkan najis-najisnya berselerakan oleh SS Mufti Wilayah Persekutuan.
Pada asalnya sunat untuk memberi makanan kepada kucing jalanan selagi mana tidak mengganggu ketenteraman awam.
Justeru, keutamaan wajib diberi berdasarkan keadaan di tempatnya, sekiranya memberi makanan tersebut akan mengganggu dan menyusahkan jiran tetangga disebabkan najis atau bau yang tidak menyenangkan, maka perbuatan memberi makan itu adalah tidak digalakkan bagi menjamin keharmonian hubungan antara jiran.
Sebaiknya gunakan kebijaksanaan dalam mempertimbangkan kaedah yang terbaik bagi mendapat dua kebaikan, iaitu kebaikan dalam menjaga hubungan di antara jiran dan juga kebaikan dengan memberi makan kepada kucing jalanan.
Ads
Memberi makan kepada kucing jalanan merupakan salah satu sikap yang terpuji dan Islam mengajar umatnya supaya berbuat baik sesama makhluk sekalipun terhadap haiwan.
Ini adalah sifat ihsan yang diterapkan di dalam agama Islam. Nabi SAW menceritakan berkenaan dengan kebaikan yang dilakukan oleh seorang pelacur sehingga diampunkan dosanya hanya dengan memberi minum seekor anjing yang kehausan dengan menggunakan kasutnya.
Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, daripada Nabi SAW bersabda:
أَنَّ امْرَأَةً بَغِيًّا رَأَتْ كَلْبًا فِي يَوْمٍ حَارٍّ يُطِيفُ بِبِئْرٍ قَدْ أَدْلَعَ لِسَانَهُ مِنَ الْعَطَشِ فَنَزَعَتْ لَهُ بِمُوقِهَا فَغُفِرَ لَهَا Maksudnya: Sesungguhnya seorang pelacur wanita melihat seekor anjing mundar-mandir mengelilingi telaga pada hari yang sangat panas dengan lidahnya yang terkeluar kerana kehausan, lalu perempuan itu memberi minum menggunakan kasutnya, maka dia diberi pengampunan segala dosanya. (Riwayat Muslim: 2245)
Selain itu, tanggungjawab untuk menjaga nafkah dan keperluan haiwan yang dipelihara adalah wajib di atas tuannya.
Ads
Sekiranya seseorang itu gagal memenuhi keperluan haiwan peliharaannya itu maka ia akan menanggung dosa di atas perbuatannya, seperti tidak menyediakan makanan, tempat tinggal dan kebersihannya.
Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar r.a, sabda Nabi SAW:
دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ Maksudnya: Seorang wanita dimasukkan ke dalam neraka disebabkan seekor kucing yang ditambatnya, tidak diberi makanannya, dan tidak melepaskannya untuk mencari makanan di atas muka bumi (Riwayat Muslim: 2619)
Berbalik kepada persoalan, tanggungjawab dalam menjaga kebajikan haiwan adalah salah satu perkara yang perlu dilakukan oleh penjaganya, terutamanya dalam menjaga kebersihan sehingga tidak mengganggu jiran tetangga yang lain.
Ads
Dalam hal ini, keharmonian jiran tetangga merupakan perkara yang sangat penting dan perlu diberi perhatian oleh setiap umat Islam. Baginda Nabi SAW memberi amaran kepada umatnya bahawa tidak akan dimasukkan ke dalam syurga kepada sesiapa yang melakukan sesuatu perkara sehingga mengganggu jiran tetangganya.
Ini jelas seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ لاَ يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَائِقَهُ Maksudnya: Tidak akan masuk syurga bagi seseorang itu apabila jirannya tidak merasa aman dengan gangguannya (Riwayat Muslim: 46)
Nabi SAW menasihatkan para sahabatnya supaya berbuat baik kepada jirannya kerana sikap dan keperibadian seorang muslim yang sejati itu adalah mereka yang sentiasa berbuat baik kepada jiran tetangganya.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, berdasarkan kepada persoalan yang diajukan di atas serta nas yang diberikan, pada asalnya sunat untuk memberi makanan kepada kucing jalanan selagi mana tidak mengganggu ketenteraman awam.
Justeru, keutamaan wajib diberi dengan berpandukan keadaan ditempatnya, sekiranya dengan memberi makanan tersebut akan mengganggu dan menyusahkan jiran tetangga disebabkan najis atau bau yang tidak menyenangkan, maka perbuatan memberi makan itu adalah tidak digalakkan bagi menjamin keharmonian hubungan antara jiran.
Sebaiknya kebijaksanaan dalam mempertimbangkan kaedah yang terbaik bagi mendapat dua kebaikan, iaitu kebaikan dalam menjaga hubungan di antara jiran dan juga kebaikan dengan memberi makan kepada kucing jalanan.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
‘Ajal dan maut di tangan tuhan.’ Jatuh tingkat 11, jenazah kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun selamat dikebumi. Beri ruang keluarga bertenang kerana menghadapi kematian yang tiba-tiba bukanlah mudah.
Kanak-kanak ini disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan selepas terjatuh dari tingkat 11 Rumah Pangsa Larkin, di Johor Bahru, petang kelmarin selamat dikebumikan.
Menurut laporan Kosmo, jenazah Muhammad Izzuddin Abdul Hadi selamat dikebumikan pada pukul 6.20 petang di Tanah Perkuburan Islam Taman Mount Austin, di sini.
Sebelum itu, solat jenazah Allahyarham disempurnakan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) selepas dikafankan.
Keluarga mangsa yang turut hadir bagaimanapun enggan ditemubual kerana masih bersedih dengan insiden yang berlaku sehingga meragut nyawa arwah.
Kanak-Kanak Jatuh Tingkat 11
Bagaimanapun, seorang kenalan rapat keluarga tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Shamsudin menjelaskan, keluarga mangsa berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan perkara yang berlaku.
“Keluarga mangsa masih lagi sedih ketika ini, jadi diharap mereka diberikan ruang dan tidak diganggu.
“Ajal dan maut di tangan Tuhan, kami semua berharap semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat.
Selamat Dikebumi
“Hanya Allah sahaja yang mengetahui situasi ditempuhi keluarga, dan diharap semua pihak boleh memahami,” katanya ringkas kepada pemberita.
Mangsa pada mulanya dilaporkan mengalami kecederaan patah tangan kiri selepas terjatuh daripada tempat tinggi sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dalam satu kenyataan memberitahu, mangsa bagaimanapun dilaporkan meninggal dunia pada pukul 12.30 malam tadi ketika sedang menerima rawatan.
“Polis mengesahkan terdapat kes berkenaan, dan kematian kanak-kanak lelaki berkenaan dilaporkan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya kepada pemberita melalui aplikasi WhatsApp, di sini hari ini.
Kashoorga: Semoga keluarga ini tabah berdepan ujian berat ini. Salam takziah.
Pernah terjadi dalam perlumbaan MotoGP Indonesia tahun 2022 khidmat pawang digunakan untuk menolak hujan. Aksinya menjadi tontonan umum dan mencetuskan topik hangat apabila ramai memperbincangkan tindakannnya.
Di sebalik usahanya melakukan aksi ritual menolak hujan, di akhir videonya Allah memperlihatkan kekuasaan apabila kilat menyambar litar tersebut. Bagaimana sebenarnya pandangan Islam terhadap ritual aksi pawang hujan ini?
Dikongsi dari pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, ada dua hukum harus kita sama-sama tahu iaitu hukum membaca doa menolak hujan serta hukumnya melakukan ritual mengalih hujan.
Assalamu’alaikum S.S Mufti, saya ingin bertanya berkenaan hukum melakukan upacara tolak hujan yang ada dijalankan di beberapa tempat. Adakah ini dibolehkan di sisi syarak?
Jawapan :–
Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Pertama sekali, kita perlu jelaskan terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan upacara tolak hujan tersebut. Ini berdasarkan sebuah kaedah yang masyhur disebutkan:-
الحُكْمُ عَلَى الشَّيء فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ
Maksudnya : Menjatuhkan hukum ke atas sesuatu merupakan suatu cabang dari mendapatkan gambaran menyeluruh tentangnya (perkara tersebut). Hujan merupakan sebahagian dari rahmat Allah S.W.T yang diturunkan kepada para hamba-Nya. Terdapat beberapa petunjuk dari Rasulullah S.A.W yang diajarkan kepada umat baginda apabila turunnya hujan. Antaranya seperti yang diriwayatkan oleh Umm Al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W apabila hujan turun baginda membaca :
اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ صَيِّبًا نَافِعًا
Maksudnya : Ya Allah, jadikanlah ia sebagai hujan yang bermanfaat. (Riwayat Al-Nasa’ie (1523)
Manakala apabila hujan telah selesai turun, kita disunatkan untuk membaca :-
مُطِرْنَا بِفَضْلِ اللَّهِ وَرَحْمَتِهِ
Maksudnya : Kami telah diturunkan hujan dengan kelebihan dan rahmat dari Allah. (Riwayat Muslim (71)
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas, sekiranya yang dimaksudkan dengan hal tersebut adalah doa yang dibacakan dengan tujuan untuk meredakan hujan lebat yang turun secara berterusan, maka perbuatan sebegini ada perbahasannya di sisi syarak. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata :-
Maksudnya : Ketika Nabi S.A.W sedang menyampaikan khutbah pada hari Jumaat maka berdirilah seorang lelaki lalu berkata : Wahai Rasulullah, berdoalah kepada Allah agar Dia menurunkan hujan kepada kami. (Maka Rasulullah pun berdoa kepada Allah). Kemudian langit pun menjadi gelap gelita dan hujan turun. Sehinggalah apabila lelaki tersebut sampai ke rumahnya, maka hujan tetap turun secara berterusan sehinggalah pada hari Jumaat yang berikutnya.
Maka lelaki tersebut atau selainnya sekali lagi bangun lalu berkata : (Wahai Rasulullah) berdoalah kepada Allah agar Dia mengalihkan hujan dari kamu kerana sesungguhnya kami telah tenggelam (disebabkan hujan lebat yang berterusan). Lalu kata Nabi S.A.W : Ya Allah, turunkan lah ke kawasan sekitar kami dan janganlah Kau turunkan ia ke atas kami. Maka awan pun berpecah-pecah di kawasan sekitar Madinah, dan tidak diturunkan hujan kepada penduduk Madinah. Riwayat Al-Bukhari (6432)
Penutup:-
Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa sekiranya yang dimaksudkan dengan menolak hujan itu adalah dengan cara berdoa maka hukum membaca doa untuk mengalihkan hujan seperti ini adalah dibolehkan.
Ini mengambil kira sekiranya hujan tersebut turun dalam keadaan lebat serta berterusan dalam tempoh masa yang panjang. Yang membawa kepada implikasi rosaknya tumbuh-tumbuhan dan tanaman, jalanan menjadi banjir, serta membawa kesulitan atau kemudharatan kepada orang ramai.
Meskipun begitu, sekiranya yang dimaksudkan dengan upacara tolak hujan tersebut adalah dengan cara melakukan ritual tertentu seperti yang dilakukan oleh masyarakat dan adat tertentu dengan cara memacakkan penyapu dan menghalakan ia ke langit, atau mencampakkan pakaian pengantin ke atas atap, dan selainnya, maka kesemuanya ini adalah amalan khurafat yang HARAM hukumnya lagi bercanggahan dengan ajaran Islam.
Justeru, kami menasihati kepada seluruh umat Islam agar menjauhi perkara-perkara seperti ini dan beramallah dengan amalan yang bertepatan dengan petunjuk Islam yang suci lagi murni.
Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar pencerahan ini memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Sonny Bill Williams, bekas bintang ragbi New Zealand dan tinju menzahirkan kegembiraan apabila isterinya, Alana Raffie memperbaiki penampilan sebagai Muslim.
Sebagai suami, lelaki itu rasa bertuah apabila melihat isteri mula berhijab tanpa paksaan tetapi melakukannya semata-mata memenuhi seruan Allah.
Williams, 37, memeluk Islam pada tahun 2009 merupakan pemain ragbi Muslim pertama di dalam pasukan All Blacks.
Pemain Rugby New Zealand Syukur
Beliau berkongsi sekeping foto memaparkan mereka sekeluarga yang memaparkan Alana dengan imej baru dengan memakai baju berlengan panjang dan bertudung.
“Isteri saya seorang hijabi! Alhamdullilah isteri saya mengambil keputusan untuk bertudung. Ini adalah detik paling membanggakan dalam hidup saya.
‘Istimewanya beliau telah melakukannya untuk ALLAH SWT dan bukan orang lain. @lanamarieewilli Semoga yang Maha Tinggi sentiasa mengurniakan anda kesihatan yang baik, hikmah dan kebahagiaan,” titip Williams buat isteri tersayang.
Isteri Mula Berhijab Tanpa Paksaan
Williams dan Alana mendirikan rumah tangga pada tahun 2013 selepas empat minggu mengikat tali pertunangan. Kini selepas sembilan tahun, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Iman, 8, Aisha, 5, Zaid, 4 dan Essa, 2.
Pada tahun 2018, foto Williams menunaikan umrah menarik perhatian ramai.
Beliau melebarkan sayap dalam sukan tinju pada tahun 2009 ketika masih bersama All Blacks dan memenangi gelaran Heavyweight International WBA pada 2013.
Berehat enam tahun dari gelanggang selepas memenangi pertarungan profesional ketujuhnya pada 2015, Williams membuat kemunculan semula pada tahun lepas.
Kutip derma untuk mengumpul dana untuk sesuatu tujuan memang biasa dibuat baik di peringkat keluarga, tempat kerja atau kalangan masyarakat umum sendiri.Kutipan ini juga...