Solat lima waktu adalah kewajipan setiap umat Islam. Tapi alangkah ruginya jika setiap hari melakukannya namun solat itu tidak diterima Allah SWT kerana sikap kita sendiri yang mengambil mudah tentang tertib dan tumakninah dalam ibadah ini.
Malah Rasulullah pernah menggambarkan kepada Saidina Abu Hurairah bahawa terdapat seorang lelaki yang menunaikan solat selama 60 tahun, tetapi solatnya tidak diterima Allah.
Sabda Rasulullah:
إنَّ الرجلَ ليُصلِّي ستِّينَ سنةً و ما تُقبَلُ له صلاةٌ، لعله يتمُّ الركوعَ، ولا يتمُّ السُّجودَ، ويتمُّ السجودَ ولا يتمُّ الركوعَ
Maksudnya: “Seorang lelaki menunaikan solat selama 60 tahun, tetapi satu pun solatnya tidak diterima Allah. Perkara ini berlaku kerana dia menyempurnakan sujudnya tetapi tidak menyempurnakan rukuknya, atau menyempurnakan ruku’nya tetapi tidak menyempurnakan sujudnya.” (HR Ibn Abi Syaibah)
Hadis ini mengingatkan kita supaya menyempurnakan setiap rukun di dalam solat. Bahkan Rasulullah di sini secara spesifik mengingatkan kita tentang rukuk dan sujud yang sering diabaikan oleh sebahagian manusia.
Ads
Sabda Rasulullah:
وأسوأُ السَّرقَةِ الذِي يسرِقُ صلاتَهُ قالوا: وكيف يسرقُ صلاتَهُ؟ قالَ: لا يُتِمُّ رُكُوعَهَا ولا سُجُودَهَا
“Seburuk-buruk pencuri adalah mereka yang mencuri di dalam solat. Sahabat lalu bertanya: Bagaimana seseorang itu mencuri di dalam solatnya? Rasulullah lalu menjelaskan: (pencuri solat ini ialah) mereka yang tidak menyempurnakan rukuk dan sujud merekanya.” (HR Ahmad)
Saidina Ibn Umar pernah ternampak seorang pemuda yang solat. Pemuda itu berdiri sangat lama. Lalu Ibn Umar berkata: Siapa yang kenal pemuda ini? Lalu dia berkata:
Ads
أما أني لو عرفته لأمرته بكثرة الركوع والسجود
“Kalaulah aku mengenali lelaki ini, aku akan ajar beliau supaya lebih banyakkan masa supaya sujud dan rukuk dengan lebih panjang.
Ini adalah kerana menurut Ibn Umar amalan rukuk dan sujud ini mempunyai kelebihan tersendiri.
Beliau lalu membacakan hadith dari Rasulullah yang menyebutkan:
Ads
إن العبد إذا قام يصلي أتي بذنوبه كلها ، فوضعت على رأسه وعاتقيه ، فكلما ركع أو سجد تساقطت عنه
“Sesungguhnya seorang hamba itu sekiranya dia menunaikan solat, maka dia akan datang dengan keseluruhan dosanya! Dosa-dosa tersebut diletakkan di atas kepala dan bahu mereka. Lalu setiap kali dia rukuk atau sujud, maka gugurlah dosa-dosa tersebut!
Oleh yang demikian hendaklah kita sentiasa menjaga tertib dalam solat serta berusaha untuk kusyuk. Usah solat dalam keadaan tergesa-gesa agar segala ibadah kita tidak menjadi sia-sia.
Tiba musim raya, tidur di homestay atau hotel akan terus menjadi isu ‘trending’. Penuh berita mengenai isu ini dan kebanyakannya menjurus kepada tanggapan negatif, sama ada daripada ibu ayah, adik-beradik atau saudara-mara. Maka ada yang mencemuh, pandang atas bawah atau cakap belakang.
“Beraya di kampung memang seronok tapi jika banyak keluarga berhimpun dalam satu rumah, tidur berjemaah di ruang tamu sebab tak cukup bilik sehingga berlaku pendedahan aurat ipar, sepupu atau biras semasa tidur memang akan mudah terpalit dosa jika tak teliti sebaiknya.
“Bukan itu sahaja, bagi yang menyusu badan lagi sukar kerana mungkin tak sedar auratnya terdedah ketika sedang tidur selepas menyusukan anak. Allahu Akbar,”demikian perkongsian Ustazah Asma’ Harun tentang situasi musim raya
Ujarnya lagi semasa menjadi perunding cara rumah tangga dulu, memang ramai ibu bapa mengadu bahawa anak mereka terjebak dengan pornografi atau ketagih melihat benda lucah bermula dengan situasi begini di kampung.
“Pada awalnya hanya ternampak sikit, kemudian datang keinginan untuk melihat dengan lebih banyak.
Keadaan ini harus difahami oleh semua pihak dengan berlapang dada. Sudah menjadi tanggungjawab buat seorang suami untuk memelihara maruah isteri dan anak-anak,”terang lagi.
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.” (Surah at-Tahrim : 6)
Sebelum ibu ayah berkata sesuatu yang mungkin akan timbulkan salah faham fahami dulu situasinya kenapa. Bukanlah sebab rumah itu tidak selesa, tiada aircond, suasana kampung, dan lain-lain tetapi bagi menjaga maruah, aurat dan pergaulan anak dan isteri.
Seorang anak pula harus jujur jika bermalam di hotel/homestay. Terangkan kepada ibu ayah dengan baik dan jelas, kadang mungkin mereka terlalu rindukan anak yang sudah lama tak pulang, jadi tugas kita ialah cuba jelaskan dengan baik. Mudah-mudahan ibu ayah memahami dengan lapang dada.
Anak-anak yang memilih untuk tidak bermalam dirumah ibu bapa, perlulah sebab yang berkaitan syara’, bukan kerana tidak selesa dan lain-lain, dibimbangi akan membuatkan orang tua dan keluarga berjauh hati.
Jangan jadi seperti tetamu di rumah ibu ayah sendiri, datang pada waktu makan atau waktu tertentu sahaja, pampers anak pula tinggal dalam tandas harap orang uruskan, kasihan ibu ayah dan adik beradik yang memang di kampung.
Sikap ini memanglah akan menyakitkan hati banyak pihak. Tidur hotel atau homestay asalnya tiada masalah, tapi sikap kita yang bermasalah.
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra’:23)
Syeikh al-Maraghi berkata, Allah SWT benar-benar mewasiatkan tentang tanggungjawab terhadap kedua-dua ibubapa secara serius, sehingga sesiapa sahaja yang derhaka terhadap mereka akan meremang bulu romanya serta ngeri mendengarnya.
Ini disebabkan wasiat itu dimuliakan oleh Allah SWT dengan perintah supaya manusia bertauhid dan beribadah kepada-Nya. Kemudian kewajipan tersebut digenapkan dengan kewajipan supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibubapa.
Seseorang yang sempat bersama atau berbakti kepada kedua ibubapanya merupakan orang yang sangat bertuah dan beruntung. Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.” (HR Muslim, hadis sahih)
Solat tarawih merupakan ibadah yang dinanti-nantikan setiap kali tibanya Ramadan. Umat Islam di seluruh dunia tidak melepaskan peluang menunaikan ibadah solat tarawih dan menghidupkan rumah-rumah Allah dalam usaha mendapatkan gandaan pahala yang diberikan kepada mereka yang beriman.
Tidak hanya kaum lelaki, kaum wanita juga berlumba-lumba untuk menunaikan solat tarawih di masjid. Tahukah anda bahawa solat wanita afdhal di rumahnya bukan di masjid. Tapi ramai wanita suka solat di masjid atau surau. Wanita nak pahala banyak ke nak pahala kurang?
Setiap kali ketibaan tetamu Ramadan yang mulia ini, pelbagai persoalan timbul dari kalangan wanita berkaitan hukum-hakam khususnya yang berkaitan ibadah.
Antaranya adalah persoalan berkaitan dengan amalan manakah yang lebih baik, sama ada seorang wanita itu solat tarawih berjemaah di masjid atau solat bersendirian di rumah?
Sememangnya solat seorang wanita Muslimah itu lebih afdal dan lebh baik di rumahnya.
Rasulullah telah bersabda:
Maksudnya: “Solat seorang wanita di rumahnya adalah lebih baik daripada solat di biliknya, dan solat di tempat tidurnya lebih baik daripada solat di rumahnya.”
Terdapat juga hadis yang diriwayatkan dalam Musnad Imam Ahmad bahawa Ummu Humaid Al-Sai’idi, isteri kepada Abu Humaid RA datang bertemu Nabi SAW dan berkata:
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku suka solat bersamamu. Baginda menjawab: “Sungguh aku mengetahui bahawa engkau suka menunaikan solat bersamaku, akan tetapi solatmu di tempat tidurmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di bilikmu, dan solatmu di bilikmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di rumahmu, dan solatmu di rumahmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di masjid kaummu, dan solatmu di masjid kaummu lebih baik dibandingkan solatmu di masjidku”
Kemudian Ummu Humaid meminta dibangunkan baginya masjid (tempat solat) di tempat paling tersorok dan paling gelap di bilik tidurnya. Maka, beliau solat di sana sampai bertemu dengan Allah Azza Wa Jalla.
Kedua-dua hadis ini menunjukkan bahawa semakin tertutup tempat solat wanita itu dan semakin jauh dari percampuran dengan lelaki, maka tempat tersebut adalah tempat yang afdal untuk wanita menunaikan solat.
Walaubagaimanapun, ini bukan bermakna suatu larangan untuk wanita pergi ke masjid. Bahkan terdapat hadis lain yang melarang para lelaki daripada menghalang isteri-isteri mereka keluar ke masjid. Rasulullah SAW bersabda daripada Ibnu Umar RA:
Maksudnya: “Janganlah kamu melarang hamba-hamba Allah dari kalangan wanita pergi ke masjid-Nya” (Muttafaq Alaih)
Dan hadis ini terdapat sambungannya yang diriwayatkan oleh Abu Daud: “…dan rumah-rumah mereka adalah lebih baik untuk mereka”
Tempat yang terbaik bagi wanita adalah di rumah namun dalam masa yang sama, Islam tidak menghalang wanita untuk ke masjid.
Walaubagaimanapun, perlu diingatkan bahawa terdapat garis panduan atau syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh wanita Muslimah untuk keluar menghadiri solat tarawih di masjid.
Antaranya adalah:
1. Menjaga aurat, tidak berhias-hias (tabarruj) dan memelihara pandangan.
Allah SWT berfirman: “Dan katakanlah kepada paraperempuan yang beriman agar mereka menjaga pandangannya, memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya…” (Surah An-Nur: 31)
2. Tidak memakai wangi-wangian
“Janganlah kamu menegah wanita-wanitamu pergi ke masjid Allah. Dan hendaklah mereka keluar ke masjid tidak memakai wangi-wangian.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)
3. Mendapat keizinan suami
4. Tiada percampuran lelaki dan perempuan serta segera pulang ke rumah setelah selesai solat
Ummu Salamah RA menceritakan:para wanita yang hadir solat berjemaah apabila selesai salam, mereka segera bangkit meninggalkan masjid dan pulang ke rumah sementara Rasulullah dan para jemaah lelaki duduk sebentar (untuk memberi laluan kepada jemaah wanita beredar). Apabila Rasulullah bangkit, maka bangkit pula jemaah lelaki tersebut. (Riwayat Bukhari).
Sekiranya syarat-syarat ini dipatuhi dan kehadiran seseorang wanita tersebut tidak menimbulkan fitnah, maka dibolehkan untuk mereka ke masjid dan berlumba-lumba mengumpul pahala lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini.
ISLAM AGAMA YANG MEMUDAHKAN
Dalam situasi tertentu, adalah digalakkan untuk wanita itu ke masjid sekiranya solat di masjid itu lebih meningkatkan kekhusyukan dan menambahkan penghayatan melalui bacaan imam apabila solat berjemaah berbanding apabila seseorang itu solat bersendirian di rumah.
Selain itu, apabila wanita ke masjid, banyak manfaat yang diperoleh jika mereka mengikuti pengisian dan ceramah agama. Perlu dipastikan juga agar ketiadaannya di rumah kerana pergi ke masjid tidak memberi kesan terhadap tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu.
Betapa indahnya Islam apabila agama ini tidak memberatkan wanita untuk ke masjid kerana solatnya di rumah sudah cukup untuk mendapatkan ganjaran.
IBU ADA ANAK KECIL LEBIH BAIK SOLAT DI RUMAH
Bagi wanita yang mempunyai anak-anak kecil, pastinya solat di rumah lebih memberi keselesaan. Wanita juga tetap mendapat pahala seperti ke masjid walaupun tidak berkesempatan ke sana sekiranya mereka mendorong dan mempersiapkan para suami untuk ke masjid. Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa menunjukkan kepada kebaikan, ia mendapatkan pahala seperti orang yang mengerjakannya.” (Riwayat Muslim)
Dalam masa yang sama, tiada larangan untuk wanita ke masjid namun syarat-syarat yang telah ditetapkan perlulah dipatuhi. Hakikatnya, solat tarawih adalah amalan sunat yang boleh dilakukan di mana sahaja dan tidak semestinya dilakukan di masjid terutamanya bagi wanita.
Selamat merebut ganjaran kebaikan di bulan pesta ibadah yang bakal tiba!
Wallahua’lam.
Ustazah Nur Fatin Halil
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)
Mohon baca. Ustazah kata afdhal bagi perempuan solat di rumah. Bukan halang perempuan ke masjid. Nak ke masjid silakan.
Ketika ini sedang berlangsung temasya Sukan Olimpik Paris 2024. Bagi peminat sukan sudah pasti menunggu pelbagai acara untuk ditonton di pelbagai medium media yang ada. Namun begitu seperti mana yang kita dapat lihat kebanyakan atlet yang bertanding dalam acara sukan ini tidak menutup aurat yang mana bagi umat Islam ia adalah berdosa.
Itu tentang atlet, tapi bagaimana pula dengan kita yang menonton acara sukan yang disertai oleh atlet dengan pakaian menutup aurat? Apa hukumnya? Perkara ini dijelaskan oleh Ustazah Asma’ Harun dalam satu hantaran beliau.
Orang Islam sama ada lelaki mahupun wanita yang sudah aqil baligh wajib menutup aurat dan menghindari diri dari dilihat oleh orang bukan mahramnya. Aurat bagi lelaki ialah antara pusat dan lutut.
Manakala, aurat bagi perempuan adalah seluruh anggota badan kecuali muka dan kedua tapak tangan. Mendedahkannya adalah HARAM sama ada dalam bersukan atau apa sahaja keadaan melainkan darurat seperti berubat.
Daripada Abu Said Al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda:
((لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ، وَلَا يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، وَلَا تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ))
Maksudnya: “Seorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, demikian juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita yang lain. Tidak boleh dua orang lelaki berada (tidur) dalam satu selimut demikian juga dengan wanita dilarang berbuat demikian.” (HR Muslim, hadis sahih)
Menurut Imam Nawawi dalam kitab Syarh Sahih Muslim, hukum melihat aurat ajnabi sama ada bagi lelaki dan wanita adalah HARAM dengan ijma’ ulama.
HARUS menonton acara sukan dan permainan. Namun, keharusan ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aisyah R.Anha:
جَاءَ حَبَشٌ يَزْفِنُونَ فِي يَوْمِ عِيدٍ فِي الْمَسْجِدِ فَدَعَانِي النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فَوَضَعْتُ رَأْسِي عَلَى مَنْكِبِهِ فَجَعَلْتُ أَنْظُرُ إِلَى لَعِبِهِمْ حَتَّى كُنْتُ أَنَا الَّتِي أَنْصَرِفُ عَنِ النَّظَرِ إِلَيْهِمْ
Maksudnya: “Beberapa orang Habsyah telah datang ke masjid (Nabawi) pada hari raya ‘Eid dan bermain acara lawan pedang, dan Rasulullah SAW telah memanggilku untuk menontonnya. Aku telah meletakkan kepalaku di atas bahu Baginda SAW dan menyaksikannya, hinggalah aku bosan dan berpaling darinya.” (HR Muslim, hadis sahih)
1. Para ulama’ secara amnya terbahagi kepada 3 pendapat:
a) HARAM secara mutlak
b) HARAM jika ada unsur maksiat
c) HARUS dengan sedikit kelonggaran
Pandangan tentang HARUS menonton sukan yang tidak menutup aurat, dengan SYARAT:
a) Pakaian yang dipakai pemain-pemain masih lagi dalam batasan tatasusila dan kesopanan yang dapat diterima. Ini merangkumi sukan seperti bola sepak, hoki, badminton, ping-pong, silat, sepak takraw dan bola baling.
b) Namun demikian, bagi para pemain adalah amat dituntut untuk SEBOLEH-BOLEHNYA BERUSAHA agar menutup aurat secara sempurna menurut pandangan majoriti ulama’ yang berpandangan lutut dan peha merupakan aurat dan mesti ditutup.
c) Adapun sukan-sukan seperti gimnastik, terjun dan renang, MAKA HUKUMNYA HARAM kerana pakaian yang dikenakan terlalu menjolok mata, ketat dan mendedahkan sebahagian besar bahagian badan.
Jelas, bila ia melibatkan acara sukan seperti renang sememangnya peserta memakai pakaian yang mendedahkan aurat dan ketat hingga menampakkan bentuk tubuhnya. Yang melakukan perbuatan mendedahkan aurat seperti ini adalah HARAM & BERDOSA.
Menghalalkannya menyebabkan seseorang itu rosak aqidahnya.Rasulullah saw bersabda :
إِ فَإِذَا اغْتَسَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْتَتِرْ
Maksudnya : “Maka apabila mandi seorang kamu maka hendaklah ia menutup dirinya.” (HR Abu Daud)
Adapun HARUS menonton acara sukan yang tidak menutup aurat (namun masih sopan) seperti bola sepak dan badminton, namun sikap bersederhana wajib diamalkan.
Segala perkara yang halal akan berubah menjadi haram apabila ada elemen berlebihan dan melampau. Contohnya, ialah menonton acara sukan secara berlebih-lebihan sehingga mengabaikan tuntutan kerja, kewajipan menuntut ilmu, memperbanyakkan amalan ibadah dan melakukan kerja-kerja kebajikan bagi membantu masyarakat sekitar.
1. WAJIB menutup aurat secara nas dan ijmak
2. HARAM melihat aurat lelaki atau wanita secara sengaja TANPA KEPERLUAN.
3. Hukum asal menonton sukan dan permainan ialah HARUS
4. HARUS melihat acara sukan yang tidak menutup aurat (tidak keterlaluan) dengan sedikit kelonggaran dan WAJIB UNTUK DIPATUHI IAITU:
a) Pakaian yang dipakai pemain masih lagi dalam batasan tatasusila dan kesopanan yang dapat diterima. Ini merangkumi sukan seperti bola sepak, hoki, badminton, ping-pong, silat, sepak takraw dan bola baling.
b) Bagi para pemain adalah amat dituntut untuk SEBOLEH-BOLEHNYA BERUSAHA agar menutup aurat secara sempurna menurut pandangan majoriti ulama’ yang berpandangan lutut dan peha merupakan aurat dan mesti ditutup.
c) Adapun sukan-sukan seperti gimnastik, terjun dan renang, MAKA HUKUMNYA HARAM kerana pakaian yang dikenakan terlalu menjolok mata, ketat dan mendedahkan sebahagian besar bahagian badan.
Adapun HARUS di sini, sebagai Umat Islam wajib bersikap sederhana. Segala perkara yang halal akan berubah menjadi haram apabila ada elemen berlebihan dan melampau.
Dalam kesibukan kehidupan seharian yang sering menuntut tenaga fizikal dan emosi, waktu sebelum tidur menjadi detik paling sesuai untuk seorang Muslim kembali menenangkan jiwa...