Tular di media sosial artis Fathia Latiff menyuntik cecair di rahangnya. Ia mendatangkan kecaman di pihak netizen yang mengatakan perbuatannya itu adalah haram. Di sebalik perbuatan sebegini yang jelas hukumnya adalah haram jika ia bertujuan untuk menarik perhatian bukan muhrim, sebenarnya ada lima lagi perbuatan haram wanita lakukan terutama jika perbuatan itu dilakukan ketika single.
Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan ada lagi lima perbuatan haram wanita lakukan terutama bagi belum berkahwin namun hukumnya berubah menjadi harus jika mendapat izin suami. Semoga kita semua muhasabah diri kerana kehidupan dunia hanya sementara kerana akhirat kekal selamanya.
Di bawah ini Mufti menjawap persoalan diajukan oleh individu mengenai hukum menyuntik kolagen di tubuh terutama bagi yang sudah ada suami.
Assalamualaikum. Apa hukumnya menyuntik cecair filler (soy based collagen) ke dalam anggota tubuh badan bagi wanita, untuk tujuan perhiasan pada suaminya?
Jawapan:-
Waalaikumussalam wrm. wbt,
Alhamdulillah pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kesudahan.
Mukadimah
“Kolagen” daripada sudut Bahasa ialah: “protein utama yang terdapat pada tisu penghubung, kulit, tulang dan tulang rawan, yang menghasilkan gelatin apabila direbus.” Rujuk Kamus Pelajar Edisi Kedua.[1]
Menurut laman web perubatan, WebMD, suntikan kolagen memberikan kulit struktur yang lebih montel, dan halus. Suntikan kolagen berfungsi dengan replenish (mengganti semula) kolagen semulajadi yang ada dalam kulit. Kecantikan semula jadi yang ada pada kulit akan bertambah apabila kontur pada support structure (struktur penampung) diperbaharui. Suntikan kolagen juga bergantung kepada jenis kulit, kesensitifan, dan sejarah rawatan. Bukan semua jenis kulit boleh mendapat suntikan kolagen. [2]
Isu suntikan kolagen pada anggota badan untuk tujuan kecantikan dibahaskan oleh para ulama zaman kontemporari. Ia tidak dibincangkan oleh ulama silam kerana perbezaan teknologi yang ada padan zaman itu. Pun begitu, ini tidak menghalang para ulama kontemporari untuk mengambil manfaat daripada fatwa ulama silam apabila illah yang sama ditemui dalam perkara-perkara yang diperselisihkan.
Dr. Soleh bin Muhamad al-Fawzan menetapkan tiga syarat untuk mengharuskan penggunaan suntikan kolagen pada bahagian-bahagian tubuh badan:
- Hendaklah kolagen tersebut diambil daripada bahan yang suci seperti lembu yang disembelih.
- Hendaklah doktor telah memastikan bahawa tiada mudarat pada suntikan tersebut.
- Hendaklah tujuan suntikan itu adalah untuk merawat keaiban yang bukan asli dan menghilangkan kehodohan, seperti membuang kedutan yang luar biasa. Adapun jika kesan rawatan itu membawa kepada tadlis (penipuan) atau mengubah ciptaan Allah, maka tidak harus, seperti membuang kedutan yang biasa muncul bagi orang-orang yang sudah tua.
Rujuk al-Jarahah al-Tajmiliyyah (hlm. 351)
Syarat Pertama
Bagi syarat pertama; ada kelonggaran untuk menggunakan najis sebagai ubat. Kelonggaran itu tertakluk kepada situasi darurat yang merujuk kepada keadaan sangat mendesak yang jika diabaikan akan membawa kepada kebinasaan, penderitaan dan kesakitan yang berpanjangan. Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyebut: “Keadaan darurat ialah suatu keadaan apabila seseorang takut sekiranya dia tidak memakan benda haram maka ke atas dirinya bahaya kematian, penyakit yang ditakuti, bertambah lagi penyakit, bertambah lagi tempoh penyakit, terputus hubungan dengan peneman (ketika musafir), atau ditakuti lemah untuk berjalan atau menunggang kenderaan, dan tidak ditemui barang halal untuk dimakan melainkan terdapat barang haram seperti bangkai, daging khinzir, dan makanan orang lain, maka harus mengambil (makan) barang haram itu.”
Namun, kadar yang dimakan itu mestilah hanyalah untuk menyambung hidup sahaja dan bukan untuk berlazat-lazat dan kenyang, melainkan jika seseorang itu berada di kawasan yang jauh yang ditakuti akan membinasakannya jika gagal pergi ke tempat selamat maka boleh makan sehingga kenyang.
“Adapun untuk tujuan pengubatan menggunakan najis-najis, ia dibenarkan sekiranya tiada bahan suci yang memiliki kesan mujarab yang sama atau lebih baik daripada najis itu mengikut pendapat yang sahih. Maka jika ditemui penggantinya, maka diharamkan menggunakan najis.”
Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/562-565)
Ini bersesuaian dengan kaedah fiqh:
مَا أُبِيحَ لِلضَّرُورُةِ يُقَدَّرُ بِقَدَرِهَا
Maksudnya: Apa yang diharuskan kerana darurat itu diharuskan mengikut kadar daruratnya sahaja.
Rujuk al-Asybah wa al-Nazha’ir (hal. 172) oleh Imam al-Suyuti .
Namun jika kolagen itu diambil daripada produk soya, maka tidak ada masalah bagi syarat pertama ini.
Syarat Kedua
Syarat ini penting kerana kaedah fiqh menyatakan:
الضَّرَرَ لَا يُزَالُ بِالضَّرَرِ
Maksudnya: “Suatu kemudaratan itu tidak dihilangkan dengan kemudaratan yang lain.”
Contohnya, tidak boleh orang yang berada dalam keadaan darurat untuk makan makanan yang akan membuatnya berada dalam keadaan darurat juga (seperti minum racun kerana dahaga dan memakan makanan yang sudah rosak kerana lapar).
Rujuk al-Asybah wa al-Nazha’ir (hlm. 86)
Justeru, pastikan bahan yang digunakan untuk suntikan itu juga bebas daripada kesan sampingan yang mendatangkan keburukan ketara kepada kesihatan. Ini perlu dirujuk kepada pakar perubatan dan bukan hanya berdasarkan andaian semata-mata.
Syarat Ketiga
Ini berdasarkan firman Allah Taala tentang perkataan Iblis:
وَلَأُضِلَّنَّهُمْ وَلَأُمَنِّيَنَّهُمْ وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُبَتِّكُنَّ آذَانَ الْأَنْعَامِ وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللَّهِ فَقَدْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah”. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.”
(Surah al-Nisa’: 119)
Berkata Syeikh Muhammad Tahir ibn Asyur:
“Ayat ini mendedahkan tentang perbuatan orang Jahiliyyah yang mengubah ciptaan Allah atas motif yang merepek. Contohnya perkara yang dilakukan oleh pengikut ajaran berhala seperti mengorek mata al-hami, yakni unta yang terpelihara belakangnya daripada ditunggangi akibat banyak memberikan keturunan, dan membiarkannya untuk para taghut (berhala-berhala). Termasuk juga dalam (celaan ini) ialah tujuan yang tercela seperti membuat tatu untuk tujuan berhias, sedangkan itu memburukkan, begitu juga menoreh muka dengan api…Tetapi bukanlah daripada mengubah ciptaan Allah akan menggunakan makhluk-makhluk yang diizinkan oleh Allah untuk digunakan (untuk dimakan dan dikasi bagi menambahkan daging). Bukanlah juga mengubah ciptaan apabila melakukan perkara tahsiniyyah (mengelokkan) maka berkhitan itu adalah mengubah ciptaan Allah tetapi padanya ada faedah kesihatan. Begitu juga mencukur rambut kerana faedah menolak sebahagian kemudaratan, memotong kuku untuk memudahkan amalan yang dilakukan oleh tangan, begitu juga mencucuk telinga bagi perempuan untuk memasang anting-anting dan berhias.”
Rujuk al-Tahrir wa al-Tanwir (5/206)
Daripada Abdullah bin Mas`ud RA:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَعَنَ الوَاشِمَاتِ وَالمُسْتَوْشِمَاتِ وَالمُتَنَمِّصَاتِ مُبْتَغِيَاتٍ لِلْحُسْنِ مُغَيِّرَاتٍ خَلْقَ اللَّهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW melaknat wanita-wanita yang mentatu dan yang meminta ditatu, wanita-wanita yang mencukur alis, demi mencari keindahan dan mengubah ciptaan Allah.”
Riwayat al-Tirmidhi (no. 2706). Beliau mengatakan hadis ini hasan sahih.
Berkata Syeikh Dr. Soleh bin Muhammad al-Fauzan:
“Diikat dengan perkataan “lil husn” dalam hadis tadi menunjukkan bahawa larangan itu bersifat khusus dengan apa yang jika dilakukan untuk mendapatkan kecantikan tambahan pada khilqah ma`hudah (ciptaan atau rupa paras yang standard). Jika dilakukan untuk merawat (suatu cela) atau kerana aib maka harus hukumnya, seperti mana yang telah disebut sebelum ini. Ini menunjukkan bahawa itu bukanlah bentuk perubahan yang diharamkan. Maka sabda baginda yang menyebut “lil husn” itu, huruf Lam itu adalah Lam Ta`lil (yang menunjukkan alasan pengharaman) yang mengecualikan larangan itu pada perkara yang melibatkan rawatan dan seumpama dengannya.”
Rujuk al-Jarahah al-Tajmiliyyah (hlm.73)
Justeru, jika suntikan kolagen soya itu menyebabkan perubahan ketara para ciptaan Allah, maka ia diharamkan. Jika tidak, maka dibenarkan.
Dandanan Yang Dibenarkan Syarak di Hadapan Suami
Kami sebutkan di sini beberapa pendapat ulama tentang kaedah kecantikan yang diharamkan dan diharuskan oleh Syarak.
Berkata Syeikh al-Jamal dalam kitabnya Hasyiah al-Jamal `ala Syarh al-Manhaj (1/418):
وَيَحْرُمُ أَيْضًا تَجْعِيدُ شَعْرِهَا وَنَشْرُ أَسْنَانِهَا وَهُوَ تَحْدِيدُهَا وَتَرْقِيقُهَا وَالْخِضَابُ بِالسَّوَادِ وَتَحْمِيرُ الْوَجْنَةِ بِالْحِنَّاءِ وَنَحْوِهِ وَتَطْرِيفُ الْأَصَابِعِ مَعَ السَّوَادِ وَالتَّنْمِيصُ وَهُوَ الْأَخْذُ مِنْ شَعْرِ الْوَجْهِ وَالْحَاجِبِ الْمُحَسَّنِ فَإِنْ أَذِنَ لَهَا زَوْجُهَا أَوْ سَيِّدُهَا فِي ذَلِكَ جَازَ لَهَا
Maksudnya: “Dan diharamkan juga mengerintingkan rambut, melakukan nasyr pada gigi yakni mengasah, dan menghaluskan hujung gigi, mewarnakan (rambut dan anggota badan) dengan warna hitam, memerahkan wajnah (bahagian atas pipi) dengan inai,[3] dan seumpamanya, mewarnakan hujung jari dengan warna hitam, melakukan tanmis yakni mencabut bulu-bulu di muka dan bulu kening yang berlebihan[4]. Namun jika diizinkan oleh suaminya, atau tuannya, maka diharuskan baginya.”
Hukum menyambung rambut juga adalah diharamkan, melainkan jika menggunakan rambut sintentik dan dengan kebenaran suaminya, maka diharuskan. Rujuk Rujuk al-Wasit (2/168-170) oleh Imam al-Ghazali; Busyra al-Karim (hlm. 90) oleh Habib Saied Ba`isyn; Nail al-Autor (6/22) oleh Imam al-Syaukani.
Pandangan Hukum
Berdasarkan kenyataan di atas, jelaslah bahawa hukum menyuntik kolagen pada anggota-anggota badan adalah bergantung kepada keadaan:
- Haram menyuntik kolagen pada tubuh badan dengan tujuan menunjukkan kecantikan kepada lelaki asing, menggunakan bahan yang bernajis, atau berbahaya untuk kesihatan, tanpa kebenaran suami, dan mengubah ciptaan Allah.
- Hukumnya menjadi harus jika bertujuan untuk mengembalikan kecantikan yang hilang, bukan akibat penuaan yang normal, tetapi berdasarkan pemakanan yang tidak sihat, penyakit, kemalangan, kecuaian menjaga kesihatan dan seumpamanya. Ini berdalilkan hadis sahabat Nabi SAW yang bernama Arfajah yang kehilangan hidungnya akibat peperangan lalu dibenarkan Rasulullah SAW untuk dipasang hidung buatan daripada emas.
- Harus juga hukumnya jika tujuan suntikan kolagen adalah tujuan kecantikan dengan izin suami. Suntikan itu sendiri tidak berdosa kerana Syarak membenarkan bekam dan fasdu (venesectomy – pemotongan pada salur darah) untuk mengeluarkan darah yang berlebihan, yang menggunakan kaedah cucuk dan torehan, atas alasan hajat (seperti rawatan penyakit dan pencegahan). Begitu juga Syarak mengharuskan tusukan pada telinga bagi tujuan memasang anting-anting, atas alasan kecantikan. Syarak juga mengharuskan pengambilan makanan dan supplement tambahan yang berkhasiat untuk kesihatan dan kecantikan. Namun suntikan kolagen tersebut mestilah tidak begitu ketara, melebihi khilqah ma`hudah (ciptaan atau rupa paras yang standard), sehingga boleh dianggap mengubah ciptaan Allah.
Semoga penjelasan ini akan memberikan manfaat kepada penanya dan menambahkankan kemesraan antara suami isteri yang menghasilkan tujuan berkelurga yang ditetapkan oleh Islam untuk saling berkasih-sayang. Wallahua’lam.
Nota hujung:
[1] http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=kolagen
[2] https://www.webmd.com/beauty/collagen-injections#1
[3] Maka dikiaskan dengan hukum gincu dan alat-alat solekan yang lain, jika dibenarkan oleh suaminya.
[4] Di dalam al-Tahqiq, Imam al-Nawawi menyatakan hukumnya adalah makruh. Berkata pentahqiq kitab al-Tahqiq, Syeikh Qosim Muhammad Agha al-Nuri: erti mencabut itu ialah pada lebar dan tingginya sehingga menjadi melengkung (seperti anak bulan) bak tulisan pena. Wallahua’lam. Rujuk al-Tahqiq, Maktabah Dar al-Fajr (hlm.58) .
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI