
Tak nak sedekah sebab takut tak cukup untuk diri tanda hamba harta. Inilah realiti sebahagian daripada kita hari ini. Ada yang berat tangan untuk memberi, kononnya takut tidak cukup untuk diri sendiri.
Sedangkan Rasulullah SAW sudah memberi amaran bahawa apabila sifat kedekut ditaati dan hawa nafsu diikuti, maka kehidupan akan binasa. (HR al-Baihaqi).
Menurut Ustazah Asma’ ini juga sebenarnya adalah petanda kita sudah mula menjadi hamba kepada harta yang juga merupakan sifat bakhil.
Takutnya jika kita mula jadi hamba pada harta yang ada, tak nak memberi sebab risau tak cukup untuk diri sendiri, sedangkan Nabi SAW bersabda “Apabila orang kedekut ditaati dan hawa nafsu diikuti, maka kehidupannya akan BINASA” (HR al-Baihaqi)
Tak memberi meski mampu
Maksud Bakhil dari segi bahasa adalah menahan sesuatu. Dari segi istilah Ia bermaksud perbuatan seseorang menahan atau tidak memberikan sesuatu yang semestinya WAJIB diberikan kepada orang lain, sebagai contoh orang yang tidak mahu membayar zakat sedangkan dia mampu, tidak memberi nafkah kepada ahli keluarga, ada juga yang memberi nafkah tetapi sedikit sedangkan kaya raya.
Asal bagi sifat bakhil adalah kasih akan harta dan ia merupakan perbuatan yang sangat dicela serta termasuk dalam perbuatan yang membinasakan. Al-Sya’bi pernah mengatakan bahawa “Aku tidak tahu yang manakah antara keduanya lebih jauh tenggelam dalam Api neraka jahannam, orang yang kedekut atau yang berdusta”
Al-sabuni berkata bahwa sesungguhnya manusia amat mencintai harta untuk mengumpulnya, dengan sebab itu kecintaannya kepada Allah swt serta syukur atas nikmatNya menjadi lemah dan berkurangan.
Allah SWT mencela perbuatan bakhil atau kedekut yang ada pada hambanya, antara FirmanNya adalah :
ٱلَّذِینَ یَبۡخَلُونَ وَیَأۡمُرُونَ ٱلنَّاسَ بِٱلۡبُخۡلِ وَیَكۡتُمُونَ مَاۤ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضۡلِهِۦۗ وَأَعۡتَدۡنَا لِلۡكَـٰفِرِینَ عَذَابࣰا مُّهِینࣰا
Maksudnya : “Iaitu orang-orang yang bakhil dan menyuruh manusia supaya bahkil serta menyembunyikan apa-apa jua yang Allah berikan kepada mereka dari limpah kurniaNya. Dan (sebenarnya) kami telah sediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina.” (Surah An-Nisaa’ ayat : 37)
Selain itu, Allah SWT juga berfirman :
وَلَا يَحْسَبَنَّ ٱلَّذِينَ يَبْخَلُونَ بِمَآ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦ هُوَ خَيْرًۭا لَّهُم ۖ بَلْ هُوَ شَرٌّۭ لَّهُمْ ۖ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُوا۟ بِهِۦ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۗ وَلِلَّهِ مِيرَٰثُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌۭ
Maksudnya: “Dan janganlah sekali-kali orang yang bakhil menyangka bahawa kebakhilan terhadap harta kekayaan yang diberikan Allah kepada mereka daripada limpah kurnia-Nya itu adalah baik untuk mereka, bahkan ia adalah buruk untuk diri mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan di leher mereka pada hari kiamat.”(Surah Ali ‘Imran: 180)
Oleh itu janganlah jadi hamba harta sekaligus menutup pintu pahala. Semoga kita tidak tergolong dalam kalangan yang bakhil hingga melupakan akhirat.
Sumber: Ustazah Asma’ Harun
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?





