Tujuan berniqab untuk tidak tarik perhatian. ‘Apa guna tutup, kalau mekap mata berlebihan.’
Sebaiknya, bila berniqab jagalah batas, pesanan ini bukan saja khusus untuk wanita berniqab sebaliknya kepada semua wanita yang gemar berhias atau mengenakan mekap.
Ustazah Asma’ Harun tampil memberikan teguran berkaitan isu ini.
Umum mengetahui menutup aurat adalah satu kewajipan bagi wanita Muslim. Ia bertujuan untuk memelihara kehormatan serta mengangkat taraf dan kedudukan wanita kepada tahap yang lebih tinggi.
Aurat wanita yang wajib ditutup ialah seluruh tubuh badannya, melainkan wajah dan tapak tangan.
Untuk Tidak Tarik Perhatian
Hukum memakai niqab:
1. Jika seseorang wanita itu bimbang kepada fitnah, maka boleh menutup wajah untuk menjaga kehormatan diri dan mengelakkan perkara yang tidak diingini.
Ads
2. Pemakaian niqab adalah salah satu cara yang terbaik dalam bab penjagaan aurat wanita. Justeru hukum pemakaian niqab ini adalah sunat dan afdal bagi kaum wanita.
Ustazah Asma Harun menegaskan tujuan berniqab adalah untuk tidak menarik perhatian orang lain dengan cara menutup wajah.
Apa Guna Tutup
Menerusi video yang tular di TikTok, beliau berkata mata dan mulut adalah tarikan utama yang akan mengundang perhatian orang ramai untuk memandang.
“Pakai niqab tetapi mata sangat cantik. Tujuan pakai niqab untuk tidak menarik perhatian. Mata dengan mulut tarikan yang kuat bagi wajah, sama ada lelaki ataupun perempuan.
“Saya bukan tujukan kepada wanita pakai niqab saja tetapi kepada semua wanita. Cuma bila pakai niqab, keinginan lelaki untuk melihat kecantikan wanita itu kadang-kadang lebih.
Ads
Bila mereka tengok mata yang dicantikkan berlebih-lebihan, mereka membayangkan lebih lagi. Subhanallah, allahuakbar,” jelas pendakwah ini.
Dalam pada itu, Ustazah Asma’ memberitahu Islam sama sekali tidak melarang wanita untuk berhias tetapi perlu tahu batas yang dibenarkan syarak.
Ads
Jelas Ustazah Asma’ sama ada wanita itu memakai niqab atau tidak, maksudnya biarlah wajah dibiarkan natural. Mungkin boleh pakai sedikit, bedak sikit, krim pelindung matahari (sunblock) atau krim untuk menutup cela.
“Itu kalau kita baca yang ditulis oleh jabatan mufti, dibenarkan syarak supaya ada keyakinan diri, diri itu lebih bersih dan kemas dengan tujuan tersebut. Jangan sampai bertabbaruj,” jelas beliau lagi.
Kesimpulannya, bersederhanalah dalam soal berpakaian dan menghias diri. Usah melampau-lampau hingga niat untuk menutup aurat itu tidak mencapai sasaran seperti yang sepatutnya.
Kashoorga : Dalam apa perkara sekalipun, ambillah langkah bersederhana dan jangan keterlaluan.
‘Berkat doa dan istiqamah seorang bapa.’ Dia menjadi penyebab Oktavia Manrose dapat hidayah dan berhijrah serta berubah menjadi muslimah yang lebih baik hari ini.
Ternyata bukan sesuatu yang mudah untuk kekal istiqamah, namun jika Allah berkehendak segalanya menjadi mungkin. Begitu juga apa yang dilalui oleh Oktavia Manrose.
Jelas Oktavia Manrose, setelah lebih setahun tampil dengan imej berhijab, penghijrahan yang berlaku pada dirinya, itu adalah berkat doa dan istiqamah bapanya yang juga penyanyi dangdut era 1990-an, Iwan Syahman.
Luah Oktovia menerusi akaun instagramnya, dia merasa syukur dan berterima kasih atas usaha berterusan bapanya yang ingin melihat dia berubah menjadi lebih baik.
“Berkat doa dan istiqomah seorang bapa. Mujahadah sendirian untuk menebus kekhilafan dulu. Usahanya sangat terasa. Masyallah dia menjadi asbab saya mendapat hidayah dan berubah.
“Tiada apa yang lebih beruntung daripada nikmat iman dan Islam yang ALLAH beri sekarang. ALLAH bagi rasa dan bagi faham. Masya-ALLAH sangat luar biasa,” ujarnya.
Malah, dalam perkongsian sama, pelakon ini mengakui dia kini semakin faham tentang tujuan hidupnya dan berasa rugi jika terus mensia-siakannya.
“Hari berlalu, makin kuat rasa cinta kepada Allah SWT dan Rasullullah SAW, makin saya faham apa tujuan hidup.
“Dunia adalah ujian semata-mata untuk kita mengumpulkan saham di akhirat. Yang pasti kehidupan selepas dunia adalah lebih dasyat. Umur di dunia sangatlah singkat berbanding beratus ribu tahun di akhirat lamanya, nauzubillahminzalik.
“Tersangatlah rugi kalau mensia-sia diri dengan kemungkaran. Dunia ni bukan kehidupan abadi, tapi kehidupan bermula selepas kematian. Itulah hakikat yang sebenarnya,” luah Oktovia yang juga kakak kepada pelakon Aprena Manrose.
Akui wanita berusia 31 tahun itu lagi, sebelum ini dia pernah bertanya kepada diri sendiri apakah sempat berubah dan menerima pengampunan daripada Maha Pencipta.
Namun berkat kesungguhan dan keikhlasan hati mencari reda ALLAH, satu persatu perubahan yang lebih baik berlaku kepada dirinya.
“Sentiasalah bersangka baik dengan Allah dan percaya bahawa Dia akan terima setiap doa umat-Nya yang benar-benar ikhlas. Perlahan-lahan mendidik diri untuk mendapat reda Allah.
“Bukan saja daripada banyaknya ibadah kita lakukan seharian, tapi daripada istiqamah dalam melakukan kewajipan pada Allah SWT. Alhamdulillah Allah dengan sifat Ar-Rahman Ar- Rahim dan Al- ghofur, bagi peluang.
”Satu persatu perubahan dalam diri. Masya-ALLAH saya bersyukur. Semuanya asbab usaha niat ikhlas dan doa seorang bapa yang soleh. Alhamdulillah. Semoga Allah sentiasa merahmatimu wahai ayahanda Iwan Syahman,” katanya.
Kashoorga : Semoga Allah permudahkan urusan Oktavia dan terus kekal istiqamah.
My #QuranTime merupakan program kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) serta TV AlHijrah sebagai penyiar utama. Program ini bersiaran di TV AlHijrah pada jam 12 hingga 1 tengah hari secara langsung setiap hari bermula 8 Jun 2020.
Pada permulaannya, program ini adalah kesinambungan Malaysia #QuranTime yang mula diperkenalkan pada 20 Mac 2020 di platform TV AlHijrah dengan tujuan memberi pengisian rohani bagi rakyat Malaysia yang terkurung (Perintah Kawalan Pergerakan) di rumah bagi pencegahan penularan wabak Covid-19.
Al-Quran menjadi penawar duka kepada rakyat, pemimpin dan negara yang kemurungan akibat pandemik Covid-19, tekanan politik, ekonomi dan bencana alam dalam tempoh musim PKP selama dua tahun tersebut bermula 18 Mac 2020.
Pada waktu itu, Malaysia #QuranTime mentadabburi ayat-ayat dan surah pilihan yang dilihat telah menjadi satu fenomena luar biasa di Malaysia di mana orang ramai mula tertarik dengan pengisiannya serta sentiasa ternanti-nantikan program ini bersiaran ke udara.
Hasil sokongan dan permintaan tinggi daripada kalangan rakyat Malaysia kini yang semakin ketagih untuk mempelajari al-Quran, maka pihak WUIF dan TV AlHijrah meneruskan kerjasama untuk menerbitkan program My #QuranTime.
Program tersebut memberi pendekatan bertadabbur serta baca, faham dan amal seluruh isi kandungan al-Quran bermula dari muka surat 1 hingga muka surat 604.
My #QuranTime dijayakan dengan penglibatan asatizah daripada pelbagai latar belakang pendidikan. Ia bersiaran langsung dari studio TV AlHijrah, bahkan orang ramai juga boleh mengikuti secara atas talian di platform Facebook My #Qurantime dan YouTube My #QuranTime Official.
Sehingga kini, lebih 15 juta penonton dari Malaysia, Brunei, Singapura, Indonesia dan Selatan Thailand mengikuti My #QuranTime di TV AlHijrah dan media sosial.
My #QuranTime merupakan program tadabbur al-Quran tahap asas agar mudah difahami oleh masyarakat umum. Selain itu, ia menjadi pemangkin masyarakat untuk mendekati al-Quran pada tahap tahap lebih tinggi.
Program sejam bersama al-Quran (Baca, Faham & Amal) setiap hari amat penting dalam memupuk kerangka fikir dan sistem operasi diri berlandaskan al-Quran dan Hadis. Ini selari dengan misi WUIF, “MengQurankan bangsa mengikhlaskan ummah” pada 1500H.
Selain itu, program ini dilihat satu kejayaan besar hingga wujudnya budaya ketagih al-Quran: baca, faham & amal al-Quran. Uniknya, ia dilakukan di Malaysia dan bukan dari negara-negara Arab.
Bahkan program ini merentasi pelbagai latar belakang dan lapisan masyarakat, termasuk golongan muda, warga emas, pekerja, peniaga, tidak bekerja mahupun pesara.
Tambahan ramai peminat setia My #QuranTime yang berada di luar negara mengikuti program ini secara konsisten bermula halaman pertama sehingga halaman terakhir al-Quran.
Selain itu, My #QuranTime telah mencetuskan budaya infak dan wakaf dalam kalangan peserta melalui Tabung Gerakan Al-Quran yang bersiaran di TV AlHijrah dan Facebook Quran Hour.
Tanggal 7 Oktober 2022 merupakan hari dan surah terakhir ditadabbur pada My #QuranTime Episod 838 (Malaysia #QuranTime 69 episod & My #Qurantime 769 episod) program ini bersiaran.
Dengan berakhir episod My #QuranTime 1.0, WUIF dan TV AlHijrah menganjurkan program khas bagi menghargai pengikut setia My #QuranTime iaitu Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime yang julung kali diadakan pada 8 Oktober 2022.
Seramai 5 ribu peserta dijangkakan menyertai acara khatam yang bertemakan “Kerinduan & Kenangan terindah bersama al-Quran”, menjelang sambutan Maulidur Rasul 1444H di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada pukul 11.30 pagi hingga 1 tengah hari.
Ia menjadi platform penyatuan para asatizah dan peserta yang datang dari pelbagai latar belakang.
ALLAH SWT berfirman: “Dan telah sempurna firman Tuhanmu (al-Quran) dengan benar dan adil. Tidak ada yang dapat mengubah firman-Nya. Dan Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-An’am: 115)
Ayat al-Quran tersebut sering dibacakan ketika majlis khatam al-Quran. Ia bermaksud al-Quran terpelihara daripada sebarang pengubahsuaian. Jika kita menjaga al-Quran dan bawa al-Quran dalam kehidupan, ALLAH SWT akan menjaga kita.
Khatam berasal daripada perkataan Bahasa Arab ‘khotama’ (ختم) yang bermaksud menutup. Justeru, khatam Al-Quran bermaksud menghabiskan bacaan Al-Quran 30 juzuk sama ada secara bacaan atau melalui tadabbur.
Amalan berhimpun ketika majlis khatam al-Quran adalah disunatkan oleh para ulama iaitu dengan menghimpunkan ahli keluarga atau sahabat-handai ketika majlis tersebut. Hal ini berdasarkan kepada amalan para salaf terdahulu.
Antaranya, sebuah riwayat yang menyebutkan mengenai Anas bin Malik RA, “Adapun Anas apabila beliau mengkhatamkan al-Quran, beliau akan menghimpunkan anaknya serta ahli keluarganya lalu berdoa bersama mereka.” (Riwayat Al-Darimi, 3517)
Melalui My #Qurantime, orang ramai kini semakin memahami isi kandungan al-Quran dalam bahasa Arab. Ia membawa perubahan kehidupan bagi pencinta al-Quran.
Selain itu, My #QuranTime mencetuskan budaya infak dan wakaf dalam kalangan peserta melalui Tabung Gerakan Al-Quran yang bersiaran di TV AlHijrah dan Facebook Quran Hour.
Impak program My #QuranTime kepada masyarakat antaranya sebanyak 19,664,240 naskhah al-Quran wakaf telah diagihkan dan lebih 6,000 Quran Corner di pelbagai organisasi seperti hospital, agensi kerajaan, syarikat swasta, balai polis, kolej, universiti, sekolah, rumah ngaji, pusat tahfiz, dan masjid.
Sumbangan sebanyak RM5 ribu daripada dana Tabung Gerakan Al-Quran turut diagihkan kepada Rumah Ngaji di seluruh negeri setiap bulan bagi membantu penggerak menjalankan aktiviti untuk mendekatkan masyarakat kepada al-Quran melalui baca, faham dan amal.
Kashoorga : Semoga majlis ini menjadi platform penyatuan para seluruh umat Islam yang datang dari pelbagai latar belakang.
SOALAN:
Saya bercerai dengan isteri pertama dan berkahwin dengan isteri kedua, setelah itu saya ditimpa sakit iaitu strok, isteri kedua saya tidak mampu untuk menjaga.
Kemudian, anak-anak saya dari isteri pertama buat keputusan untuk menjaga saya di rumah mereka iaitu bersama satu rumah dengan bekas isteri.
Apakah hukum saya berada di rumah bekas isteri dalam masa yang sama saya sedang sakit dan anak-anak hendak jaga saya?
JAWAPAN:
Tidak harus bagi suami tinggal bersama-sama dengan bekas isterinya di dalam sebuah rumah atau masuk ke dalam rumah yang didiami bekas isterinya kerana dikhuatiri akan menjurus kepada fitnah dan maksiat.
Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat mahram kepada salah seorang daripada mereka bersama bekas isteri berkenaan atau orang yang setaraf dengan mahram seperti isteri yang lain atau perempuan yang boleh dipercayai, maka suami diharuskan masuk rumah tersebut dan duduk tinggal di situ.
HURAIAN JAWAPAN:
Dilarang bagi pasangan suami, isteri yang sudah tamat iddahnya untuk berada dalam satu rumah kerana hukum bekas suami ketika ini samalah seperti lelaki ajnabi (orang asing) yang lain, iaitu Haram masuk ke dalam rumah dalam keadaan tidak ada mahram atau wanita yang dipercayai di dalamnya.
Keadaan ini boleh menyebabkan terjebak kepada perbuatan khalwat. Dalam meneliti isu ini, kami bawakan sebuah kisah yang pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW. Hal ini seperti mana yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Amr R.anhuma:
أَنَّ نَفَرًا مِنْ بَنِي هَاشِمٍ دَخَلُوا عَلَى أَسْمَاءَ بِنْتِ عُمَيْسٍ فَدَخَلَ أَبُو بَكْرٍ الصِّدِّيقُ وَهِيَ تَحْتَهُ يَوْمَئِذٍ فَرَآهُمْ فَكَرِهَ ذَلِكَ فَذَكَرَ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَقَالَ لَمْ أَرَ إِلاَّ خَيْرًا . فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ” إِنَّ اللَّهَ قَدْ بَرَّأَهَا مِنْ ذَلِكَ ” . ثُمَّ قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَلَى الْمِنْبَرِ فَقَالَ ” لاَ يَدْخُلَنَّ رَجُلٌ بَعْدَ يَوْمِي هَذَا عَلَى مُغِيبَةٍ إِلاَّ وَمَعَهُ رَجُلٌ أَوِ اثْنَانِ
Maksudnya: “Suatu ketika beberapa lelaki Bani Hasyim masuk ke rumah Asma binti ‘Umais. Tidak lama kemudian Abu Bakar al-Siddiq juga memasuki rumah tersebut ketika itu Asma binti Umais telah menjadi isteri Abu Bakar. Di dalam rumah Asma, Abu Bakar melihat para lelaki Bani Hasyim tersebut, dan beliau tidak menyukai perkara itu. lalu beliau menceritakan kepada Rasulullah SAW, kemudian berkata:
“Saya tidak melihat apa-apapun melainkan perkara yang baik sahaja!” Rasulullah SAW lalu bersabda: “Allah telah membebaskan Asma dari hal-hal buruk itu.” Kemudian Rasulullah SAW naik mimbar dan bersabda: “Semenjak hari ini, jangan sekali-kali seorang lelaki menemui wanita yang menyendiri (saat suaminya tidak ada) kecuali dia disertai oleh satu atau dua lelaki lainnya”- Riwayat Muslim
Melihat pada situasi ini anak-anak dan bekas isteri sudah mengizinkan bapa atau bekas suami tinggal bersama mereka.
Perkara yang menjadi larangan dari sudut syarak adalah apabila mereka berada dalam keadaan berdua-duaan. Kerana Nabi SAW bersabda:
لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ
Maksudnya: “Tidak berdua-duaan seorang lelaki dan perempuan (yang bukan mahram) melainkan ada yang ketiga iaitu syaitan”.
Riwayat al-Tirmizi
Oleh hal yang demikian, tidak ada halangan dari sudut hukum syarak untuk suami tinggal di dalam satu rumah dengan bekas isterinya selagi mana terdapat mahramnya seperti anak-anak mereka, bahkan ia termasuk amalan yang terpuji dan juga dikira sebagai memuliakan ayah kandung mereka.
Selain itu perkara ini juga memupuk semangat berbudi di antara bekas pasangan suami isteri yang mana perkara ini sangat-sangat dianjurkan dalam Islam sebagaimana firman Allah SWT:
وَلَا تَنسَوُاْ ٱلۡفَضۡلَ بَيۡنَكُمۡۚ
Maksudnya: “Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri”.
Surah al-Baqarah
Namun, dalam konteks bermuamalat wajib bagi kedua-dua bekas pasangan ini menepati batasan yang di tetapkan oleh syarak sebagai status ajnabi iaitu hubungan yang bukan lagi suami isteri. Selain itu, wajib juga bagi bekas isteri itu menjaga aurat dan etika pakaian menurut syariat di hadapan bekas suaminya.
Dilarang berbual panjang dalam tempat yang lama melainkan atas dasar keperluan. Selain itu, dilarang berkhalwat berdua-duaan di antara mereka. Perkara ini telah dinyatakan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.A bahawa Nabi SAW bersabda:
لَا يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ
Maksudnya:”Janganlah seorang laki-laki berkhalwat dengan seorang wanita melainkan jika terdapat bersamanya mahram”. -Riwayat al-Bukhari.
Kesimpulannya, Islam mewajibkan anak-anak berbuat baik kepada ibu, bapa. Lebih-lebih lagi ibu bapa dalam keadaan sakit yang memerlukan sokongan dan penjagaan dari anak-anak mereka.
Oleh yang demikian, tidak menjadi kesalahan seorang lelaki tinggal serumah bersama bekas isterinya sekiranya menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh ulama fiqh iaitu wujudnya mahram atau wanita ajnabi yang dipercayai dalam rumah itu. Semoga kita sentiasa berada dalam rahmatnya.
Kashoorga : Bila seorang ayah sakit, menjadi tanggungjawab anak-anak untuk menjaga.
Kekayaan bukan sekadar harta dunia, tetapi amanah daripada Allah yang perlu diurus dengan adil, penuh kasih sayang dan berlandaskan iman. Demikian antara perkara bakal...