
Ramai wanita hari ini punya wang sendiri hasil dari kerjaya yang dimiliki. Dalam hal ini mereka selalunya bebas berbelanja mengikut rasa hati.
Tapi mungkin jua melihat keghairahan isteri membeli belah, ada suami yang tidak berkenan dengan pembelian yang dibuat sebagai contoh membeli emas, atau perhiasan diri yang mahal.
Dalam hal ini adakah suami boleh menghalang isteri dari berbelanja menggunakan wang miliknya sendiri?
Menurut penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus meskipun tidak bersetuju atau berkenan dengan apa yang dibeli oleh isteri tapi suami tiada hak menghalang isteri berbelanja menggunakan wang miliknya.
“Seorang perempuan yang dewasa yang boleh mentadbir dirinya adalah bebas berbelanja dengan harta miliknya seperti membeli emas, kenderaan, rumah dan seumpamanya.
“Suami tidak ada hak menghalang isteri berbelanja dengan wang isteri. Sebaliknya suami hanya berhak menasihati isterinya jika dilihat pembelian itu membazir atau membeli perkara yang tidak bermanfaat,” jelas beliau dalam satu hantaran di akaun media sosial miliknya.
Tiada hak melarang
Namun tambahnya ia berbeza jika si isteri menggunakan wang suami untuk berbelanja, maka suami ada hak untuk melarang atau menyekat isterinya berbelanja kepada perkara yang bukan wajib.
Menurut bekas mufti besar Negeri Mesir Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf :
للمرأة الرشيدة التصرف فى مالها كله ولا حقق لزوجها فيه. ذهب أبو حنيفة والشافعى وابن المنذر وأحمد فى إحدى الروايتين إلى أن للمرأة الرشيدة التصرف فى مالها كله بالتبرع والمعاوضة ولا حق لزوجها فيه، ولا يملك الحجر عليها فى تصرفها فيه كلا أو بعضا المفتي : حسنين محمد مخلوف.
Ertinya : “Harus bagi orang perempuan yang boleh mengurus diri menguruskan hartanya sendiri sekeliannya dan suaminya tidak ada hak pada hartanya itu. Telah berjalan oleh ulamak mazhab Hanafi dan Syafie dan Imam Ibnu Munzir dan Imam Ahmad dalam satu riwayatnya kepada bahwasanya orang perempuan yang boleh mengurus diri itu boleh berbelanja pada hartanya sekeliannya seperti melakukan kebajikan dan berjual beli dan tiada hak bagi suaminya pada harta itu dan tidak memiliki kuasa menahan atas isterinya pada menguruskan hartanya semua sekali atau sebahagiannya.”

Kesimpulannya isteri tersebut boleh membeli apa yang disukai sekalipun suami tidak berkenan. Namun menurut beliau sebaiknya biarlah suami turut menyukainya kerana menjaga hati suami itu perkara yang dituntut oleh syarak.
Sumber: Ustaz Azhar Idrus
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI