Apabila kita sudah berkahwin, kedudukan ibu bapa mentua adalah sama dengan ibu bapa kandung kita. Sebagai menantu, wajb kita melayan mereka dengan baik.

Namun ada sesetengah daripada kita melihat kedudukan ini sebagai satu peluang baik untuk melepaskan tanggungjawab tertentu kepada anak-anak menantu.

Hal ini mungkin juga ketaksuban dengan penyataan “Kalau nak kahwin dengan anaknya, kena lah ‘kawin’ juga dengan keluarganya’. Kita ikuti penjelasan ustaz Syed Shahridzan Ben-Agil tentang masalah menantu yang perlu menanggung nafkah ibu bapa mentua dan membayar hutang ipar duai.

Artikel berkaitan: Tak Salah Isteri Mintak Tinggal Rumah Sendiri, Asing Dengan Mentua. Inilah Kebahagiaan Sebenar Bermula Di Sini!

Artikel berkaitan: Menantu Bukan Pilihan VS Mentua Perosak Rumah Tangga, Perlu Hadam Untuk Elak Sakit Hati

SOALAN:
Assalamualaikum ustaz, saya nak tanya soalan tentang hukum. Ada sorang sahabat ini mak mentua dia suruh dia bayar hutang adik iparnya. Ada yang cakap dia wajib settlekan hutang itu sebab itu arahan mak mentua yang kedudukannya dah macam mak sendiri.

Lagi satu mak mentua adalah salah satu tanggungjawab si menantu untuk menanggung mentua serupa dia wajib tanggung mak bapak sendiri. Betul ke hukumnya macam saya sebutkan ini?

JAWAPAN:
Setiap insan mempunyai tanggungjawab masing-masing terhadap keluarga sendiri. Syariat telah membataskan tanggungjawab seseorang ke atas keluarganya dalam memberi nafkah, oleh setiap yang dipertanggungjawabkan oleh syarak wajib dilaksanakan apatah lagi ia melibatkan hak seseorang.

Menurut pembacaan saya yang terhad, setakat ini tiada mana-mana mazhab atau ulama menyatakan bahawa ibu dan bapa mentua merupakan tanggungjawab menantu untuk memberi nafkah. Manakala mazhab Hanafi menspesifikasikan tanggungjawab tanggungan nafkah lebih luas dari 3 mazhab yang lain, namun mentua tidak termasuk di dalam senarai.

Di sini saya lampirkan pandangan dari sisi mazhab Syafi’ie iaitu siapa yang diketogarikan sebagai tanggungan nafkah ke atas ahli keluarganya selain daripada isteri.

Sila lihat kenyataan Sheikhul Islam Zakaria al-Ansari di dalam karangannya ‘Asna al-Matolib’:

وإنما تجب على ذي قرابة بعضية وتجب له، وهم الفروع وإن نزلوا والأصول وإن علوا فقط، أي دون سائر القرابات كالأخ والأخت والعم والعمة، ذكوراً وإناثاً وارثين وغير وارثين.

Maksudnya: “Sesungguhnya yang hanya diwajibkan nafkah kepada kaum kerabat yang bersifat punca dan pecahan keturunan(قرابة بعضية) iaitu FURU'(anak, cucu, cicit) dan yang ke bawah dan USUL(bapa kandung, ibu kandung, datuk, nenek) dan yang ke atas sahaja, iaitu tidak termasuk kaum keluarga yang lain seperti adik beradik lelaki, adik beradik perempuan, pakcik, makcik samaada lelaki mahupun perempuan, samaada yang tergolong daripada pewaris harta atau tidak”.

Maka jelas di dalam mazhab Syafi’ie seperti apa yang dinyatakan oleh Imam Zakaria al-Ansari bahawa ibu bapa mentua bukan tanggungjawab nafkah bagi seseorang(menantu) apatah lagi ipar duai.

Ini kerana kedua-duanya bukan tergolong dari keluarga punca(darah daging atau punca kelahiran). Oleh itu menjadi kewajipan bagi setiap muslim mengetahui batas tanggungjawab nafkah masing-masing agar tidak mencabuli hak orang lain.

Dalam hal ini, seorang menantu tidak wajib menanggung ibu bapa mentua tidak seperti kewajipannya menanggung ibu bapa kandungnya yang miskin. Apatah lagi hutang ipar duai bukan lah menjadi kewajipannya bahkan ia membebankan.

Sedangkan dia ada tanggungan dan kewajipan nafkah yang perlu dilunaskan iaitu anak-anak, isteri dan ibu bapa kandung.

Sepertimana yang diriwayatkan oleh Saidina Jabir -radiyallahu ‘anhu- bahawa Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wa sallam- bersabda:

ابْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا ، فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلِأَهْلِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِكَ شَيْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِكَ
Maknanya: “Mulakan dengan diri-mu, maka bersedekah padanya, jika ada lebihan maka untuk ahli keluarga kamu, jika ada lebihan dari perbelanjaan keluarga kamu maka untuk kerabat kamu”. (Hadith riwayat Imam Muslim)

Wajibkah Tanggung Ibu Bapa Mentua Dan Hutang Ipar Duai?
Anak menantu wajib memastikan hak isteri dan anak-anaknya ditunaikan terlebih dahulu.

Jika si menantu melunaskan hutang ipar duainya sehingga menjejaskan hak anak dan isterinya maka tindakannya melunaskan hutang itu adalah haram kerana hak yang sepatutnya tidak diberikan kepada yang berhak.

Oleh itu jika si menantu itu melunaskan hutang atas arahan ibu mentuanya, maka ketaatan itu adalah salah di sisi syarak kerana menjejaskan hak orang lain. Ketaatan tidak sepatutnya dituruti dalam perkara yang mengingkari perintah Allah.

Sepertimana yang dinyatakan di dalam sepotong hadis bahawa Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wa sallam- yang bersabda:

لا طاعة لبشر في معصية الله، إنما الطاعة في المعروف
Maksudnya: “Tidak ada ketaatan terhadap manusia dalam urusan maksiat kepada Allah, ketaatan hanya pada perkara yang ma’ruf”. (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Tidak dinafikan bahawa ibu bapa mentua ada hak terhadap menantu, namun hak tersebut tidak boleh disamakan dengan hak ibu bapa kandung terutama bab yang berkaitan dengan nafkah dan hutang piutang.

Malah jika ibu bapa kandung sendiri mengarahkan anaknya menanggung hutang adik beradiknya, maka si anak tidak wajib menuruti perintah ibu bapanya itu.

Hutang adik beradik bukan tanggungjawabnya dan ibu bapa kandung tiada hak untuk menentukan tanggungjawab nafkahnya, malah hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang berhak menentukan.

Jika ibu bapa kandung tiada hak sebegini apatah lagi ibu bapa mertua, ia tidak sewajarnya berlaku.

Wallahu A’lam

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI