Cintai sahabat Rasulullah

Salah satu akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah kewajipan mencintai, menghormati, memuliakan, menzahirkan sokongan serta mengikuti para sahabat Rasulullah saw serta tidak boleh membenci seorang pun di antara mereka. Sesungguhnya Allah memuliakan mereka dengan hidup bersama RasulNya, mereka berjihad dan bersama menolong agama Islam, betapa tinggi kesabaran mereka dalam menghadapi kaum musyrik serta hijrah mereka meninggalkan negeri dan harta.

Allah SWT telah berfirman:
{Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami, berilah keampunan kepada kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu daripada kami dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Wahai Tuhan kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.” [Al-Hasyr : 10]

Ayat ini merupakan dalil wajibnya mencintai para sahabat kerana mereka telah memberi sumbangan yang besar terhadap generasi setelah mereka. Jika sesiapa mengutuk atau menghina salah seorang di antara mereka atau berkeyakinan bahawa salah seorang daripada mereka tidak baik maka ia tidak berhak menerima warisan ilmu dan qudwah para sahabat.

Hisyam bin Urwah dari ayahnya ra.hum, meriwayatkan, Ummul Mukminin Aisyah ra berkata kepadaku: “Wahai anak saudaraku, mereka diperintahkan untuk membaca istighfar bagi sahabat-sahabat Nabi SAW. Tetapi mereka malah mencerca para sahabat”. [Riwayat Muslim, 4/2318]

Siapakah sahabat?
Tetapi apakah kita faham dan jelas siapakah yang dimaksudkan dengan para sahabat Nabi s.a.w ini? Ia berasal daripada bahasa Arab dari perkataan sahabah (as-sahaabah), iaitu mereka yang mengenal dan melihat secara langsung Nabi Muhammad s.a.w membantu perjuangannya dan meninggal dunia dalam keadaan Muslim. Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah berkata: “As-Sahabi (sahabat) ialah orang yang bertemu dengan Rasulullah s.a.w, beriman kepada beliau dan meninggal dalam keadaan Islam”. [Kitab Al-Isabah fi Tamyiz as-Sahabah, karya Ibnu Hajar, hal. 101.]

Kebanyakan ulamak Muslim memberi takrif yang sama tentang para sahabat iaitu sebagai mereka yang mengenal Nabi Muhammad s.a.w, mempercayai ajarannya, dan meninggal dalam keadaan Islam. Para sahabat utama yang sering disebut ialah antara 50 sehingga 60 nama yakni mereka yang sangat rapat dengan Nabi Muhammad s.a.w. Sahabat juga dikenali sebagai murid Baginda s.a.w.

Pengenalan khas terhadap sahabat nabi, termasuk kedudukan dan sifat merupakan hal yang penting dalam dunia Islam kerana ia dapat digunakan untuk menilai kesahihan sesuatu hadis mahupun perbuatan Rasulullah yang diriwayatkan oleh mereka.

Umat Islam, umat Nabi Muhammad s.a.w terutama generasi sahabat adalah umat yang hidup dalam ketaqwaan, amal soleh, ibadat yang sempurna, kebahagiaan, penuh dengan kasih sayang, tolong menolong dan bertolak ansur. Ini semua setelah datangnya Islam, yang dibawa oleh Baginda s.a.w yang membawa cahaya kehidupan kepada suatu kaum manusia yang hidup dalam kegelapan dan kejahilan (jahiliyyah).

Suasana ini telah berubah apabila mereka berpegang di atas landasan tauhid yang satu, maka lahirlah al-Ukhuwwah fillah, iaitu persaudaraan kerana Allah. Dengan ukhuwwah ini para penggembala kambing telah menjadi pemimpin yang agung dan hebat, yang berjaya menguasai dunia dan mengembangkan tamadun manusia dengan agama fitrah ini.

Ibnu Batthah dah lainnya meriwayatkan hadis Abu Badar, dia mengatakan, Abdullah bin Zaid mengatakan kepada kami dari Talhah Bin Mutharrif, dari Mus’ab bin Sa’ad dari Sa’ad bin Abi Waqqas, dia mengatakan:
“Manusia terdiri dari tiga peringkat. Dua peringkat sudah berlalu dan satu peringkat yang masih ada. Maka, sebaik-baik kalian adalah yang mendapat peringkat yang masih ada”. Kemudian ia membaca ayat:
{(Juga) bagi orang yang fakir yang berhijrah yang telah diusir keluar dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (kerana) mencari kurnia dari Allah dan redha-Nya dan mereka yang menolong agama Allah dan Rasul-Nya, mereka itulah orang-orang yang benar.”  [Al-Hasyr: 8].

Mereka adalah daripada kaum Muhajirin dan peringkat ini telah berlalu.

Kemudian dia membaca ayat:
{Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum kedatangan mereka (Muhajirin), mereka (Ansar) mencintai orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Ansar) tidak menaruh keinginan dalam hati mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan sesiapa yang dipelihara daripada kemiskinan dirinya mereka itulah orang-orang yang beruntung.} [Al-Hasyr:9].
Mereka adalah kaum Ansar, dan peringkat ini telah berlalu.

Kemudian dia membaca ayat:
{Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa, “Wahai Tuhanku berikanlah keampunan kepada kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman: Wahai Tuhanku, sesungguhnya Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang}. [Al-Hasyr:10].

“Generasi al-Quran yang unik”
Maka tidak diragukan lagi bahawa golongan Syiah Rafidhah tidak termasuk daripada peringkat ketiga daripada golongan ini kerana mereka tidak beristighfar untuk para sahabat, bahkan mencerca mereka dan di dalam hati mereka pun penuh rasa benci kepada para sahabat.

Ulamak mengatakan ayat-ayat ini mengandungi pujian bagi kaum Muhajirin dan Ansar serta generasi setelahnya yang membaca istighfar untuk mereka dan memohon kepada Allah agar tidak ada kebencian terhadap mereka.

Ia juga mengandungi sanjungan bagi para sahabat dan golongan Ahli Sunnah yang datang setelah mereka sekaligus menyelar mereka yang tidak menghormati para sahabat bahkan paling teruknya membenci, mengutuk, menghina dan mencaci maki para sahabat seperti golongan tertentu dari kalangan Rafidhah. [Minhaj As-Sunnah 1/153]

Para sahabat telah bertanyakan kepada Rasulullah s.a.w: “Siapakah antara golongan manusia yang paling baik?” Jawab Baginda: “Mereka yang ada pada kurunku, kemudian mereka datang yang selepas itu, kemudian mereka yang datang selepas itu. Kemudian datang satu kaum yang mana penyaksian seseorang mereka mendahului sumpahnya dan sumpah mendahului penyaksiannya. [Riwayat al-Bukhari dan Muslim].

Berdasarkan hadis ini, para ulamak telah sepakat bahawa generasi yang paling baik yang pernah wujud dalam sejarah ialah generasi Nabi s.a.w iaitu para sahabat Baginda. Mereka juga digelar sebagai “Generasi al-Quran yang unik”.

Satu bukti keunikan dan keistimewaan ukhuwwah para sahabat golongan Ansar dan Muhajirin dapat dilihat melalui kisah yang amat menarik dan terbaik melalui riwayat dari Anas bin Malik ra:
“Apabila Nabi s.a.w mempersaudarakan kaum Muhajirin dan kaum Ansar setelah peristiwa Hijrah ke Madinah, salah seorang yang Baginda persaudarakan adalah Abdul Rahman bin Auf (Muhajirin) dan Sa’ad bin Ar-Rabi’ (Ansar). Sa’ad bin Ar-Rabi’ kemudian menawarkan hartanya untuk dibahagi dua kepada Abdul Rahman bin Auf sebagai saudaranya. Tidak cukup dengan itu, beliau yang memiliki dua orang isteri juga menawarkan salah seorang isterinya untuk dinikahkan dengan Abdul Rahman bin Auf (setelah dicerai dan tempoh ‘iddahnya selesai). Tetapi, Abdul Rahman bin Auf menolak kedua-dua tawaran itu dengan baik dan meminta untuk ditunjukkan pasar supaya beliau dapat memulakan perniagaannya sendiri. Akhirnya Abdul Rahman bin Auf memperolehi keuntungan yang besar dalam perniagaannya serta berkahwin dengan seorang perempuan Ansar.” [Riwayat Bukhari].

Lihatlah, bagaimana tautan sebuah persaudaraan kerana Allah yang erat antara kedua sahabat Nabi s.a.w tersebut sehinggakan Sa’ad bin ar Rabi’ seorang yang kaya tidak berasa keberatan sedikitpun untuk membahagi dua hartanya dan menceraikan salah seorang isterinya untuk diberikan kepada saudara seislamnya, Abdul Rahman bin Auf, r.anhuma.

Alangkah malang dan sedihnya kita pada zaman ini, yang tidak mungkin menjumpai lagi seorang sahabat yang begitu ikhlas dan mulia seperti Sa’ad bin Ar-Rabi’.
Telah hilang zaman itu bersama hilangnya pula seorang sahabat seperti Abdul Rahman bin Auf yang tidak pernah terfikir untuk cuba mengambil kesempatan dan peluang di atas kebaikan yang dihulurkan!!!

Seorang lelaki telah menemui seorang Syeikh sambil bertanya: “Di manakah golongan…. {Orang-orang yang menafkahkan hartanya di malam dan di siang hari secara tersembunyi dan terang-terangan…} [Al-Baqarah: 274]

Jawab Syeikh: “Mereka telah pergi bersama golongan {…. mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak..} [Al-Baqarah: 273].”

Cintailah para sahabat
Orang mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah dan Rasul-Nya akan saling berkasih-sayang sesama mereka dengan ikhlas dan semata-mata kerana Allah, tanpa mempunyai tujuan atau kepentingan juga mengharapkan balasan. Apabila saudara mereka bergembira mereka turut senang hati dan apabila saudara mereka ditimpa ujian dan kesulitan pula, mereka juga turut berduka cita dan cuba membantu sedaya mungkin.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Perumpamaan orang yang beriman dalam cinta dan kasih sayang sesama mereka adalah bagaikan satu tubuh yang bila salah satu anggota tubuh mengeluh sakit maka seluruh anggota tubuh yang lain tidak dapat tidur dan selalu merasa panas”. [Riwayat Muslim].

Allah SWT juga menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh di antara mereka keampunan dan pahala yang besar

Ini adalah janji mulia bagi seluruh sahabat, selari dengan firman Allah SWT yang berikut: {Tidak sama di antara kamu orang yang menafkahkan (hartanya) dan berperang sebelum penaklukan (Mekah). Mereka lebih tinggi darjatnya daripada orang-orang yang menafkahkan (hartanya) dan berperang sesudah itu. Allah menjanjikan kepada setiap mereka (balasan) yang lebih baik.} [Al-Hadid:10]

Semua sifat dan contoh ini ada pada para sahabat dan telah dimanifestasikan dengan cemerlangnya sebagai panduan dan ikutan untuk kita ummat akhir zaman yang serba kekurangan dan penuh kelemahan iman.

Maka wajiblah bagi kita mencintai para sahabat Rasulullah s.a.w, redha Allah ke atas mereka semua, juga mengikut suruhan Rasulullah s.a.w yang telah bersabda:

“Jangan kamu mencerca para sahabatku. Sesungguhnya jika ada di kalangan kamu membelanjakan emas sebesar Bukit Uhud sekalipun, ia tidak mencapai (nilai) secupak (makanan) atau setengahnya yang dibelanja oleh mereka.” [Riwayat al-Bukhari dan Muslim].

Semua faktor ini tiada bandingannya, sama ada ketaqwaan, kesucian jiwa, keikhlasan amal, pengorbanan pada waktu yang getir, berkorban secara langsung untuk insan yang disayangi oleh Allah iaitu Nabi Muhammad s.a.w, maka pastilah kedudukan dan nilai amalan mereka melebihi amalan kita semua.

Cinta sahabat adalah wajib maka sebagaimana kita mencintai Nabi kita Muhammad s.a.w maka pastilah harus kita mencintai para sahabat Baginda yang rela berkorban segalanya untuk Islam dan mencintai Rasulullah s.a.w lebih daripada diri sendiri dan ibu bapa mereka!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*