Seorang Muslim yang hebat amalan sedekahnya bukan saja mendapat sanjungan di atas muka bumi ini, malah turut mendapat doa malaikat. Apa yang pasti setiap amalan sedekah yang dilaburkan akan ada gantinya daripada Allah SWT.

Setiap sedekah akan digantikan dengan ganjaran pahala, limpahan rezeki berganda, menyihatkan tubuh badan dan mendapat keberkatan hidup. Sedekah yang paling besar pahalanya dilaksanakan ketika seseorang sedang sihat dan berasa sayang terhadap harta itu. Oleh itu jangan ditunda untuk bersedekah sebelum ajal datang menjemput.

Kisah nama manusia di bumi disanjung makhluk langit pernah diceritakan Rasulullah SAW dalam sabdanya:

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan Nabi SAW pernah bersabda: “(Pada suatu hari) ketika seorang lelaki berada di sebuah tanah lapang yang sunyi, dia terdengar satu suara dari awan, “Siramlah air (hujan) kepada kebun si fulan itu!” 
Awan itu pun bergerak lalu mencurahkan airnya pada sebidang tanah yang berbatu hitam.

Saluran air pada tanah tersebut kemudiannya menampung semua curahan air hujan (dan mengalirkannya ke suatu arah). Lelaki itu pun mengikuti air itu dan menemui seorang petani yang berdiri di kebunnya sedang mengubah aliran air dengan cangkulnya. Lelaki itu bertanya, “Wahai hamba Allah, siapa namamu?” 
Petani itu menjawab, “Nama saya fulan” iaitu nama yang baru didengarnya dari angkasa.
 Si petani bertanya kepadanya, “Wahai hamba Allah, mengapa anda tanyakan nama saya?”

Kata lelaki itu, “Sebenarnya, sekejap tadi saya dengar satu suara dari awan yang baru menurunkan air ini. Suara itu berkata, “Siramilah air pada kebun si fulan!” menyebut nama anda. Apa yang anda buat dengan kebun ini?” Petani itu berkata, “Baiklah, kalau anda katakan begitu. Sebenarnya, saya selalu perhatikan apa yang keluar dari kebun ini, lalu saya sedekahkan 1/3 daripadanya, 1/3 berikutnya saya makan bersama keluarga saya, dan 1/3 lagi saya kembalikan (untuk modal cucuk tanam),” – Sahih Muslim.

AMALAN YANG DISUKAI MALAIKAT

IKLAN

Berdasarkan hadis itu, amalan yang disukai malaikat di langit adalah sedekah! Pemilik kebun itu dikenali para malaikat kerana sedekahnya.

Dalam hadis lain, orang yang kuat sedekah turut mendapat doa para malaikat.

Sabda Rasulullah SAW:

Abu Hurairah r.a. menyebut bahawa Nabi SAW bersabda: “Tiada suatu pagi (hari) pun yang dilalui seorang hamba melainkan akan ada dua malaikat turun dan berdoa “Ya Allah! Berikan kepada pemberi sedekah ganti (sedekahnya), manakala malaikat satu lagi berdoa “Ya Allah! Berikan kepada orang yang menahan (sedekah dan kedekut) kemusnahan,” – Sahih Bukhari dan Muslim.

Hebatnya Orang Yang Suka Bersedekah, Sampai Malaikat Pun Kenal

IKLAN

“Nabi SAW adalah orang yang paling pemurah (melakukan kebaikan). Baginda jadi tambah pemurah pada bulan Ramadan ketika Jibril datang bertemu dengannya pada setiap malam. Jibril mengulang kaji al-Quran dengan Nabi pada Ramadan. Baginda benar-benar pemurah (pada bulan Ramadan) seperti angin yang bertiup kencang,” – Sahih Bukhari.

MENYESAL KALAU TAK BUAT

Selain dicintai para malaikat, faedah sedekah tak terkira banyaknya. Dalam satu ayat Allah menyebut ia menjadi sesalan sesetengah orang setelah mereka mati kelak sehingga ada yang mahu ditangguhkan mati agar diberi peluang kedua untuk lebih banyak bersedekah:

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku jadi daripada orang yang soleh,” (al-Munafiqun)

IKLAN

Allah SWT berfirman:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya antara hamba-Nya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik pemberi rezeki.”

GANJARAN YANG SANGAT LUAS

Benar sekali firman Allah ini, sedekah pasti berganti dan gantiannya pula sangat luas. Ada pahala, ada syurga, ada limpahan rezeki, ada kesihatan, ada keberkatan hidup, ada nama yang harum pada manusia dan ada pula rasa cinta para malaikat kepada kita. Apabila kita dicintai para malaikat, hidup kita semakin indah dan berkat kerana doa mereka.

Oleh itu, marilah kita sama-sama menyemarakkan budaya sedekah agar kita sentiasa mendapat rahmat Allah dan dikenali oleh para malaikat. Sedekah pasti berganti dan gantiannya pula sangat luas.

https://www.youtube.com/watch?v=BgonYFU7vCM

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI