Kebiasaanya masuk saja bulan Ramadan, ramai yang menunaikan tanggungjawab membayar zakat fitrah mengikut kadar di negeri masing-masing.
Masing-masing akan segera mmebayar kerana zakat fitrah boleh dibayar pada bulan Ramadan sahaja.
Tetapi bagaimana pula dengan zakat-zakat lain seperti zakat emas dan wang simpnanan. Bila waktu yang sesuai untuk membayarnya dan adakah boleh ditangguh bayarannya.
Dalam satu laporan di Sinar Plus (Sinar Islam) diajukan kepada Pendakwah dan Penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki menjelaskan persoalan ini.
Ads
Ini jawapan agamawan tersebut:
“Zakat merupakan Rukun Islam ketiga yang wajib dikeluarkan apabila cukup syarat-syaratnya iaitu Islam, merdeka, milik sempurna, cukup haul, cukup nisab dan harta itu berkembang. Ia termasuklah zakat emas dan simpanan.
Adapun zakat fitrah pula disyaratkan apabila mempunyai lebihan makanan atau harta daripada keperluan tanggungannya pada malam dan pagi raya, anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari, memeluk Islam sebelum terbenam matahari akhir Ramadan atau meninggal selepas terbenam matahari Ramadan.
Ads
Waktu wajib membayar zakat fitrah pula secara ringkasnya mengikut Mazhab Syafie, Hanbali dan Maliki bermula waktu Maghrib malam raya. Waktu sunat pula mengikut Mazhab Syafie adalah sebelum solat sunat hari raya, manakala waktu haram adalah selepas solat sunat hari raya tanpa uzur mengikut pandangan Mazhab Syafie dan selainnya.
Bagaimanapun, bagi zakat emas atau simpanan, ia mestilah dikeluarkan zakatnya apabila cukup syarat-syaratnya seperti di atas tanpa melengahkannya seperti arahan ALLAH SWT dalam Surah al-An’am, ayat 141. Itulah pendapat Imam Ibn Battal, al-Hafiz Ibn Hajar dan selain mereka.
Ads
Mengikut logik akal, bagus dikeluarkan pada bulan Ramadan. Akan tetapi, dalil dan pendapat para ulama lebih diutamakan untuk dipakai,” jelas beliau.
Oleh sebab waktunya yang tidak semestinya sama dengan pembayaran zakat fitrah, namun janganlah kita lupa untuk menunaikan kewajipan kita ya. Ingat, dalam rezeki yang kita peroleh, terkandung hak orang lain di dalamnya!
Calon menantu tak solat. ‘Kalau kehendak anak terlalu kuat, jangan halang, sebaliknya bagi bimbingan.’
Bimbang sekiranya perkahwinan yang bakal berlangsung terhalang, terputus pula hubungan orang tua dan anaknya. Wujud pula sengketa dan permusuhan.
Cara terbaik, beri nasihat dan bimbingan kepada bakal menantu. Memanglah setiap ibu, bapa inginkan bakal menantu yang soleh dan solehah. Namun setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.
Ikuti perkongsian maktabahalbakri ini dan hadam apa yang disampaikan:
Assalamualaikum ustaz. Seorang anak ingin berkahwin dengan pasangan muslimah yang tidak solat dan tidak beramal dengan agama secara lengkap di luar negara. Bagaimana sikap seorang bapa?
Perkahwinan merupakan sunnah Rasulullah SAW berdasarkan banyak hadis. Antaranya, daripada Anas RA, katanya:
“Beberapa orang sahabat Nabi SAW pernah bertanya kepada isteri-isteri Baginda tentang amalan yang Baginda lakukan ketika bersendirian.
Kemudian, seorang daripada mereka lantas berkata, “Aku tidak akan kahwin.” Seorang lagi berkata:
“Aku tidak akan makan daging.” Manakala seorang lagi berkata: “Aku tidak akan tidur atas tilam.” Maka, Rasulullah SAW memuji Allah SWT, lalu bersabda:
Maksudnya:
“Mengapa mereka berkata begitu begini, sedangkan aku solat dan tidur, aku berpuasa dan berbuka, dan aku juga berkahwin. Justeru, sesiapa yang tidak suka akan sunnahku, maka dia bukan daripadaku.”
Riwayat al-Bukhari (5063) dan Muslim (1401)
Maksud hadith ini adalah bahawa jalan ibadat hendaklah berdasarkan kepada apa yang dipraktikkan oleh Baginda Nabi SAW.
Sesiapa yang tidak menyukai jalan ini maka ia bukan mengikuti sunnah Rasul yang merupakan syarat kepada keredhaan Allah SWT.
Sebaik-baik pasangan yang dipilih adalah wanita yang dinamakan sebagai wanita solehah kerana ia penawar, penyejuk hati dan membawa kebahagiaan. Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: “Sesungguhnya dunia ini nikmat, sebaik-baik nikmat dunia adalah wanita yang solehah.”
Riwayat Muslim (715)
Abu al-Abbas al-Qurtubi menyebut, makna wanita yang solehah dalam hadith tersebut ialah wanita yang menggembirakan (suami) apabila dilihat, apabila diberi arahan dia taat, dan apabila ketiadaan suaminya dia memelihara (kehormatan suaminya) pada dirinya dan juga hartanya.
Selain itu, anak yang meminta dan bermesyuarat dengan ibu bapa adalah satu tanda penghormatan dan satu perkara yang perlu diambil perhatian. Maka, ketika itulah nasihat yang baik boleh diberikan.
Dalam isu ini, saya cadangkan apabila kehendak anak terlalu kuat, maka izinkan kepadanya dengan bimbingan supaya hubungan tidak terputus disebabkan perkahwinan.
Mungkin boleh diajak anak dan menantu seusai perkahwinan dalam tempoh yang awal untuk melaksanakan ibadah umrah bersama-sama.
Ini kerana, banyak orang yang kami kami temui, selepas pulang daripada umrah dan proses mukhayyam tarbawi yang terbaik secara amali ini telah mengubah mereka menjadi yang terbaik dan lebih baik.
Justeru, harapan kami, semoga dengan ibadat haji dan umrah yang dikerjakan boleh mengubah pasangan suami isteri ke arah yang lebih baik. Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya:
“Lanjutkanlah haji dengan umrah, kerana sesungguhnya keduanya menghilangkan kemiskinan dan dosa, sebagaimana api dapat menghilangkan kotoran besi, emas dan perak. Dan tidak ada pahala haji yang mabrur itu melainkan syurga.”
[Riwayat al-Tirmizi (810), al-Nasa’ie (2631), Ahmad (167), Ibn Majah (2887) dan Ibn Hibban (3693). Syeikh Ahmad Syakir dalam takhrij al-Musnad (5/244), menyatakan isnadnya sahih]
Imam al-Tibi berkata:
“Kemampuan keduanya (haji dan umrah) untuk menghilangkan kemiskinan adalah sepertimana kemampuan amalan bersedekah dalam menambah harta.”
Begitu juga, sebagai bapa dan ibu, hendaklah sentiasa menasihatkan anak untuk melaksanakan ibadat solat sebagaimana firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.”
Dalam ayat di atas, Allah SWT telah memerintahkan Nabi SAW untuk menyuruh ahli keluarga Baginda menunaikan solat, menunjukkan contoh (mengerjakan solat) kepada mereka dan bersabar dalam menunaikannya.
Ayat ini diturunkan kepada Baginda, dan secara umumnya ia juga ditujukan kepada seluruh umatnya serta ahli keluarga Baginda secara khusus. Selepas turunnya ayat ini, Nabi SAW akan pergi ke rumah Fatimah R.Anha dan Ali R.A pada setiap pagi dan berkata: “Solatlah.”
Imam al-Alusi menafsirkan perkataan ‘أَهْلَكَ’ dalam ayat ini dan berkata: “Ayat ini umum dan ditujukan kepada seluruh ahli keluarga.”
Sayyid Qutb pula menjelaskan:
Kewajipan utama seorang lelaki Muslim adalah mengubah rumahnya menjadi rumah Muslim dan membawa ahli keluarganya kepada perlaksanaan kewajipan-kewajipan yang menghubungkan mereka bersama kepada Allah SWT.
Saya berdoa semoga pasangan yang dipilih oleh anak anda menjadi pasangan yang bahagia di dunia dan akhirat sehingga rumah tangga mereka boleh dinobatkan sebagai Baiti Jannati.
Akhir kalam, semoga Allah mengurniakan kita pasangan dan keluarga yang soleh yang sentiasa menjaga solat dan mengamalkan syariat Islam.
Ada sebahagian orang, tidurnya lena saban malam. Tapi ada juga yang berasa takut terutama selepas menonton filem-filem seram. Kadang rasa takut juga boleh jadi kerana tinggal keseorangan di rumah.
Bagi yang alami masalah tidur kerana sering bermimpi buruk atau terbayang-bayang ada lembaga seram di sisi, kita dianjurkan membaca doa ini sebelum masuk tidur.
Doa Mencegah Rasa Takut Saat Mahu Tidur
Menurut Imam Ja’far Shadiq, seseorang yang merasa ketakutan saat hendak tidur hendaknya ia membaca doa ini sebelum tidur:
La ilah illallah wahdahu la syarika lah, lahul mulku wa lahul hamdu yuhyi wa yumitu wahua hayyun la yamuutu biyadihil khoir wahua ‘ala kulli syayin qodir
Ertinya: Tiada Tuhan yang pantas disembah kecuali Allah Yang Maha Esa, yang tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya segala kekuasaan dan segala puji. Dzat yang menghidupkan dan mematikan makhluk. Sedangkan Dia Dzat Yang Maha Hidup, tidak akan mati selamanya. Berada dalam kekuasaa-Nya segala kebajikan dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Doa Sebelum Mahu Tidur
Tidur ibarat mati kecil. Untuk meminta perlindungan Allah SWT saat tidur, bacalah doa ini agar kita mampu membuka mata keesokan harinya.
بِسْمِكَ االلّٰهُمَّ اَحْيَا وَبِاسْمِكَ اَمُوْتُ
Bismika Allaahumma ahya wa bismika amuut.
Ertinya: Dengan menyebut nama-Mu ya Allah, aku hidup dan dengan menyebut nama-Mu aku mati.
Amalan Sebelum Tidur yang Diajarkan Rasulullah
Rasulullah ada mengajarkan beberapa amalan surah pendek untuk kita baca sebelum tidur seperti surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan an-Naas. Bahkan Rasulullah sendiri mengamalkannya sebelum melelapkan mata. Untuk melengkapkannya, bacalah ayat Kursi sebelum menutup mata.
Dari Aisyah radhiallahu anhu berkata: “Rasulullah SAW apabila hendak berangkat ke tempat tidurnya setiap malam, baginda mengambil kedua belah telapak tangannya lalu meniupkan keduanya dan membacakan surat al-Ikhlas, al-Falaq, dan An-Naas. Kemudian Baginda mengusap dengan tercapai kedua tangannya. Dimulai dari atas kepala , muka serta bahagian belakangnya sebanyak tiga kali.” (HR. Muslim).
Dengan melakukan amalan ini, kita semua akan sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT selama waktu tidur.
Doa Sesudah Bangun Tidur
Bangun pagi dan masih mampu menghirup udara adalah nikmat terbesar. Bahkan kita dianjurkan untuk bersyukur di atas peluang diberi itu. Justeru itu, inilah doa diajar baca atas nikmat diberi itu.
“Alhamdullillahilladzi ahyaanaa bada maa amaatanaa wa ilaihin nushur” [artinya: Segala puji bagi Allah, yang telah membangunkan kami setelah menidurkan kami dan kepada-Nya lah kami dibangkitkan]. (HR. Bukhari no. 6325).
Jadi bacalah doa ini sebelum dan sesudah bangun tidur atas menzahirkan rasa syukur kita kerana masih berpeluang bernafas lagi.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Dalam perkahwinan, setiap pasangan pasti mengimpikan kebahagiaan dan kesetiaan hingga ke akhir hayat. Namun, apabila si suami menyuarakan hasrat untuk berkahwin lagi, emosi isteri pastinya bergolak—antara rasa kecewa, marah, dan keliru.
Persoalannya, apa hukum jika isteri menghalang suami daripada bernikah lain? Adakah ia dianggap melawan syariat atau sebenarnya satu reaksi yang dibenarkan? Mari kita fahami dengan lebih mendalam dari sudut pandang agama, supaya setiap keputusan dibuat dengan ilmu dan bukan semata-mata emosi.
Penjelasan tentang perkara ini dibuat dalam AL-KAFI #1398 : HUKUM ISTERI MELARANG SUAMI BERKAHWIN LAIN melalui portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Tidak berdosa hukum ke atas seorang isteri untuk melarang suaminya untuk berpoligami apabila terdapat keperluan untuk membantahnya.
Perkara yang dilarang oleh Hukum Syarak adalah mengharamkan apa yang Allah Taala telah halalkan dan menghalang suami daripada berkahwin lain dengan tindak tanduk yang tidak mematuhi Syarak seperti mengugut mencederakan diri sendiri atau orang lain.
Bagaimanapun jika seseorang isteri itu melarang dengan menjustifikasikan dengan perkara-perkara yang disyariatkan maka adalah dibenarkan dan dianjurkan.
Misalnya, jika berpoligami akan menyebabkan kezaliman pada nafkah dan qismah (pembahagian hari antara isteri) isteri-isteri, atau nafkah anak-anak dan ibu bapa, maka perbuatan melarang serta menghalang itu adalah adalah suatu nasihat yang terpuji dalam agama.
Ini termasuklah untuk mencegah daripada menyakiti hati isteri dan mengakibatkan gangguan berlebihan apabila isteri itu ditimpa penyakit cemburu.
Ini berdalilkan sebuah hadis daripada al-Miswar bin Makhramah RA bahawa Rasulullah ﷺ berkhutbah di atas minbar:
Maksudnya: “Sesungguhnya Bani Hisyam bin al-Mughirah meminta izin kepadaku agar aku menikahkan anak wanita mereka dengan Ali bin Abu Thalib, namun aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka!
Kecuali jika Ali bin Abu Tolib menceraikan anakku lalu menikahi anak wanita mereka. Sesungguhnya anakku (Fatimah) adalah bahagian dariku, aku merasa senang dengan apa sagaja yang menyenangkannya dan aku merasa sakit atas semua yang menyakitinya.” – Riwayat al-Bukhari (5320) dan Muslim (2449)
Jika kita melihat daripada sudut fiqh, ternyata poligami pada hukum asalnya adalah diharuskan sahaja. Namun begitu dalam beberapa hal yang mendatang, hukumnya boleh berubah kepada tiga.
Disunatkan: Ini sekiranya lelaki itu mempunyai keperluan untuk berkahwin lain jika beristeri satu tidak dapat menjadikan dirinya afif (menjaga syahwatnya daripada zina dan maksiat), atau isteri itu sakit, atau mandul tidak dapat mengandung, sedangkan suami itu inginkan anak, dalam keadaan suami itu memiliki keyakinan untuk berlaku adil antara isteri-isterinya.
Ini kerana terdapat keperluan yang diraikan Syarak seperti meramaikan anak, dan inilah yang menjadi pedoman ramai Sahabat Rasulullah ﷺ, Para Tabi’ie dan generasi selepas mereka.
Dimakruhkan: Jika semata-mata untuk berlazat-lazat dan berhibur, atau syak terhadap kemampuannya untuk berlaku adil antara isteri-isteri. Ini kerana tidak ada keperluan untuknya.
Diharamkan: Jika diyakini bahawa lelaki tidak mampu berlaku adil lantaran kelemahannya, atau kerana hilangnya kepercayaan terhadap dirinya daripada bertindak bias dan pilih kasih, atau kerana keadaannya yang fakir. Ini kerana poligami itu akan mengakibatkan mudarat kepada orang lain.
Kembali kepada perbincangan asal, apabila hukum berpoligami itu sendiri boleh jadi mubah, sunat dan haram, maka tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya untuk berpoligami dengan melarangnya atas sebab keperluan.
Justeru, ia bukan sahaja masuk dalam bab nasihat yang baik antara Muslim, tetapi juga adalah sebahagian perlaksanaan konsep Syura yang dituntut oleh Syarak.
Ini kerana seorang wanita apabila mengetahui suaminya ingin memadukannya, perlu memastikan hak-hak dirinya seperti nafkah yang telah ditentukan mengikut uruf dan persetujuan bersama, tidak dilanggar atau ditindas apabila berlakunya poligami.
Dalam erti kata lain, seorang isteri ada hak menyuara pendapat yang berbeza dalam sesi syura bersama suami untuk berkahwin lain.
Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, jelas kepada kita bahawa hukum isteri melarang suaminya untuk berpoligami tidak berdosa, sekiranya dibuat atas dasar nasihat, Syura demi untuk mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap haknya.