Dalam perkahwinan, setiap pasangan pasti mengimpikan kebahagiaan dan kesetiaan hingga ke akhir hayat. Namun, apabila si suami menyuarakan hasrat untuk berkahwin lagi, emosi isteri pastinya bergolak—antara rasa kecewa, marah, dan keliru.
Persoalannya, apa hukum jika isteri menghalang suami daripada bernikah lain? Adakah ia dianggap melawan syariat atau sebenarnya satu reaksi yang dibenarkan? Mari kita fahami dengan lebih mendalam dari sudut pandang agama, supaya setiap keputusan dibuat dengan ilmu dan bukan semata-mata emosi.
Penjelasan tentang perkara ini dibuat dalam AL-KAFI #1398 : HUKUM ISTERI MELARANG SUAMI BERKAHWIN LAIN melalui portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Tidak berdosa isteri melarang jika ada keperluan membantah
Tidak berdosa hukum ke atas seorang isteri untuk melarang suaminya untuk berpoligami apabila terdapat keperluan untuk membantahnya.
Perkara yang dilarang oleh Hukum Syarak adalah mengharamkan apa yang Allah Taala telah halalkan dan menghalang suami daripada berkahwin lain dengan tindak tanduk yang tidak mematuhi Syarak seperti mengugut mencederakan diri sendiri atau orang lain.
Bagaimanapun jika seseorang isteri itu melarang dengan menjustifikasikan dengan perkara-perkara yang disyariatkan maka adalah dibenarkan dan dianjurkan.
Sebabkan kezaliman nafkah
Misalnya, jika berpoligami akan menyebabkan kezaliman pada nafkah dan qismah (pembahagian hari antara isteri) isteri-isteri, atau nafkah anak-anak dan ibu bapa, maka perbuatan melarang serta menghalang itu adalah adalah suatu nasihat yang terpuji dalam agama.
Ini termasuklah untuk mencegah daripada menyakiti hati isteri dan mengakibatkan gangguan berlebihan apabila isteri itu ditimpa penyakit cemburu.
Ads
Ini berdalilkan sebuah hadis daripada al-Miswar bin Makhramah RA bahawa Rasulullah ﷺ berkhutbah di atas minbar:
Maksudnya: “Sesungguhnya Bani Hisyam bin al-Mughirah meminta izin kepadaku agar aku menikahkan anak wanita mereka dengan Ali bin Abu Thalib, namun aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka!
Kecuali jika Ali bin Abu Tolib menceraikan anakku lalu menikahi anak wanita mereka. Sesungguhnya anakku (Fatimah) adalah bahagian dariku, aku merasa senang dengan apa sagaja yang menyenangkannya dan aku merasa sakit atas semua yang menyakitinya.” – Riwayat al-Bukhari (5320) dan Muslim (2449)
Poligami harus tapi hukumnya boleh berubah
Jika kita melihat daripada sudut fiqh, ternyata poligami pada hukum asalnya adalah diharuskan sahaja. Namun begitu dalam beberapa hal yang mendatang, hukumnya boleh berubah kepada tiga.
Disunatkan: Ini sekiranya lelaki itu mempunyai keperluan untuk berkahwin lain jika beristeri satu tidak dapat menjadikan dirinya afif (menjaga syahwatnya daripada zina dan maksiat), atau isteri itu sakit, atau mandul tidak dapat mengandung, sedangkan suami itu inginkan anak, dalam keadaan suami itu memiliki keyakinan untuk berlaku adil antara isteri-isterinya.
Ads
Ini kerana terdapat keperluan yang diraikan Syarak seperti meramaikan anak, dan inilah yang menjadi pedoman ramai Sahabat Rasulullah ﷺ, Para Tabi’ie dan generasi selepas mereka.
Dimakruhkan: Jika semata-mata untuk berlazat-lazat dan berhibur, atau syak terhadap kemampuannya untuk berlaku adil antara isteri-isteri. Ini kerana tidak ada keperluan untuknya.
Diharamkan: Jika diyakini bahawa lelaki tidak mampu berlaku adil lantaran kelemahannya, atau kerana hilangnya kepercayaan terhadap dirinya daripada bertindak bias dan pilih kasih, atau kerana keadaannya yang fakir. Ini kerana poligami itu akan mengakibatkan mudarat kepada orang lain.
Kembali kepada perbincangan asal, apabila hukum berpoligami itu sendiri boleh jadi mubah, sunat dan haram, maka tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya untuk berpoligami dengan melarangnya atas sebab keperluan.
Justeru, ia bukan sahaja masuk dalam bab nasihat yang baik antara Muslim, tetapi juga adalah sebahagian perlaksanaan konsep Syura yang dituntut oleh Syarak.
Ads
Ini kerana seorang wanita apabila mengetahui suaminya ingin memadukannya, perlu memastikan hak-hak dirinya seperti nafkah yang telah ditentukan mengikut uruf dan persetujuan bersama, tidak dilanggar atau ditindas apabila berlakunya poligami.
Dalam erti kata lain, seorang isteri ada hak menyuara pendapat yang berbeza dalam sesi syura bersama suami untuk berkahwin lain.
Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, jelas kepada kita bahawa hukum isteri melarang suaminya untuk berpoligami tidak berdosa, sekiranya dibuat atas dasar nasihat, Syura demi untuk mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap haknya.
Mengahwini adik ipar setelah isteri meninggal dunia memang agak jarang terjadi, namun ia tetap berlaku dalam masyarakat kita. Tentulah ada faktor yang mendorong hal ini terjadi. Setiap kes adalah berbeza.
Islam tiada halangan dalam hal ini. Di saat salah seorang daripada pasangan suami isteri meninggal dunia, maka dibolehkan pasangan yang masih hidup untuk bernikah lagi dengan syarat memenuhi kriteria sah nikah.
Ayah perlukan teman hidup yang sentiasa ada di sisi.
Tiada seorang pun berhak menghalang hasrat untuk bernikah itu termasuklah anak-anaknya. Mereka tidak dibenarkan melarang orangtuanya untuk berkahwin lagi.
Kita sebagai anak perlu faham mengapa ayah mengambil keputusan itu. Bukan bermakna ayah tidak lagi menyayangi allahyarhamah ibu, tetapi ada sesetengah lelaki memerlukan teman hidup untuk menjalani kehidupan seharian.
Mahu teman untuk berkongsi cerita, mencari teman yang boleh menjaga makan minumnya da menjaganya diwaktu sakit pening. Dia tidak mahu menyusahkan anak-anak yang telah pun mempunyai kehidupan masing-masing.
Sekiranya ayah mampu untuk memberi nafkah kepada isteri baharunya, maka kita sebagai anak-anak perlu berikan sokongan penuh. Dalam Islam, sekiranya duda kematian isteri, maka dia boleh sahaja menikahi siapapun, termasuklah jika ingin mengahwini adik atau kakak ipar (saudara kandung perempuan) allahyarhamah isterinya.
Ayah tidak perlu menjalani masa menunggu hingga empat bulan atau sewaktu dengannya setelah isterinya meninggal sebagaimana yang disyaratkan terhadap balu yang perlu menunggu habis iddah.
SOALAN:
Seorang telah kematian isteri dan isterinya memiliki saudara kandung perempuan yang hendak dinikahi olehnya. Apakah dia harus menjalani masa iddah dan menungga hingga empat bulan sepuluh hari dari sejak isterinya meninggal? Atau apakah dia boleh langsung akad dengan saudari kandung isterinya sebelum masa itu?
JAWAPAN:
Kami mengambil kesimpulan bahawa boleh bagi lelaki (ayah) tersebut menikahi saudara kandung perempuan isterinya yang sudah meninggal tanpa menunggu masa tertentu.
Dalam kitab Al-Hamidiyah disebutkan bahwa ada seorang lelaki telah kematian isteri dan isterinya memiliki saudara kandung perempuan, apakah dia boleh menikah saudara kandung perempuan isterinya setelah sehari isterinya meninggal?
Jawapannya, Ya, seperti disebutkan dalam kitab Al-Khulashah.
Perkembangan teknologi digital hari ini membuka ruang lebih luas untuk kita menambah ilmu. Ini termasuklah belajar membaca al-Quran menerusi internet atau aplikasi khas yang dicipta.
Sejauh manakah dibolehkan kita belajar membacanya melalui internet? Apakah hukumnya? Kita dapatkan penjelasan ustaz Azhar Idrus dalam hal ini. Ramai juga yang belajar tanpa guru sebenar.
Adakah kalau kita hendak belajar baca al-Quran mesti talaqi dengan guru?
Adakah boleh kalau belajar baca quran melalui internet?
JAWAPAN :
Belajar membaca al-Quran sangatlah dituntut oleh agama kerana orang yang belajar akan dapat membacanya dan mencapai ganjaran yang disediakan bagi orang-orang yang membacanya sebagaimana dinyatakan dalam hadis-hadis Nabi ﷺ
Sekali pun di zaman sekarang ada kemudahan belajar daripada internet dan yang seumpamanya namun begitu pembelajaran yang terbaik ialah dengan bertalaqi dengan guru kerana murid dapat memperdengarkan bacaannya kepada guru supaya disahkan dan diperbetulkan mana yang kurang dan mana yang salah.
Guru yang mengajar pada zaman sekarang sangatlah ramai dan mudah didapati oleh kerana itu sebaiknya jangan hanya memadai belajar dari internet walau pun tidak diapat dinafikan melalui internet juga dapat diperolehi ilmu-ilmu tentang membaca Quran.
Berkata Syeikh Nuh Ali Sulaiman :
“Pusat belajar al-Quran sudah banyak di negeri kita sekarang Alhamdulillah dan seperti itu juga orang-orang yang mengajar akan al-Quran. Maka apabila pergi seseorang kepada salah seorang qari nescaya memungkinkan dia insyaAllah belajar akan al-Quran lalu dapatlah dia mengenal bagaimana membaca al-Quran dengan bacaan yang sahih dan dapat mengenali bagaimana cara menghafal al-Quran bagi yang mahu menghafalnya di dalam hati”
Dan perkara yang pentingnya ialah kitab Allah ini memerlukan belajar secara talaqi ertinya mendengar dari bacaan segala qari supaya mengenal ia akan lafaz yang sahih bagi setiap kalimah.
Dan barang siapa yang sukar baginya yang demikian itu bolehlah dia belajar dengan mushaf sambil mendengar kepada rakaman bacaan para qari membaca ayat al-Quran yang sempurna dengan suara mereka.
Dan sungguhnya Allah telah memudahkan bacaan dari dulu sampai sekarang sebagai menyempurnakan janji-Nya di dalam al-Quran sekira-kira berfirman Allah:
“Dan sungguhnya Kami telah mudahkan akan al-Quran itu bagi ingatan maka adakah yang mengambil iktibar?” Surah al-Qamar : Ayat 17
KESIMPULAN
Belajar membaca kitab Allah yang paling baik ialah dengan cara bertalaqi dengan guru kerana murid dapat mendengar bacaan guru dan murid dapat memperdengarkan bacaannya kepada guru supaya disahkan oleh guru adakah bacaan murid itu sahih atau sebaliknya.
Ada pun belajar dengan internet atau dari rakaman maka murid hanya boleh mendengar bacaan guru tetapi guru tidak boleh mengesahkan bacaan murid sama ada sahih atau sebaliknya.
Bagi mereka yang belum lagi ada kemudahan belajar dengan guru maka elok dia belajar dulu mendengar bacaan-bacaan yang sahih yang diperdengarkan di dalam internet atau yang seumpamanya dan apabila bertemu dengan guru hendaklah dia baca segala bacaan yang telah dia pelajari melalui internet atau rakamannya dahulu supaya diperbetulkan jika ada salah silapnya.
Soalan tentang hadith mati syahid adakah benar seorang yang meninggal kerana sakit perut itu dikatakan mati syahid? Adakah hadith itu mengandungi konteks? Adakah benar mereka tidak diazab? Isteri saya meninggal kanser ada ketumbuhan di perut adakah termasuk dalam hadith ini? terima kasih didahulukan atas jawapan.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Benar sekali, sakit perut termasuk di kalangan orang yang mati syahid. Sebuah hadith menyebut:
Maksudnya: “Abdullah bin Thabit ketika meninggal dunia, anak perempuannya berkata: ‘Demi Allah, aku sangat berharap engkau mati syahid. Adapun engkau telah mempersiapkan peralatan engkau (bagi menyediakan peralatan perang dan ekspedisi serta lain-lain).’
Lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesungguhnya Allah telah menjadikan pahalanya setimpal dengan apa yang diniatkannya, dan menurut kamu, siapakah orang yang dikira mati syahid itu?’ Mereka menjawab: ‘(Orang yang mati syahid itu) ialah orang yang terbunuh di jalan Allah.’
Rasulullah SAW bersabda: ‘Orang yang mati syahid yang selain terbunuh di jalan Allah ada tujuh orang, iaitu orang yang mati kerana taun adalah syahid, orang yang mati tenggelam (lemas) adalah syahid, orang yang mempunyai luka pada lambung lalu mati adalah syahid, orang yang mati kerana penyakit perut adalah syahid, orang yang mati dalam kebakaran adalah syahid, orang yang mati tertimpa runtuhan adalah syahid dan seorang wanita yang meninggal dunia sedangkan dia dalam keadaan mengandung adalah syahid.’”
Riwayat Ahmad (23753); riwayat Nasa’i dalam hadith yang panjang dengan sedikit perbezaan lafaz (1846); riwayat Ibn Majah dengan lafaz seumpamanya (2803); Syeikh Syu‘aib al-Arnaut dalam Takhrij al-Musnad (23753) menilainya sebagai sahih. Begitu juga al-Albani dalam Sahih Abi Daud (3111) menilainya sebagai sahih.
Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa kesemua jenis kematian itu dianggap sebagai mati syahid disebabkan kelebihan kurniaan Allah SWT kepada mereka kerana dahsyatnya kesakitan dan kepedihan kematian tersebut yang ditanggung mereka. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, Cet. Dar al-Siddiq, 5/550).
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan dalam kitabnya bahawa melalui hadith-hadith yang menyebutkan berkenaan orang-orang yang dikira syahid, kita dapat bahagikan mati syahid itu kepada dua kategori iaitu:
Syahid di akhirat dan syahid di dunia iaitu sesiapa yang gugur (terbunuh) di jalan Allah melawan orang-orang kafir (bagi menegakkan agama-Nya) ikhlas kerana Allah serta dalam keadaan mara ke hadapan dan bukannya berundur melarikan diri — daripada musuh.
Syahid di akhirat sahaja iaitu mereka yang diberikan pahala mati syahid, namun tidak terpakai ke atas mereka hukum syahid tersebut di dunia — yakni mereka masih lagi perlu dimandikan, disolatkan dan sebagainya. (Lihat Fath al-Bari, Cet. Dar al-Salam, 6/55).
Walau bagaimanapun, Imam al-Nawawi menambah kategori yang ketiga iaitu mereka yang mati syahid di dunia tetapi tidak di akhirat. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, Cet. Dar al-Siddiq, 5/550).
Begitu juga, Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan kategori ini di dalam kitabnya yang lain dan menyatakan, mereka ialah sesiapa yang gugur di dalam perang melawan orang-orang kafir — yakni bagi menegakkan agama-Nya — tetapi adanya halangan ke atas mereka seperti niat yang rosak dan ketika lari dari medan perang. (Lihat Bazl Al-Ma’un, hlm. 189).
Ragu-ragu perasaan yang selalu hadir dalam hati manusia. Malah ada kala ia timbul ketika kita sedang beribadah. Salah satunya adalah wujud rasa ragu-ragu mengenai...