Tumpang cas telefon di pejabat bukan perkara baharu. Adakala kita terpaksa melakukannya kerana terlupa untuk cas di rumah. Nak tahu apa hukumnya? Baca sampai habis jawapannya
SOALAN: Assalamualaikum, Apakah hukum mengecas telefon bimbit di tempat kerja. Adakah halal atau haram kerana kita menggunakan elektrik tempat kerja.
Sekadar gambar hiasan
Ringkasan Jawapan : Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Hukum mengecas telefon di pejabat adalah bergantung kepada peraturan penggunaan elektrik daripada pihak pengurusan pejabat masing-masing.
Adapun sekiranya tiada peraturan yang menghalang, maka mengecas telefon bimbit di pejabat dibenarkanberdasarkan uruf (kebiasaan setempat) kerana ia sudah dianggap sebagai satu keperluan dan penggunaannya adalah sedikit dan tidak memberi kesan yang besar kepada penggunaan elektrik.
Huraian Jawapan : Secara umumnya, menggunakan atau mengambil harta tanpa kebenaran pemilik adalah dilarang, Ini berdasarkan hadis berikut: Daripada Anas bin Malik RA, Sabda Nabi SAW:
Ads
لَا يَحِلُّ مَالُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ إِلَّا بِطِيبِ نَفْسِهِ Maksudnya: “Tidak halal mengambil harta seseorang muslim kecuali dengan kerelaan dirinya” Riwayat al-Daraqutni (2885)
Walaupun demikian, terdapat beberapa perkara yang berkaitan hukum feqah akan merujuk kepada amalan tradisi dan kebiasaan selagi ianya tidak bertentangan dengan hukum syara’. Imam Jalaluddin al-Suyuti menyebut antaranya seperti mengambil buah yang terjatuh dan seumpamanya menurut pandangan paling sahih diukur dengan tradisi setempat. ( Lihat :al-Suyuti, al-Asybah wa al-Nazha’ir, 90)
Ads
Sehubungan itu, mengecas telefon bimbit di pejabat adalah dibenarkan berdasarkan kepada uruf (kebiasaan setempat) selagi tiada peraturan yang melarangnya kerana ia sudah menjadi hajat dan keperluan kepada semua pihak.
Selain itu, pekerja perlu merujuk kod etika jabatan masing-masing terhadap penggunaan elektrik untuk kegunaan peribadi.
Ads
Akhir kalam, semoga kita terhindar daripada perkara-perkara syubhah.
‘Dia kerja, tak perlulah aku bagi duit.’ Nafkah isteri mesti suami tunaikan walau pendapatan dia lebih tinggi suami. Nafkah memang menjadi tanggungjawab suami, jadi jangan lari dari tanggungjawab.
Isteri bekerja kerana ingin kurangkan beban suami dan membantu apa yang patut. Jadi janganlah mengambil kesempatan.
Masa kini ramai isteri bekerja dengan niat ringankan beban suami. Pun begitu keperluan memberi nafkah tetap menjadi tanggungjawab suami. Masa nikah memang digalakkan dipermudahkan. Tapi itu bukan maksudnya soal nafkah pun kita nak pandang enteng jugak.
Kita tak boleh kata, “Owh isteri aku ada kerja. So, tak perlu lah aku bagi duit bulan-bulan. You, you dan I, I”
Nafkah mereka sebagai isteri mesti ditunaikan walau pendapatan mereka lebih tinggi dari kita.
Ada isteri yang tidak diberi nafkah langsung oleh suami disebabkan:
1) suami beranggapan tidak perlu bagi nafkah kerana isterinya berkerja dan punyai wang sendiri.
2) suami beranggapan tidak perlu bagi nafkah kerana isterinya bergaji lebih besar.
3) suami perlu tanggung keluarganya sendiri (ibu bapa, adik beradik), jadi wang gajinya tidak cukup untuk diberikan kepada isteri.
4) tidak ada ilmu tentang rumah tangga dan tidak mahu belajar tentangnya. Take for granted.
Ini silap besar sahabatku.
Wahai para suami, bacakan ini. Ada 7 jenis nafkah yang wajib kita beri kepada isteri iaitu:
1. Menyediakan rumah dan keperluan rumah.
Tak kira lah rumah sewa atau beli sendiri, asalkan mengikut kemampuan suami. Kalau suami mampu beli rumah teres sahaja untuk isteri, ia jauh lebih baik dari rumah banglo atas bukit yang dibeli isteri.
2. Makan Minum
Ramai isteri yang berkerja membeli barang makanan minuman dengan duit gajinya sendiri. Puan, gunakan duit belanja dapur yang diberikan suami.
Jika tak cukup, barulah top up dengan duit gaji puan. Jangan ambil hak suami iaitu hak untuk dia bagi nafkah makan minum.
Kalau suami puan mampu beli kangkung dan ikan kembung, makanlah itu. Berkat insyaAllah.
Suami beri nafkah wang walaupun sedikit untuk makan minum isteri, anak setiap bulan. Kalau mampu RM100 pun, itulah yang perlu diberikan.
Beritahu pada isteri, “Ini yang abang mampu, kalau ada rezeki lebih, abang akan tambah.” Isteri, hargailah keikhlasan suamimu itu.
3. Pakaian
Wajib beli 2 persalinan setiap tahun. Belilah jubah longgar dan pakaian menutup aurat kepada isteri. Kita dapat pahala sebab sediakan pakaian ikut syariat. Isteri pun dapat kebaikan sebab jaga aurat ikut syariat.
Suami dipertanggungjawabkan atas dosa yang mereka lakukan di dunia ini. Isteri, kena faham dan tahu. Kami bukan hanya pikul tanggungjawab nafkah zahir tapi dosa kamu juga kami pikul.
Ini perkara paling sweet yang banyak isteri lupa.
Justeru, tanam azam dalam diri untuk ikut suruhan dan tinggalkan perkara dilarang oleh baginda Rasulullah saw. Bukan pasal ikhlas atau tak ikhlas.
Masa dicabut nyawa tak ada tanya ikhlas tak nak mati. Hehe!
4. Perubatan
Kalau isteri sakit, suami perlu bawa isteri jumpa doktor dan biayai perbelanjaan ini. Kalau zaman sekarang, takaful untuk isteri dan anak-anak perlu disediakan oleh suami.
5. Perhiasan
Wanita memang tidak asing dengan perhiasan. Suami perlu menyediakan perhiasan untuk isteri.
Encik A selalu beli perhiasan untuk isterinya. Dia belikan mengikut taste nya.
Katanya, “Isteri ini adalah perhiasan untuk suami. Mestilah saya beli perhiasan mengikut taste saya supaya menyejukkan mata dan hati saya. Barulah isteri saya dapat pahala, saya pun dapat pahala.”
Isteri pula, kalau suami mampu beli Zhulian, pakailah. Jangan minta diluar kemampuan suami pula.
6. Pembantu
Kalau isteri biasa ada pembantu rumah sebelum berkahwin, suami mesti menyediakan pembantu untuknya selepas berkahwin.
Zaman sekarang ini kalau suami tak mampu, cukuplah sediakan wang untuk penjagaan anak dan paling penting sekali pembantu semasa isteri berpantang selepas melahirkan anak.
7. Peralatan mandian
Jangan gelak! Iya, sabun mandi dan syampu rambut itu termasuk dalam nafkah ye. Jangan ambil ringan!
Wahai suami isteri sekalian, suami wajib bagi nafkah pada isteri dan anak anak. Ini adalah ajaran Islam dan kita patut mengikutnya. Sebab apa?
Supaya ada keberkatan dalam rumah tangga. Bila ada keberkatan, harmoni dan sejahteralah rumah tangga itu. Begitulah.
Ilmu agama dan dunia juga sebenarnya tanggungjawab suami. Ramai terlepas pandang.
Kalau isteri nak belajar mengaji al-Quran, belajar memasak jangan dihalang. Kita sokong dan belikan buku untuk mereka.
Saya doakan agar diri saya dapat memenuhi keperluan keluarga dan anda yang membacanya sehingga ke ayat ini beroleh kebaikan yang sama. Aamin!
Salah satu pemandangan biasa di kawasan perumahan adalah kehadiran kucing-kucing jalanan berlegaran mencari makanan. Tidak dinafikan, rezeki mereka ini pasti ada kerana ramai juga yang suka memberinya makan.
Namun dalam kemurahan hati memberi makan, ada juga kalangan jiran yang tidak sukakannya. Bukan membencinya tetapi mungkin alergik dan ingin memelihara kebersihan persekitaran kerana terganggu dengan bau busuk tinja kucing yang menyengat.
Kucing jalanan ini biasanya akan membuang hajat di halaman kediaman kejiranan tanpa mengira rumah siapa pun. Najis kelihatan di merata tempat; dalam pasu tanaman, depan pagar utama, anjung meletak kereta dan banyak lagi tempat yang mengundang rasa marah dan geram ‘mangsa’.
Isu ini sering menjadi perbincangan hangat dalam grup whatsapp kawasan perumahan. Kita ikuti apa hukumnya memberi makan kucing jalanan sehingga jiran-jiran terganggu disebabkan najis-najisnya berselerakan oleh SS Mufti Wilayah Persekutuan.
Pada asalnya sunat untuk memberi makanan kepada kucing jalanan selagi mana tidak mengganggu ketenteraman awam.
Justeru, keutamaan wajib diberi berdasarkan keadaan di tempatnya, sekiranya memberi makanan tersebut akan mengganggu dan menyusahkan jiran tetangga disebabkan najis atau bau yang tidak menyenangkan, maka perbuatan memberi makan itu adalah tidak digalakkan bagi menjamin keharmonian hubungan antara jiran.
Sebaiknya gunakan kebijaksanaan dalam mempertimbangkan kaedah yang terbaik bagi mendapat dua kebaikan, iaitu kebaikan dalam menjaga hubungan di antara jiran dan juga kebaikan dengan memberi makan kepada kucing jalanan.
Memberi makan kepada kucing jalanan merupakan salah satu sikap yang terpuji dan Islam mengajar umatnya supaya berbuat baik sesama makhluk sekalipun terhadap haiwan.
Ini adalah sifat ihsan yang diterapkan di dalam agama Islam. Nabi SAW menceritakan berkenaan dengan kebaikan yang dilakukan oleh seorang pelacur sehingga diampunkan dosanya hanya dengan memberi minum seekor anjing yang kehausan dengan menggunakan kasutnya.
Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, daripada Nabi SAW bersabda:
أَنَّ امْرَأَةً بَغِيًّا رَأَتْ كَلْبًا فِي يَوْمٍ حَارٍّ يُطِيفُ بِبِئْرٍ قَدْ أَدْلَعَ لِسَانَهُ مِنَ الْعَطَشِ فَنَزَعَتْ لَهُ بِمُوقِهَا فَغُفِرَ لَهَا Maksudnya: Sesungguhnya seorang pelacur wanita melihat seekor anjing mundar-mandir mengelilingi telaga pada hari yang sangat panas dengan lidahnya yang terkeluar kerana kehausan, lalu perempuan itu memberi minum menggunakan kasutnya, maka dia diberi pengampunan segala dosanya. (Riwayat Muslim: 2245)
Selain itu, tanggungjawab untuk menjaga nafkah dan keperluan haiwan yang dipelihara adalah wajib di atas tuannya.
Sekiranya seseorang itu gagal memenuhi keperluan haiwan peliharaannya itu maka ia akan menanggung dosa di atas perbuatannya, seperti tidak menyediakan makanan, tempat tinggal dan kebersihannya.
Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar r.a, sabda Nabi SAW:
دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ Maksudnya: Seorang wanita dimasukkan ke dalam neraka disebabkan seekor kucing yang ditambatnya, tidak diberi makanannya, dan tidak melepaskannya untuk mencari makanan di atas muka bumi (Riwayat Muslim: 2619)
Berbalik kepada persoalan, tanggungjawab dalam menjaga kebajikan haiwan adalah salah satu perkara yang perlu dilakukan oleh penjaganya, terutamanya dalam menjaga kebersihan sehingga tidak mengganggu jiran tetangga yang lain.
Dalam hal ini, keharmonian jiran tetangga merupakan perkara yang sangat penting dan perlu diberi perhatian oleh setiap umat Islam. Baginda Nabi SAW memberi amaran kepada umatnya bahawa tidak akan dimasukkan ke dalam syurga kepada sesiapa yang melakukan sesuatu perkara sehingga mengganggu jiran tetangganya.
Ini jelas seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ لاَ يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَائِقَهُ Maksudnya: Tidak akan masuk syurga bagi seseorang itu apabila jirannya tidak merasa aman dengan gangguannya (Riwayat Muslim: 46)
Nabi SAW menasihatkan para sahabatnya supaya berbuat baik kepada jirannya kerana sikap dan keperibadian seorang muslim yang sejati itu adalah mereka yang sentiasa berbuat baik kepada jiran tetangganya.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, berdasarkan kepada persoalan yang diajukan di atas serta nas yang diberikan, pada asalnya sunat untuk memberi makanan kepada kucing jalanan selagi mana tidak mengganggu ketenteraman awam.
Justeru, keutamaan wajib diberi dengan berpandukan keadaan ditempatnya, sekiranya dengan memberi makanan tersebut akan mengganggu dan menyusahkan jiran tetangga disebabkan najis atau bau yang tidak menyenangkan, maka perbuatan memberi makan itu adalah tidak digalakkan bagi menjamin keharmonian hubungan antara jiran.
Sebaiknya kebijaksanaan dalam mempertimbangkan kaedah yang terbaik bagi mendapat dua kebaikan, iaitu kebaikan dalam menjaga hubungan di antara jiran dan juga kebaikan dengan memberi makan kepada kucing jalanan.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Tunaikan haji guna wang pampasan takaful boleh jadi dari anak yang meninggal akibat kemalangan atau pasangan yang sakit dan sebagainya. Dalam hal ini apa hukumnya?
Persoalan ini dibangkitkan dalam soal jawab di laman web Maktabah Al-Bakri. Berikut adalah penjelasan yang diberikan oleh Datuk Dr Zulkifli Al Bakri yang juga bekas mufti Wilayah Persekutuan mengenai perkara tersebut.
Katanya sebagai seorang Muslim, Allah SWT mewajibkan ke atas setiap hamba-hamba-Nya untuk mencari rezeki daripada sumber yang halal dan baik serta sentiasa bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan kepada mereka.
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah.”
(Surah al-Baqarah: 172)
Ibn Kathir berkata:
“Ayat ini jelas menunjukkan perintah Allah SWT kepada hamba-Nya yang beriman agar memakan makanan yang baik (halal) daripada apa yang telah Allah SWT rezekikan kepada mereka. Selain itu, mereka juga perlu bersyukur kepada Allah SWT di atas kurniaan tersebut jika benar mereka itu adalah hamba Allah SWT. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/480)
Takaful ialah pelan perlindungan berdasarkan prinsip syariah. Setiap pemegang polisi akan mencarum sejumlah wang ke dalam dana takaful dalam bentuk caruman penyertaan (tabarru‘).
Pemegang polisi akan menandatangani satu akad bagi membolehkan mereka menjadi peserta dengan bersetuju untuk saling membantu antara satu sama lain sekiranya salah seorang peserta mengalami kerugian yang telah ditetapkan.
Merujuk kepada persoalan di atas, wang yang diperolehi daripada syarikat takaful tersebut adalah hasil daripada kumpulan wang tabarru‘ daripada peserta-peserta.
Justeru, wang tabarru‘ tersebut adalah dibolehkan dan halal untuk dipergunakan dalam kehidupan seharian termasuklah dalam isu kos perbelanjaan untuk pelaksanaan ibadah haji.
Maksudnya: “Asal bagi sesuatu perkara itu adalah harus sehinggalah ada dalil yang menunjukkan kepada pengharaman.”
Kami berpandangan bahawa, dibolehkan untuk menggunakan wang pampasan takaful dalam melaksanakan ibadah haji. Hal ini kerana wang pampasan takaful itu juga adalah termasuk daripada sumber yang halal. Justeru, penggunaannya di dalam melaksanakan ibadah haji turut dibolehkan.