Kisahnya sangat memberi inspirasi. Ia mungkin dianggap kerja gila namun tekad seorang saudara seislam kita, Adam Muhammad atau mesra disapa Brother Adam berjalan kaki dari Wolverhamptom, Britain ke Makkah berakhir dengan suasana sangat mengharukan.
Ini kerana dirinya menempuh perjalanan 11 bulan dengan hanya berjalan kaki demi memastikan misinya menjadi tetamu Allah bagi musim haji ini terlaksana.
Dikongsi dari Tik Toknya @adam.to. mecca. by.foot, dirinya berkongsi suka duka perjalanannya yang memakan masa hampir setahun masanya. Dirinya menempuh 6500 km dengan menempuh banyak negara, antaranya ialah Belanda, Jerman, Serbia, Austria, Bulgari, Turki, Syria, Jordan sebelum memasuki Makkah. Ia satu perjalanan yang sangat mencabar namun diiringi doa dari orang ramai agar niatnya dapat menunaikan haji pada usianya kini iaitu 52 tahun.
Ads
Kata orang tiada halangan jika hati sudah nekad dan itulah dilakukannya. Bahkan dalam setiap persinggahan di negara ditempuhnya, dirinya ditemuramah hingga dirinya menjadi terkenal kerana tekadnya itu.
Ads
Kata Brother Adam, jika di awalnya, perjalanan ini adalah impiannya (dapat tunai haji) namun selepas menempuh banyak negara dan dikelilingi ramai orang baik-baik dirinya mengakui perjalanannya ini adalah “perjalanan ummah” buat semua iaitu melaksanakan rukan islam ke lima bagi yang mampu.
Ads
Cuaca buruk antara faktor menghalang perjalanannya, bahkan troli barang-barang yang dibawanya bersama untuk memudahkan dirinya memasak dan menyimpan barangan turut beberapa kali patah namun ia langsung tidak mematahkan semangatnya untuk melihat Kaabah di depan mata buat kali pertama. Alhamdulillah dengan irigan doa dari semua, dirinya telah pun sampai ke Makkah.
Ternyata semangatnya sangat luar biasa dari orang hanya biasa-biasa. Nak tengok perjalanannya boleh follow Youtube dan Tik Toknya.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Hari ini anak menjadi raja dan ibu bapa hamba. Ini kerana ramai ibu bapa yang mengambil mudah soal mendidik anak, kurang menerapkan ilmu agama dan menyerahkan segala keputusan kepada anak kerana mungkin sudah bosan menasihati. Ditambah faktor ekonomi, rata-rata ibu bapa sibuk mencari duit hingga mengabaikan memberi pendidikan agama secukupnya kepada anak khususnya anak perempuan.
Pendedahan oleh pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) ini sebenarnya amat menakutkan dan pastinya menggerunkan golongan ibu bapa yang memiliki anak perempuan.
Satu hasil kajian yang sedang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan sembilan daripada 10 remaja perempuan bermasalah yang ditemu bual mengaku ketagih seks walaupun menyedari perkara itu melanggar moral dan berdosa di sisi agama.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, Pegawai Psikologi D11 sedang menyiapkan kajian berkaitan isu itu membabitkan ribuan golongan remaja wanita yang terbabit dalam kes rogol atau disiasat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.
Menurutnya, pihaknya mendapati golongan remaja yang pertama kali terjerumus melakukan hubungan seks bebas sudah mula ketagih untuk mengulanginya lagi.
“Lebih membimbangkan apabila mereka ini membabitkan remaja berusia belasan tahun. Ramai antaranya berusia 16 tahun ke bawah.
“Kajian mendapati kebanyakan mereka ini mempunyai tahap keinginan seks yang tinggi.
“Pada awal tahun ini sahaja, pasukan D11 sudah menerima dua kes membabitkan remaja perempuan yang menawar khidmat seks. Mereka ini melakukan hubungan seks bagi tujuan kepuasan dan keseronokan sendiri.
“Ada satu kes itu, remaja terbabit sudah menawarkan khidmat itu kepada enam pelanggannya, malah ketika ditemu bual mereka memberitahu sudah mula ketagih untuk melakukannya.
“Lebih memburukkan keadaan apabila ahli keluarga tidak mengetahui kegiatan luar dilakukan anak mereka ini. Mereka mempercayai bulat-bulat anak mereka,” katanya.
Tahu perbuatan salah di sisi agama
Siti Kamsiah berkata, ketika ditemu bual, remaja perempuan terbabit mengakui dan menyedari perbuatan itu salah di sisi agama serta merosakkan masa depan.
“Bagaimanapun perbuatan ini sukar dibendung berikutan ibu bapa tidak memantau pergerakan anak perempuan masing-masing menyebabkan mereka berani melakukannya.
“Mereka tidak diajar panduan menjalani kehidupan sebagai anak dan remaja hingga akhirnya terjebak dengan kegiatan itu. Mereka ini tiada ejen sebaliknya menggunakan media sosial untuk mencari pelanggan. Mereka sanggup menawarkan diri serendah RM50 untuk melakukan hubungan terlarang itu.
“Namun hasil temu bual dilakukan, wang bukanlah perkara utama namun kepuasan dapat melakukan hubungan seks lebih menjadi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata, kegiatan ini harus dibendung supaya tidak menular dalam komuniti masyarakat.
“Lebih menggusarkan jika ada individu mengambil kesempatan ke atas mereka. Golongan remaja ini tidak dididik secara sempurna manakala ibu bapa pula tidak mempunyai ilmu dan memberikan kefahaman agama mencukupi.
“Biasanya ibu bapa remaja ‘terbabas’ ini tidak dapat menjangkakan risiko dan ancaman di sekeliling anak-anak selain terlalu memberi kepercayaan. Ini akhirnya menyebabkan berlakunya kes rogol di mana ada dalam kalangan remaja melakukan perbuatan itu dengan kenalan media sosial baru dikenali. Di sini bermulanya masalah apabila mereka akhirnya menjadi ketagih terhadap perbuatan maksiat itu,” katanya. Sumber :- Harian Metro
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Rasanya ramai yang masih terkeliru dengan kaedah tuntutan harta pusaka milik arwah. Jika tiada ilmu yang cukup atau bertemu orang yang tepat, harta pusaka akan terbiar begitu saja hingga jumlahnya mencapai billion.
Sebenarnya untuk menuntut harta pusaka amat mudah, asal tahu cara menuntutnya. Peguam Roslina Sabiyah dari Tetuan Roslina Sabiyah & Co berkongsi ilmu ini untuk memudahkan kita membuat urusan menuntut harta pusaka.
Berikut perkongsiannya :-
Semalam saya didatangi seorang makcik berusia lingkungan umur 60-an. Kelihatan letih dan sugul wajahnya. Turun naik pejabat pentadbiran dan akhirnya dirujuk kepada saya untuk selesaikan urusan pusaka arwah ayahnya.
Harta yang ditinggal oleh arwah ayah makcik ni ialah tanah felda dan saham ASB. Sepatutnya senang sahaja urusannya. Makcik kata tanah felda dah diurus di pejabat felda. Makcik dah buat bayaran untuk kedua-dua geran felda (tanah dan kebun). Makcik kata urusan tanah felda dah selesai. Tinggal ASB yang makcik kena uruskan sendiri di ARB.
Makcik pergi ke ARB. Makcik dah bagitau yang si mati ada tanah felda dan pejabat felda dah uruskan. ARB kata tak apa, mereka akan uruskan akaun ASB sahaja. Mereka suruh makcik ke mahkamah syariah untuk buat sijil faraid. Tapi makcik ke pejabat agama sebab tak tau macamana nak berurusan di mahkamah syariah..
Saya kongsikan hasil dapatan saya daripada kes pusaka makcik ini dan juga beberapa salah faham yang berlaku sebagai panduan kepada orang lain yang akan dan sedang mengurus pusaka :-
1) Pejabat felda tidak menjalankan urusan bicara pusaka. Kena ingat ye, urusan permohonan pusaka hanya boleh dibuat di 3 tempat sahaja berdasarkan jenis dan nilai harta. Hanya 3 institusi ini sahaja yang boleh mengeluarkan Perintah Pusaka atau Surat Kuasa Mentadbir:-
i-Unit Pusaka Kecil ii-Amanah Raya Berhad iii-Mahkamah Tinggi Sivil
2) Mahkamah Syariah pun tak ada bidangkuasa untuk buat urusan pusaka. Tapi Mahkamah Syariah ada bidangkuasa untuk uruskan urusan-urusan yang boleh membantu memudahkan urusan pusaka sahaja sebagaimana berikut :-
i-Mengeluarkan Sijil Faraid untuk mengesahkan waris-waris yang berhak. ii-Mengesahkan dokumen wasiat dan hibah jika ada pertikaian waris semasa proses mengurus pusaka. iii-Mengeluarkan perintah Harta Sepencarian untuk pasangan yang nak menuntut dari harta si mati sebelum harta pusaka diagih mengikut faraid.
3) Rupa-rupanya makcik salah faham. Sebenarnya pegawai felda cuma tolong daftarkan permohonan pusaka secara online di unit pusaka kecil. Pegawai felda suruh makcik ke pejabat tanah untuk buat carian rasmi ke atas 2 geran felda (tanah dan kebun). Bayaran yang makcik kata dah buat untuk urusan pusaka tu sebenarnya ialah bayaran carian tanah rasmi di kaunter pejabat tanah. Carian rasmi itu diperlukan untuk proses permohonan pusaka di unit pusaka kecil.
4) Pegawai felda nak tolong mudahkan urusan peneroka felda dalam membuat permohonan pusaka dengan daftarkan secara online. Cuma silapnya, pegawai tersebut tak tanya jika peneroka ada harta-harta atau aset-aset lain yang perlu dimasukkan sekali dalam permohonan tersebut. Makcik pun tak faham. Dia ingat urusan pusaka tanah felda dah selesai di pejabat felda.
5) Makcik pun tak tau sebenarnya permohonan pusaka dah pun didaftarkan dengan unit pusaka kecil. Kami dah semak dengan pusaka kecil dan memang ada rekod pendaftaran tersebut cuma statusnya adalah masih menunggu tarikh bicara.
6) Isu berkenaan akaun ASB. Jika nilainya di bawah RM10,000 waris boleh mohon buat pengeluaran di cawangan ASB terus. Tapi jika nilainya lebih RM10,000 dan akaun tiada penama, pihak ASB akan memerlukan perintah pusaka. Akaun ASB adalah harta alih. Memang bidangkuasa ARB. Tapi jika dah ada permohonan pusaka yang dibuat di bawah nama si mati untuk harta tak alih yang lain, sepatutnya harta alih ini boleh dimohon sekali di bawah unit pusaka kecil tersebut.
7) Kalau si mati tak ada harta tak alih yang lain (rumah/tanah/bangunan) ya memang makcik tak ada pilihan kena buat permohonan pusaka di ARB juga sebab bidangkuasa ARB untuk uruskan harta alih sahaja. Tapi apa yang berlaku, makcik seolah terpaksa buat 2 urusan di 2 institusi yang berlainan. Sedangkan sepatutnya, makcik boleh sahaja buat urusan di 1 tempat sahaja. Tak perlu pun buat sijil faraid di mahkamah syariah kalau makcik mohon ASB tu di unit pusaka kecil sahaja.
8) Makcik tak faham. Tapi tak ada yang bagi makcik maklumat yang menyeluruh macamana perjalanan mengurus harta pusaka yang sepatutnya. Makcik penat dan rasa macam bola kena tendang ke sana sini. Satu pihak hanya fokus untuk urus harta tak alih sahaja. Satu pihak lagi hanya fokus untuk urus harta alih sahaja. Salah siapa? Salah makcik sebab tak tau atau salah undang2 sebab tak seragam dan ada banyak sangat institusi yang menguruskan pusaka hingga menyebabkan ramai orang keliru?
9) Kisah makcik ini bukan kes terpencil tapi sebenarnya banyak lagi kes-kes yang berlaku berpunca dari kekeliruan kat mana nak failkan permohonan pusaka. Apa nak buat dulu. Dengan siapa nak rujuk. Kemana nak pergi. Apa yang perlu tau sebelum nak buat urusan pusaka.
10)Usaha untuk ‘centralisedkan’ permohonan pusaka dah ada. Akta pun dah dipinda sejak 25/1/2022. Tapi perlaksanaannya? Kami masih menunggu.. menunggu dan menunggu hingga ke hari ini. Kami faham banyak yang perlu diperbaiki. Dan kerana itu, semua pihak perlulah telus berkongsi maklumat supaya tak ada pihak yang rasa teraniaya dan kejadian ‘ditendang’ ke sana sini seperti bola tidak sepatutnya berlaku lagi.
Alhamdulillah. Makcik tersenyum. Lega dengar penerangan panjang lebar yang diberi. Banyak persoalan yang selama ini membeban perasaan terjawab. Betullah ilmu itu pelita hidup. Nak buat apa-apa pun kena ada ilmu barulah lebih mudah terpandu dan tak sesat sebab ilmu itu macam peta yang menunjuk jalan. Siapa lagi yang perlukan peta untuk urus pusaka? #celikpusaka #rancanghartaelaksengketa #peguammenulis
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Perkembangan teknologi digital hari ini membolehkan sesiapa sahaja bertindak seperti wartawan di lokasi bagi sebarkan gambar orang meninggal dunia dan dan ‘berita’. Apa sahaja yang difikirkan akan menarik perhatian pengguna sosial media, maka ‘berita’ tersebut akan dimuat naik dengan harapan boleh menjadi viral dan sensasi.
Salah satu ‘berita’ yang kerap kita lihat ialah keberanian mereka memuat naik gambar mayat atau jenazah dalam keadaan yang mengerikan atau yang mengaibkan. Di sini orang ramai perlu maklum apa yang boleh dan tidak dilakukan.
Assalamualaikum W.B.T. Sesetengah masyarakat kita yang gemar mengambil dan menyebarkan gambar mangsa kemalangan atau kes tertentu di media sosial, apakah hukum perbuatan ini dari perspektif agama?
Sabda Nabi Muhammad S.A.W:
لايؤمنأحدكمحتىيحبلأخيهمايحبلنفسه Maksudnya: “Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri”. (Riwayat al-Bukhari: 13 dan Muslim:45)
Berdasarkan hadis di atas, jelaslah bahawa seorang muslim hendaklah menyukai segala kebaikan yang diperoleh oleh saudara muslim yang lain sebagaimana dia menyukai kebaikan itu untuk dirinya, dan membenci segala keburukan yang menimpa saudara muslim yang lain sebagaimana dia membenci keburukan itu menimpa dirinya.
Oleh itu hendaklah seseorang muslim berlaku ihsan dan berbuat baik kepada saudara semuslim-nya yang lain, menutup segala keaibannya serta menjaga hak-hak ke atas mereka (sesama muslim).
Justeru, pada asasnya perbuatan menyebarkan gambar mayat si mati adalah haram dan bercanggah dengan moral dan akhlak Islam kerana hal tersebut boleh membuka aib si mati dan menyakiti hati keluarga waris.
Islam sangat menitikberatkan kewajipan seseorang Islam terhadap saudaranya yang lain iaitu antaranya menjaga nyawa, harta dan kehormatan diri sebagaimana sabda Nabi S.A.W:
كُلُّالْمُسْلِمِعَلَىالْمُسْلِمِحَرَامٌ،دَمُهُ،وَمَالُهُ،وَعِرْضُهُ Maksudnya: “Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya”. (Riwayat Muslim: 2564)
Berdasarkan hadis di atas, ia menunjukkan kewajipan seseorang muslim terhadap saudaranya yang lain maka haram ke atasnya untuk menumpahkan darah saudara muslim yang lain, mencerobohi hartanya seperti mencuri atau merompak atau menipu dalam urusan jualbeli, dan hendaklah menjaga kehormatan dirinya iaitu tidak boleh menghina sifatnya atau rupa paras atau keturunannya kerana hal itu boleh menjatuhkan kehormatannya dan hendaklah memelihara kemuliaan dirinya. (Rujuk: Al-Adab al-Nabawi, 1/137).
Firman Allah S.W.T:
….ولقدكرمنابنيآدم Maksudnya: “Dan sesungguhnya kami telah memuliakan anak Adam…..”. ( Surah al-Isra’ : 70)
Ayat di atas menunjukkan Allah S.W.T. memuliakan manusia samada semasa hidup atau matinya. Dan tidak syak lagi apa yang diharamkan oleh seseorang muslim ke atas saudaranya ketika hidup sama seperti pengharamannya setelah meninggal dunia.
Oleh itu, berdasarkan dalil-dalil di atas wajib ke atas kita untuk beradab dan memuliakan saudara muslim yang lain samada ketika hidup ataupun setelah meninggal dunia. Segala perkara yang boleh membawa kepada pencerobohan nyawa, harta dan kehormatan diri seseorang muslim adalah haram dan dilarang di sisi agama kita yang mulia.
Selain itu, perbuatan menyebarkan gambar mayat yang kurang elok atau tidak menutup aurat adalah suatu bentuk pendedahan aib dan ia merupakan suatu perkara yang ditegah dalam agama. Malah tiada khilaf dalam kalangan para ulama’ bahawa wajib menutup aurat jenazah. (Rujuk: Hasyiyah al-Dasuqi, 1/408).
Sehinggakan para ulama menitikberatkan hendaklah dijaga aurat dan aib si mati sekalipun ketika urusan memandikan jenazah.
Berkata Imam al-Nawawi: “Dan disunatkan agar ditutup mayat (ketika memandikan jenazah) daripada orang lain, kerana berkemungkinan terdapat pada badannya itu suatu aib yang beliau menutupinya dahulu (ketika dia hidup), dan boleh jadi terdapat badannya itu suatu tompokan darah, lalu disangka oleh orang yang melihatnya itu sebagai suatu hukuman baginya (mayat itu).” (Rujuk: Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/154).
Riwayat Abu Daud (3140), Ibnu Majah (1460)
Apatah lagi sekiranya keadaan mayat tersebut mengaibkan seperti tertanggal anggota dari badan, terburai jasad dan sebagainya maka itu boleh membuka aib si mayat tersebut. Jelaslah bahawa perbuatan seperti ini adalah sangat tidak bertanggungjawab dan dilarang tegas oleh agama.
Oleh itu, berdasarkan dalil-dalil di atas jelaslah bahawa wajib ke atas kita menutup aurat dan aib seseorang sekalipun orang tersebut telah meninggal dunia.
Malah wajib hukumnya bagi seorang muslim menutup apa juga yang tidak disukai oleh seseorang ketika hidupnya.
Barangsiapa yang melakukan sebarang perbuatan yang mendedahkan aurat dan aib si mati maka dia telah tergolong dalam golongan yang mencerobohi maruah saudara muslimnya yang lain dan ianya termasuk dalam perkara yang dibenci oleh Allah dan RasulNya.
Perbuatan menyebarkan mayat orang yang meninggal dunia adalah haram kerana ia boleh mendedahkan aib si mati dan menyakiti hati keluarga waris.
Tambahan pula, sekiranya keadaan mayat yang agak tidak sempurna seperti terdedah aurat, tertanggal anggota tubuh dari badan maka haram menyebarkan gambar tersebut kerana Islam melarang umatnya mendedahkan aurat dan hal tersebut boleh menjatuhkan kehormatan si mati.
Selain itu ia boleh mendatangkan trauma kepada keluarga si mati dan boleh mengundang pelbagai perkara yang tidak diingini. Justeru, perbuatan menyebarkan gambar mayat perlu dihentikan kerana ia bercanggah dengan etika, moral dan akhlak Islam.
Di samping itu, individu yang melakukan perbuatan ini juga harus diambil tindakan tegas agar fenomena ini tidak berleluasa dalam masyarakat.
Wallahu a’lam.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?