Tidak dinafikan kita disuruh mendidik anak-anak menjadi insan berguna dan mendengar kata ibu bapa sejak mereka masih kecil.
Didikan dengan sempurna menjadikan mereka insan yang tidak leka dengan suruhan Allah yang wajib antaranya puasa dan solat.
Walau bagaimanapun ada kalanya mencabar untuk mendidik anak-anak supaya mengerjakan solat.
Malah ada di kalangan kita yang terpaksa memukul anak-anak untuk segera mengerjakan solat.
Namun sebenarnya ada caranya untuk kita sebagai ibu bapa menyuruh mereka solat tanpa membebel atau pukul.
Perkongsian dari pengguna laman sosial Mohamad Safwan Yusoff memberitahu caranya dengan mengamalkan doa tertentu buat anak-anak ini.
Insya-Allah jika diamalkan selalu, anak-anak akan bersolat tanpa penat kita membebel atau memukul mereka.MACAM MANA NAK BUAT ANAK ANDA SOLAT TANPA PERLU DISURUH, DIBEBEL DAN DIPUKUL.
Kisah daripada seseorang yg mpunyai anak perempuan..anak saya umur 13 tahun dan sangat ‘liat’ nak solat.Satu hari, terlintas di hati nak pantau anak saya solat. Boleh dia hampar sejadah atas lantai je.. tapi tak solat.Bila saya tanya dah solat ke belum, katanya ‘dah’.Saya rasa sangat marah dah la tak solat, menipu pulak.
Disebabkan perasaan marah, saya pukul anak saya. Maasyaa Allah, saya tahu saya dah buat silap.Saya menangis dan saya mohon ampun pada Allah.Saya dah pukul anak saya, saya dah bebel-bebel, saya dah bagi warning tapi anak saya tetap tak berubah dan susah dan liat nak solat.
Pada suatu hari,ada kawan bagitau saya satu cerita.Dia ada pergi ke rumah salah seorang kawan lamanya.Kawannya tu tak la kuat agama sangat,tapi bila azan berkumandang, anak-anaknya terus bergegas bangun untuk solat.Tak perlu disuruh.
Kawan saya ni tanya la macam mana nak buat anak-anaknya solat tanpa perlu disuruh..Beliau berkata, “sebelum saya berkahwin saya baca doa ni dan saya masih amalkan sampai sekarang”
Sejak dari hari tu, saya tak putus-putus baca doa ni.Saya baca dalam sujud..setiap kali solat dan bila-bila je doa, doa dan doa.
Alhamdulillah, sejak mengamalkan doa ni, anak perempuan saya yang dulu liat solat dah mula berubah. Solat tak perlu disuruh dah solat Subuh pun boleh bangun sendiri, tak payah saya kejutkan.
Dan Alhamdulillah, adik beradik yang lain pun semuanya ikut kakak dioarang. Solat tanpa perlu disuruh.Doanya adalah dalam Surah Ibrahim ayat 40.
Dan Doa adalah
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاء
“Rabbij ‘al nii muqiimas solaati, wa min zurriyyatii, rabbanaa wataqobbal Du’aa’
[14:40] “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku.Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku”
InsyaAllah… Jom Amal….semoga anak2 kita semua rajin mendirikan solat bersama Aamiinn.
Boleh share untuk panduan semua rakan rakan kita.Jemput like page ni untuk perkongsian motivasi dan agama.
Page :Motivasi Bersama Safwe Yusoff
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Subhanallah, Lepas 85 Tahun Jadi Muzium, Hagia Sophia Kembali Jadi Masjid Semula
Siapa tidak mengenali Pencetus Ummah, PU Rahmat di media sosial. Beliau sangat aktif di media sosial menyebarkan ilmu secara maya kepada pengikutnya dan umat Islam sejagat.
Terbaru PU Rahmat memberitahu kita satu berita yang sangat menggembirakan. Dalam posting terbarunya, PU Rahmat memberitahu bahawa pembatalan keputusan Hagia Sophia di Istanbul, Turki sebagai Muzium sebelum itu pada zaman Mustafa Kemal Atartuk.
Artikel Berkaitan: Ini Rupanya 5 Selebriti Lelaki Tanahair Dikurnia Suara Merdu Laungkan Azan. Syahdunya Menusuk Hati!
Menurutnya, Hagia Sophia akan menjadi status asalnya yang rasmi iaitu sebuah masjid setelah kemenangan di zaman Sultan Muhammad bin Murad Al Fateh membuka semula Constantinople.
Jadi menurut PU Rahmat, selepas ini jika ke sana, ambillah peluang untuk bersolat jemaah tanpa perlu membayar tiket mahal kerana dijadikan muzium sebelum ini.
Hagia Sophia asalnya adalah salah sebuah gereja terbesar di dunia yang dibina pada kurun keenam masehi oleh Empayar Byzantine.
Artikel Berkaitan: Hikmah COVID-19, Lepas 500 Tahun Azan Mula Berkumandang Di Sepanyol. Allahuakbar Syahdu Alunannya!
Ternyata keputusan ini menjadi kegembiraan buat umat Islam seluruhnya dan Janji Allah itu pasti. Akan ada kemenngan yang Allah beri kepada umatNya yang bersabar selama ini.
Dalam pada itu melalui satu laporan akhbar, sejam selepas keputusan tersebut, Presiden Turki Recep Tayyep Erdogan mengisytiharkan bahawa Hagia Sofia dibuka kepada umat Islam untuk beribadat.
Malah pengurusan Hagia Sofia diserahkan kembali kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam.
Keputusan Mahkamah Turki tersebut membuka jalan kepada Hagia Sofia untuk dibuka semula sebagai masjid dan menjadi mercu tanda umat Islam di Turki setelah lebih 85 tahun dijadikan muzium.
“Alhamdulilah akhirnya secara sah telah diputuskan pembatalan keputusan Hagia Sofia, Istanbul sebagai muzium pada 1934 oleh Mustafa Kemal Ataturk.
“Hagia Sofia akan menjadi status asalnya yang rasmi iaitu sebuah masjid setelah kemenangan Sultan Muhammad bin Murad Al Fateh membuka semula Constantinople.
“Penukaran Hagia Sofia dari sebuah gereja byzantine kepada masjid pada tahun 1453 semasa pembukaan Kota Costantinopel adalah keputusan sah berdasarkan perundangan pada zaman itu
“Lepas ni insyaAllah bila ke Istanbul, boleh solat berjemaah di Hagia Sofia tanpa perlu membayar tiket mahal2 nak masuk muzium macam sebelum ini
ps : masjid belakang saya bukan Hagia sofea tetapi Masjid Sultan Sulaiman
Artikel Berkaitan: Subhanallah, Laungan Azan Buat Pertama Kali Bergema Di Kota Parma Itali Sambut Kedatangan Ramadan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Hapuskan Dosa Zina Tak Cukup Dengan Kesal Sahaja. Harus Ada Amalan Penghapus Dosa
Hari ini maksiat dan zina dilihat berleluasa, seringkali saja kita mendengar berita pasangan ditangkap khalwat malah ramai juga pasangan kekasih yang tinggal bersekedudukan tanpa ada rasa berdosa, walhal ia perbuatan terkutuk dan ditegah Allah SWT.
Firman Allah dalam al-Quran Surah al-Isra’ Ayat 32 yang berbunyi:
“Jangan kamu hampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
Namun begitu, Allah Maha Pengampun, DIA masih membuka pintu taubat buat hambaNya yang benar-benar insaf dan menyesali perbuatan zinanya lalu meminta keampunan daripada Allah dan tidak mengulangi perbuatan terkutuk itu.
Yakin dan berusaha lah bahawa akan mendapat keampunan Allah SWT setelah berusaha membersihkannya dengan amalan-amalan penghapus dosa zina sebagaimana berikut:
Perlu Ada Penyesalan Kerana Berzina
Tidak akan terhapus dosa seseorang jika ia tidak memulakannya dengan penyesalan, rasa kesal yang dirasakan dek perbuatan zina dapat mengembalikannya pada jalan yang benar dan kembali kepada Allah SWT.
Menyesali dosa yang pernah dilakukan dapat membersihkan hati dan memantapkan niat untuk bertaubat sehabis baik kepada Allah SWT.
Taubat Nasuha
Jika ingin menghapus dosa apa saja terutama zina maka seseorang haruslah bertaubat dengan sungguh-sungguh atau taubat nasuha. Taubat nasuha adalah taubat yang sungguh-sungguh berasal dari hati dan dilakukan kerana amat menyesali perbuatannya.
Allah memberikan janji bahwa Dia akan mengampuni dosa-dosa hambanya yang melakukan kesalahan sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT pada surat At Tahrim ayat 8 berikut ini
“Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuha (taubat yang semurni-murninya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mukmin yang bersama dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: “Ya Rabb kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu”. (QS At tahrim ayat 8)
Solat Taubat
Solat adalah salah satu amalan yang dapat mendekatkan diri pada Allah SWT dan menghapuskan dosa. Seseorang yang ingin bertaubat atas dosa-dosanya dapat meminta ampunan menerusi solat taubat.
Solat sunat taubat dikerjakan sebanyak dua hingga enam rakaat pada malam hari selepas solat Isya’. Dengan mengerjakan solat taubat dan tentunya tidak meninggalkan solat wajib.
Dosa yang dilakukan akan diampuni oleh Allah SWT sebagaimana yang disebutkan dalam Quran:
“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.” (QS Al Baqara: 222)
Banyakkan Berzikir Dan Istighfar
Memperbanyakkan berzikir dan istigfar pada Allah adalah salah satu amalan untuk menghapuskan dosa-dosa kita. Istighfar merupakan perkataan permohonan ampun dari Allah SWT dan dosa-dosa seseorang dapat dihilangkan dengan terus menyebut nama Allah SWT.
Sebagaimana disebutkan dalam firman Allah SWT surat Al imran ayat 135,
وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَىٰ مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ
Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui. (QS Al imran ayat 135)
Melakukan Kebaikan Pada Sesama Manusia
Jika seseorang berbuat dosa, untuk menghapuskannya ia perlu melakukan hal atau kebaikan pada orang atau makhluk lainnya seperti dengan bersedekah, menghapuskan hutang orang lain padanya,memberi makan binatang dan sebagainya seperti yang dikisahkan seorang wanita pelacur yang masuk syurga kerana memberi minum anjing yang kehausan. Namun jangan salah faham, perbuatan berzina itu perlu dihentikan terus.
Berpuasa
Berpuasa adalah salah satu cara melatih hawa nafsu dan kesabaran kita. Puasa juga dapat menghapuskan dosa apabila dilakukan dengan sungguh-sungguh terutama jika melakukan puasa sunnah seperti puasa arafah dan assyura
Memperbanyak Membaca Al-Quran
Al-Quran dapat menjernihkan hati dan membacanya bukan sahaja mendatangkan ketenangan, tetapi juga menghapuskan dosa seseorang. Sebagaimana yang disebutkan dalam hadis berikut,
“Bacalah al- Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat untuk memberikan syafa`at kepada pembacanya” (HR. Muslim)
Sumber artikel: dalamislam.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Membentengi diri daripada talbis iblis
Iblis telah melakukan berbagai-bagai tipu daya terhadap anak cucu nabi Adam a.s tanpa mengira kedudukan mereka, baik yang bergelar ulama, ahli ibadah, mahupun orang-orang awam biasa.
Maka sudah menjadi kewajipan kepada umat Islam memperlengkapkan diri mereka dengan benteng dan perisai yang benar-benar kukuh, agar mereka tidak mudah menjadi mangsa kepada tipu daya dan talbis Iblis (putar belit dan penyamaran Iblis) dan juga bala tenteranya.
Penyediaan perisai dan benteng tersebut perlu dilakukan setiap masa dan ketika dan diiltizam dengan penuh istiqamah kerana talbis Iblis dan bala tenteranya juga berlaku setiap saat dan ketika dan dilakukan pula oleh mereka dengan penuh istiqamah. Bahkan perisai tersebut perlu dilakukan sehingga seseorang menghembuskan nafas yang terakhir di muka bumi ini. Apalagi Iblis pernah berjanji untuk melakukan talbis terhadap anak cucu nabi Asam a.s semenjak dahulu lagi. Al-Quran menceritakan hal ini.
Maksudnya: Iblis menjawab: “Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya” ( Sad 38: 82).
Perisai dan benteng yang boleh digunakan untuk berdepan dengan talbis begitu banyak sekali dan telah digunakan oleh para ulama dan umat Islam zaman berzaman. Ia melibatkan pesanan-pesanan manusia yang paling pakar tentang karenah dan talbis iblis terhadap generasi manusia dan mereka yang menggunakannya benar-benar berjaya mengelakkan diri daripada terjatuh ke dalam perangkap talbis iblis dan segala jaring yang berkaitan dengannya. Antaranya ialah:
a. Menuntut ilmu-ilmu agama dan mengamalkannya
Ilmu agama merupakan ilmu penawar dalam hidup setiap manusia. Tanpa ilmu ini manusia amat sukar untuk merawat penyakit yang dialami terutama penyakit-penyakit batin, yang menjadi pemusnah dalaman nombor satu dalam hidup manusia itu sendiri. Rasulullah s.a.w menyifatkan menuntut dan mendalami ilmu agama sebagai kebaikan yang tidak ada tolok bandingnya yang diinginkan Allah SWT kepada seseorang manusia. Sabda baginda dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari menerusi Mu’awiyah r.a:
Maksudnya: Sesiapa yang diinginkan Allah dengan kebaikan, diperdalamkan orang itu dengan ilmu agama. ( al-Bukhari, al-Sahih, Kifab al-Ilmi, Bab Man Yuridillahu Bihi Khayran Yufaqqihhu fi al-Din, hadis no:69).
Ilmu agama yang terdiri daripada ilmu-ilmu tentang akidah, ibadah dan juga akhlak, sebenarnya adalah imam kepada amalan. Ia merupakan kayu pengukur yang mampu membezakan di antara kebenaran dengan kepalsuan. Dengan memiliki dan mengamalkannya seseorang dapat membezakan di antara yang benar dengan yang batil. Ia juga dapat membezakan apa yang terlintas dalam hati, sama ada bertepatan dengan agama ataupun bercanggah dengannya. Ia juga dapat membezakan sama ada yang terlintas dalam hati itu merupakan ilham daripada malaikat ataupun was-was syaitan. Ia merupakan formula agung yang mana sesiapa berpegang teguh dengannya, tidak akan sesat selama-lamanya, kerana ia melibatkan ilmu-ilmu yang digali dan disimpulkan oleh ulama daripada al-Kitab dan juga al-Sunnah. Rasulullah s.a.w bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Malik dalam al-Muwatta’:
Maksudnya: Aku tinggalkan kepada anda semua dua perkara dan anda semua tidak akan sesat selama-lamanya jika anda semua berpegang teguh dengan kedua-duanya iaitu Kitab Allah dan sunnah nabiNya. ( Malik, al-Muwatta’, Kitab al-Jami’, Bab al-nahyi Ani al-Qawli Bi al-Qadar, hadis no;3338. Hadis di atas dinilai sebagai hasan oleh al-Albani dalam Misykah al-Masabih, hadis no:186)
Semakin kuat kefahaman dan amalan seseorang terhadap ilmu-ilmu agama, akan menyebabkan semakin sukar kepada syaitan untuk memperdayakannya. Sebaliknya semakin jahil seseorang itu terhadap ilmu-ilmu agama, semakin mudah dia menjadi bahan permainan Iblis dan talbisnya yang tidak berkesudahan.
Mukjizat al-Quran sebenarnya adalah mukjizat ilmu dan mukjizat ini kekal abadi sehingga ke hari kiamat. Ia telah membawa pembaharuan dan perubahan yang begitu ketara dalam hidup orang-orang Arab Badawi, sehingga mereka menjadi pejuang-pejuang Islam yang tulen yang membawa obor-obor kebenaran ke seluruh pelosok dunia.
b. Memperkukuhkan akidah Islam dalam diri
Akidah Islamiyah merupakan tonggak yang penting dalam kehidupan setiap orang Islam. Tanpanya kehidupan orang-orang Islam menjadi tidak bermakna, kerana mengheret mereka kepada kekufuran, sedangkan kekufuran membuatkan seseorang tidak ada nilai sedikitpun amalan kebaikan yang dilakukannya di dunia. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Katakanlah: “Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya?” Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya. Mereka itu orang-orang yang telah kufur terhadap ayat-ayat Tuhan mereka dan (kufur terhadap) perjumpaan dengan Dia[896], maka hapuslah amalan- amalan mereka dan kami tidak mengadakan suatu penilaian bagi (amalan) mereka pada hari kiamat. ( al-Kahfi 18: 103-105)
Pemantapan akidah berteraskan kepada al-Quran dan al-sunnah, mampu mengelakkan seseorang daripada terperangkap dengan talbis Iblis dan kuncu-kuncunya. Jika terperangkap sekalipun mereka mudah menyedari di mana kesilapan mereka dan seterusnya bertaubat. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa bila mereka ditimpa was-was daripada syaitan, mereka ingat kepada Allah, Maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya. Al-A’raf 7: 201).
Berdasarkan kepada akidah Islam, iblis dan kuncu-kuncunya tidak dapat mengapa-apakan manusia apalagi orang-orang yang beriman. Mereka hanya mampu menabur janji-janji manis sahaja kepada manusia, terutama kepada orang-orang yang menjadi para pengikutnya, namun mereka sama sekali tidak mampu memudaratkan mahupun memanfaatkan manusia. Yang mampu memudaratkan dan memanfaatkan manusia hanyalah Allah SWT sahaja.
Firman Allah SWT:
Maksudnya: Dan berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan: “Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan akupun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku akan tetapi cercalah dirimu sendiri. aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamupun sekali-kali tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu”. Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu mendapat seksaan yang pedih. ( Ibrahim 14: 22)
Firman Allah SWT:
Maksudnya: Ibrahim berkata: Maka Mengapakah kamu menyembah selain Allah sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat sedikitpun dan tidak (pula) memberi mudharat kepada kamu?” Ah (celakalah) kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah. Maka Apakah kamu tidak memahami? ( al-Anbiya’ 21: 66-67).
c. Sentiasa mengikhlaskan diri dalam melakukan semua amalan kebaikan dan kebajikan
Ikhlas merupakan senjata dalaman yang paling kuat dan paling ampuh bagi setiap orang Islam. Meskipun ia merupakan sesuatu yang pahit untuk ditelan pada peringkat awal namun pada akhirnya sesuatu yang sangat manis dan membuahkan kejayaan yang ditunggu-tunggu. Meskipun kadang-kadang orang-orang yang ikhlas itu menjadi bahan permainan sesetengah orang, namun pada akhirnya ia berjaya dalam hidup. Iblis sendiri sudah membuat perakuan yang dia tidak dapat memperdayakan orang-orang yang benar-benar ikhlas dalam melakukan ibadah kepada Allah SWT: Firman Allah SWT:
Maksudnya; Iblis menjawab: “Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang mukhlis di antara mereka. (Sad 38: 82-83).
Kekuatan keikhlasan dalam perjuangan menegakkan Islam yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat telah berjaya mewujudkan sebuah negara Islam yang kuat yang disegani oleh kawan mahupun lawan, meskipun Rasulullah s.a.w dan para sahabat, hidup dalam serba sederhana. Pada zaman Khulafak al-Rasyidun, kekuatan keikhlasan dalam menegakkan Islam dan menyebarkan dakwah telah berjaya menarik penduduk semenanjung tanah Arab dan di luarnya untuk menerima Islam sebagai manhaj hidup mereka, bahkan kekuatan keikhlasan yang dimiliki oleh para mujahidin Islam zaman Khulafak al-rasyidun itu jugalah yang telah berjaya menumbangkan dua kuasa besar dunia pada masa itu iaitu kuasa Rom dan juga Parsi.
d. Selalu bergaul dengan para ulama Rabbani
Para ulama yang benar-benar menuntut ilmu, mengamal, dan mengajarkannya kepada masyarakat adalah merupakan ulama rabbani dan juga merupakan ulama pewaris nabi s.a.w. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Al Kitab, Hikmah dan kenabian, lalu Dia berkata kepada manusia: “Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku bukan penyembah Allah.” akan tetapi (dia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, karena kamu selalu mengajarkan Al kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya. ( Ali Imran 3: 79)
Rasulullah s.a.w bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmidhi menerusi Qais bin kathir r.a:
Maksudnya: Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi s.a.w . Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan wang Dinar mahupun Dirham, sebaliknya mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambilnya bererti telah mengambil bahagian yang banyak. ( al-Tirmidhi, al-Sunan, Kitab al-Ilmi An Rasulillah s.a.w , Bab Ma Ja’a Fi Fadli al-Fiqh ‘Ala al-‘Ibadah, hadis no; 2606. Hadis di atas dinilai sebagai sahih oleh al-Albani dalam sahih al-Jami’, hadis no:6297)
Ulama sebegini menghabiskan hidupnya dalam membimbing manusia dengan ajaran-ajaran yang terdapat dalam kitab Allah dan sunnah Rasulullah s.a.w dan memberi amaran kepada mereka tentang berbagai-bagai tipu daya dan talbis baik yang dilakukan oleh syaitan manusia mahupun syaitan jin, yang boleh memesongkan mereka daripada tugas mereka yang sebenar sebagai khalifah di muka bumi.
Dengan itu bergaul dengan mereka, dapat menyelamatkan seseorang daripada menjadi mangsa talbis Iblis. Kerana itu para ulama rabbani sama sekali tidak boleh dipandang hina dan dipinggirkan dalam kehidupan kerana peranan mereka begitu besar dalam membimbing manusia dan menyelamatkan mereka daripada menjadi mangsa Iblis dan bala tenteranya. Rasulullah s.a.w pernah bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad menerusi ‘Ubadah bin al-Samit r.a:
Maksudnya: Bukan termasuk ke dalam erti kata umatku, orang yang tidak tahu menghormati orang tua kita, tidak menunjukkan belas kasihan kepada kanak-kanak kita dan tidak mengenali hak orang alim kita. (Ahmad, al-Musnad, Kitab Baqi Musnad al-Ansar, Bab hadis Ubadah bin al-Samit r.a, hadis no; 21693. Hadis di atas dinilai oleh al-Albani sebagai hasan dalam Sahih al-Jami’, hadis no: 9574)
e. Sentiasa berlindung diri dengan Allah SWT:
Memohon perlindungan kepada Allah dilakukan antaranya untuk mengelakkan daripada gangguan syaitan.
Firman Allah SWT:
Maksudnya; Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang kena rejam. ( al-Nahli 16: 98 ).
Firman Allah SWT: Maksudnya; Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan”Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku”). ( al-Mukminun 23: 97-98 ).
Memohon perlindungan juga dilakukan kepada Allah, bagi mengelakkan kejahatan nafsu dan amalan. Rasulullah s.a.w bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan menerusi ibn Mas’ud RA:
Maksudnya; Segala puji bagi Allah. Kita memohon pertolongan dan keampunan daripadaNya. Kita berlindung dengan Allah daripada kejahatan nafsu kita. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, tidak akan ada yang menyesatkannya dan sesiapa yang disesatkan Allah, tidak ada siapa yang mampu memberi petunjuk kepadanya. Saya naik saksi tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan saya naik saksi bahawasanya Muhammad adalah hamba dan pesuruhnya yang Allah utuskan untuk membawa kebenaran dan juga membawa berita gembira dan menakutkan pada saat hampir berlaku kiamat. Sesiapa yang taat kepada Allah dan rasulnya, sesungguhnya telah mendapat petunjuk dan sesiapa yang derhaka kepada keduanya, tidak dapat memudaratkan melainkan dirinya sendiri dan sekali-kali tidak memudaratkan Allah. (Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Bab, al-Rajulu Yakhtubu Ala Qawsin, hadis nombor 925. Al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Bab Khutbah al-Nikah, hadis nombor 1023. Hadis ini adalah sebuah hadis Sahih).
Nafsu yang tidak terkawal atau nafsu Lawwamah atau Ammarah, menjadi penghalang seseorang di dalam perjalanannya menuju kepada keredaan Allah. Seseorang tidak mungkin dapat menuju kepada keredaan Allah melainkan setelah membersihkan nafsu dan meninggalkan segala kebiasaan yang dikehendaki oleh nafsu tersebut. Allah SWT memuji orang yang membersihkan nafsunya.
FirmanNya.
Maksudnya: Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). ( al-Syamsi 91: 9-10 ).
Dalam kehidupan ini, manusia sebenarnya terdiri daripada dua golongan sahaja iaitu yang berjaya membersihkan dan mengontrol nafsunya di mana nafsunya tunduk kepada landasan syarak dan yang dikawal dan dikontrol oleh nafsunya, di mana segala perlakuan dan tutur kata menurut runtunan nafsu sepenuhnya. Allah SWT memuji golongan manusia yang berjaya mengawal dan mengekang hawa nafsunya supaya berjalan selaras dengan tuntutan syarak. Firman Allah SWT:
Maksudnya; Maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya); adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya), -Serta ia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata, -Maka sesungguhnya neraka Jahanamlah tempat kediamannya. Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, -Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.(Al-Nazi’at 79: 37-41).
Secara tidak langsung, melakukan isti’azah bererti memantapkan tauhid, pergantungan dan tawakal seseorang kepada Allah dan membuatkan seseorang sentiasa berada di dalam perlindungan Allah dari segala gangguan syaitan, jin, manusia, nafsu, hutang, dosa, azab kubur, fitnah kehidupan dan kematian dan sebagainya.
f. Selalu melakukan muhasabah diri
Setiap orang Islam perlu mempunyai masa bagi bermuhasabah dan mencela dirinya bagi mengelakkan kejahatan dan mengawal hala tuju dirinya itu sendiri. Banyak dalil-dalil daripada al-Kitab dan al-Sunnah dan juga amalan salafus salih berkaitan dengan muhasabah ini. Antaranya firman Allah SWT;
Maksudnya; Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa Yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). dan (sekali lagi diingatkan): bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan Segala Yang kamu kerjakan. (al-Hasyr 59: 18)
Tentang ayat di atas ibn Kathir menyatakan ia menjelaskan tentang keperluan melakukan muhasabah sebelum seseorang dihisab di hadapan Allah SWT pada hari kiamat kelak. Ia juga menjelaskan tentang keperluan menyimpan amalan salih untuk hari kebangkitan dan pembentangan amalan di hadapan Allah SWT ( Ibn Kathir, Tafsir ibn Kathir, jil. 4, hlm. 365-366).
Firman Allah SWT;
Maksudnya; Bahkan manusia itu, (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri. Walaupun ia memberikan alasan-alasannya (untuk membela diri).( al-Qiyamah 75: 14-15).
Manusia dapat melihat kelemahan-kelemahan dirinya sendiri. Jika dia berdebat bagi mempertahankan kelemahan-kelemahan dirinya sendiri, itu sedikitpun tidak mendatangkan manfaat kepadanya pada hari kiamat kelak. Ini merujuk kepada kepentingan melakukan muhasabah jiwa dan membongkar kelemahan-kelemahannya sebelum luput masa untuk berbuat demikian. ( Ahmad Farid, Manhaj al-Islam Fi Mazkiyyah al-Nafs, jil. 1, hlm. 338).
Imam al-Tirmizi meriwayatkan daripada Abu Yu’la Syaddad bin Aws, katanya: Rasulullah s.a.w bersabda;
Maksudnya; Orang yang pintar itu adalah orang yang sentiasa memuhasabah diri dan beramal untuk menghadapi kematian, manakala orang-orang yang lemah adalah orang-orang yang memaksa dirinya mengikut hawa nafsu dan bercita-cita untuk mendapatkan balasan yang besar dari sisi Allah SWT( al-Tirmizi, Bab Minhu hadis no: 2383 dan hadis ini dinilai sebagai hasan oleh al-Tirmizi )
Kata Hasan al-Basri; Jangan anda bertemu dengan orang mukmin kecuali yang mencela dirinya sendiri; Apakah yang saya inginkan daripada ucapan saya?. Apakah saya inginkan daripada makanan saya? Apakah yang saya inginkan daripada minuman saya?. Orang yang lemah adalah orang berjalan dalam keadaan tidak mencela dirinya sendiri. ( Ibn al-Qayyim, Ighathah al-Lahafan, jil. 1, hlm. 78).
Hasan al-Basri juga mengatakan; Seseorang itu sentiasa berada dalam keadaan baik selagi mana dia mempunyai penasihat kepada dirinya dan muhasabah pula sentiasa berada dalam himmahnya. ( Ibid).
Cara-cara muhasabah diri bermula dengan:
Memuhasabah amalan-amalan fardu. Jika dilihat terdapat kekurangan, hendaklah ditampung kekurangan itu dengan segera sama ada dengan cara mengqadaknya semula atau memperbaiki kekurangan yang berlaku.
Bermuhasabah diri terhadap perkara-perkara yang dilarang. Jika diketahui seseorang itu ada melakukan perkara-perkara yang dilarang, hendaklah mengatasinya dengan cara bertaubat, beristighfar dan melakukan kebaikan-kebaikan yang boleh menghapuskan keburukan yang dilakukannya.
Bermuhasabah diri di atas kelalaian. Jika seseorang mendapati dirinya lalai dari melaksanakan matlamat dia diciptakan di muka bumi, hendaklah ditampung kelalaian itu dengan zikir dan menumpukan perhatian kepada Allah SWT dalam setiap perkara.
Bermuhasabah setiap percakapan yang dikeluarkan, setiap langkah yang dilangkahi oleh kaki, setiap huluran yang dihulurkan oleh tangan dan setiap pendengaran yang didengari oleh telinga. Apakah saya inginkan dengan melakukan ini? Untuk siapa saya melakukan demikian? Apakah bentuk yang sepatutnya saya lakukan?. Seseorang perlu menyedari setiap pergerakan dan ungkapan yang dikeluarkan akan dibentangkan dua dewan iaitu untuk siapa anda lakukan perkara itu? Bagaimana anda melakukan perkara itu? Soalan yang pertama adalah soalan tentang keikhlasan, manakala soalan yang kedua ialah soalan yang berkaitan dengan ikutan terhadap sunnah Rasulullah s.a.w. (Ibn Qayyim, Ighathah al-Lahafan Min Masayid al-Syaitan, jil. 1, hlm. 83).
Kesimpulan
Oleh kerana serangan dan perdayaan Iblis berlaku setiap masa dan ketika, setiap orang Islam juga dikehendaki membentengi diri mereka setiap masa dan juga ketika. Antara benteng yang paling berkesan ialah mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu agama dan mengamalkannya, memperkukuhkan akidah, sentiasa mengikhlaskan diri dalam melakukan amalan kebaikan dan kebajikan, sentiasa berlindung diri dengan Allah SWT, sentiasa melakukan muhasabah diri dan lain-lain.
Artikel ini diadaptasi daripada beberapa tajuk yang terdapat dalam buku penulis iaitu Terpedaya Dan Cara-Cara Rawatannya, Pembersihan Jiwa Menurut Al-Qur’an Al-Sunnah Dan Amalan Salafus Salih Dan Segera Beribadah Sebelum Terlambat.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI