Di akhirat, manusia hanya ada dua pilihan. Ke syurga Allah atau dicampakkan ke dalam neraka.
Sebelum memasuki satu dari antara keduanya, manusia perlu melalui titian sirat.
Apa dimaksudkan dengan Titian Sirat ini.
As-Sirat dari sudut bahasa bermaksud jalan. Manakala dari sudut syariat ianya merupakan satu jambatan yang dibentang merentasi Neraka Jahannam; untuk manusia menyeberanginya menuju ke Syurga.
Ads
Dalam surah Maryam menjelaskan, “Dan tiada seorang pun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya (Neraka Jahannam); (yang demikian) adalah satu perkara Yang mesti (berlaku) Yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu. (Maryam : 71).
Bukan seperti jambatan biasa tapi titian sirat ini dikatakan senipis sehelai rambut yang dibelah tujuh. Dan di sinilah manusia perlu melaluinya. Jika baik amalannya maka kita akan memasuki syurga atau sebaliknya. Dikatakan juga, titian siratul mustaqim itu sangat gelap. Hanya amalan-amalan baik semasa hidup akan membantu tubuh kita mengeluarkan cahaya ketika melaluinya.
Ads
Rasulullah SAW pernah menyebut beberapa amalan yang boleh kita lakukan agar mendapat jaminan keselamatan ketika melintasi di atas sirat. Antaranya ialah :-
Banyakkan bersedekah
Banyakkan hadir ke masjid
Membantu memenuhi keperluan orang lain
Memudahkan kesulitan orang lain
Bagaimana pun, beberapa amalan buruk akan merencatkan kelancaran perjalanan seseorang di atas titian sirat. Antaranya ialah :-
Ads
Membuat tuduhan palsu kepada seorang Mukmin
Abu Daud meriwayatkan daripada Muaz bin Anas al-Juhani, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :-
“Sesiapa yang menjaga seorang Mukmin daripada gangguan munafik, maka ALLAH akan mengutus seorang malaikat untuk menjaga tubuhnya daripada api neraka jahannam, dan sesiapa yang membuat tuduhan (dusta) kepada seorang Mukmin untuk memburukkan namanya, maka ALLAH akan menghentikan langkahnya di atas sirat hingga ia bersedia melepaskan tuduhan tersebut.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
‘Beli sekarang, bayar kemudian.’ Adakah SPayLater patuh syariah? Kemudahan SPayLater adalah untuk memudahkan para pelanggan Shopee, namun adakah ianya mematuhi syariah.
Nampak mudah dan menyenangkan para pelanggan yang berkemungkinan mengalami masalah kewangan dengannya adanya kemudahan ini, namun begitu jangan pula sampai mengabaikan soal halal atau haramnya.
Ikuti perkongsian berkaitan isu ini yang dikupas oleh Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Soalan:
Adakah SPayLater yang diperkenalkan di dalam aplikasi Shopee mematuhi garis panduan syariah?
Jawapan:
Kami jelaskan terlebih dahulu maksud dan makna SPayLater:
SPayLater ialah penyelesaian kewangan yang menyediakan pengguna dengan fleksibiliti pembayaran melalui pengalaman digital yang lancar. Ia membolehkan pengguna membeli sekarang tetapi dengan pilihan untuk membayar pembelian mereka kemudian.
Pengguna boleh memilih daripada pelbagai skim pembayaran antara satu bulan sehingga maksimum dua belas bulan.
Pada permulaan sistem ini diperkenalkan kami mendapati terdapat unsur riba. Ini kerana kaedah yang digunakan adalah buy now, pay later kerana Shopee mengenakan caj 1.5% sebulan jika pembeli lewat membayar.
Bagaimanapun untuk pembayaran sekaligus atau one-off sebulan, ia dibolehkan kerana tidak ada caj lebihan.
Adakah SPayLater
Kini, Shopee memberitahu bahawa pelan ansuran (BNPL) SPayLater mereka telah mendapat pengiktirafan patuh syariah daripada sebuah firma berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.
Antara perubahannya ialah jika pembeli lewat bayar, mereka tidak akan dikenakan caj seperti sebelum ini namun sebaliknya akaun SPayLater mereka akan dibekukan.
Jika mahu terus menggunakan SPayLater, mereka perlu membayar caj lewat sebanyak RM10. Selain itu, penstrukturan patuh syariah ini juga memperlihatkan kenaikan yuran pemprosesan daripada 1.25% ke 1.5% sebulan.
Maksudnya: “Sesuatu hukum berlegar bersama-sama illahnya ketika ia ada dan tiada.”
Kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah:
Kaedah “Hukum Berlegar Bersama-sama Illahnya Ketika Ia Ada Ataupun Tiada” bermaksud:
Apabila Allah mengaitkan sesuatu hukum dengan sebab ataupun ‘illah tertentu, maka hukum tersebut akan hilang apabila hilangnya kedua-duanya iaitu sebab atau ‘illah. (Lihat I’lam al Muwaqqi’in, 4/80)
Begitu juga dengan kaedah:
إِذَا انْتَفَتِ العِلَّةُ انْتَفَى الحُكْمُ
Maksudnya: “Apabila ternafinya ‘illah, maka ternafilah hukum berkenaan.” (Lihat Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 7/396)
Berdasarkan dapatan terkini dan juga perubahan yang dibuat disamping telah disemak dan disahkan oleh Sekuriti Syariah maka hukumnya sekarang adalah harus dan boleh digunakan melalui SPayLater.
Ini bermakna individu yang beragama Islam sudah pasti dapat menikmatinya tanpa merasa ragu-ragu yang terkait dengan soal hukum di sisi agama.
Walaupun begitu, saya syorkan agar bayarlah sesegera mungkin setiap pembelian supaya tiada sebarang keraguan bahkan itulah yang menepati akad jual beli secara langsung.
Apabila sudah bertemu kekasih hati, memang kita merancang untuk terus berkahwin agar ikatan yang terjalin lebih halal. Namun boleh ke kita berkahwin hanya kerana rasa cinta semata-mata.
Memanglah waktu bercinta semuanya sangat indah dan mengasyikkan. Tetapi adakah kita benar-benar bersedia untuk memikul tanggungjawab dan amanah yang tergalas di bahu.
Tidak kira lelaki atau perempuan, tanggungjawab masing-masing pada pasangan itu perlu diambil tahu.
Untuk lelaki, sudah semestinya tanggungjawab mereka sangat besar dan janganlah dibuat main-main.
Dan bagi perempuan pula jangan terlalu ikut perasaan atau ikut gaya hidup sebelum kerana apabila berkahwin, kita perlu melayan kehendak zahir dan batin suami kita.
Ayuh, baca perkongsian ini supaya boleh dijadikan panduan.
Kahwin bkn ttg dating halal je, snap gambar romantik, dpt konvo sesama, blh pegang tangan, blh makan bersuap, semua yg sweet-sweet (sampai diabetes katanya), everything goes smooth all the time and live happily ever after.
Kalau kamu lihat yang INDAH-INDAH daripada kawan yang baru kahwin, itu semuanya hanya apa yang dia mahu perlihatkan kepada dunia. Realitinya susah payah perit air mata yang disembunyikan.
Kita hidup di alam realiti, bukan fantasi. Jangan hanya berangan yang indah-indah tanpa memikirkan AMANAH dan TANGGUNGJAWAB yang bakal dipersoalkan.
Alasan sudah kenal lama sangat atau untuk ‘elak maksiat‘ saja TIDAK CUKUP untuk kahwin segera.
Sebab jika masa bujang gunakan alasan kahwin untuk pelihara maruah bagaimana kamu yakin kamu dapat menjaga maruah selepas nikah?
Kalau sebelum kahwin tidak mampu bersabar atau bertahan dengan ujian yang kecil atau sedikit, bagaimana kamu jangkakan untuk bersabar dan bertahan dengan ujian yang besar dan banyak selepas berkahwin?
Bolehkah kamu TETAP TERSENYUM, menyinsing lengan memasak di dapur kemudian menyuapkan makanan ke mulut isteri kamu yang juga lapar, urus kencing berak dan mandikan anak-anak untuk beri isteri ruang untuk dirinya? Basuh, lipat baju yang menimbun?
Atau kamu akan sengaja pulang lewat sebab mahu lari dari menjaga anak-anak dan makan sahaja di luar?
Yang perempuan sudah bersediakah untuk mentaati seorang lelaki yang baru hadir dalam hidup, bersediakah menanggung jerit perih alahan mengandung, sakit bersalin, berpantang, realiti anak mahu mengempeng berjam-jam sampai badan menggigil lapar dan lesu yang amat?
Apabila kamu membentak marahkan orang tua, kenapa susahkan orang nak kahwin. Padahal kamu tidak sedar. Ibu bapa sedang mendidik kamu bahawa kehidupan selepas kahwin itu BUKAN MUDAH sebab itu mereka mahu kamu berdikari sekurang-kurangnya cuba hadapi susah sendiri tanpa harapkan-
orang lain sebab kahwin memang senang tetapi menjadi ketua keluarga dan ibu rumah tangga itu tidak mudah!
Walaupun asalnya perkahwinan itu diawali atas dasar cinta yang mendalam.
Malangnya kita hanya menyedari setelah kahwin. Untuk menjayakan hidup berumah tangga. Cinta saja tak cukup rupanya.
Barulah kita sedar quote ‘rezeki setelah nikah’ itu perlu diusahakan dan disertakan dengan ujian bukannya terus bergolek masuk dalam mulut.
Salah satu tanda kita berkomunikasi dengan Allah adalah melalui doa. Ia satu bentuk curahan hati secara terus kepada Ya Rabb. Luahlah, bicaralah kerana Allah itu Maha Mendengar.
Malah Rasulullah, kekasih hati Allah Taala turut sama berdoa biarpun sudah ada jaminan Baginda Nabi akan masuk ke syurga. Malah kita juga disarankan berdoa agar dapat ke syurga terutama syurga paling dekat dengan Arsy iaitu syurga Firdaus.
Mungkin ramai yang ingin tahu, apakah doa yang paling banyak dan kerap Rasulullah minta kepada Allah? Dipetik dari laman web Mufti Wilayah Persekutuan, inilah doa paling banyak Rasulullah sebut di hadapan Allah.
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Doa adalah satu ibadah menzahirkan keberhajatan seseorang hamba kepada Allah SWT. (Lihat al-Azkar oleh al-Nawawi, hlm. 395) Ia juga diertikan sebagai memohon dengan sepenuh hati kepada Allah SWT dengan permohonan yang mengharapkan kebaikan di sisi-Nya, memohon dengan rendah diri supaya apa yang diminta itu diperkenankan dan cita-cita termakbul. (Lihat Jawami’ al-Du’a min al-Qur’an wa al-Sunnah oleh Muhammad Sayyid Tantawi, hlm. 5)
Allah SWT sangat menyukai hamba-hamba-Nya berdoa kepada-Nya sepertimana yang disebut di dalam nas-nas Ilahi. Antaranya, firman Allah SWT:
Maksudnya: Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (Surah al-Baqarah: 186)
Ibnu Kathir menjelaskan, ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT tidak akan mengecewakan doa orang yang memanjatkan doa kepada-Nya. Dia tidak menolak dan mengabaikan doa seseorang, bahkan Dia Maha Mendengar doa. Di dalam pengertian ini terkandung anjuran untuk sentiasa berdoa, dan bahawa Allah SWT tidak akan mensia-siakan doa yang dipanjatkan kepada-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/506)
Menjawab soalan di atas, kami nukilkan hadis yang diriwayatkan daripada Anas R.A, beliau berkata:
كَانَ أَكْثَرُ دُعَاءِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ Maksudnya: “Doa Nabi SAW yang paling sering diucapkan ialah: (اللَّهُمَّ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ) – “Ya Allah, Ya Rabb kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari seksa api neraka.” Riwayat al-Bukhari (6389) dan Muslim (7016)
Maksudnya: “Apabila Anas hendak berdoa dengan satu doa, maka dia berdoa dengan doa tersebut. Apabila dia hendak berdoa dengan banyak doa, maka dia menyertakan doa tersebut di dalamnya.”
Dalam hadis yang turut diriwayatkan oleh Anas R.A, beliau berkata:
Maksudnya: Adalah Rasulullah SAW selalu mengucapkan: “يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِك” (Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu). Kemudian aku pun bertanya: “Wahai Rasulullah, kami beriman kepadamu dan kepada apa yang engkau bawa, lalu apakah engkau masih risau kepada kami?” Baginda menjawab: “Ya, kerana sesungguhnya hati manusia berada di antara dua genggaman tangan (kekuasaan) Allah yang Dia bolak-balikkan menurut yang dikehendaki-Nya.”
Riwayat Imam Ahmad (12107), al-Tirmizi (2140), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (757) dan al-Tabarani dalam al-Du’a (1261).
Manakala hadis lain yang diriwayatkan daripada Syahr bin Hausyab, katanya:
Maksudnya: Aku pernah bertanya kepada Ummu Salamah: “Wahai Ummul Mukminin! Apakah doa Rasulullah SAW yang paling banyak apabila Baginda SAW disisi engkau?” Beliau menjawab: “Doa Baginda SAW yang paling banyak adalah: (يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ) – “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.” – Ummu Salamah berkata: “Aku pernah berkata kepada Rasulullah SAW; Wahai Rasulullah! Betapa sering engkau berdoa: “يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ”. Lalu Baginda SAW menjawab: “Wahai Ummu Salamah! Sesungguhnya tidak ada seorang anak Adam pun melainkan hatinya berada di dalam genggaman kekuasaan Allah. Barangsiapa yang Allah kehendaki, maka Dia akan meluruskannya dan barangsiapa yang Allah kehendaki maka Dia akan membelokkannya.” Riwayat Imam Ahmad (26618) dan al-Tirmizi (3522)
Kesimpulan
Oleh itu, berdasarkan nas-nas yang dinyatakan, dapat disimpulkan, antara doa yang kerap dibaca oleh Baginda Rasulullah SAW ialah, antaranya:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ Maksudnya: Ya Rabb kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari seksa api neraka.”
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”
Walaubagaimanapun, ini bukan bererti bahawa doa itu hanya terbatas kepada doa-doa tersebut, akan tetapi kita digalakkan untuk mengamalkan semua doa yang ma’thur sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran dan hadith-hadith yang sahih.
Semoga kita dapat melazimi dan memperbanyakkan doa dalam kehidupan seharian serta dikabulkan permintaan kita kepada-Nya. Amin.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Bukan mahram tinggal serumah di homestay sering menimbulkan persoalan. Ketahui penjelasan tentang khalwat, aurat dan batas pergaulan yang perlu dijaga.