Kehidupan pasangan suami isteri pastinya akan jadi lebih berwarna-warni dengan kehadiran cahaya mata. Kehadiran anak adalah satu anugerah dan tanggungjawab yang perlu setiap ibu bapa ambil dengan penuh kesyukuran.
Besar tanggungjawab itu kerana dengan didikan yang baik boleh mencorak masa depan anak-anak menjadi insan yang baik.
Akan tetapi setiap kanak-kanak itu berbeza personalitinya. Jadi membesarkan anak-anak pastinya tidak sama antara satu sama lain.
Berbicara dengan anak merupakan proses yang penting dalam pembentukan keperibadiannya.
Nabi SAW berpesan mafhumnya “berbicaralah dengan manusia menurut kadar pemikiran dan aqal mereka” HR Muslim.
Ads
Mendalam sungguh makna hadis ini. Sebagai ibu bapa pengajaran dari hadis yang boleh kita ambil untuk jadikan panduan keibubapaan ialah:
1. Mendengar lebih utama sebelum berbicara dengan mereka.
2. Fahami situasi dan keadaan anak sebelum membuat tanggapan.
Ads
3. Memilih perkataan dan ayat yang sesuai dengan kefahaman mereka.
4. Perbezaan antara anak-anak adalah rahmat daripada ALLAH yang akan saling melengkapi dalam keluarga.
Ads
5. Akal anak yang berbeza menambahkan lagi kemahiran keibubapaan kita dan kemahiran berurusan dengan manusia.
6. ALLAH tahu kita sebagai ibu bapa mampu menghadapinya.
7. Mendengar suara anak meliputi suara hatinya, suara akalnya dan suara tenaganya.
8. Fahami bahawa anak-anak merupakan tanda-tanda kebesaran ALLAH.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Korbankan kepentingan diri sendiri untuk ayah. ‘Inilah peluang saya kejar pahala.’ Begitulah kasih seorang wanita yang sanggup lakukan apa saja demi berkhidmat dan menjaga orang tuanya.
Peluang menjaga orang tua yang sakit seharusnya menjadi rebutan anak-anak mengejar pahala. Dalam sebuh hadis yang diriwayatkan Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a:
Bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah, Maka Rasulullah ditanya: Siapakah orang yang amat malang itu wahai rasulullah? Baginda menjawab: Seseoang yang mendapati kedua-dua ibu bapanya atau seorang daripada mereka sudah tua, namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka).
Demi perasaan kasih yang tidak berbelah-bahagi kepada bapanya, wanita ini sanggup memandu 175 kilometer (km) setiap minggu dari Segamat, Johor Bahru ke Nilai, Negeri Sembilan untuk menjaga insan kesayangannya.
Farah Nurul Fatimah Rezemi, 28, yang bekerja sebagai juruterapi spa di daerah ini sudah melakukan rutin itu sejak tiga tahun lalu selepas bapanya, Rezemi Budin, 64, diserang angin ahmar.
Menurutnya, dia bergilir menjaga Rezemi yang tidak boleh menguruskan diri, tidak mampu berjalan dan pernah menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala sejak 2017.
“Adik bongsu, (Kamil, 27) yang juga autism menemani ayah dan emak (Talhah Palil, 64) di rumah tetapi kami adik-beradik lain akan bergilir-gilir temankan ayah menjalani pemeriksaan dan setiap hujung minggu kakak akan jaga ayah, manakala saya akan pulang pada hari biasa untuk temankan mereka pula.
“Selain itu, Kamil juga berstatus orang kurang upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran turut perlu menjalani pemeriksaan susulan jadi kami juga akan bergilir-gilir bawa dia ke hospital,” katanya ketika dihubungi.
Biarpun terpaksa berulang alik setiap minggu dan menanggung kos perjalanan ketika kos sara hidup meningkat ketika ini, Farah Nurul Fatimah tidak menganggapnya satu beban, asalkan dapat bersama insan tersayang.
“Wang boleh dicari dan sementara masih muda serta ada peluang, biarlah ‘healing’ bersama ayah dan keluarga. Keadaan di rumah sangat perlukan bantuan saya, jadi penat itu kita tolak tepi.
“Kalau boleh memang mahu duduk bersama ayah tetapi buat masa ini ada kekangan dan rezeki masih berada di negeri orang, namun apa yang penting saya cuba melakukan yang terbaik bagi mendapat reda ibu bapa dan Allah SWT,” katanya.
Menurut Farah Nurul Fatimah, dia pernah mengambil cuti tanpa gaji sepanjang Ramadan dan Aidilfitri lalu sekali gus berpeluang merakam video kenangan bersama bapanya, namun mengakui menjaga warga emas sakit tidak mudah.
“Saya ada kenangan paling ‘best’ apabila ayah muntah dalam kereta tetapi itu bukan masalah kerana kenderaan boleh dicuci asalkan ayah selesa.
“Ayah pernah suruh hantarnya ke rumah orang tua sebab rasa membebankan, tetapi kami tak sanggup dan akan jaganya sampai bila-bila.
“Ini adalah tanggungjawab kami lima beradik sebagai anaknya dan tidak terbalas jasa ayah.
“Jaga orang sakit memang perlu sabar dan sejak sakit ayah sensitif tetapi dia selalu cakap terima kasih sebab jaga dan bawanya berjalan. Kami anggap ini peluang untuk mengejar pahala sebagai bekalan di sana nanti,” katanya.
Dia yang masih bujang tidak memikirkan soal jodoh buat masa ini kerana mahu memberi perhatian kepada bapa dan adiknya, namun suka berkongsi mengenai bapanya di media sosial sebagai kenangan serta terapi dirinya.
“Saya suka ambil gambar dan video untuk diabadikan sebagai kenangan, malah ada pengikut yang berkongsi pengalaman sama cakap video saya buat mereka rindu pada orang tua mereka selain menulis juga terapi untuk saya,” katanya.
Bapa bukan islam dapat hak penjagaan, anak meraung terpaksa berpisah dengan ibu. Sungguh menyayat hati apabila seorang anak perempuan yang tentunya rapat dengan ibu terpaksa tinggal berjauhan dengan ibu yang sangat dia sayangi.
Tular satu rakaman memaparkan seorang ibu dan anak yang berusia sembilan tahun terpaksa berpisah setelah Mahkamah Tinggi Kuantan memutuskan hak penjagaan kanak-kanak itu diserahkan kepada bapanya.
Perkongsian rakaman berdurasi 49 saat oleh pengguna di Facebook, pada Sabtu sangat menyayat hati apabila kanak-kanak tersebut merangkul erat tubuh ibunya sambil menangis teresak-esak kerana hari terakhir dia bersama ibu sebelum berada dalam jagaan ayahnya.
Difahamkan, anak perempuan berkenaan merupakan anak kepada pasangan Orang Asli yang tidak lagi hidup bersama.
Setelah membawa haluan masing-masing, wanita yang juga ibu kepada kanak-kanak berkenaan telah memeluk agama Islam.
Bagaimanapun, hak penjagaan anak mulai menjadi tuntutan apabila bekas suami ada memfailkan permohonan untuk menjaga kanak-kanak itu.
Perkongsian itu turut mendakwa terdapat beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu lelaki berkenaan untuk mendapatkan hak penjagaan dengan cara menyediakan peguam dari firma guaman.
Bagaimanapun, sebaliknya berlaku kepada ibu kanak-kanak tersebut apabila tiada pihak menghulurkan bantuan untuk memperjuangkan hak penjagaan anak dan hanya berharap dengan Biro Bantuan Guaman.
Dalam pada itu, bapa kepada kanak-kanak ini dikatakan tidak memeluk Islam telah didakwa menzalimi kanak-kanak itu.
Termasuklah dengan memaksa anak ini minum arak, mengabaikan anak ini sehingga dia didera dan dibuli selain dia bersedudukan dengan wanita lain tanpa menghiraukan anaknya.
Susulan itu, Aisyah bertindak membawa lari anaknya ke Kuala Terengganu, namun bekas suaminya pula memfailkan permohonan untuk mendapatkan hak penjagaan selain meminta bantuan daripada beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang menyediakan peguam dari firma terkemuka.
Sementara Aisyah pula memohon bantuan pada Biro Bantuan Guaman untuk membantunya di mahkamah.
Mahkamah enggan mendengar pemohonan peguam Aisyah
Namun menurut laporan sama, nasib tidak menyebelahi Aisyah apabila mahkamah pada Khamis lalu (25 Mei) enggan mendengar permohonan dari peguamnya dan memerintahkan kanak-kanak terbabit untuk diserahkan kepada bapanya semula.
Terkini, Aisyah akan diwakili peguam dari Tetuan Messrs Amin Chambers dari YYCC Legal Team untuk membuat rayuan ke mahkamah bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi, Kuantan.
Alhamdulillah Allah jaga. ‘Anak berguling ingat drama, sampai sekolah cikgu call beritahu anak luka berdarah.’ Anak dan drama memang sukar dipisahkan.
Tidak dinafikan anak kecil memang sukar diramal dan kadang-kadang ragam mereka memang menguji kesabaran ibu dan bapa seperti mana yang dikongsikan Sukur Ibrahim yang berdepan cabaran membesarkan anak sulungnya.
Ikuti perkongsian Sukur dan hadam apa yang cuba disampaikan ini:
Semalam bangun pagi, Anas menangis yang bukan biasa-biasa. Ibu dia sudah turun awal bawa Wafa untuk bersiap di bawah.
Saya pujuk-pujuk, Anas pun turun tangga sendiri bersama saya. Pernah juga kalau dia emosi pagi-pagi, ibulah kena dukung Anas yang 17 kilogram (kg) itu turun tangga.
Tapi dekat ruang tamu bawah dia sambung menangis, entah apa yang dia mimpi sampai emosi terganggu pun tak tahu.
Anas ni anak yang agak lasak. Dia tak menangis sangat kalau jatuh basikal, terhantuk pintu, jatuh atas jalan tar ataupun kena pukul atau baling barang dengan Wafa.
Tapi dia menangis kalau emosi terganggu. Ibu tak layan dia bermain pun boleh menangis, Wafa runtuhkan bangunan megablock dia menangis, abah tak salam dia pergi kerja pun boleh menangis.
Lepas saya buka baju tidur Anas, dia masih menangis tambah pakej berguling-guling. Bagi menjaga emosi saya juga, saya biarkan Anas dulu bersendirian. Tak lama lepas tu dia bertenang.
Lepas ibu sudah siapkan Wafa, ibu pujuk Anas. Offer buah kegemaran Anas, anggur. Semangkuk lah Anas makan, lepas tu terus pergi mandi. Masa mandi, ibu sapu-sapu kepala Anas, Anas cakap sakit, abah buat.
Ibu anggap Anas tengah sambung drama untuk ke sekolah, jadi dia iyakan je. Tanpa check atau beritahu saya.
Anas pun selamat ke sekolah. Alhamdulillah.
Tiba-tiba dapat mesej dari cikgu sekolah Anas, ada luka dan benjol dekat kepala Anas. Berderau darah ibu dan abah. Tapi luka sudah kering.
Anas beritahu cikgu, dia dekena kat rumah. Rasa nak pergi ambil saja Anas masa tu. Mulalah rasa bersalah yang teramat.
Tapi cikgu inform tak apa, Anas aktif dan ceria. Cikgu pun sudah tolong sapukan ubat luka. Alhamdulillah.
Balik dari sekolah terus peluk Anas dan tanya macam mana dia boleh luka, dia tunjuk tempat dia berguling sebelah tangga dan cakap Abah yang buat.
Siap cakap Anas beritahu ibu sudah abah buat, tapi ibu tak percaya. Dan terus dia menangis. Hahaha. Anak abah ni memang manja. Sabar sajalah.
Agaknya masa dia berguling pusing-pusing itu dia terkena bucu tangga. Alhamdulillah Allah jaga anak abah.
Simpan di sini kenangan membesarkan Anas, anak sulung ibu dan abah yang penuh drama. Setiap hari ibu dan abah belajar perkara hebat dari Anas.
Lain kali, kalau anak-anak cakap sakit, wajib check jangan anggap itu sambungan drama semata-mata.
Lelah bagaimanapun emosi kita, emosi anak tetap tanggungjawab kita. Doakan kami jadi ibu bapa yang penyayang dan bertanggungjawab.
Kashoorga : Semoga kita semua menjadi ibu dan bapa yang terbaik untuk anak-anak.
Cara dekatkan diri dengan Allah SWT boleh dilakukan dengan mencontohi amalan Rasulullah seperti khalwah, iktikaf, qiyamulail dan zikir terutama pada bulan Ramadan untuk ketenangan jiwa.