Hari ini kita semakin biasa melihat anak muda bergaul secara bebas tanpa batas. Ada yang keluar bersama hingga lewat malam, lepak berdua-duaan di pusat beli-belah, malah menganggap semua itu perkara normal dalam kehidupan moden.
Apa yang dahulunya dianggap janggal, kini seolah-olah menjadi kebiasaan masyarakat.
Atas alasan perlu bersikap terbuka atau open-minded seiring perkembangan teknologi, batas pergaulan antara lelaki dan wanita semakin dipandang ringan.
Malah penggunaan aplikasi temu janji juga dilihat sebagai sesuatu yang biasa dalam kalangan remaja.
Ramai menganggap ia sekadar kehidupan sosial biasa, sedangkan hakikatnya inilah antara titik permulaan kepada gejala sosial yang semakin membimbangkan.
Dalam Islam, sifat malu atau al-haya’ ialah benteng penting yang melindungi seseorang daripada terjebak dalam dosa yang lebih besar.
Apabila lelaki dan wanita sudah tidak lagi segan untuk berdua-duaan dan berinteraksi tanpa batas, ia sedikit demi sedikit akan meruntuhkan maruah dan nilai diri. Perkara yang dahulu dirasakan salah, akhirnya menjadi biasa.
Ads
Rasulullah SAW juga bersabda bahawa malu itu sebahagian daripada iman. Apabila rasa malu semakin terhakis, iman juga perlahan-lahan akan melemah.
Tanpa disedari, keadaan ini boleh membawa seseorang terjerumus ke dalam dosa yang lebih besar.
Pergaulan bebas bukan sekadar isu peribadi, tetapi memberi kesan besar kepada masyarakat. Apabila batas syariat tidak lagi dijaga, hubungan yang haram mula dinormalisasikan.
Akhirnya, ia boleh membawa kepada perzinaan, kelahiran anak luar nikah serta keruntuhan institusi keluarga.
Dalam pada masa yang sama, gaya hidup bebas yang lahir daripada pergaulan tanpa batas juga membuka ruang kepada pelbagai masalah lain seperti penyalahgunaan dadah, budaya hedonisme dan pengaruh rakan sebaya yang rosak.
Ads
Lebih membimbangkan, semua ini bukan sahaja menambah dosa, malah boleh menyebabkan tekanan jiwa, keresahan dan kekosongan dalam hidup.
Justeru, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam mendidik anak-anak.
Memberi didikan bukan bermaksud mengongkong atau mengasingkan mereka daripada dunia luar, tetapi membimbing dengan kefahaman yang jelas tentang batas pergaulan menurut syariat.
Anak-anak perlu dididik dengan nilai maruah, adab dan kesedaran bahawa setiap pilihan hidup mempunyai akibatnya.
Ads
Dalam pada masa yang sama, solat perlu dijadikan asas utama kehidupan.
Solat bukan sekadar kewajiban, tetapi benteng yang menjaga hati daripada terus hanyut dalam kelalaian, godaan hawa nafsu dan pengaruh negatif persekitaran.
Gejala sosial tidak akan selesai hanya dengan menyalahkan mereka yang terjebak.
Penyelesaiannya perlu bermula dengan mencegah punca utama iaitu pergaulan bebas yang semakin dinormalisasikan dalam masyarakat hari ini.
Sudah tiba masanya untuk kita bermuhasabah. Adakah gaya hidup yang kita pilih hari ini membawa kita lebih dekat kepada reda Allah atau sebaliknya?
Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita semua untuk menjaga diri, keluarga dan masyarakat agar tidak hanyut dalam arus kehidupan yang merosakkan.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Butir-butir kata yang dilontar daripada mulutnya ditambah dengan kelembutan suara, menyejukkan jiwa buat sesiapa yang mendengar. Siapa yang tidak kenal dengan Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, ikon pendakwah wanita yang amat dikagumi.
Keakraban dan kemesraan beliau bersama imamnya, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid agak dicemburui. Ramai yang ingin menjadi seperti pasangan merpati dua sejoli ini. Tidak lokek berkongsi rahsia kebahagiaan, berikut diperturunkan 10 tip untuk mengekalkan kemesraan bersama suami seperti yang diamalkan dalam kehidupan harian beliau.
1. Curahkan kasih sayang dengan sepenuh hati.
2. Patuhlah kepada suami dengan apa adanya.
3. Mendengar kata-kata suami dengan baik disertai ketaatan.
4. Sentiasalah isteri mempertahankan pandangan mata suami dengan memakai pakaian yang baik-baik.
5. Sentiasa menjaga ‘hidung’ suami dengan memakai bau-bauan yang wangi.
6. Sentiasa memperhatikan waktu tidur suami
7. Sentiasa menjaga makan minum suami.
8. Jagalah harta benda suami dengan sebaik-baiknya.
9. Isteri perlulah menjaga keluarga dan anak anak dengan baik.
10. Jangan sesekali menyebarkan rahsia suami.
Pujangga Arab ada mengatakan wanita itu adalah tiang negara. Seandainya wanita itu baik, majulah negara, seandainya wanita itu rosak akhlak maka mundurlah negara. Demikian juga kata penyair Arab, Ahmad Syauqi, ibu itu adalah umpama sebuah sekolah.
Jika anda memberikan peluang kepadanya nescaya ia akan memberikan kepada anda satu bangsa yang berakar umbi baik. Jadilah wanita yang hebat dan bijaksana. Cantikkan diri dengan akhlak, bijak menambat hati suami serta mendidik anak-anak dengan iman dan takwa kepada Allah.
Sumber: Sisipan Wanita Oh Wanita, Sinar Harian
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Benar sekali kata pepatah yang hidup kita ini memang penuh cabaran dan tidak bermakna hidup, andai tidak disertakan dengan dugaan.
Jika tidakpun dari orang luar, keluarga sendiri yang menjadi punca. Namun semua itu harus ditangani dengan baik, ibarat menarik rambut dari dalam tepung, rambut jangan putus, tepung pula tidak berselerak.
Kisah pergolakan antara menantu dan mentua sangat sulit untuk diselesaikan. Isu ibu mentua dengan menantu perempuan memang tidak akan habis sampai bila-bila pun. Jika tidak ditangani secara bijak maka akan rosaklah rumah tangga yang dibina.
Menantu Bukan Pilihan dan Mentua Perosak Rumah Tangga
Aku cintakan kamu, kamu cintakan aku. Hari ini, kita bergelar suami isteri. Kita akan bersatu dan hidup bahagia hingga ke akhirnya.
Ringkas dan mudah bukan? Ini perkara yang berada di dalam kepala pasangan yang baru sahaja bernikah.
Tapi ianya sering tidak semudah itu. Kerana ada anasir luar (baca : dalam) yang mempengaruhi kehidupan suami isteri. Anasir luar yang dimaksudkan ialah ibu-bapa mentua. Ibu dan bapa pasangan itu sendiri.
Apabila anak sudah meningkat dewasa dan bersedia untuk berkahwin, sudah pastinya anak itu sudah cukup matang untuk membuat keputusan. Betul, ibu dan bapa mempunyai pendapat dan boleh memberi pendapat tentang pilihan hati anak. Ini dipanggil menjadi ibu-bapa. Pastinya ibu dan bapa mahukan yang terbaik untuk anaknya.
TERLEBIH MELINDUNGI
Tidak salah sebenarnya, kadang-kala kerana cinta, mata yang celik pun boleh menjadi buta. Ada yang jatuh cinta dengan penagih yang tidak berniat untuk berhenti. Ada juga yang jatuh cinta dengan wanita liar yang tidak mahu berubah. Di sini, ibu-bapa memang patut memainkan peranan membawa kembali pandangan mata anak kepada realiti dan akibatnya nanti.
Masalah tiba apabila bila ibu-bapa pula yang terlebih melindungi anak hanya kerana hatinya tidak berkenan dengan bakal menantunya. Di sini bermulalah segala jenis masalah yang dikaitkan dengan menantu bukan pilihan.
“Kalau kau aku tak suka, dengan keturunan kau pun aku tak suka”. Ya, memang ada yang sampai ke tahap itu. Benci, menyampah, buruk, huduh, tak layak, murahan dan macam-macam lagi perasaan yang bermain di minda mentua apabila anaknya berkahwin dengan yang bukan pilihan hatinya.
Bermacam alasan diberi, pilihan anak itu tak cantik, belajar tak pandai, kerja tak bagus atau tidak bekerja, keturunan tak kaya dan tak sama taraf. Kadang-kala sehingga kehabisan sebab, tetapi masih lagi tidak boleh terima. Di carinya lagi sebab lain yang boleh teruskan kebencian di hati.
Biasa dengar mentua yang tak suka negeri itu ini?
“Jangan kahwin dengan orang Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur”
Habis semua negeri tak boleh kahwin, itu tak boleh, ini tak boleh.
Masakan menantu sentiasa tidak kena dengan selera. Asam pedas tak cukup masam, kari tak cukup pekat, masak lemak tak cukup pedas, ikan goreng tak garing, nasi lembik, sambal belacan tak pedas, rendang tak sedap, ayam goreng tak garing, masakan terlalu manis, masin, pahit, tawar sampai air kosong pun tak cukup sejuk.
Hidangan pula tak menarik, pinggan tak tersusun rapi, mangkuk tak guna yang sama tema, sumbing sikit tak boleh, pinggan basah pun kena lap bagi sempurna semua.
Pakaian menantu bukan pilihan sentiasa tidak kena. Terlalu singkat, terlalu labuh, tidak menarik, tak cantik, warna kelam, tudung senget dan macam-macam lagi.
Alasan untuk tidak menyukai dah habis. Walapun menantu dah ikut semuanya tetapi sangat susah mulut untuk memuji apa yang menantu buat. Seperti satu kesalahan yang besar jika mentua memuji menantu yang tidak disukainya itu.
JADI BAHAN UMPATAN
Menantu bukan pilihan juga sering jadi mangsa umpatan mentua dengan orang lain. Sama ada dengan ipar atau orang terdekat. Kadang-kala dengan sengaja membiarkan menantu itu dengar.
Antara yang menyakitkan hati, mentua sentiasa berkias-kias apabila bercakap dengan menantu bukan pilihannya. “Kedutnya baju anak aku, kenapa la tak bergosok?”, “Makin kurus anak aku ni sejak kahwin, tak cukup makan la tu”, “cucu aku semua putih, yang ini sahaja hitam legam”.
Menantu bukan pilihan juga akan sentiasa dipantau. Paling mentua tak suka apabila anaknya melebihkan isteri sendiri. Memang tak senang duduk dia. Sentiasa ingatkan anak yang Ibu lebih penting dari isteri. Tengok isteri berpakaian baru, diperli-perlinya, tengok isteri ada cincin baru, cepat sungguh kena tegur, membazir la, tak cantik la.
Ada juga yang membanding-bandingkan menantu. Yang disukai sentiasa disebut-sebut, diangkat tinggi, dipuji selalu. Menantu yang itu kerjanya bagus, bukan suri rumah. Menantu yang ini belajar sampai PhD, bukan takat SPM je. “Bodoh tu nanti berjangkit kat anak” katanya.
Bila ada menantu yang selalu beri duit, dicanangnya satu kampung. Saudara mara yang datang pun habis dicerita semua. Menantu ini bagi gelang, menantu itu bagi duit, menantu yang ini tak pernah bagi apa pun. Setakat bagi tudung, apalah sangat. Tak penting pun untuk diceritakan.
Yang menyedihkan, anak kepada menantu bukan pilihan menjadi mangsa diskriminasi. Cucu yang itu la yang selalu dimarahi. Cucu yang itu la yang tidak dilayan berbanding cucu menantu yang disukainya.
Tidak cukup dengan itu, anak akan dihasut dengan pelbagai perkara yang tak elok. Kadang-kala sehingga mereka-reka cerita, diburuk-burukkan dan difitnah. Tujuannya supaya anaknya itu membenci isteri sendiri.
Seperti tidak masuk akal juga apabila perkara yang di luar kawalan dan kemampuan disentuh. Menantu yang masih tidak mempunyai anak akan sering diperli dan diperlekehkan kononnya itu semua salah menantu.
Yang pastinya, menantu bukan pilihan ini jika mahu mengambil hati, perlulah patuh dan mengikut 100% seperti apa yang dimahukan, barulah hatinya puas.
Itulah serba sedikit apa yang dilalui menantu bukan pilihan dan perangai ibu mentua yang merosakkan. Memang sangat menyedihkan.
Kadang-kala orang tua ini memang tidak boleh berubah. Anak perlulah memainkan peranan yang teramat penting untuk seimbangkan kembali situasi yang sentiasa tegang ini.
DENGAR RAYUAN DAN ADUAN PASANGAN
Anak perlu sedar mengenai perangai ibu atau bapanya sendiri. Dengarlah rayuan dan aduan pasangan. Jika perlu bertegas, bertegaslah. Pasangan andalah yang akan bersama dengan anda, membesarkan anak anda dan melayan anda hingga ke akhirnya. Hati mereka amat penting untuk dijaga.
Janganlah menjadi anak emak yang membutakan mata serta memekakkan telinga apabila ada ketidakadilan berlaku dari ibu-bapa sendiri terhadap pasangan. Pasangan perlu dibela, pasangan perlu dipujuk. Mereka amat tertekan. Nak marah tak boleh, nak menangis pun tidak dilayan. Jadilah suami atau isteri yang bertanggungjawab. Jangan biarkan anasir luar mempengaruhi kegembiraan hidup berkeluarga.
Hargai pasangan anda, itu pilihan hati anda. Jangan biarkan mereka menghadapi semua ini seorang diri. Berdiri di hadapan mereka. Bela mereka bila diperlukan, jangan biarkan pasangan dilukai sewenang-wenangnya.
Ini adalah situasi yang benar. Terlalu ramai menantu bukan pilihan yang sedang menderita. Bukalah mata dan lihat serta dengar sendiri. Jangan abaikan masalah ini.
Kepada mentua, insaflah. Berhenti merosakkan keluarga anak anda sendiri. Buang ego itu ke tepi, pilihan anak perlu dihormati selagi ianya tidak memudharatkan. Berhenti cuba mengawal semua benda. Janganlah memaksa anak dan menantu menjadi seperti yang anda mahukan dan menjadi keluarga yang sama seperti keluarga anda. Setiap manusia itu unik dan ada keperluan dan minat masing-masing. Biarlah anak dan pasangan mereka menentukan arah tuju keluarga mereka. Itu hak mereka sendiri, bukan anda.
Kepada menantu bukan pilihan, bersabarlah. Jangan berhenti berkongsi masalah ini dengan pasangan. Mereka patut tahu apa yang ibu atau bapa mereka sendiri sedang buat. Teruskan tabah, dan buatlah sebaik mungkin. Fokus kepada keluarga sendiiri, jangan biarkan orang yang tidak menyukai kita menentukan kebahagiaan rumah tangga kita.
Ketika dalam haid, ramai wanita mengeluh kerana tidak dapat melakukan amal ibadat apatahlagi di bulan Ramadan yang mulia ini. Ramadan merupakan peluang untuk mengumpul pahala sebanyak mungkin. Jangan kecewa jika anda berada dalam haid kerana beranggapan bahawa anda tidak berpeluang untuk mendapat pahala.
Sebenarnya anda masih boleh mengumpul pahala dengan melakukan beberapa perkara berikut:
MENYIAPKAN HIDANGAN SAHUR
Makan sahur sangat dianjurkan dalam Islam. Ia bagi memberikan tenaga sepanjang menjalani ibadah berpuasa di siang hari. Menyediakan makanan sahur ketika ahli keluarga anda bersahur juga memberikan ganjaran pahala buat anda. Walaupun anda tidak berpuasa kerana haid, anda tetap mendapat pahala kerana menyediakan juadah sahur.
MENYEDIAKAN HIDANGAN BERBUKA PUASA
Rasulullah SAW Bersabda:
“Barang siapa yang memberi ifthar (hidangan untuk berbuka) orang-orang yang shaum/berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang shaum/berpuasa tanpa dikurangi sedikitpun.” (H.R. Bukhari Muslim).
Selain menyediakan hidangan untuk bersahur, menyediakan hidangan berbuka puasa juga menyediakan pahala buat diri anda. Maka sebab itulah telah dijelaskan dalam hadis, bahawa mereka yang menyiapkan hidangan berbuka bagi orang yang berpuasa maka pahalanya akan setara dengan mereka yang berpuasa.
MEMELIHARA LIDAH
Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa Tidak meninggalkan perkataan dusta dan ghibah maka tiada artinya di sisi Allah baginya shaum/puasa dari makan dan minum.” (HR Bukhari).
Elakkan daripada bercerita tentang orang lain. Bukan sahaja di bulan Ramadan tetapi pada waktu-waktu biasa. Sesungguhnya diam itu lebih baik daripada berkata-kata perkara yang buruk.
MEMPERBANYAKKAN DOA
Allah SWT Berfirman:
“Dan Rabbmu Berfirman: Berdoalah Kepada-Ku Niscaya akan Aku perkenankan bagimu.” (QS. Al-Mu’min: 60)
Memang ketika haid wanita tidak dapat menunaikan solat namun anda boleh berdoa. Berdoa menjadi salah satu alternatif amalan bagi wanita yang sedang haid untuk mengumpul pahala. . Tentunya fokuskan doa anda untuk kebaikan.
BANYAKKAN BERZIKIR
Dari Abu Hurairah r.a. Bahwa Rasulullah SAW Bersabda:
“Tidak ada kaum/seseorang yang Berdzikir kepada Allah kecuali mereka di kelilingi oleh malaikat-malaikat, di liputi oleh Rahmat, turun kepada mereka ketentraman, dan Allah menyebut mereka sebagai orang-orang yang di sisi-Nya.” (HR. Muslim)
Berzikir adalah salah satu bentuk amalan yang boleh diamalkan ketika wanita dalam haid. Ketika berzikir, pusatkan perhatian anda untuk mengingati Allah.
MELAKUKAN AKTIVITI KEMASYARAKATAN
Kegiatan sosial seperti membersihkan perkarangan masjid/surau juga antara perkara yang dapat membantu anda menambah pahala. Aktiviti seperti ini merupakan cara untuk meraih pahala yang lebih besar. Sibukkan diri anda dengan aktiviti kemasyarakatan agar pengisian hari anda jadi lebih bermakna.
BERSELAWAT KE ATAS NABI
ALLAH Ta`ala menyuruh sekalian mukminin agar berselawat ke atas Nabi sallAllahu `alaihi wasallam melalui firmanNYA:
Maksudnya:
“Sesungguhnya ALLAH dan malaikat-malaikatNYA bersolawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, bersolawatlah kamu sekalian ke atas Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.” (Surah al-Ahzab, 33 : 56)
Berselawat ke atas Nabi boleh dilakukan meskipun dalam keadaan haid. Berselawatlah ke atas Nabi junjungan kita, Nabi Muhammadh SAW kerana ia merupakan salah satu bentuk amalan wanita ketika dalam haid di bulan Ramadan.
MENAMBAH ILMU
Rasulullah SAW Bersabda:
“Barangsiapa menempuh suatu jalan untuk menuntut Ilmu, Niscaya Allah SWT menunjukkan jalan menuju Surga Baginya.” (H.R. Muslim)
Berada dalam keadaan haid tidak menjadi penghalang untuk anda untuk belajar. Anda boleh mengikuti kelas agama (yang bukan diadakan di dalam masjid) untuk mendalami tentang hukum hakam agama. Ini merupakan pilihan yang tepat sebagai bentuk amalan di bulan Ramadan.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?