Orang lelaki, kalau bercerita berkahwin lebih dari satu, masing-masing “hidup”. Begitu bersemangat apatah lagi jika melihat ada kawan-kawan melakukannya. Kata mereka, hati kena kental dan semangat kena kuat. Tapi dalam bersemangatnya lelaki nak menambah cawangan, ramai yang takutkan bini. Kata orang 3T (teringin tapi takut bini). Masa yang sama, bolehkah isteri melarang suami untuk berpoligami? Dengarkan penjelasan Mufti Wilayah mengenai isu larangan ini.
Jawapan:-
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.
Tidak berdosa hukum ke atas seorang isteri untuk melarang suaminya untuk berpoligami apabila terdapat keperluan untuk membantahnya. Hanya sanya perkara yang dilarang oleh Hukum Syarak adalah mengharamkan apa yang Allah Taala telah halalkan dan menghalang suami daripada berkahwin lain dengan tindak tanduk yang tidak mematuhi Syarak seperti mengugut mencederakan diri sendiri atau orang lain.
Adapun jika melarang dengan menjustifikasikan dengan perkara-perkara yang disyariatkan maka adalah dibenarkan dan dianjurkan. Misalnya, jika berpoligami akan menyebabkan kezaliman pada nafkah dan qismah (pembahagian hari antara isteri) isteri-isteri, atau nafkah anak-anak dan ibu bapa, maka perbuatan melarang serta menghalang itu adalah adalah suatu nasihat yang terpuji dalam agama.
Ini termasuklah untuk mencegah daripada menyakiti hati isteri dan mengakibatkan gangguan berlebihan apabila isteri itu ditimpa penyakit cemburu. Ini berdalilkan sebuah hadis daripada al-Miswar bin Makhramah RA bahawa Rasulullah ﷺ berkhutbah di atas minbar:
Maksudnya: “Sesungguhnya Bani Hisyam bin al-Mughirah meminta izin kepadaku agar aku menikahkan anak wanita mereka dengan Ali bin Abu Thalib, namun aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka! Kecuali jika Ali bin Abu Tolib menceraikan anakku lalu menikahi anak wanita mereka. Sesungguhnya anakku (Fatimah) adalah bahagian dariku, aku merasa senang dengan apa sagaja yang menyenangkannya dan aku merasa sakit atas semua yang menyakitinya.” Riwayat al-Bukhari (5320) dan Muslim (2449)
Berkata Imam Ibn Hajar al-Asqalani: “Dan sebab padanya (larangan ke atas Ali untuk berpoligami semasa pernikahan dengan Fatimah) seperti mana yang telah disebut dahulunya dalam (bab) manaqib (Fatimah) bahawa beliau telah ditimpa (ujian) kehilangan ibunya (Khadijah) kemudian saudari-saudari perempuannya, seorang demi seorang, sehingga tiada siapa yang tinggal untuk beliau mengadukan isu-isu kerahsiaan (rumah tangga) supaya melegakan perasaan akibat cemburu.”
Ibn Hajar juga membawa riwayat al-Zuhri yang menyebut sabda Rasulullah ﷺ:
Maksudnya: “Dan aku risau bahawa agamanya (yakni Fatimah) akan ditimpa ujian fitnah,” yakni Fatimah menjadi tidak sabar kerana cemburu lalu berlaku sesuatu yang tidak layak pada darjat beliau pada agama daripada beliau semasa marah.”Rujuk Fath al-Bari (9/329)
Dalam hadis riwayat Muslim menyebut bahawa Ali bin Talib telah meminang anak Abu Jahal (yang sudah Islam), sedangkan beliau telah bernikah dengan Fatimah, anak perempuan Rasulullah ﷺ. Apabila Fatimah mendengar hal itu, beliau berjumpa Nabi ﷺ dan berkata kepada beliau: “Sesungguhnya kaummu telah mengatakan bahawa engkau tidak marah demi anakmu, apabila Ali bernikah dengan anak Abu Jahal.” Berkata Miswar (perawi hadis): Lalu Nabi ﷺ bangkit dan aku mendengar baginda bersyahadah kemudian berkhutbah:
Maksudnya: “Amma ba’du, sesungguhnya aku telah menikahkan Abu al-`Aas bin al-Rabi’ (suami Zainab) lalu memberitahuku dan membenarkanku. Sesungguhnya Fatimah binti Muhammad adalah segumpal daging dariku, dan sesungguhnya aku benci apa sahaja yang membawa fitnah kepadanya. Demi Allah, tidak akan berhimpun anak Rasulullah dengan anak musuh Allah di sisi seorang lelaki selama-lamanya.” Berkata al-Miswar: lalu Ali meninggalkan pinangannya. Riwayat Muslim (2449)
Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak mengharamkan apa yang halal dan tidak menghalalkan apa yang haram, tetapi demi Allah, tidak akan berhimpun anak Rasulullah dengan anak musuh Allah di sisi seorang lelaki selama-lamanya.” Riwayat al-Bukhari (no. 3110)
Berkata Imam al-Nawawi: “Ertinya aku tidak ada berkata suatu perkara yang bertentangan dengan hukum Allah, maka apabila Allah hukumkan perkara itu adalah halal maka aku tidak akan mengharamkannya, dan jika perkara itu Allah haramkan aku aku tidak akan menghalalkan dan aku tidak akan diam daripada mengharamkannya kerana diamnya aku adalah penghalalan baginya. Dan menjadilah daripada kalangan wanita yang diharamkan berkahwin ialah menghimpunkan antara anak Nabi Allah dan musuh Allah.” Rujuk al-Minhaj Syarh al-Nawawi `ala Muslim (4/15-16)
Ramai lelaki merahsiakan perkahwinan mereka kerana takut isteri pertama tahu
Jika kita melihat daripada sudut fiqh, ternyata poligami pada hukum asalnya adalah diharuskan sahaja. Namun begitu dalam beberapa hal yang mendatang, hukumnya boleh berubah kepada tiga (Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/25-26;
Disunatkan: Ini sekiranya lelaki itu mempunyai keperluan untuk berkahwin lain jika beristeri satu tidak dapat menjadikan dirinya afif (menjaga syahwatnya daripada zina dan maksiat), atau isteri itu sakit, atau mandul tidak dapat mengandung, sedangkan suami itu inginkan anak, dalam keadaan suami itu memiliki keyakinan untuk berlaku adil antara isteri-isterinya. Ini kerana terdapat keperluan yang diraikan Syarak seperti meramaikan anak, dan inilah yang menjadi pedoman ramai Sahabat Rasulullah ﷺ, Para Tabi’ie dan generasi selepas mereka.
Dimakruhkan: Jika semata-mata untuk berlazat-lazat dan berhibur, atau syak terhadap kemampuannya untuk berlaku adil antara isteri-isteri. Ini kerana tidak ada keperluan untuknya. Juga kerana terdapat kemungkinan berlakunya mudarat ke atas isteri-isteri kerana tidak mampu berlaku adil. Berkata Imam al-Khatib al-Syirbini: “Dan disunatkan untuk tidak menambah isteri lebih satu tanpa ada keperluan yang zahir.“ Rujuk Mughni al-Muhtaj (3/127).
Diharamkan: Jika diyakini bahawa lelaki tidak mampu berlaku adil lantaran kelemahannya, atau kerana hilangnya kepercayaan terhadap dirinya daripada bertindak bias dan pilih kasih, atau kerana keadaannya yang fakir. Ini kerana poligami itu akan mengakibatkan mudarat kepada orang lain. Daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh mendatangkan mudarat dan membalas mudarat dengan mudarat yang lain.” Riwayat Malik (31) dalam al-Muwatto’
Maksudnya: “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” (Surah al-Nisa’: 3)
Maksud “keadilan” yang dijadikan kriteria di atas ini adalah tanggungjawab ke atas lelaki dalam keadilan dan sama rata dalam pemberian nafkah, tempat tinggal, kehidupan bersama yang berkualiti, dan menunaikan hak-hak isteri. Manakala soal hati dan perasaan adalah perkara yang relatif dan sukar dikawal. Oleh itu, perbezaan dalam hal emosi tidak membawa kepada dosa, sekiranya dijaga aspek zahir dan tidak membawa kepada kezaliman dan penganiayaan. Ini yang dimaksudkan dalam firman Allah ﷻ:
Maksudnya: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Nisa’: 129)
Oleh sebab itu, Rasulullah ﷺ sendiri adalah seorang yang paling adil terhadap isteri-isteri baginda pada memberi mereka pembahagian hari dan muamalat yang baik, namun baginda lebih menyayangi Aisyah R.Anha. Baginda berdoa:
اللَّهُمَّ هَذَا قَسْمِي فِيمَا أَمْلِكُ، فَلَا تَلُمْنِي فِيمَا تَمْلِكُ وَلَا أَمْلِكُ Maksudnya: “Ya Allah, inilah pembagianku yang aku mampu, maka janganlah Engkau cela aku pada sesuatu yang Engkau mampu dan tidak aku mampu.” Riwayat Abu Daud (1822). Beliau berkata; “yaitu hati.”
Ads
Kembali kepada perbincangan asal, apabila hukum berpoligami itu sendiri boleh jadi mubah, sunat dan haram, maka tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya untuk berpoligami dengan melarangnya atas sebab keperluan. Justeru, ia bukan sahaja masuk dalam bab nasihat yang baik antara Muslim, tetapi juga adalah sebahagian perlaksanaan konsep Syura yang dituntut oleh Syarak. Ini kerana seorang wanita apabila mengetahui suaminya ingin memadukannya, perlu memastikan hak-hak dirinya seperti nafkah yang telah ditentukan mengikut uruf dan persetujuan bersama, tidak dilanggar atau ditindas apabila berlakunya poligami. Dalam erti kata lain, seorang isteri ada hak menyuara pendapat yang berbeza dalam sesi syura bersama suami untuk berkahwin lain. Hak kebebasan berpendapat dalam sistem Syura ini dinaskan dalam al-Quran. Firman Allah ﷺ:
Maksudnya: “Bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” (Surah Ali Imran: 159)
Berkata Syeikh Muhammad Tohir Ibn Asyur: “Maka telah jelaslah bahawa musyawarah yang disuruh oleh ayat ini di sini adalah musyawarah pada hal ehwal umat dan maslahat-maslahatnya. Allah telah mengarahkan perlaksanaannya di sini dan telah memujinya ketika menceritakan tentang kaum Ansar dalam firman-Nya Ta’la yang lain:
وَأَمْرُهُمْ شُورى بَيْنَهُمْ
Maksudnya: “dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka;” (Surah al-Syura: 38) dan Allah telah mensyaratkannya dalam urusan keluarga seperti mana firman-Nya:
Maksudnya: “Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya);” (Surah al-Baqarah: 233)
Maka Allah telah mensyariatkan dengan ayat-ayat yang telah disebutkan tadi perlaksanaan musyawarah pada pelbagai lapisan maslahat; iaitu maslahat keluarga, kabilah, negeri dan maslahat umat keseluruhan.” Rujuk Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir (4/147-148)
Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, jelas kepada kita bahawa hukum isteri melarang suaminya untuk berpoligami tidak berdosa, sekiranya dibuat atas dasar nasihat, Syura demi untuk mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap haknya. Kami mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan masyarakat agar sentiasa mendidik wanita dengan keperibadian Muslimah dan menjaga hak-hak mereka daripada ditindas atau dilanggar. Inilah pesanan Rasulullah ﷺ dalam khutbah terakhir beliau yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah RA:
Maksudnya: “Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah tentang urusan wanita, sesungguhnya kalian telah mengambil mereka dengan amanah Allah, dan telah halal bermesraan secara seksual bagi kaum dengan kalimah Allah… dan ke menjadi tanggungjawab kamu untuk memberikan nafkah rezeki kepada mereka dan pakaian dengan ukuran yang makruf.”Riwayat al-Nasaie (no. 9135)
Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman yang baik kepada kita semua.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Mufti Perjelas Hukum Ibu Bapa Guna Duit Raya Anak. Kanak-kanak antara yang paling riang menyambut lebaran. Bahkan rezeki mereka juga cukup murah kerana tradisi pemberian duit raya membolehkan kanak-kanak mendapat sejumlah duit raya.
Masa yang sama, ibu bapa mungkin barang kali antara yang terkesan kerana sudah terlalu banyak mengeluarkan belanja untuk menyambut raya selain mempunyai hutang yang tinggi.
Mufti Perjelas
Persoalannya, adakah boleh ibu bapa ambil duit raya anak atau meminta seketika sebelum memulangkannya semula? Berikut hukum ibu bapa kena tahu.
Jumhur (majoriti) fuqaha’ di dalam mazhab asy-Syafie, Hanafi dan Maliki berpendapat bahawa ayah tidak boleh mengambil harta anaknya kecuali dalam keadaan yang memerlukannya sahaja. Lihat Mughni al-Muhtaj (3/446), Hasyiyah Ibn ‘Abidin (4/513), Hasyiyah ad-Dasuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir (2/522)
Mereka berhujah berdasarkan keumuman hadith Nabi SAW bahawa tidak boleh diambil harta seseorang dengan sewenang-wenangnya. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
Maksudnya: “ Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan di antara kamu adalah haram bagimu sepertimana kemuliaan pada harimu ini, di negerimu ini” Riwayat at-Tirmizi (2159)
Al-Mubarakfuri Rahimahullah telah berkata: “Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan kamu haram bagimu iaitu haram untuk diambil sebahagian daripada kamu ke atas sebahagian yang lain pada hari-hari lain sepertimana kehormatan pada hari ini iaitu pada hari Arafah (pendapat lain: hari raya korban), di negeri ini iaitu Mekah” Lihat Tuhfat al-Ahwazi (8/382)
Para fuqaha’ dalam mazhab Hanbali pula berpendapat bahawa seorang ayah berhak untuk mengambil harta anaknya secara mutlak, sama ada anaknya masih kecil mahupun sudah besar, namun dengan 2 syarat, iaitu:
Tidak memberi mudarat kepada anaknya dan tidak mengambil sesuatu yang menjadi keperluannya
Tidak mengambil harta daripada salah seorang daripada anaknya dan memberikannya kepada anak yang lain.
Lihat al-Mughni (6/62)
Mereka berhujah dengan hadith Nabi SAW:-
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رضي الله عنه, أَنَّ رَجُلا قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّه, إِنَّ لِي مَالا وَوَلَدًا وَإِنَّ أَبِي يُرِيدُ أَنْ يَجْتَاحَ مَالِي, فَقَالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم: أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ
Maksudnya: Daripada Jabir bin Abdullah RA, sesungguhnya seorang lelaki telah berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta dan anak, dan ayahku ingin mengambil hartaku, maka Rasulullah SAW bersabda: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu” Riwayat Ibn Majah (2291).
Hukum Ibu Bapa
Ustaz Azhar Idrus (UAI) juga pernah menjawab isu yang sama dalam ceramahnya.
“Perkara ini selalu berlaku dalam masyarakat kita. Ada yang menggunakan duit raya anak-anak untuk membeli sport rim, spoiler dan lain-lain. Haram guna duit raya anak-anak untuk kepentingan diri.
Guna Duit Raya Anak
Namun boleh gunakan duit raya anak-anak sekiranya dalam keadaan terdesak seperti bekalan elektrik hendak dipotong sebab tak bayar.
Yang mana masalah itu juga akan mendatangkan kemudaratan kepada anak-anak.
Jadi boleh gunakan duit raya anak-anak untuk membayar bil elektrik. Walau bagaimanapun ia perlu dibayar segera.” katanya.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Ramai diuji dengan keuzuran khususnya bagi mak ayah kita yang umurnya mungkin sudah lanjut. Di saat kita mendoakan keduanya dipanjangkan usia tetapi ajal maut, jodoh pertemuan sudah ditetapkan oleh Allah sejak di luh mahfuz lagi. Sebagai anak atau diuji dengan ahli keluarga yang sedang sakit tenat, ada baiknya kita belajar sedikit ilmu dari sudut sains dan islam yang dikongsikan oleh seorang doktor perubatan, Dr Abdul Rahim dari Klinik Abdul Rahim, Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Ilmu yang patut anda fahami. "Tahukah apa tanda-tanda nazak menurut SAINS dengan ISLAM?"
Doktor hurai cara detail saintifik tanda-tanda penting unttuk kita semua tahu ketika menjaga pesakit yang kita sayangi sebelum dijemput Illahi supaya kita dapat pelajaran darinya. Tanda ini tidak sama bagi setiap orang dan ia hanya sebagai panduan sahaja untuk sahabat semua.
Waktu kematian sudah ditetapkan Allah sejak azali lagi. Dari sudut sains ketika nazak, ini yang perlu kita ketahui.
Apa tanda-tanda sakaratulmaut/nazak kita dah hampir?
Dalam SAINS:-
1)Kita akan mula-mula sekali HILANG SELERA MAKAN. Tahu tak anda, sistem organ kita yang pertama yang "menutup" tugasannya adalah sistem pencernaan bila nazak kita dah hampir.
Pencernaan banyak sekali mengguna tenaga kerana banyak kerja usus kena proses makanan kita tiap hari! Dalam beberapa minggu terakhir kita, sebenarnya usus tak perlu memproses makanan kerana tak diperlukan badan kita lagi untk membina sel baru sebab kita dah nak tinggalkan alam ni.
Hilang selera makan & minum. Perut mula kembung. Tenaga kita menurun mendadak. Kelemahan fizikal amat ketara. Kita akan banyak TIDUR daripada terjaga kerana keletihan. Najis makin tiada sebabkurang makan dan minum. Ini permudah orang yang urus mayat kita ketika mandikan mayat nanti & tak payah tekan-tekan perut kita untuk keluarkan najis kita.
Nota : Manusia memerlukan makanan & air untuk terus hidup. Sekurang-kurangnya 60% badan orang dewasa terdiri dari air. Manusia boleh hidup tanpa makanan selama 3 minggu tapi boleh bertahan selama 3-4 hari tanpa air.
2. Pernafasan cetek & tak teratur
Ketika saat kematian semakin hampir, pernafasan orang kita sayangi menjadi perlahan dan tak teratur. Mungkin berhenti dan kemudian bermula semula atau berhenti yang panjang di antara nafas pendek. Ia dikenali sebagai pernafasan Cheyne-Stokes. Ia bertahan untuk waktu yang singkat atau lama sebelum pernafasan akhirnya berhenti.
3 Blood pressure anda menurun & denyutan jantung/heart rate makin pantas tapi selepas tu makin lemah & perlahan.
Doc nak khabarkan bahawa bila pesakit menghampiri kematian, jantung tak dapat mengepam secara normal, tekanan darah rendah dan darah beredar dengan teramat kurang ke seluruh badan. Dengutan jantung makin perlahan dan susah didengar. Akhirnya di ECG tiada lagi impulse. ECG mendatar bermakna sudah tiada nyawa.
4. Keluaran volume dan warna kencing berubah
Fungsi ginjal secara beransur-ansur berhenti menghasilkan air kencing ketika kematian semakin hampir. Air kencing anda akan menjadi coklat gelap pekat atau merah tua. Juga, jumlah air kencing yg dihasilkan oleh buah pinggang berkurangan sehingga terhenti dihujung hayat.
5. Perubahan physical
a. Kelihatan edema/pembengkakan tangkungan cecair pd tangan, kaki, punggung & paru-paru bagi orang yang hampir mati atau BED RIDDEN kerana kekurangan zat makanan protein. Orang uzur hanya makan air dan nasi moi/bubur atau makan minum yang tak berzat atau berprotein.
b. Tangan & kaki sejuk & pinkish atau kebiruan atau pucat sebab kurang darah dan oksigen ke seluruh badan, maka tubuh badan jadi SAKIT. Seluruh kulit berbintik sebab yang sama.
c. Kekeliruan mental atau delirium/nyanyuk sebab kurang darah dan oksigen ke otak. Suhu badan tak terkawal sebab otak mula tak berfungsi maka kulit mereka sejuk, hangat, lembap, atau pucat tak tentu masa.
d. Mata mereka akan sering terbuka dan tak berkelip
e. "Hidung Jatuh" (bahasa kampung ni). Sebenarnya dalam sains, ketika nazak darah dan oksigen amat kurang dari jantung ke seluruh tubuh. Hujung hidung hanya daripada kulit dan isi je tapi batang hidung daripada kulit, isi & RAWAN/CARTILAGE yang lebih keras. Maka hujung hidung terkulai, penyet, "jatuh" kerana tiada darah dan oksigen. Sebenarnya lubang hidung jadi menyempit atas sebab ini.
C. Organ kita yang mana akan DIMATIKAN dulu & yang terakhir bila kita MATI?
Wahai sahabat-sahabat Doc, mayat secara keseluruhan mungkin mati, tapi bahagian-bahagian tertentu di dalamnya masih HIDUP. 1. Otak adalah organ pertama yang mula2 rosak dan organ2 lain mengikutinya. Sebab sel otak dan saraf memerlukan bekalan oksigen yang berterusan ketika kita hidup dan akan mati di dalam beberapa minit, setelah berhenti bernafas.
2.Yang seterusnya mati adalah jantung, diikuti oleh hati, kemudian ginjal dan pankreas, yang dapat bertahan sekitar 1 jam.
D. Rahsia terakhir yang Doc nak share, yang harus anda SIMPAN & GUNAKAN ketika orang dikasihi berada di penghujung kematiannya /sakaratulmaut:
1. Tahu tak anda Deria Kelaparan adalah yang pertama akan hilang ketika nak mati. Kemudian deria dahaga hilang. Dituruti deria cakapan hilang & seterusnya diikuti dengan hilang penglihatan. Indera terakhir untk pergi kembali kepada Allah adalah SENTUHAN/ SENSORI SAKIT & PENDENGARAN.
2. Maka Nasihat Doc:
a. Memang kita, rasa TERAMAT SAKIT ketika terakhir kita hembus nafas terakhir. DI SAAT roh telah dicabut daripada jasad dari kaki ke lutut ke perut dan dari halkum akan melalui saat sakaratulmaut & mengalami kesakitan yang amat sangat.
b.Dalam ilmu ni bahwa PENDENGARAN dianggap sebagai pengertian terakhir dalam proses kematian, jadi jangan sekali-kali menganggap orang tu tak dapat mendengar anda ketika nazak. Terbaik ajar si nazak MENGUCAP di telinganya nama ALLAH atau syahadah di telinganya sebelum nyawa keluar daripada badannya.
Oleh tu, sebaiknya mengajar orang yang kita sayangi yang hampir meninggal dunia denga kalimah suci "Laa Ilaaha Illallah" ketika sekaratulmaut kerana ia masih DENGAR kata-kata anda. Allahualam.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Rentetan berita dan video pernikahan artis veteran terkenal baru-baru ini ada yang mempersoalkan lafaz akad nikah yang ringkas diucapkan oleh pengantin lelaki. Lafaz hanya ‘Aku Terima’ dilihat terlalu ringkas malah dipertikaikan sama ada sah atau tidak akad nikah tersebut.
Persoalan tersebut dijawab panjang lebar oleh Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Dr. Zulkifli Mohd Al-Bakri.
Soalan
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah sah sebuah perkahwinan ketika akad nikah, pengantin lelaki hanya menjawab “Aku terima” sahaja tanpa menyebutkan perkataan nikah? Hal ini kerana telah viral isu dua artis veteran terkenal telah berkahwin dan melafazkan seperti di atas ketika qabul. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَأَنَّهُ خَلَقَ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ
Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan.”
(Surah al-Najm: 45)
Yakni Allah SWT menciptakan setiap daripada makhluk itu termasuklah haiwan, berpasang-pasangan yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, atau jantan dan betina. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 14/68)
Kita sendiri dapat melihat bagaimana sebaik-baik manusia, yakni para rasul dan anbiya’ juga turut mengahwini wanita-wanita dan tidak mengamalkan hidup membujang. Hal ini secara jelas mengangkat martabat perkahwinan itu sendiri sebagai sunnah para rasul dan nabi terdahulu. Ini dirakamkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِّن قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً ۚ
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelum kamu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan.”
(Surah al-Ra‘d: 38)
Firman Allah SWT dalam ayat yang lain:
وَأَخَذْنَ مِنكُم مِّيثَاقًا غَلِيظًا
Maksudnya: “Dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?”
(Surah al-Nisa’: 21)
Oleh yang demikian, seseorang yang melangkahkan kaki dalam alam berumahtangga perlu tahu bahawa Allah SWT tidak mengangkat martabat sesuatu itu melainkan padanya kebaikan serta kelebihan, dan keduanya bergerak seiring dengan tanggungjawab yang wajib digalas oleh setiap pasangan.
Dalam menjawab soalan di atas, para fuqaha menyatakan bahawa suatu pernikahan itu termeterai melalui lafaz ijab dan qabul dengan sighah madhi (kata masa lalu/sudah lepas). Hal ini seperti perkataan seorang wali kepada bakal suami (pengantin lelaki): “زَوَّجْتُكَ ابْنَتِي” (Aku kahwinkan engkau dengan anak perempuanku) atau “أَنَكَحْتُكَ” (Aku nikahkan engkau).
Kemudian pengantin lelaki itu menjawab: “ قَبِلْتُ نِكَاحَهَا” (Aku terima nikahnya) atau “رَضِيْتُ” (Aku redha) kerana sighah madhi (kata masa lalu/sudah lepas) itu lebih menunjukkan kepada penyabitan dan penegasan, berbeza halnya dengan sighah mustaqbal (kata masa akan datang).
Melainkan di sisi ulama al-Syafi‘iyyah, mereka berpendapat bahawa tidak cukup pengantin lelaki itu hanya mengucapkan: “قَبِلْتُ” (Aku terima) sahaja atau “رَضِيتُ” (Aku redha) sahaja.
Bahkan pengantin lelaki mesti mengucapkan: “قَبِلْتُ نِكَاحَهَا” (Aku terima nikahnya) atau “رَضِيتُ نِكَاحَهَا” (Aku redha nikahnya). Sekiranya dia tidak menyebutkan sedemikian, maka tidak sah nikahnya menurut mazhab (pendapat muktamad al-Syafi‘i).
Manakala di sisi jumhur fuqaha’ — al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah, al-Hanabilah dan satu pendapat al-Syafi‘iyyah — bahawa memadai/cukup pengantin lelaki mengucapkan: “قَبِلْتُ” (Aku terima) atau “رَضِيتُ” (Aku redha) sahaja dan sah pernikahan tersebut dengan sedemikian. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 41/238).
Menurut al-Buhuti, ucapan pengantin lelaki, “Aku terima” memadai kerana perkara itu adalah jelas sebagai jawapan. Maka, sah perkahwinan dengannya seperti mana jual beli. (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 11/235).
Selain daripada itu, al-Khatib al-Syirbini juga ada menjelaskan, ucapan pengantin lelaki sekadar, “Aku terima,” adalah tidak sah menurut mazhab Syafi‘i (pendapat muktamad) kerana tidak terdapat padanya secara jelas perkataan perkahwinan atau pernikahan, dan niatnya sendiri tidak mencukupi.
Manakala menurut satu pendapat lagi yang menyatakan perkahwinan dengan sedemikian itu adalah sah kerana ia kembali kepada apa yang diwajibkan (diucapkan) oleh wali seperti yang dijanjikan secara lafaz (sarih) sebagaimana pendapat yang paling sahih dalam bandingannya iaitu akad jual beli.
Akan tetapi menurutnya lagi, terdapat perbezaan antara kedua-duanya, di mana ia dianggap sebagai kinayah dan akad pernikahan tidak sah dengan kinayah berbeza halnya dengan akad jual beli.
Namun, ada pendapat menyatakan bahawa perkahwinan tidak boleh terjadi melalui cara ini sama sekali, dan ada juga yang berpendapat bahawa ia adalah sah secara mutlak. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/230).
Sesungguhnya, wacana ilmiah di kalangan para ulama dan cendikiawan Islam adalah amat baik serta membina makrifah serta kefahaman yang lebih mendalam dan meluas. Kami bersetuju bahawa pandangan yang dikemukakan jelas menunjukkan kepada kita keluasan fiqh itu sendiri. Inilah yang disebutkan oleh Umar bin ‘Abd al-‘Aziz:
مَا أَحِبُّ أَنَّ أَصْحَابَ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَخْتَلِفُونَ، لِأَنَّهُ لَوْ كَانَ قَوْلًا وَاحِدًا لَكَانَ النَّاسُ فِي ضِيقٍ، وَإِنَّهُمْ أَئِمَّةٌ يُقْتَدَى بِهِمْ، فَلَوْ أَخَذَ رَجُلٌ بِقَوْلِ أَحَدِهِمْ كَانَ سِعَةً
Maksudnya: “Aku tidak suka bila sahabat Rasulullah SAW tidak berbeza pandangan, sebab kalaulah ia cuma satu pandangan, maka orang ramai akan berada dalam kesempitan. Sesungguhnya mereka (para sahabat) adalah pemimpin yang menjadi ikutan. Kalaulah seseorang mengambil pandangan salah seorang dari mereka (kerana ada khilaf berlaku), dia akan berada dalam keluasan.” (Lihat al-I‘tisam oleh al-Syatibi, 2/577).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa ucapan balas/jawab pengantin lelaki, “Aku terima” atau “Aku redha,” sahaja sudah memadai dan mencukupi serta perkahwinan itu sudah dikira sah.
Ini adalah sebagaimana pendapat jumhur ulama serta satu pendapat dalam mazhab Syafi‘i. Hal ini kerana ia dapat difahami atau kembali semula kepada ucapan wali sebelumnya, maka jelas ucapan pengantin lelaki itu kembali/merujuk kepada pernikahan dan perkahwinan.
Sekalipun begitu, kami tidak menafikan bahawa jika pengantin lelaki mengucapkan, “Aku terima nikahnya” atau “Aku redha nikahnya” atau seumpamanya adalah lebih baik dan keluar daripada khilaf, ini lebih ihtiyat dan sempurna.
Walau bagaimanapun, dalam konteks negara kita, Malaysia, hal ehwal yang melibatkan perkahwinan penganut-penganut beragama Islam berada di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam negeri masing-masing. Oleh itu, ia hendaklah dikembalikan atau merujuk kepada jabatan agama Islam masing-masing. Ini bertepatan dengan kaedah menyebutkan:
حُكْمُ الحَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ
Maksudnya: “Keputusan hakim mengangkat perselisihan.”
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”
Duit raya sudah jadi sebahagian tradisi raya kita, malah kebanyakan kita akan awal-awal lagi membuat persiapan kewangan untuknya.Amalan ini juga sebenarnya selari dengan ajaran...