Berbanding zaman dahulu, ujian scan semasa mengandung pada hari ini lebih canggih dan tepat. Ini termasuklah ibu ayah yang bakal menimang anak boleh melihat wajah anak berbanding dahulu hanya mengetahui jantina sahaja.
Ujian ultrasound ini bukan saja mengetahui jantina bayi, kesempurnaan fizikalnya tetapi mampu juga mengesan jika bayi di dalam kandungan mempunyai kelainan fizikal.
Menjawap satu pertanyaan adalah dibolehkan ibu mengandung menggugurkan anak berusia 120 hari yang mengalami kecacatan seperti tempurung kepala tidak sempurna, dipetik dari pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ini adalah hukum menggugurkan kandungan berusia 120 hari wajar kita ketahui. Semoga pencerahan ini mampu menghuraikan permasalahan ibu ayah.
JAWAPAN
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.
Pengguguran bayi dikalangan wanita Islam merupakan satu fenomena semasa yang menjadi permasalahan bersifat domestik dan antarabangsa. Namun, ia bukanlah satu perkara baru dan telah dibincangkan oleh para ulama’ dalam kitab-kitab Fiqh klasik dan moden.
Hukum menggugurkan bayi dalam kandungan boleh dibahagikan kepada dua bahagian; iaitu menggugurkan kandungan sebelum berusia 4 bulan dan menggugurkannya selepas berusia 4 bulan. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW daripada Ibn Mas’ud RA:
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap daripada kamu dihimpunkan penciptaannya di dalam rahim perut ibunya selama 40 hari, kemudian jadilah (nutfah) itu segumpal darah selama tempoh itu juga, kemudian jadilah (`alaqah) itu segumpal daging selama tempoh itu juga, kemudian diutuskan malaikat dan ditiupkan ke dalamnya roh”. Riwayat al-Bukhari (3208) dan Muslim (2643)
Menggugurkan kandungan yang berusia empat bulan atau kurang daripadanya adalah termasuk dalam perkara yang menjadi perselisihan di kalangan para ulama’ kerana dalam tempoh tersebut roh belum lagi ditiupkan ke dalam kandungan. Majoriti ulama mengatakan bahawa hukumnya adalah haram. Sebahagian lain mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh. Manakala sebahagian yang lain pula berpendapat bahawa hukumnya adalah harus dengan syarat-syarat tertentu. Rujuk Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah (2/58-59), Nihayah al-Muhtaj (8/416). Boleh rujuk perbahasan dalam masalah ini melalui artikel kami yang terdahulu dibawah tajuk: “Al-Kafi #659: Hukum Gugurkan Janin Bagi Wanita Yang Sibuk Berkerja”[1]
Adapun menggugurkan kandungan selepas berusia 4 bulan, para ulama’ bersepakat bahawa hukumnya haram kerana pada usia tersebut, roh telah ditiupkan ke dalam kandungan ibu berdasarkan hadith Ibn Mas’ud RA. Rujuk Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah (2/57), al-Mughni (8/418).
IKLAN
Namun, diharuskan menggugurkan bayi di dalam kandungan walaupun sudah ditiupkan roh kepadanya (selepas berusia 4 bulan), jika ia boleh mengancam nyawa ibunya. Rujuk Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah (2/57)
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-26 yang telah diputuskan pada 7 Mac 1990 menyatakan:-
(1) Menurut Ijmak Fuqaha’, haram menggugurkan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab-sebab kecacatan yang teruk.
(2) Makruh menggugurkan janin yang berumur antara satu hari hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya pada ibu dan mendapat persetujuan daripada kedua-dua suami dan isteri.
IKLAN
(3) Ijmak Fuqaha’ berpendapat hukum pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu.
Muzakarah telah mengambil keputusan bahawa adalah haram menggugurkan janin di dalam kandungan kecuali atas sebab-sebab kecacatan yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.
Kesimpulan
Berdasarkan nas, perbincangan dan fatwa di atas, kami simpulkan bahawa bayi di dalam kandungan yang berusia 4 bulan dan ke atas tidak boleh digugurkan kecuali pengguguran itu bertujuan untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab-sebab kecacatan yang teruk dan setelah mendapat nasihat daripada pakar-pakar perubatan yang berautoriti.
Kami menasihatkan agar pihak yang bertanya mendapatkan pandangan daripada pakar-pakar perubatan yang berautoriti mengenai kedudukan bayi di dalam kandungan dan kesan yang mungkin berlaku kepada ibu dan bayi jika bayi di dalam kandungan tersebut tidak digugurkan.
Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Tanpa sedar ramai tertinggal barangan berharga ketika berhenti menunaikan solat di surau mahupun masjid ketika sedang bermusafir di sesuatu lokasi. Hendak berpatah balik mungkin agar sukar selain kita terlupa tentang barang tersebut di mana letaknya.
Bagaimana hak barangan berharga yang tertinggal di masjid selepas setahun tidak dituntut tuan empunya? Adakah kita dibolehkan membelinya? Dalam satu perkongsian ilmu oleh Ustaz Dr Syed Shahridzan Ben Agil di mana seorang bertanyakan adakah dibolehkan membeli barangan tertinggal di masjid, ia yang wajib kita tahu.
Berikut adalah perkongsian di fbnya.
Assalamualaikum ustaz. Saya nak tanya Ustaz. Suami saya bendahari surau. Dia ada simpan barang-barang berharga yang dijumpai di surau seperti jam dan wang tunai. Jika barang-barang itu tidak dituntut selepas diwar-warkan, bolehkah saya menebus sebab saya suka satu jam yang disimpan itu. Bagaimana caranya Ustaz. Terima kasih.
Jawapan: 1) Ada sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Zaid bin Khalid al-Juhani Radiyallahu 'anhu, bahawa seorang lelaki datang kepada Rasululullah ﷺ tentang barang yang dijumpai, lalu baginda bersabda:
اعرف وكاءها وعفاصها، ثم عرِّفها سنة، فإن لم تعرف فاستنفقها، ولتكن وديعة عندك، فإن جاء طالبها يوماً من الدهر فأدِّها إليه.
Maksudnya: “Kenali lah ikatannya dan bungkusannya, kemudian umumkan pada orang ramai selama setahun, jika kamu tidak mengetahui (pemiliknya) maka kamu boleh memilikinya dan ia menjadi simpanan kamu. Jika suatu hari pemiliknya datang hendaklah kamu serahkan ia padanya”. (HR Imam Bukhari dan Muslim)
2) Berdasarkan hadis di atas, jika seseorang itu menemui barang yang berharga (seperti emas, perak, pakaian, jam) maka dia boleh mengambilnya jika berniat untuk mencari si pemilik barang itu. Seterusnya dia perlu mengenali tanda-tanda barangan itu supaya dapat membezakan antara barang-barang yang lain, agar nanti mudah mengesan pemilik barang itu melalui tanda-tanda barang tersebut.
3) Permasalahan ini dibincangkan di dalam kitab² fiqh dalam bab "Luqatah". Menurut ahli² fiqh, penemu barang itu mesti lah mengumumkan barang yang ditemui itu selama setahun, melalui wacana yang ada pada ketika itu. Wacana yang tercatat di dalam kitab-kitab fiqh klasik seperti memaklumkan di pintu masuk masjid dan pasar mengikut adat atau 'uruf setempat ketika itu. Namun dalam konteks zaman sekarang ia boleh diumumkan di media sosial, suratkhabar atau wacana komunikasi yang lain seperti aplikasi Whatsapp 'Group' dan Telegram.
4) Disunatkan disebut hanya sebahagian sifat² barang yang ditemui ketika ia dihebahkan. Namun tidak wajib menyebut keseluruhan sifat-sifat barang yang ditemui itu, bahkan ditegah menerangkan kesemua sifat barang itu kerana dikuatiri akan diambil kesempatan oleh individu² yang cuba menipu.
5) Setelah berlalu dalam tempoh setahun maka barang itu boleh dimiliki si penemu barang itu dan dia berhak untuk menggunakkannya malah boleh menjual barang itu. Namun hak milik barang yang dijumpai itu bukan menjadi hak mutlak si penemu, jika pemilik barang itu datang menuntut barangnya maka penemu wajib memulangkan kepada tuannya. Jika barang itu sudah tiada lagi samaada setelah tempoh setahun atau tidak, maka si penemu wajib menggantikan barang itu semula samaada dengan bayaran atau ganti barang yang sama sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi.
6) Jika barang luqatah yang sedikit yang mana ia biasanya lenyap dari dari hati tuannya, iaitu jika hilang dan ia tidak diambil berat atau dicari oleh tuannya seperti dinyatakan dalam kitab² fiqh, sebiji tamar, sebiji buah dan seumpamanya, maka si penemu tidak wajib mengiklankannya malah si penemu boleh memilikinya. Permasalahan ini boleh dibandingkan seperti wang syiling 1 sen atau sepuluh sen, namun lebih baik disedekahkan di tabung masjid atau kebajikan menurut sebahagian guru-guru kami.
7) Jika barang luqatah termasuk dalam kategori yang mudah dan cepat rosak seperti nasi lemak, roti dan seumpamanya maka diharuskan melakukan dengan salah satu dari dua cara. Pertama: Barang itu dijual dengan izin hakim (konsep ini tiada lagi pada zaman kini) dan dimiliki hasil jualan itu. Kedua: Makan makanan itu kerana risaukan pembaziran.
8)) Berbalik soalan di atas, jika pihak surau menemui barang yang berharga maka pihak surau mesti mengumumkan barang yang ditemui itu selama setahun pada orang ramai.
Setelah tempoh setahun dan pemilik barang itu tidak juga ditemui maka barang itu semua menjadi hak milik surau dan surau boleh menjual pada sesiapa yang dikehendaki.
9) Namun jika datang pemilik barang dan menuntut barang itu maka pihak surau wajib memulangkan kembali, jika barang itu sudah tiada maka wajib digantikan dengan wang yang mana tidak wajib digantikan dalam bentuk barang asal. Wallahu A’lam Sumber : Ustaz Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Ramai yang melakukan hubungan intim lebih awal sebelum nikah hingga mengandung anak zina. Perkara paling mudah adalah menikahikan pasangan tersebut untuk menutup malu. Satu soalan dibangkitkan kepada Mufti Wilayah Persekutuan Irsyad Al-Fatwa #236 mengenai, adakah sah nikah jika semasa nikah itu, perempuan tu mengandung 8 bulan?
Jawapan:- Alhamdulillah pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Dalam menjawab persoalan ini, perlu kita lihat perempuan yang dihalang kita berkahwin dengannya yang dikenali sebagai mawani’ al-nikah. Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut:
Jenis Pengharaman
Pengharaman terbahagi kepada dua, iaitu haram yang kekal (حرمة مؤبدة) dan haram yang sementara (حرمة مؤقتة).
Haram yang Kekal Maksud haram yang kekal ialah perempuan yang haram dikahwini selama-lamanya walau apa keadaan sekalipun. Terdapat tiga sebab haram yang kekal:
Pertama: Hubungan Kerabat
Hubungan kerabat tersebut ialah:
Ibu, nenek sebelah ibu dan nenek sebelah bapa, dan ke atas. Mereka merupakan asal-usul keturunan yang tidak boleh dikahwini.
Anak perempuan, cucu perempuan daripada anak lelaki serta cucu perempuan daripada anak perempuan. Mereka dinamakan jurai (الفروع) keturunan seseorang yang juga haram dikahwini.
Saudara perempuan seibu sebapa, sebapa atau seibu. Mereka merupakan jurai keturunan ibu bapa.
Anak perempuan daripada saudara lelaki sama ada seibu sebapa, sebapa atau seibu.
Anak perempuan daripada saudara perempuan sama ada seibu sebapa, sebapa atau seibu.
Ibu sedara sebelah bapa (العمّة), iaitu saudara perempuan bapa, nenek saudara sebelah bapa (عمّة الأب). Mereka merupakan jurai keturunan datuk nenek sebelah bapa.
Ibu saudara sebelah ibu (الخالة), iaitu saudara perempuan ibu, nenek saudara sebelah ibu (خالة الأم) dan sebelah bapa (خالة الأب). Mereka merupakan jurai keturunan datuk nenek sebelah ibu yang haram dikahwini selama-lamanya.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT: حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ Maksudnya:Diharamkan ke atas kamu (mengahwini) ibu-ibumu, anak-anakmu yang perempuan, saudara-saudaramu yang perempuan, saudara-saudara bapamu yang perempuan, saudara-saudara ibumu yang perempuan, anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang laki-laki, anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang perempuan. (Surah al-Nisa’: 23)
Sekiranya berlaku perkahwinan dengan seorang daripada perempuan tersebut, aqad nikahnya batal dan sesiapa yang menghalalkannya adalah kafir. Begitu juga sebaliknya, haram bagi perempuan mengahwini mereka yang berikut:- 1. Bapa, datuk sebelah bapa, datuk sebelah ibu dan semua keturunannya ke atas. 2. Anak lelaki, cucu lelaki daripada anak lelaki dan anak perempuan, seluruh jurai keturunannya. 3. Saudara seibu sebapa, sebapa atau seibu. 4. Anak saudara lelaki daripada saudara lelaki dan perempuan. 5. Bapa saudara sebelah bapa, bapa saudara sebelah ibu, datuk saudara sebelah bapa (عم الأب) dan sebelah ibu (عم الأم). Bapa saudara sebelah ibu kepada bapa (خال الأب) dan bapa saudara sebelah ibu kepada ibu (خال الأم).
Terdapat empat golongan perempuan yang haram dikahwini kerana persemendaan, iaitu:-
1. Ibu tiri, nenek tiri sebelah bapa, nenek tiri sebelah ibu. Mereka merupakan isteri kepada asal keturunan yang haram dikahwini selama-lamanya.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT: وَلَا تَنكِحُوا مَا نَكَحَ آبَاؤُكُم مِّنَ النِّسَاءِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۚ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَمَقْتًا وَسَاءَ سَبِيلًا Maksudnya:Dan janganlah kamu kahwini wanita-wanita yang telah dikahwini oleh ayahmu, terkecuali pada masa yang telah lampau. Sesungguhnya perbuatan itu amat keji dan dibenci Allah dan seburuk-buruk jalan (yang ditempuh). (Surah al-Nisa’: 22)
2. Menantu perempuan, isteri cucu anak lelaki atau anak perempuan. Mereka merupakan isteri jurai keturunan seseorang.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT: وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ Maksudnya:Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. (Surah al-Nisa’: 23)
Dalil pengharaman ini tidak meliputi bekas isteri anak angkat. Masyarakat pada zaman Jahiliyah mengambil anak angkat dan mengharamkan perkahwinan dengan bekas isterinya. Islam membatalkan taraf anak angkat seperti ini dan menghalalkan perkahwinan dengan bekas isteri anak angkat tersebut.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:-
وَمَا جَعَلَ أَدْعِيَاءَكُمْ أَبْنَاءَكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ قَوْلُكُم ب بِأَفْوَاهِكُمْ ۖ وَاللَّـهُ يَقُولُ الْحَقَّ وَهُوَ يَهْدِي السَّبِيلَ Maksudnya: Dan dia tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu (sendiri). Yang demikian itu hanyalah perkataanmu di mulutmu sahaja dan Allah mengatakan yang sebenarnya dan dia menunjukkan jalan (yang benar). (Surah al-Ahzab: 4)
Firman Allah SWT lagi: لِكَيْ لَا يَكُونَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ حَرَجٌ فِي أَزْوَاجِ أَدْعِيَائِهِمْ إِذَا قَضَوْا مِنْهُنَّ وَطَرًا ۚ وَكَانَ أَمْرُ اللَّـهِ مَفْعُولًا Maksudnya:Supaya tidak ada keberatan bagi orang Mukmin untuk (mengahwini) isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah menyelesaikan keperluannya daripada isterinya dan adalah ketetapan Allah itu pasti terjadi. (Surah al-Ahzab: 37)
3. Ibu mertua
Tidak harus mengahwini ibu mertua. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:-
وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ Maksudnya: Dan ibu-ibu isteri kamu. (Surah al-Nisa’: 23) Pengharaman ini meliputi semua keturunan ibu mertua, seperti ibu kepada mertua, nenek ke atas. Ketiga-tiga golongan ini haram dikahwini semata-mata dengan sebab aqad nikah sama ada berlaku persetubuhan ataupun tidak. Sekiranya aqad nikah berlaku dengan mana-mana golongan perempuan tersebut, ia adalah batal.
4. Anak tiri perempuan
Anak tiri perempuan haram dikahwini oleh bapa tirinya. Pengharaman ini berlaku apabila ibu kepada anak tiri tersebut telah disetubuhi oleh bapa tiri. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَرَبَائِبُكُمُ اللاَّتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَآئِكُمُ اللاَّتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُواْ دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْكُمْ Maksudnya: Anak-anak isterimu yang dalam pemeliharaanmu dari isteri yang telah kamu campuri, tetapi jika kamu belum bercampur dengan isterimu itu (dan sudah kamu ceraikan), maka tidak berdosa kamu mengahwininya. (Surah al-Nisa’: 23).
Pengharaman ini tidak hanya kepada anak tiri yang tinggal bersama-sama bapa tirinya, tetapi juga termasuk anak tiri yang tidak tinggal bersama-samanya. Maksud anak tiri yang dalam pemeliharaan kamu adalah bagi menerangkan kebiasaan anak tiri tinggal bersama-sama di bawah jagaan bapa tiri dan ibunya. Demikianlah sebaliknya, seorang perempuan haram mengahwini bapa tirinya, menantu lelaki, anak tiri dan bapa mertuanya.
Ketiga: Hubungan Penyusuan
Terdapat tujuh golongan perempuan yang haram dikahwini kerana penyusuan. Di dalam al-Quran, disebut dua golongan sahaja, manakala bakinya dijelaskan di dalam hadith Nabi SAW. Tujuh golongan tersebut adalah:-
1. Ibu susuan Ibu susuan ialah perempuan yang telah menyusukan anak orang lain. Dia haram dikahwini anak susuan tersebut, termasuk ibu kepada ibu susuan, nenek sebelah ibu, dan nenek sebelah bapanya.
2. Saudara perempuan susuan Mereka adalah perempuan lain yang menyusu dengan ibu kita atau kita menyusu dengan ibunya, atau kita dan perempuan yang lain sama-sama menyusu dengan seorang perempuan. Jika seorang perempuan menyusu dengan ibu kita, dia haram kita kahwini. Namun, kita halal mengahwini saudara perempuannya kerana mereka tidak menyusu dengan ibu kita. Jika kita menyusu dengan ibu seorang perempuan, maka kita haram mengahwini perempuan tersebut dan semua saudara perempuannya. Namun, saudara kita halal mengahwininya dan semua saudara perempuannya kerana mereka tidak menyusu dengan ibu kita dan saudara kita pula tidak menyusu dengan ibu perempuan itu. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT: وَأُمَّهَاتُكُمُ اللاَّتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ Maksudnya:Dan ibu-ibumu yang menyusui kamu dan saudara perempuan susuan kamu. (Surah al-Nisa’: 23)
3. Anak perempuan daripada saudara lelaki susuan. 4. Anak perempuan daripada saudara perempuan susuan. 5. Ibu saudara susuan sebelah bapa, iaitu perempuan yang menjadi saudara susuan kepada bapa. 6. Ibu saudara susuan sebelah bapa, iaitu perempuan yang menjadi saudara sususan kepada ibu. 7. Anak perempuan susuan, iaitu anak perempuan yang menyusu dengan isteri kita. Maka, kita ialah bapa susuan kepada anak tersebut.
Hal ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda: إِنَّ الرَّضَاعَةَ تُحَرِّمُ مَا يَحْرُمُ مِنَ الْوِلاَدَةِ Maksudnya: “Sesungguhnya susuan itu mengharamkan perkahwinan, sebagaimana haram disebabkan kelahiran.” Riwayat al-Bukhari (2646).
Begitu juga hadith, daripada Ibn Abas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda tentang anak perempuan Hamzah: لاَ تَحِلُّ لِي، يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ، هِيَ بِنْتُ أَخِي مِنَ الرَّضَاعَةِ Maksudnya: “Dia tidak halal bagiku disebabkan susuan (الرضاع), sebagaimana yang haram disebabkan keturunan (النسب). Dia ialah anak perempuan saudara susuanku.” Riwayat al-Bukhari (2503) dan Muslim (1444) Sepertimana lelaki, seorang perempuan juga haram berkahwin dengan bapa susuan, anak lelaki susuan, saudara lelaki susuan, anak lelaki kepada saudara susuan, bapa saudara susuan sebelah bapa dan bapa saudara susuan sebelah ibu.
Begitu juga haram berkahwin disebabkan susuan dengan perempuan yang berikut: 1. Ibu mentua susuan, iaitu perempuan yang menyusukan isteri kita. 2. Anak tiri susuan, iaitu anak perempuan yang telah menyusu dengan isteri kita semasa perkahwinannya dengan suami yang dahulu. 3. Ibu tiri susuan, iaitu madu kepada ibu susuan. 4. Menantu susuan, iaitu isteri kepada anak susuan.
Haram yang Sementara
Haram yang sementara bermaksud perempuan yang haram dikahwini untuk sementara waktu atas sebab-sebab tertentu. Apabila sebab yang tersebut hilang,, maka perempuan itu boleh dikahwini. Sekiranya perempuan itu dikahwini sebelum sebab pengharamannya hilang, perkahwinan tersebut batal. Perempuan yang haram dikahwini untuk sementara waktu ialah:-
1. Bermadu antara dua saudara perempuan (الجمع بين الأختين) Saudara perempuan sama ada nasab atau susuan adalah haram dimadukan, sama ada dengan aqad serentak ataupun berlainan. Sekiranya aqad itu berlaku serentak, pernikahan tersebut adalah batal. Dan sekiranya berlainan masa, maka aqad perkahwinan yang kedua batal. Jika isteri diceraikan dan selesai iddahnya atau telah meninggal dunia, halal bagi bekas suaminya mengahwini saudara bekas isteri. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT: وَأَن تَجْمَعُواْ بَيْنَ الأُخْتَيْنِ إَلاَّ مَا قَدْ سَلَفَ إِنَّ اللّهَ كَانَ غَفُوراً رَّحِيماً Maksudnya:Dan diharamkan kamu menghimpunkan (dalam perkahwinan) dua perempuan yang bersaudara, kecuali yang telah terjadi pada masa lampau. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah al-Nisa’: 23)
2. Bermadu dengan ibu saudara sebelah bapa, ibu saudara sebelah ibu, anak saudara saudara perempuan, anak saudara saudara lelaki, cucu daripada anak lelaki dan perempuan Para fuqaha’ membuat kaedah bagi menentukan perempuan yang haram dimadukan. Mereka menyatakan dua orang perempuan haram bermadu. Seandainya seorang daripada mereka lelaki, mereka tidak boleh berkahwin. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: لاَ يُجْمَعُ بَيْنَ الْمَرْأَةِ وَعَمَّتِهَا، وَلاَ بَيْنَ الْمَرْأَةِ وَخَالَتِهَا Maksudnya: “Perempuan jangan dimadukan dengan ibu saudara sebelah bapa, dan ibu saudara sebelah ibunya.” Riwayat al-Bukhari (4820) dan Muslim (1408) Hikmah haram madu semua perempuan yang dinyatakan sebelum ini adalah untuk mengelakkan perasaan dengki di kalangan saudara mara. Hal ini adalah kerana ia akan menimbulkan perasaan cemburu di kalangan isteri tersebut. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Isa bin Talhah RA, katanya: نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَنْ تُنْكَحَ الْمَرْأَةُ عَلَى قَرَابَتِهَا مَخَافَةَ الْقَطِيعَةِ Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang perempuan dimadukan dengan saudara-maranya kerana dibimbangi akan memutuskan silaturrahim.” Riwayat Abu Daud dalam al-Marasil dan al-Syauqani dalam Nail al-Awtar (6/147) Jika seorang daripada perempuan tersebut diceraikan dan selesai iddahnya, atau meninggal dunia, bolehlah saudaranya yang seorang lagi dikahwini.
3. Berkahwin lebih daripada empat orang perempuan Seorang lelaki tidak boleh mengahwini perempuan kelima ketika mempunyai empat orang isteri. Ia hanya dibenarkan apabila seorang daripada isteri yang sedia ada itu meninggal dunia atau diceraikan dan selesai iddahnya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT: فَانكِحُواْ مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلاَثَ وَرُبَاعَ Maksudnya:Maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: Dua, tiga atau empat. (Surah al-Nisa’: 3) Begitu juga hadith, daripada Qays bin al-Harith RA, katanya: أَسْلَمْتُ وَعِنْدِي ثَمَانُ نِسْوَةٍ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اخْتَرْ مِنْهُنَّ أَرْبَعًا Maksudnya: “Aku telah memeluk agama Islam dan ketika itu aku mempunyai lapan orang isteri. Lalu aku memberitahu Rasulullah SAW akan perkara itu. Maka, Rasulullah SAW bersabda: “Pilihlah empat orang daripada mereka.” Riwayat Abu Daud (2243)
4. Mengahwini perempuan Musyrik menyembah berhala Perempuan musyrik yang dimaksudkan ialah penganut agama yang tidak mempunyai kitab samawi. Perempuan ini halal dikahwini jika dia telah memeluk Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT: وَلاَ تَنكِحُواْ الْمُشْرِكَاتِ حَتَّى يُؤْمِنَّ وَلأَمَةٌ مُّؤْمِنَةٌ خَيْرٌ مِّن مُّشْرِكَةٍ وَلَوْ أَعْجَبَتْكُمْ Maksudnya: Dan janganlah kamu menikahi wanita-wanita Musyrik, sebelum mereka beriman. Sesungguhnya wanita yang Mukmin lebih baik dari wanita Musyrik, walaupun dia menarik hatimu. (Surah al-Baqarah: 221)
Kesimpulan Berdasarkan larangan tersebut, perempuan yang mengandung bukan dengan disebabkan cerai atau kematian suami, maka ia adalah dibolehkan tetapi anak tersebut tidak boleh di’bin’kan kepada lelaki yang mengahwini perempuan tersebut. Walaupun begitu, kami cadangkan kahwinlah selepas selesai kelahiran anak supaya ianya lebih yakin dan tenang jiwa di samping keluar daripada khilaf oleh sebahagian ulama’. Kami tegaskan dengan keputusan Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-3 yang bersidang pada 21 – 22 Januari 1971 telah membincangkan Mengahwini Perempuan Yang Sedang Mengandung Anak Luar Nikah. Persidangan telah memutuskan bahawa perempuan yang sedang mengandung anak luar nikah harus dinikahkan tetapi anaknya tidak boleh dinasabkan kepada lelaki itu, tidak dapat pesaka daripadanya, tidak menjadi mahram kepadanya dan lelaki itu tidak boleh menjadi walinya. Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita semua. Ameen. [1] Di dalam Nizam al-Usrah fi al-Islam, hikmah pengharaman ini kerana:
Ia selaras dengan fitrah.
Tidak mengharamkan usul isteri dan cabangnya. Begitu juga, usul suami dan cabangnya membawa kepada kesukaran hubungan kekeluargaan.
Kalaulah tidak diharamkan dengan sebab persemendaan, nescaya membawa kepada putusnya hubungan silaturrahim.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Apakah hukum suami berkata menyesal bernikah tetapi suami tiada niat untuk menceraikan isteri? Adakah ia termasuk dalam lafaz talaq?
Jawapan:
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Sebelum menjawab persoalan di atas, perlu difahami terlebih dahulu berkenaan hukum talaq menggunakan lafaz yang jelas dan talaq menggunakan lafaz yang tidak jelas (kiasan). Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut:
Pertama: Talaq Menggunakan Lafaz yang Jelas
Lafaz talaq yang jelas (صريح) ialah lafaz yang digunakan, yang menunjukkan maksud talaq secara jelas dan tidak dapat diandaikan kepada maksud lain. Ia merupakan talaq yang jelas menggunakan lafaz yang tidak membawa makna lain kecuali talaq.
Lafaz yang jelas juga termasuk terjemahan lafaz talaq dalam bahasa lain selain daripada bahasa Arab berdasarkan penggunaannya yang lumrah dalam masyarakat sebagaimana lafaz talaq yang biasa digunakan oleh orang Arab.
Hukum Talaq Menggunakan Lafaz yang Jelas: Penceraian dengan lafaz yang jelas menyebabkan jatuh talaq sama ada berniat talaq ataupun tidak.
Hal ini kerana lafaz yang jelas dan maksud yang muktamad menunjukkan talaq tidak perlu kepada niat ketika melafazkannya.
Kedua: Talaq Menggunakan Lafaz yang Tidak Jelas (Kiasan)
Sementara lafaz talaq yang tidak jelas atau kiasan (كناية) ialah yang tidak menunjukkan maksud talaq secara jelas dan boleh diandaikan dengan maksud yang lain selain talaq.
Terdapat banyak lafaz talaq secara kiasan, antaranya:
– Engkau tiada apa-apa lagi denganku.
– Engkau berasingan daripadaku.
– Engkau terputus hubungan denganku.
– Kembalilah kepada keluargamu.
– Pergilah ke mana engkau mahu.
– Pergi jauh daripadaku.
– Asingkanlah diri daripadaku.
– Aku biarkan kamu dengan caramu.
– Engkau haram bagiku.
Semua lafaz ini dianggap sebagai lafaz kiasan yang menunjukkan talaq kerana ia membawa maksud talaq dan maksud yang lain.
Hukum Talaq Menggunakan Lafaz Tidak Jelas (Kiasan): Lafaz talaq kiasan walaupun selalu digunakan untuk maksud talaq, seperti: “Engkau haram atasku” tidak menyebabkan jatuh talaq melainkan apabila suami berniat menceraikannya. Jika suami berniat yang lain selain talaq atau bermaksud apa-apa pun, maka tidak jatuh. (Lihat kitab al-Fiqh al-Manhaji, 3/14-18).
Apa Hukum Suami Berkata “Menyesal Bernikah dengan Isteri”?
Berdasarkan persoalan yang timbul, kami dapati ucapan yang dilafazkan tersebut bukanlah lafaz talak. Ia tidak termasuk sama ada di dalam lafaz talaq yang jelas atau tidak jelas. Ia hanyalah sekadar satu kata-kata meluahkan perasaan kekesalan yang tidak ada kaitan dengan konsep talaq yang dibincangkan. Oleh itu, talaq tidak jatuh terhadap isteri tersebut.
Kami berpendapat, amat perlu belajar serta mendalami hukum-hakam berkaitan perkahwinan terlebih dahulu sebelum berlangsungnya perkahwinan.
Begitu juga, kami mengambil peluang di sini untuk menasihati agar berbincanglah dengan baik setiap permasalahan yang timbul dan mohonlah kepada Allah SWT agar diberi pertolongan dalam menyelesaikan konflik yang berlaku.
Sekiranya memerlukan orang tengah untuk mendamaikan pertelingkahan, maka lakukanlah sebagaimana firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.”
(Surah al-Nisa: 34-35)
Ibn Kathir berkata: “Ali bin Abi Talhah mengatakan daripada Ibnu Abbas R.Anhuma: Allah SWT memerintahkan mereka untuk mengutus seorang lelaki yang soleh (dipercayai) daripada pihak keluarga lelaki dan seorang yang sama daripada pihak keluarga wanita.
Hal ini untuk meneliti siapa di antara keduanya yang melakukan perkara buruk. Jika suami yang melakukan keburukan, maka mereka dapat melindungi isteri dan membataskan kewajipannya dalam memberi nafkah. Jika isteri yang melakukan keburukan, mereka dapat mengurangkan haknya dari suami dan menahan nafkah yang diberikan kepadanya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/302)
Selain itu, boleh meminta pandangan dan nasihat daripada para ulama’, ibu dan ayah, saudara mara yang amanah, rakan-rakan yang dipercayai dan adil yakni yang baik agamanya. Jika tidak, maka rujuklah kepada peguam, hakam dan sebagainya.
Sekiranya di Wilayah Persekutuan, boleh mendapatkan nasihat daripada Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga (BPPK) yang merupakan salah satu bahagian di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang bersedia membantu pada bila-bila masa.
Ini bagi mendapatkan mendapatkan khidmat runding keluarga (kaunseling) dan sebagainya. Atau sekiranya menetap di negeri lain, boleh juga merujuk kepada badan yang menjalankan khidmat nasihat di negeri-negeri berkaitan.
Mudah-mudahan Allah memberikan ketenangan dan kebahagiaan kepada kita dalam melayari kehidupan rumahtangga dan tercapai apa yang dimaksudkan dengan Baiti Jannati. Amin.
Kita selalu fikir, apabila kita lakukan amal kebaikan, pastinya Allah akan balas dengan pahala atau kebaikan juga. Ini apa yang selalu diajar di sekolah dahulu.