
Siapa tidak geram melihat kecomelan kanak-kanak ini. Ketika dia masih bayi, Dhuhaa Sophea Stumbry, 3 tahun, pernah dikatakan bayi paling comel di dunia.
Si comel ini lahir dari perkongsian kisah cinta antara dua benua. Ibunya Siti Safuraa Hamzah, 35 tahun, yang berasal dari Besut, Terengganu, manakala bapanya pula Asadullah Stumbrys, 35 tahun pula merupakan warga negara Russia.
Walaupun kini berada jauh di Sweden, namun Dhuhaa Sophea menjadi tular dek kerana wajah comelnya. Kini bukan sahaja dia yang jadi viral, Dhuhaa juga sudah mempunyai seorang adik perempuan, Amiraa Al Imaan yang dilahirkan awal tahun lalu.
Seperti kakaknya, Amiraa juga cukup popular di laman sosial Instagram milik ibunya, @ctsafuraa. Setiap kali muat naik foto atau video terbaru, pasti mendapat ribuan butang ‘like’.
Ternyata kecomelan dua beradik ini mengundang pertanyaan daripada warga net yang mahu tahu apa rahsia diamalkan ibunya sewaktu mengandung.
Menurut Siti Safuraa soalan ‘hot’ itu memang sering ditanya padanya oleh para ibu yang banyak DM padanya bertanyakan amalan yang dilakukan sewaktu mengandung sehingga melahirkan anak yang comel.
“Memang ramai yang tanya soalan ini, sama ada mesej saya secara peribadi di ruangan komen termasuk ketika buat live“.
“Sebenarnya saya tak amalkan apa-apa pemakanan khusus waktu mengandung dulu. Mungkin ini rezeki kurniaan Tuhan buat saya dan suami,” ujarnya ketika dihubungi secara alam maya.
Namun menurutnya dia memperbanyakkan amalan yang mulia untuk ibu hamil menurut Islam, antaranya dengan membaca al-Quran.
“Cuma masa hamil dulu saya suka baca dan dengar ayat suci al-Quran. Surah yang paling saya gemari adalah surah Ar-Rahman.
“Waktu itu saya sangat sensitif, mudah menangis dan bila dengar surah itu saya rasa kuat dan sangat terkesan sampai ke jiwa.
“Selebihnya saya banyakkan zikir dan berdoa pada Allah sentiasa lindungi saya dan kandungan,” ujarnya yang kini menetap di Sweden selepas mendirikan rumah tangga dengan suami tercinta.
KREDIT FOTO: INSTAGRAM CT SAFURAA
Lima Cara Perbanyakkan Rezeki Dalam Islam

Bebas masalah kewangan ialah salah satu impian ramai individu. Apatah lagi jika sudah berkahwin. Suami isteri ingin mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh demi kesenangan dan masa depan anak-anak.
Terdapat lima cara untuk membantu seseorang Muslim itu keluar daripada masalah kewangan.
1. KUKUHKAN SILATURAHIM
Sabda Rasulullah s.a.w, “Sesiapa yang ingin supaya Allah membuka pintu rezeki baginya dan juga memanjangkan umurnya maka kukuhkanlah ikatan silaturahim.” (HR Bukhari)
2. BERIMAN KEPADA ALLAH TAALA
“Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya) Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (QS At-Talaaq 65:2-3)
3. RAJIN BERISTIGHFAR
“Sehingga aku (Nuh) berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. Sekiranya kamu berbuat demikian), Diaa akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (QS Nuh 71:10-12)
4. SENTIASA BERSYUKUR KEPADA ALLAH
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras”.(QS Ibrahim 14:7)
5. BANYAK BERSEDEKAH
“Dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dialah juga sebaik-baik Pemberi rezeki” (QS Saba’ 34:39).
Jadi belanjakan wang anda ke jalan Allah, takut pada Allah, jaga hubungan dengan orang lain dan sentiasa bersyukur kepada Allah. Apabila anda lakukan semuanya dengan ikhlas, insya-Allah beban kewangan anda akan kurang terasa.
VIDEO KASHOORGA:
Letaklah Nama Yang Elok Sebab Ia Faktor Pembentukan Peribadi Si Empunya Diri

Soal pemberian nama adalah satu perkara yang dititikberatkan oleh syarak. Ini kerana, penamaan nama yang baik merupakan antara faktor dalam membentuk peribadi yang soleh pada diri seseorang itu.
Berikut merupakan beberapa nas nabawi yang menunjukkan kepada hal tersebut:
Daripada Abu al-Darda’ RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ
Maksudnya: Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. maka perelokkanlah nama kamu.
PETIKAN ANTARA NAMA DAN KEPERIBADIAN
Sebahagian para ulama menjelaskan bahawa terdapat kaitan yang ketara di antara nama dengan seseorang yang dinamakan dengan nama tersebut.
Imam Ibnul Qayyim rahimahullah berkata: Secara kesimpulannya, akhlak serta perbuatan-perbuatan yang buruk itu ada hubungkaitnya dengan nama. Demikianlah nama-nama yang baik akan mendorong kepada akhlak dan perbuatan yang baik. Dan tidaklah Rasulullah SAW itu dinamakan dengan Muhammad melainkan kerana banyaknya ciri-ciri dan sifat terpuji pada diri baginda SAW. Dan sesungguhnya pemilik nama yang baik kadangkala malu dengan namanya, dan kadangkala disebabkan namanya itulah yang mendorong seseorang melakukan perbuatan yang sesuai dengan namanya serta meninggalkan apa yang bercanggahan dengannya.
Disebabkan perkaitan inilah para ulamak membahaskan hukum menukar nama, perinciannya dibahaskan oleh imam Ibnul Qayyim di dalam fasal ketiga pada kitab beliau Tufhatul Maudud ketika membahaskan galakan menukar nama kepada nama yang lain disebabkan maslahah.
Antara dalil yang menunjukkan kepada galakan menukar nama yang kurang elok ialah hadis riwayat Abu Hurairah RA:
عَن أبي هُرَيْرَة أَن زَيْنَب كَانَ اسْمهَا برة فَقيل تزكي نَفسهَا فسماها رَسُول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم
Maksudnya: Bahawasanya pada asalnya nama Zainab ialah Barrah, maka dikatakan kepadanya “engkau memuji diri sendiri” maka rasulullah SAW pun menukarkan namanya kepada Zainab. Riwayat Al-Bukhari [6192]
Selain itu, terdapat juga hadis lain yang berbunyi:
عَنِ ابْنِ المُسَيِّبِ، عَنْ أَبِيهِ: أَنَّ أَبَاهُ جَاءَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: «مَا اسْمُكَ» قَالَ: حَزْنٌ، قَالَ: «أَنْتَ سَهْلٌ» قَالَ: لاَ أُغَيِّرُ اسْمًا سَمَّانِيهِ أَبِي قَالَ ابْنُ المُسَيِّبِ: «فَمَا زَالَتِ الحُزُونَةُ فِينَا بَعْدُ
Maksudnya: Dari Ibn al-Musayyib dari bapanya bahawa atuknya bertemu dengan nabi SAW, lalu nabi SAW bertanya kepadanya, apa nama kamu, maka dia menjawab Hazan, lalu kata Nabi SAW nama awak sekarang ialah Sahl, maka dia berkata saya tidak akan menukar nama yang telah diberikan kepada saya oleh ayah saya. Kata Ibn al-Musayyib: Maka sejak itu, kesedihan sentiasa menimpa kami. Riwayat al-Bukhari [6190]
Berdasarkan hadis-hadis di atas dan juga hadis-hadis lain yang berkait tentang pemberian nama ini, para ulamak telah mencapai kepada beberapa konklusi:
1) Kita dituntut untuk menukarkan nama seseorang kerana kejelekannya dan keburukannya. Contohnya ialah nama Abdul Ka’abah, kerana nama tersebut terdapat unsur syirik padanya.
2) Begitu juga kita dituntut untuk menukarkan nama kerana maslahah tertentu walaupun nama itu baik pada asalnya. Seperti nama Barrah dan Kharunnisa’. Ini kerana Barrah bermaksud yang banyak membuat baik manakala Khairunnisa’ bermaksud sebaik-baik wanita.
3) Kita dituntut untuk mengelakkan nama yang boleh membawa kepada mempercayai sial. Contohnya seperti nama hazan yang bermaksud kesedihan, nama sebegini boleh membawa kepada mempercayai bahawa segala musibah yang ditimpa insan yang bernama hazan ini ialah kerana namanya yang membawa kepada kesedihan. [Lihat Syarh Muntaha al-Iradat, 1/615]
Atas dasar ini Imam al-Nawawi memakruhkan untuk menamakan anak dengan nama yang jelek dan nama yang terdapat padanya unsur kecelakaan [Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 417/8]
PERSOALAN NAMA TERLALU BERAT UNTUK DITANGGUNG
Berkaitan isu anak tidak mampu menanggung nama kerana nama tersebut berat dan sebagainya, tidak jumpai apa-apa penjelasan yang berasas di sebalik dakwaan tersebut.
Dikhuatiri kepercayaan tersebut mempunyai unsur-unsur khurafat. Ini kerana para ulamak telah mentakrifkan khurafat sebagai:
الاعتقاد بما لا ينفع ولا يضر ولا يلتئم مع المنطق السليم والواقع الصحيح
Maksudnya: Khurafat ialah sebuah kepercayaan kepada perkara yang tidak bermanfaat, tidak memudharatkan dan tidak bersesuaian dengan akal yang sejahtera dan realiti semasa.
Kepercayaan ini juga dikhuatiri bercanggah dengan aqidah yang sejahtera yang wajib diimani kesemua muslim iaitu hanya Allah SWT sahaja yang boleh beri manfaat atau mudarat
Firman Allah SWT:
وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّـهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يُرِدْكَ بِخَيْرٍ فَلَا رَادَّ لِفَضْلِهِ ۚ يُصِيبُ بِهِ مَن يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ ۚ وَهُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” Surah Yunus (107)
Kata imam Ibnu Kathir ketika menafsirkan ayat ini:
“Sesungguhnya kebaikan, keburukan, manfaat dan bahaya hanyalah milik Allah SWT sahaja. Tidak ada sesuatu pun menyekutui-Nya dalam hal yang demikian. Maka hanya Allah sahajalah yang berhak diibadahi. Tidak ada sekutu bagi-Nya.”
Kepercayaan ini juga mempunyai unsur mempercayai perkara-perkara sial yang telah jelas dilarang hadis baginda SAW:
لاَ طِيَرَةَ
Maksudnya: Tiada thiyarah/kepercayaan sial di dalam Islam.
Pandangan bahawa mempercayai sesuatu nama itu sebagai berat dan tidak mampu ditanggung oleh seseorang adalah kepercayaan yang tidak didasari dengan bukti-bukti yang jelas. Seeloknya jauhkan diri daripada kepercayaan ini.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Bukan Je Murah, Tadika Ni Terima Kanak-Kanak Autism & Disleksia. Turut Amalkan Baca 3 Surah Sebelum Kelas Bermula!

Dalam dunia yang serba mencabar dan begitu mementingkan pendidikan awal untuk anak-anak, ramai dalam kalangan ibu bapa yang begitu cerewet dalam soal ini.
Masing-masing cuba mencari pusat asuhan kanak-kanak terbaik untuk proses pendidikan awal anak-anak bagi menghadapi persediaan sebelum memasuki alam persekolahan sebenar.
Dan tidak dinafikan rata-rata ibu bapa masa kini mencari pusat asuhan yang menerapkan konsep Islamik dan salah satunya adalah Al Kauthar Eduqids.
Al-Kauthar Eduqids juga dipilih sebagai Tadika Islamik Pilihan Majalah Pa&Ma sempena Ulang Tahun ke 19 Majalah Pa&Ma.
Keistimewaan Al Kauthar Eduqids ini berbanding tadika lain apabila pengurusannya menerima kehadiran kanak-kanak autism, speech delay, disleksia dan juga ADHD.
Menurut Pengasas dan Pengarah Al Kauthar Eduqids, Nor Fadilah Alias, 29 tahun berkata setakat ini di pihak HQ menerima lebih 10 pelajar yang mempunyai masalah seperti ini.

“Tidak semua ibu bapa di luar tahu bahawa pusat asuhan kami menerima anak-anak yang ada masalah sebegini. Sebenarnya sejak tahun 2013 lagi kami sudah mula menerima pelajar-pelajar ini.
“Apabila mereka masuk sini dan bercampur dengan anak-anak normal lain, aura dan teknik yang diajar kepada mereka, alhamdulillah 90% terserlah potensi.
“Misalnya kalau sebelum ini ada di kalangan kanak-kanak autisme ini yang jenis hantuk kepala dah tak hantukkan kepala, boleh dengar arahan, boleh menulis dan yang alami speech delay pun sudah boleh bercakap,” ujarnya yang gembira dengan perkembangan itu.

Tambahnya sebelum menerima kanak-kanak ini, dia telah membuat kajian mendalam di mana kanak-kanak yang ada masalah ini jika bercampur sesama mereka, potensi untuk kembali normal agak sukar.
“Dan setelah kami menerima kehadiran mereka, ajar mengikut modul ditetapkan, ada peningkatan pada perkembangan diri mereka. Setelah ada result barulah saya berani untuk berkongsi dengan semua ibu bapa di luar sana.
“Sebelum itu saya juga turut melengkapi diri dengan ilmu berkaitan. Saya ada mengambil pendidikan pra sekolah dalam subjek pendidikan khas. Dan inilah yang menguatkan semangat untuk membuka pusat asuhan kanak-kanak sendiri,” jelas ibu kepada seorang cahayamata ini.

Wanita kecil molek ini memiliki Diploma Prasekolah dan Diploma Kemahiran Malaysia. Bukan itu sahaja lebih menarik dia juga turut mempunyai lesen sebagai Pegawai Penilai daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran.
Pernah bekerja di institut pendidkan awal kanak-kanak dan berdepan pelbagai cabaran sebelum nekad untuk membuka pusat asuhan sendiri seawal usia 22 tahun.
Daripada hanya ada sebuah pusat asuhan dan selepas tujuh tahun kini Nor Fadilah tersenyum bangga apabila sudah mempunyai hampir 20 cawangan taska dan tadika.
“Di Al Kauthar saya cipta satu modul yang menggabungkan kurikulum standard prasekolah dengan kaedah Montessori Islamik untuk membawa kelainan dan kualiti dalam pendidikan awal kanak-kanak.
“Bagi saya bukan sahaja pembelajaran akademik penting, sahsiah diri juga perlu dititik beratkan. Apatah lagi dengan perkembangan teknologi serta dunia digital tanpa sempadan hari ini.

“Cabaran dalam mendidik mereka memang sangat besar. Namun kekuatan saya berdepan segala dugaan ini setiap hari saya akan pastikan anak-anak ini wajib menghafal suraj Ar-Rahman, Al-Kahfi dan Yasin. Ini bermakna selain menghafal juz Amma, iaitu kumpulan surah-surah pendek, anak-anak di sini akan ditambah 3 surah ini untuk dihafal
“Seawal usia 4 hingga 6 tahun saya akan minta mereka baca dan hafal surah-surah ini selain solat Dhuha sebelum proses pembelajaran bermula. Alhamdulillah mereka boleh baca dan hafaz dengan lancarnya,” jelasnya lagi yang menggunakan method hafazan dalam pembelajaran.

Untuk jangka masa panjang, dia dan suaminya akan membuka lebih banyak lagi cawangan Al Kauthar Eduqids di sekitar Lembah Klang bagi memenuhi permintaan yang semakin tinggi.
Walau bagaimanapun, mereka tidak mahu tergesa-gesa kerana apa yang penting standard kualiti perlu djaga sebaiknya.
Nor Fadilah ditemui dalam satu majlis minum petang gilang-gemilang bertempat di Hotel Concord Shah Alam, Tadika Al Kauthar Eduqids telah diberi pengiktirafan memenangi salah satu kategori Jenama Pilihan Pa&Ma 2019.

Anugerah yang diadakan julung kali sempena Ulang Tahun Pa&Ma yang ke-19 ini telah memilih Tadika Al Kauthar Eduqids sebagai ‘Tadika Islamik Pilihan Pa&Ma. Anugerah tersebut telah di sampaikan sendiri oleh Editor Pa&Ma Puan Hasnita Sawal kepada En Bakhtiar pengasas Tadika Al Kauthar Eduqids.
Bukan itu sahaja, mereka turut menyampaikan beberapa anugerah kepada tenaga pengajar yang memberikan perkhidmatan cemerlang sepanjang Al Kauthar Eduqids ditubuhkan.

SUMBER FOTO: FACEBOOK AL KAUTHAR EDUQIDS