
Niat untuk bebas berkarya bukan tiket untuk melanggar batas agama. Kebanyakan platform penstriman di Malaysia semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kerana menawarkan pilihan kandungan dan jalan cerita yang lebih pelbagai berbanding televisyen arus perdana.
Namun, kebebasan berkarya juga datang bersama tanggungjawab.
Baru-baru ini, timbul perdebatan dalam kalangan masyarakat apabila sebuah drama didakwa menyelitkan babak yang memaparkan unsur sensitif berkaitan LGBT. Situasi ini sekali lagi membuka persoalan tentang sejauh mana kebebasan berkarya boleh diberikan tanpa melanggar batas agama serta norma masyarakat, khususnya dalam kalangan umat Islam.
Persoalannya, adakah atas nama kreativiti dan kebebasan berkarya, segala bentuk kandungan boleh dipaparkan tanpa mengambil kira batas agama?
Dalam Islam, seni dan hiburan pada asasnya adalah harus atau dibolehkan. Namun, sesuatu bentuk hiburan boleh berubah hukumnya apabila mengandungi perkara yang bertentangan dengan syariat, mengajak kepada kemungkaran atau berpotensi memberi kesan buruk terhadap akidah, akhlak dan pemikiran seseorang Muslim.
Bagi pengkarya Muslim pula, tanggungjawab mereka bukan sekadar kepada penonton atau industri. Setiap mesej, watak dan naratif yang diketengahkan turut membawa nilai tertentu yang boleh mempengaruhi cara masyarakat melihat sesuatu perkara.
Atas sebab itu, karya yang dihasilkan sewajarnya mengambil kira batas agama serta kesan jangka panjang terhadap penonton.
BACA JUGA: Kesan Sumpah Palsu Terhadap Rohani & Psikologi: Jangan Jadikan ‘Demi Allah’ Pertahanan Diri
Antara alasan yang sering diberikan apabila isu sensitif seperti ini dipaparkan ialah, “Ini memang berlaku dalam masyarakat, kami hanya mencerminkan realiti.”
Memang benar sesebuah karya boleh mengangkat realiti kehidupan. Namun, terdapat perbezaan besar antara memaparkan sesuatu isu untuk memberi pengajaran dengan menjadikannya sekadar bahan hiburan, tarikan sensasi atau gimik pemasaran.
Jika sesuatu isu diketengahkan dengan konteks yang jelas, disertai mesej kesedaran dan membawa penonton memahami akibat serta pengajarannya, ia mungkin berfungsi sebagai medium pendidikan.
Sebaliknya, jika unsur tersebut dipaparkan secara berulang tanpa mesej atau iktibar yang jelas, ia boleh menimbulkan kebimbangan bahawa perkara yang asalnya dianggap sensitif akhirnya dilihat sebagai sesuatu yang biasa.
Dalam perdebatan mengenai kandungan hiburan, satu perkara yang sering dilupakan ialah kuasa sebenarnya turut berada di tangan penonton.
Industri hiburan masih bergantung kepada jumlah tontonan, rating, langganan dan sambutan masyarakat. Setiap klik dan tontonan secara tidak langsung menjadi ukuran terhadap permintaan sesuatu kandungan.
Justeru, jika seseorang penonton merasakan sesebuah karya bercanggah dengan pegangan agama atau prinsip peribadinya, tindakan yang lebih berkesan bukan semata-mata mengecam di ruangan komen.
Sebaliknya, mereka boleh memilih untuk tidak menonton, tidak mempromosikan dan tidak menyokong kandungan tersebut.
Pilihan penonton sebenarnya mampu menghantar mesej yang lebih jelas kepada industri tentang jenis karya yang mahu diterima oleh masyarakat.
Tidak dinafikan, hiburan merupakan salah satu keperluan manusia. Selepas berdepan kesibukan kerja dan tekanan kehidupan, seseorang memerlukan ruang untuk berehat serta menenangkan fikiran.
Namun, hiburan seharusnya kekal sebagai sesuatu yang membawa manfaat dan tidak menjadi sebab sensitiviti terhadap agama semakin terhakis.
Sebagai masyarakat Muslim, kita tidak perlu menolak kreativiti atau perkembangan industri seni. Sebaliknya, kita boleh terus menyokong karya tempatan yang kreatif, berkualiti, inovatif dan berani membawa idea baharu tanpa perlu menggadaikan prinsip serta batas syariat.
Industri seni yang matang bukan hanya dinilai melalui keberanian mencabar sempadan, tetapi juga melalui kebijaksanaan pengkarya menghasilkan karya yang kuat, bermutu dan bermakna tanpa mengorbankan nilai yang menjadi pegangan masyarakat.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok.

sekarang ya?

