Kepada Allah, kita datang dan kepada Allah kita pergi. Tidak pernah terlewat seminit atau tercepat sesaat, bila tiba masanya, kita akan kembali kepada Sang Pencipta.
Keterujaan pasangan pengantin yang baru berkahwin Jumaat lalu, memilih pelamin untuk majlis bertandang tidak kesampaian apabila terbabit dalam sebuah kemalangan di Kampung Galok, di sini, 4.45 petang semalam.
Kemalangan berkenaan meragut nyawa Wan Ahmad Haziq Wan Abd Razak, 25, manakala isterinya, Norainsya Mohd Suhaimi, 22, luka ringan di kepala.
Wan Ahmad Haziq sempat bergelar suami empat hari saja sebelum dijemput Illahi
Adik mangsa, Wan Ahmad Aizat Wan Abd Razak, 23, berkata, pada awalnya, dia menerima panggilan telefon daripada isteri mangsa memberitahu mereka terbabit dalam kemalangan dengan keadaan abangnya yang masih tidak diketahui.
Katanya, ketika dalam perjalanan ke Hospital Pasir Mas (HPM), dia terkedu kerana dikhabarkan abangnya sudah meninggal dunia, namun terus menguatkan semangat untuk sampai ke sana.
Ads
“Kali terakhir kami berjumpa ketika sarapan pagi bersama-sama di rumah ibu pagi tadi (semalam), memandangkan saya merancang untuk pulang Tanjung Malim, Perak, tempat saya bekerja pada sebelah petang.
“Kami berdua sangat akrab malah boleh dikatakan hampir setiap hari dia menelefon saya sebelum majlis perkahwinannya, untuk berkongsi persiapan dan keterujaan dia mendapat isteri memandangkan saya sudah berkahwin beberapa bulan lebih awal daripada abang,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik HPM, malam tadi.
Wan Ahmad Aizat dalam keadaan sebak mengakui, abangnya itu seorang anak yang sangat taat pada ibu mereka selain disenangi rakan-rakan kerana keramahannya selain suka membantu kenalan yang dalam kesusahan.
“Pemergiannya benar-benar memberi kesan buat kami sekeluarga, apatah lagi hanya beberapa hari dia membina ‘masjid’ bersama isteri tercinta. Bagaimanapun, kami reda dan akan terus menguatkan semangat kerana isterinya juga perlukan sokongan kami sekeluarga untuk terus kuat.
Ads
Wan Mohd Aizat sebak berkongsi kisah abangnya. Mereka sempat bersarapan pagi sama sebelum kemalangan ini terjadi.
“Insya-Allah sebaik selesai semua urusan di hospital, jenazah abang akan segera dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Beris Harab, Kota Jembal, di Kota Bharu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian itu.
“Hasil siasatan mendapati, pasangan berkenaan yang menaiki Perodua Myvi dipercayai hilang kawalan menyebabkan terbabas ke jalan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Alza ketika dalam perjalanan dari arah Tanah Merah ke Pasir Mas.
“Selepas bedah siasat dilakukan, didapati mangsa yang parah pada bahagian dada dan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan HPM, manakala isterinya mengalami luka di bahagian kepala.
Ads
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga arwah di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
‘Takdir Allah temukan semula.’ Bakal suami diuji kanser tahap 4, wanita ini tetap setia dan teruskan majlis perkahwinan.
Biarpun kesihatan pengantin lelaki kurang mengizinkan, namun majlis perkahwinan untuk pasangan ini diatur indah seperti biasa. Ternyata apa yang dilalui oleh pengantin ini bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi mereka buktikan cinta memang buta dan kerana cintalah dua insan ini disatukan.
Biarpun pernah kecundang dalam perkahwinan terdahulu, Siti Marha Azuar tidak serik untuk berkahwin semula, malah keikhlasannya terbukti apabila menerima lamaran pesakit barah otot (Leiomyosarcoma) tahap empat, Mohd Hashmi Arifin untuk memperisterikannya.
Malah, pada masa sama, Mohd Hashmi, 36, juga ikhlas dalam perhubungan kerana sanggup menerima Siti Marha, 35, yang berstatus ibu tunggal kepada dua cahaya mata berusia lima dan 11 tahun.
5 Tanggungjawab Suami Terhadap Pasangan , Isteri Yang Berkerja’
Berkongsi kisah di sebalik perhubungan mereka, Siti Marha yang juga jururawat berkata, dia berkenalan dengan suaminya sejak sembilan tahun lalu ketika Mohd Hashmi dimasukkan ke pusat perubatan tempatnya bertugas untuk mendapatkan rawatan akibat terbabit dalam kemalangan.
Menurutnya, hubungan mereka berdua ketika itu tidak lebih daripada seorang jururawat dan pesakit memandangkan dia sudah berkahwin.
“Suami sebenarnya adalah pesakit lama saya kerana mengenalinya ketika dia dimasukkan ke wad untuk menerima rawatan pada 2013.
“Selepas dia (Mohd Hashmi) keluar wad, kami tidak berhubung langsung dan tak sangka akan bertemu semula di pusat perubatan sama selepas lapan tahun, malah kami masih kenal satu sama lain.
“Pada awalnya, saya tiada perasaan terhadapnya kerana niat awal ketika bertemu adalah untuk merawat, rawatan fisioterapi serta membuat dressing (cuci luka) namun lama-kelamaan timbul pula rasa sayang terhadapnya,” katanya.
Menurut Siti Marha, cintanya tidak bertepuk sebelah tangan kerana Mohd Hashmi turut menaruh hati terhadapnya sebelum mereka cuba mengenali hati satu sama lain.
Katanya, keserasian yang ada membuatkan mereka sepakat untuk berkahwin dan hasrat itu dipermudahkan berkat restu keluarga kedua-dua belah pihak.
Beberapa hari lalu, viral sebuah video di TikTok tentang kisah cinta agung merpati dua sejoli iaitu Hashmi dan Marha, yang diakhiri dengan sebuah pernikahan.
Majlis akad nikah pasangan ini menjadi tular kerana wanita ini tetap setia di sisi bakal suami walaupun kini suaminya sedang diuji dengan kanser tahap 4.
Walaupun jelas kelihatan pengantin lelaki dalam keadaan lemah dan terbaring di katil, tetapi dia tetap gagahkan diri melalui proses akad nikah sehingga akhirnya.
Dengan sekali lafaz, pasangan ini selamat diijabkabulkan. Alhamdulillah Allah permudahkan segalanya.
“Allahuakbar, alhamdulillah. Sebak tengok majlis perkahwinan Hashmi dengan pasangan. Dalam keadaan dia yang tak berapa sihat. Allah permudahkan semuanya. Semoga kekal ke jannah, diberikan keajaiban untuk kesembuhan,” ucap @wilwafi211221.
Di ruangan komen, Marha menjelaskan persoalan warganet yang ingin tahu keadaan sebenar kesihatan suaminya. Kongsi Marha, suaminya merupakan pesakit kanser leiomysarcoma tahap empat.
Syukur pada Allah, keadaan kesihatan Hashmi langsung tak menjejaskan kemeriahan majlis tersebut. Malah, tidak menghalang pengantin perempuan untuk bergelar suami isteri.
‘Suami saya merupakan pesakit kanser tahap 4… Sejak bulan 9 dia tak dapat berjalan disebabkan kanser merebak ke tulang belakang.’
Seolah-olah tiada apa yang berlaku, keduanya tampak bahagia, apa lagi sejurus selesaikan lafaz ijab dan Kabul. Keduanya kelihatan tersenyum manis, semoga kekal hingga ke Jannah. Insyallah.
Rata-rata warganet mengucapkan tahniah buat pasangan tersebut selain menitipkan doa agar lelaki berkenaan dikurniakan kesembuhan.
Its zaleha
Semoga cinta kalian hingga syurga. Amin, selamat pengantin baru.
Waniezul
Barakallah sis dan suami. Muka kalian sama. Jodoh kuat. Semoga Allah sentiasa memberkati pasangan ini sehingga ke akhir hayat. Allahuakbar.
Articcqahh
Menangis saya tengok, semoga Allah lindungi hubungan kalian Semoga kekal ke Jannah.
Tahi atau najis cicak selalu ada merata-rata di bahagian lantai. Malah di ruang kita solat sendiri.
Namun bagaimana hukumnya jika kita memijaknya tak menyedarinya atau tak sengaja, adakah tahi cicak ini membatalkan wuduk? Ikuti penjelasan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkaitan kemusykilan agama ini.
Secara umumnya, tahi cicak termasuk dalam kategori najis mutawassitah. Hal ini kerana menurut mazhab al-Syafi‘i tahi, najis dan air kencing termasuk yang datang daripada haiwan adalah dikira sebagai najis.
Sekalipun pada asalnya mazhab Syafi‘i berpendapat tinja, bahan buangan dan kencing itu adalah najis, sama ada daripada sekalian haiwan sekalipun binatang yang dimakan dan tidak dimakan.
Namun ada beberapa keadaan, yakni berlakunya ‘Umum al-Balwa iaitu keadaan apabila keberadaan najis itu susah dikawal dan dielakkan, seperti tahi burung di dalam masjid, tinja ikan di dalam air dan tinja belalang, dan tinja haiwan yang tidak ada darah mengalir di dalam badannya termasuklah cicak mengikut pandangan sebahagian ulama, maka ia dianggap najis juga, tetapi dimaafkan kerana sukar untuk dielakkan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/550; Nihayah al-Muhtaj, 1/80).
Seterusnya, berkenaan perkara-perkara yang membatalkan wuduk pula, di dalam al-Fiqh al-Manhaji (1/62-63) disebutkan bahawa perkara yang membatalkan wuduk ada lima, iaitu:
-Keluar sesuatu daripada salah satu saluran qubul dan dubur kencing, tahi, darah, kentut dan lain-lain.
-Tidur yang tidak tetap. Maksud ‘tetap’ di sini ialah duduk dalam keadaan punggung bertaup rapat dengan lantai manakala maksud tidak tetap pula ialah terdapat rongga di antara punggung dan lantai.
-Hilang akal disebabkan sama ada mabuk, pitam, sakit atau gila.
-Seseorang lelaki menyentuh isterinya atau perempuan lain tanpa berlapik dan perbuatan itu membatalkan wuduk kedua-duanya. Maksud perempuan lain ialah perempuan yang halal berkahwin.
-Menyentuh kemaluan manusia, sama ada diri sendiri atau orang lain, sama ada qubul atau dubur dengan tapak tangan dan perut-perut jari tanpa berlapik.
Selain itu, dijelaskan juga bahawa segala sesuatu yang keluar dari saluran selain daripada saluran qubul dan dubur, jika ia bukan najis, maka tidak dianggap sebagai pembatal wuduk menurut kesepakatan para ulama. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/113).
Justeru, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa terkena atau terpijak tahi cicak mahupun najis-najis lain tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan wuduk atau air sembahyang.
Oleh itu, wuduk seseorang yang terkena najis masih sah dan tidak terbatal serta dia tidak perlu mengulanginya. Walau bagaimanapun, jika dia ingin mendirikan solat, maka perlulah dipastikan bahawa pakaian atau tempat yang terkena najis itu dibersihkan terlebih dahulu sebelum mendirikan solat.
Hal ini kerana di antara syarat sah solat ialah bersih daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat.
Oleh kerana tahi cicak termasuk dalam kategori najis mutawassitah, maka cara membersihkannya adalah dengan menghilangkan ainnya terlebih dahulu, kemudian mencucinya dengan air sehingga hilang bau, warna dan rasa.
Dalam situasi di dalam ruang solat (surau/masjid) sekiranya tahi cicak itu boleh untuk dielakkan, maka jika terpijak, hendaklah segera dibuang kerana dikhuatiri ia boleh merosakkan solat.
Namun, sekiranya tahi cicak itu sukar untuk dielakkan kerana terlalu banyak, ia tidaklah merosakkan solat kerana najis itu dimaafkan dan termasuk dalam ‘Umum al-Balwa.
Apakah status hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban (malam pertengahan bulan Sya’ban) dan juga amalan yang berkaitan dengannya?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Bulan Sya’ban adalah merupakan di antara bulan yang agung dalam syarak. Rasulullah SAW memperbanyakkan ibadah pada bulan ini dan disunatkan bagi kita untuk mempertingkatkan amalan dan ibadah kita sebagaimana yang disebut di dalam hadith yang sahih. Di samping itu, terdapat beberapa hadith yang menceritakan akan kelebihan malam nisfu Sya’ban.
Hadith-hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban telah diriwayatkan daripada Nabi SAW melalui beberapa jalur. Antaranya melalui jalur Abu Musa al-Asy’ari RA, Aisyah RA, Abu Tha’labah RA, Abdullah bin Amr RA, Mu’az bin Jabal RA, Abu Hurairah RA dan Abu Bakar RA.
Matan hadith
Di sini kami datangkan beberapa matan hadith yang berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban. Antaranya:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 1380] Imam al-Zahabi mengatakan hadith ini dhaif disebabkan terdapat pada sanadnya Ibn Lahi’ah. [Lihat: Talkhis al-‘ilal al-Mutanihiyah, 184]
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan sebanyak bilangan bulu kambing pengawal”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 670] Al-‘Aini mengatakan hukum hadith ini adalah munqathi’. [Lihat: ‘Umdah al-Qari, 11:116]
Maksudnya: “Apabila tiba malam nisfu Sya’ban, Allah SWT melihat kepada makhluk-Nya. Kemudian Allah SWT mengampunkan orang yang beriman serta mengabaikan orang yang kufur dan membiarkan orang yang dengki dengan dengkinya sehingga mereka itu meninggalkannya”. [Syu’ab al-Iman, no. Hadith 3551] Ibn Jauzi mengatakan bahawa hukum hadith ini adalah tidak sahih. [Lihat: al-‘Ilal al-Mutanihiyah, 2:560]
Maksudnya: “Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan hamba-Nya kecuali dua (golongan) iaitu orang yang bermusuhan dan orang yang membunuh diri”. [Riwayat Ahmad, no. Hadith 6353] Ibn Hajar mengatakan sanadnya layyin (salah satu daripada ciri hadith dhaif). [Lihat: al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair, 2:43] Manakala Ahmad Syakir mengatakan sanadnya adalah sahih [Lihat: Musnad Ahmad, 10:127]
Maksudnya: “Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 5665]
Maksudnya: “Apabial tiba malam nisfu Sya’ban, Allah SWT mengampunkan hamba-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Majma’ al-Zawaid, 8:68] Imam al-Sakhawi menyatakan bahawa perawi-perawinya tidak ada dipertikaikan. [Lihat: al-Ajwibah al-Mardhiyyah, 1:325]
Maksudnya: “Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan setiap yang bernyawa kecuali orang yang ada dalam hatinya permusuhan dan juga orang yang syirik”. Imam al-Bukhari mengatakan padanya nazhar (perlu diteliti),manakala Ibn ‘Adiy mengatakan sanadnya mungkar. [Lihat: Lisan al-Mizan, 5:269]
Tarjih hukum hadith
Setelah melihat hadith-hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban telah berlaku perselisihan antara para ulama’ dalam menyatakan hukum berkenaan hadith ini. Sebahagian mereka mengsahihkan hadith ini dan sebahagian lagi sebaliknya. Berdasarkan hadith-hadith yang kami nyatakan, ia menunjukkan akan sabitnya hadith-hadith yang menceritakan akan kelebihan malam nisfu Sya’ban sehinggakan Ibn Hibban mengsahihkan satu riwayat daripada Mu’az bin Jabal tanpa memerlukan sokongan daripada jalur yang lain. Untuk itu, kami cenderung untuk mengatakan bahawa hukum hadith ini sahih dengan kesemua jalur-jalurnya yang lain dan ini menunjukkan bahawa hadith ini mempunyai asal. Walaubagaimanapun, kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sabit namun amalan tertentu pada malam tersebut adalah tidak ada sama sekali melainkan amalan yang bersifat umum seperti memperbanyakkan zikir, istighfar kepada Allah SWT, solat-solat sunat, berdoa, bersedekah dan lain-lain lagi.
Antara ulama’ yang menyatakan sedemikian ialah Syeikh Syuaib al-Arnaouth ketika mentahqiqkan kitab Sahih Ibn Hibbanbahawa hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sahih berdasarkansyawahid-syawahidnya dan syawahid-syawahid ini saling menguatkan antara satu sama lain dalam bab ini (kelebihan malam pertengahan bulan Sya’ban) walaupun setiap jalur itu mempunyai perbincangan. [Lihat: Sahih Ibn Hibban, 12:481]
Feqah hadith
Antara feqah hadith yang boleh diambil dan difahami daripada hadith-hadith ini:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa syirik yang mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah SWT (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar”. [al-Nisa’:48]
Maksudnya: “Sesungguhnya pintu-pintu syurga pada hari Isnin dan Khamis maka diampunkan setiap hamba yang tidak syirik kepada Allah SWT dengan sesuatu kecuali bagi orang yang antara dia dan saudaranya saling bermusuhan. Lalu dikatakan: Tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai”. [Riwayat Muslim, 4652]
Maksudnya: “Janganlah saling memarahi, saling mendengki, saling membelakangi. Jadilah kalian hamba-hamba Allah SWT yang bersaudara”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 5612]
Maksudnya: “Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan. Para sahabat RA bertanya: Wahai Rasulullah SAW, apakah perkara-perkara tersebut? Rasulullah SAW bersabda: Syirik kepada Allah SWT, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah SWT kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri daripada peperangan dan menuduh wanita mukmin yang suci melakukan zina”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 2560]
Pendapat ulama’ berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban
Berikut adalah beberapa pendapat ulama’ berkaitan malam nisfu Sya’ban:
Telah berkata Imam al-Syafie RA: “Doa mustajab adalah pada 5 malam, iaitu malam jumat, malam al-Adha, malam al-Fitri, malam awal bulan Rejab, dan malam nisfu Sya’ban”. [Lihat: al-Um, 1:264]
Ibnu Rajab RA mengatakan: “Berkaitan malam nisfu Sya’ban, pada zaman dahulu para tabi’in daripada penduduk al-Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir, dan beberapa para tabi’in yang lain memuliakannya (malam tersebut) dan mereka bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu”. [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 247]
Pendapat ulama’ berkaitan solat sunat al-Raghaib (الرغائب)
Solat al-Raghaib adalah solat sunat yang dilakukan pada awal malam dalam bulan Rejab sebanyak 12 rakaat dan juga ia dilakukan pada malam nisfu Sya’ban sebanyak 100 rakaat. Selain itu, solat ini dilakukan antara waktu Maghrib dan Isyak. Antara dalil yang digunakan bagi menyatakan akan kewujudan solat ini adalah:
Maksudnya: “Wahai Ali, barangsiapa yang solat seratus rakaat pada malam nisfu Sya’ban, lalu dia membaca setiap rakaat itu surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas sebanyak sepuluh kali pasti Allah SWT akan memakbulkan setiap hajatnya”.
Hadith ini adalah palsu sebagaimana dihukum oleh Imam al-Syaukani , Imam Ibn al-Jauzi dan ramai lagi dalam kalangan ahli hadith. Selain itu, Imam Ibn al-Qayyim juga menyatakan bahawa antara hadith-hadith palsu adalah hadith berkaitan solat pada malam nisfu Sya’ban. [Lihat al-Manar al-Munif, 98]
Antara pendapat para ulama’ berkaitan solat sunat al-Raghaib adalah:
“Adapun solat sunat al-Raghaib adalah seperti solat yang biasa pada malam nisfu Sya’ban dan kedua-dua ini (solat pada awal malam dalam bulan Rejab dan malam nisfu Sya’ban ) adalah bid’ah yang buruk dan dikeji. Hadith berkaitannya pula adalah palsu maka ia dibenci kepada pelakunya samada bersendiri atau berjemaah”. [Lihat: al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1:216]
“Solat yang dikenali dengan solat al-Raghaib adalah solat yang dilakukan pada awal malam dalam bulan Rejab sebanyak 12 rakaat antara waktu Maghrib dan Isyak dan juga solat pada malam nisfu Sya’ban sebanyak 100 rakaat. Kedua-dua solat ini adalah bid’ah yang mungkar lagi buruk”. [Lihat: al-Majmu’, 3:548]
“Solat al-Raghaib adalah palsu (direka) di atas nama Rasulullah SAW dan pendustaan ke atas Baginda SAW. Para ulama’ telah menyebut akan bid’ah dan keburukan kedua solat ini dengan beberapa cara: Antaranya adalah bahawa sahabat, tabi’in dan generasi selepas daripada mereka daripada kalangan imam-imam yang mujtahid tidak menyatakan akan kedua solat ini. Jika kedua solat ini disyariatkan maka mereka tidak akan terlepas daripada melakukannya. Tambahan pula, ia muncul selepas 400 tahun”.
“Ini adalah solat al-Raghaib yang masyhur yang mana para huffaz telah bersepakat bahawa ianya palsu atau direka”.[Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 48]
Berdasarkan sebahagian pendapat ulama’ yang kami nyatakan ini, maka di sini kami ingin tekankan dan jelaskan bahawa solat al-Raghaib adalah tidak mempunyai asal di dalam agama dan ia merupakan satu pendustaan yang direka di atas nama Nabi SAW.
Amalan yang digalakkan pada malam nisfu Sya’ban
Islam tidak meletakkan sesuatu amalan khusus yang mungkin boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah untuk diamalkan pada malam nisfu Sya’ban tetapi dalam masa yang sama, kita hendaklah mengambil peluang dengan kelebihan yang ada pada malam tersebut dengan beramal sebanyak-banyaknya samada dengan membaca al-Quran, solat sunat, berzikir dan lain-lain lagi.
Walaubagaimanapun, kesemua amalan ini tidak boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah yang mesti dibuat dalam bentuk tuntutan kerana kesemua amalan ini adalah bersifat umum. Oleh itu, sekali lagi kami nyatakan bahawa tiada amalan khusus yang sabit daripada Nabi SAW berkaitan malam nisfu Sya’ban.
Penutup
Kesimpulannya, kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sabit berdasarkan hadith yang kami nyatakan di awal perbahasan iaitu Allah SWT akan turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban dan mengampunkan hamba-hamba-Nya. Dalam masa yang sama, tidak ada amalan yang khusus pada malam nisfu Sya’ban melainkan amalan-amalan yang bersifat umum. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam melaksanakan ibadah serta memelihara kita daripada melakukan perkara-perkara yang tidak mempunyai asal di dalam agama. Amin.