Memasak untuk suami dan keluarga memang sebahagian rutin buat seorang isteri. Meskipun bekerja namun tugas memasak ini tetap dilakukan oleh sebahagian besar isteri demi keluarga tersayang meskipun penat.
Bukan saja untuk berjimat, ia juga salah satu cara isteri untuk membahagiakan suami dan anak-anak.
Dalam pada itu ada juga isteri yang gigih memasak kerana percaya ada riwayat hadis yang menyebut ia sebagai salah satu cara untuk menghalang diri daripada api neraka.
Perkara inilah yang diutarakan oleh seorang netizen kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tentang kesahihan hadis tersebut.
Assalamualaikum, saya ingin bertanya berkenaan kesahihan hadis Rasulullah SAW berkata kepada Fatimah seperti di bawah:
Wahai Fatimah, kelebihan wanita yang mengeluarkan peluh ketika memasak untuk suami dan anak-anaknya, Allah akan bina parit antara dirinya dengan neraka bagi menghalang bahang api neraka itu dan jarak antara parit dengannya adalah sejauh langit dengan bumi (Abu Hurairah RA).
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan riwayat ini merupakan riwayat yang palsu. Ia tidak ditemui dalam mana-mana karya hadis muktabar bahkan karya himpunan hadis-hadis daif.
Lafaz riwayat ini hanya ditemui dalam Bahasa Melayu sahaja dan tersebar di kebanyakan media sosial dan blog-blog bertujuan untuk menggalakkan si isteri berkhidmat kepada suaminya.
Tidak salah untuk memberikan galakan kepada para isteri untuk berkhidmat pada suaminya namun janganlah sehingga menyebarkan hadis-hadis yang palsu kerana ia satu perbuatan yang berdosa. Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang sengaja berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”1 (Riwayat al-Bukhari)
Hadis sahih tentang ganjaran mentaati dan melayani suami
Sebenarnya terdapat banyak lagi hadis-hadis sahih yang menceritakan tentang keutamaan dan ganjaran bagi seorang isteri jika dia mentaati dan melayani suaminya dengan baik. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, puasa pada bulannya (Ramadhan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang anda kehendaki”2. (Riwayat Ibn Hibban)
Bahkan, isteri yang solehah dapat menggembirakan suaminya kerana jika si suami melihatnya maka akan menyenangkan hatinya. Hal ini sebagaimana yang disebutkan di dalam suatu hadis, Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Hendakkah kamu aku mengkhabarkan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.”3 (Riwayat Abu Daud)
Walau bagaimanapun, seorang isteri yang memasak untuk ahli keluarganya akan memperoleh ganjaran pahala di sisi Allah SWT kerana ia suatu perbuatan yang mulia.
Adakah dibolehkan makmum membaca al-Fatihah secara perlahan semasa imam sedang membaca al-Fatihah dalam solat berjemaah untuk mengelakkan daripada terlupa membacanya?
Jawapan:-
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Menjawab isu di atas, jika sekiranya sifatnya memang seorang yang sering pelupa, maka dibolehkan.[1] Akan tetapi nas menyebut supaya perlu senyap ketika imam sedang membacanya. Hal ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah R.A yang menyebut:
Maksudnya: “Nabi SAW solat bersama para sahabatnya yang kami mengira ia adalah solat Subuh. Beliau kemudian bersabda: “Apakah ada salah seorang daripada kamu yang membaca surah (di belakangku)?” Seorang lelaki menjawab, “Saya.” Baginda lalu bersabda: “Kenapa aku ditandingi dalam membaca Al Qur`an?” Riwayat Abu Daud (826), Ibn Majah (848),al-Nasa’ie (919) dan al-Tirmizi (195).
Ads
Dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda:
وَإِذَا قَرَأَ فَأَنْصِتُوا
Maksudnya: “Jika imam membaca (al-Fatihah), maka diamlah.” Riwayat Muslim (932)
Ads
Ini adalah bertepatan dengan firman Allah SWT:
وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ Maksudnya: “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-A’raf: 204)
Walaubagaimanapun, para ulama mengatakan bahawa sekiranya imam adalah seorang yang cepat bacaan al-Fatihahnya contohnya seperti ketika sembahyang terawih, manakala makmum pula perlahan dalam membaca al-Fatihah, maka dibolehkan untuk mula membaca bagi mengelakkan selalu tertinggal.
Ads
Oleh itu, hendaklah dilihat pada suasana-suasana dan keadaan-keadaannya. Hal ini sering terjadi ketika solat terawih di kampung-kampung di tempat kita. Semoga Allah mengurniakan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.
ﻭﺇﻥ ﺳﺒﻘﻪ ﺑﺎﻟﻔﺎﺗﺤﺔ ﺃﻭ اﻟﺘﺸﻬﺪ ﺑﺄﻥ ﻓﺮﻍ ﻣﻦ ﺃﺣﺪﻫﻤﺎ ﻗﺒﻞ ﺷﺮﻭﻉ اﻹﻣﺎﻡ ﻓﻴﻪ ﻟﻢ ﻳﻀﺮ Maksudnya: “Jika makmum mendahului Imam dengan bacaan al-Fatihah atau tasyahhud yang mana menghabiskan bacaan salah satu dari keduanya sebelum imam memulakan bacaan itu, maka ia tidak memudaratkan.” (Lihat Fath al-Mu’in, 2/48. Lihat juga Mughni al-Muhtaj, 1/255). Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Apakah hukum suami berkata menyesal bernikah tetapi suami tiada niat untuk menceraikan isteri? Adakah ia termasuk dalam lafaz talaq?
Jawapan:
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Sebelum menjawab persoalan di atas, perlu difahami terlebih dahulu berkenaan hukum talaq menggunakan lafaz yang jelas dan talaq menggunakan lafaz yang tidak jelas (kiasan). Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut:
Pertama: Talaq Menggunakan Lafaz yang Jelas
Lafaz talaq yang jelas (صريح) ialah lafaz yang digunakan, yang menunjukkan maksud talaq secara jelas dan tidak dapat diandaikan kepada maksud lain. Ia merupakan talaq yang jelas menggunakan lafaz yang tidak membawa makna lain kecuali talaq.
Lafaz yang jelas juga termasuk terjemahan lafaz talaq dalam bahasa lain selain daripada bahasa Arab berdasarkan penggunaannya yang lumrah dalam masyarakat sebagaimana lafaz talaq yang biasa digunakan oleh orang Arab.
Hukum Talaq Menggunakan Lafaz yang Jelas: Penceraian dengan lafaz yang jelas menyebabkan jatuh talaq sama ada berniat talaq ataupun tidak.
Hal ini kerana lafaz yang jelas dan maksud yang muktamad menunjukkan talaq tidak perlu kepada niat ketika melafazkannya.
Kedua: Talaq Menggunakan Lafaz yang Tidak Jelas (Kiasan)
Sementara lafaz talaq yang tidak jelas atau kiasan (كناية) ialah yang tidak menunjukkan maksud talaq secara jelas dan boleh diandaikan dengan maksud yang lain selain talaq.
Terdapat banyak lafaz talaq secara kiasan, antaranya:
– Engkau tiada apa-apa lagi denganku.
– Engkau berasingan daripadaku.
– Engkau terputus hubungan denganku.
– Kembalilah kepada keluargamu.
– Pergilah ke mana engkau mahu.
– Pergi jauh daripadaku.
– Asingkanlah diri daripadaku.
– Aku biarkan kamu dengan caramu.
– Engkau haram bagiku.
Semua lafaz ini dianggap sebagai lafaz kiasan yang menunjukkan talaq kerana ia membawa maksud talaq dan maksud yang lain.
Hukum Talaq Menggunakan Lafaz Tidak Jelas (Kiasan): Lafaz talaq kiasan walaupun selalu digunakan untuk maksud talaq, seperti: “Engkau haram atasku” tidak menyebabkan jatuh talaq melainkan apabila suami berniat menceraikannya. Jika suami berniat yang lain selain talaq atau bermaksud apa-apa pun, maka tidak jatuh. (Lihat kitab al-Fiqh al-Manhaji, 3/14-18).
Apa Hukum Suami Berkata “Menyesal Bernikah dengan Isteri”?
Berdasarkan persoalan yang timbul, kami dapati ucapan yang dilafazkan tersebut bukanlah lafaz talak. Ia tidak termasuk sama ada di dalam lafaz talaq yang jelas atau tidak jelas. Ia hanyalah sekadar satu kata-kata meluahkan perasaan kekesalan yang tidak ada kaitan dengan konsep talaq yang dibincangkan. Oleh itu, talaq tidak jatuh terhadap isteri tersebut.
Kami berpendapat, amat perlu belajar serta mendalami hukum-hakam berkaitan perkahwinan terlebih dahulu sebelum berlangsungnya perkahwinan.
Begitu juga, kami mengambil peluang di sini untuk menasihati agar berbincanglah dengan baik setiap permasalahan yang timbul dan mohonlah kepada Allah SWT agar diberi pertolongan dalam menyelesaikan konflik yang berlaku.
Sekiranya memerlukan orang tengah untuk mendamaikan pertelingkahan, maka lakukanlah sebagaimana firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.”
(Surah al-Nisa: 34-35)
Ibn Kathir berkata: “Ali bin Abi Talhah mengatakan daripada Ibnu Abbas R.Anhuma: Allah SWT memerintahkan mereka untuk mengutus seorang lelaki yang soleh (dipercayai) daripada pihak keluarga lelaki dan seorang yang sama daripada pihak keluarga wanita.
Hal ini untuk meneliti siapa di antara keduanya yang melakukan perkara buruk. Jika suami yang melakukan keburukan, maka mereka dapat melindungi isteri dan membataskan kewajipannya dalam memberi nafkah. Jika isteri yang melakukan keburukan, mereka dapat mengurangkan haknya dari suami dan menahan nafkah yang diberikan kepadanya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/302)
Selain itu, boleh meminta pandangan dan nasihat daripada para ulama’, ibu dan ayah, saudara mara yang amanah, rakan-rakan yang dipercayai dan adil yakni yang baik agamanya. Jika tidak, maka rujuklah kepada peguam, hakam dan sebagainya.
Sekiranya di Wilayah Persekutuan, boleh mendapatkan nasihat daripada Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga (BPPK) yang merupakan salah satu bahagian di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang bersedia membantu pada bila-bila masa.
Ini bagi mendapatkan mendapatkan khidmat runding keluarga (kaunseling) dan sebagainya. Atau sekiranya menetap di negeri lain, boleh juga merujuk kepada badan yang menjalankan khidmat nasihat di negeri-negeri berkaitan.
Mudah-mudahan Allah memberikan ketenangan dan kebahagiaan kepada kita dalam melayari kehidupan rumahtangga dan tercapai apa yang dimaksudkan dengan Baiti Jannati. Amin.
‘Baca lebih dapat pahala ke?’ Apakah hukumnya, membaca dua surah berbeza selepas al-Fatihah dalam rakaat yang sama. Kebiasaannya segelintir daripada kita hanya membaca satu surah tambahan sebelum rukuk.
Namun ada juga di kalangan kita yang membaca dua surah usai bacaan al-Fatihah dalam rakaat pertama dan kedua. Apakah hukumnya membaca lebih satu surah, ikuti kemusykilan berkaitan isu ini.
Saya ada satu soalan. Bolehkah saya membaca dua surah pilihan yang berbeza selepas al-Fatihah dalam rakaat yang sama? Mohon pencerahan.
Jawapan:
Pada asasnya, solat merupakan salah satu amal ibadat yang paling utama dalam kehidupan kita. Kemudian, dalam solat pula disyariatkan untuk membaca ayat-ayat al-Quran seperti surah al-Fatihah yang merupakan salah satu rukun qauli dan ayat-ayat yang lain.
Maksudnya: “Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya dari al-Quran; dan dirikanlah solat.”
‘Baca Lebih Dapat Pahala Ke?
Malah, membaca satu surah daripada al-Quran sekalipun ayat yang pendek atau membaca tiga ayat al-Quran yang berurutan adalah disunatkan.
Bacaan ini disunatkan bagi imam dan orang yang mendirikan solat secara bersendirian pada dua rakaat yang pertama sahaja bagi setiap solat.
Sementara makmum juga disunatkan membacanya pada solat yang diperlahankan bacaan atau sekiranya dia berada jauh daripada imam dan tidak kedengaran bacaannya.
Membaca Dua Surah Berbeza
Berbalik kepada soalan yang diajukan, jumhur ulama berpendapat diharuskan untuk menghimpunkan dua surah, yakni membacanya dalam satu rakaat.
Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith daripada riwayat Huzaifah R.A, beliau berkata:
صَلَّيْتُ مع النبيِّ ﷺ ذاتَ لَيْلَةٍ، فافْتَتَحَ البَقَرَةَ، فَقُلتُ: يَرْكَعُ عِنْدَ المِائَةِ، ثُمَّ مَضى، فَقُلتُ: يُصَلِّي بها في رَكْعَةٍ، فَمَضى، فَقُلتُ: يَرْكَعُ بها، ثُمَّ افْتَتَحَ النِّساءَ، فَقَرَأَها، ثُمَّ افْتَتَحَ آلَ عِمْرانَ، فَقَرَأَها
Maksudnya:
“Pada suatu malam, aku mendirikan solat bersama Nabi SAW. Baginda memulakan bacaan solatnya — selepas al-Fatihah — dengan membaca awal surah al-Baqarah. Aku berkata (yakni menyangka dalam hatinya):
‘Barangkali Baginda akan rukuk apabila sampai pada ayat yang keseratus,’ kemudian Baginda melepasinya. Aku berkata (yakni menyangka dalam hatinya):
‘Baginda akan membaca surah al-Baqarah dalam satu rakaat,’ kemudian Baginda melepasinya, lalu aku berkata (yakni menyangka): ‘Baginda akan rukuk.’ Namun Baginda melanjutkan dengan membaca surah al-Nisa’ dan seterusnya menyambung pula dengan membaca surah Ali ‘Imran.”
Dalam Rakaat Yang Sama
Walau bagaimanapun ulama dalam kalangan mazhab Hanbali membezakan di antara solat fardhu dan solat sunat. Mereka berpendapat, tidak mengapa menghimpunkan surah-surah.
Yakni membaca lebih daripada satu surah, dalam satu rakaat dalam solat sunat berdasarkan riwayat-riwayat yang disebutkan di atas kerana dalam riwayat-riwayat tersebut menunjukkan bahawa Baginda sedang mendirikan solat sunat seperti qiyamullail dan selainnya.
Adapun dalam solat fardu, mereka menyukai yakni menggalakkan sekiranya ia diringkaskan dengan hanya satu surah pilihan selepas bacaan al-Fatihah. Hal ini kerana begitulah kebanyakan solat Baginda SAW dan inilah salah satu riwayat (pendapat) daripada mereka.
Pendapat Ulama Berbeza
Manakala dalam satu riwayat yang lain adalah sebagaimana pendapat ulama mazhab Maliki iaitu hukumnya adalah makruh kerana Nabi SAW memerintahkan Muaz untuk membaca satu surah sahaja yakni dalam satu rakaat dalam solatnya.
Begitu juga Syeikh al-‘Uthaimin juga pernah menyebutkan dalam fatwanya bahawa seseorang itu boleh untuk membaca selepas surah al-Fatihah dua surah atau tiga surah, mahupun meringkaskannya dengan hanya membaca satu surah atau membahagikan satu surah kepada dua bahagian.
Kesemua perkara tersebut dibolehkan berdasarkan kepada keumuman firman Allah SWT:
فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنَ الْقُرْآنِ
Maksudnya: “Oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya daripada al-Quran — dalam sembahyang.”
Begitu juga sabda Nabi SAW:
ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنَ القُرْآنِ
Maksudnya: “Kemudian bacalah ayat al-Quran yang mudah bagi kamu daripada al-Quran.”
Kesimpulannya:
Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa diharuskan untuk membaca dua surah yang berbeza ataupun lebih selepas surah al-Fatihah dalam satu rakaat, serta sesiapa yang membacanya dikira mendapat pahala sunat bacaan surah atau ayat-ayat al-Quran selepas al-Fatihah dalam solat.
Walau bagaimanapun, perkara ini sekalipun diharuskan dan solatnya dikira sah serta tidak batal, namun sebaiknya dalam solat fardhu ia diringkaskan dengan hanya membaca satu surah sahaja atau tidak memanjangkannya, lebih-lebih lagi jika dia seorang imam bagi meraikan keperluan makmum.
"Wahai jiwa-jiwa yang sentiasa tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan engkau reda dan aku reda. Dan berkumpullah kalian dalam kalangan orang-orang yang berbahagia dan masuklah kalian ke dalam syurga".