Hutang dan harta peninggalan adalah dua perkara besar yang sepatutnya kita uruskan sebaik mungkin semasa masih hidup lagi, apatah lagi pasangan suami isteri.
Sebagai contoh, semasa arwah suami masih hidup, hubungan isteri dengan ahli keluarga kekal baik, namun ia berubah sekelip mata apabila tiba masa urusan pembahagian harta dan hutang arwah.
Salah satu isu yang sering timbul ialah apabila isteri ingin gunakan wang KWSP untuk membayar segala hutang yang ditinggalkan arwah dan menganggap harta yang telah dilunaskan hutangnya itu, akan menjadi miliknya.
Pihak pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkongsi permasalahan yang diajukan oleh seorang balu tentang isu ini.
Gambar sekadar hiasan
Soalan Suami saya baru meninggal. Kami ada dua buah kereta. Sebuah daripadanya sudah selesai hutang manakala sebuah lagi masih berhutang.
Bolehkah saya membayar semua hutang arwah dengan duit KWSP arwah yang akan saya terima, beranggapan dengan pembayaran tersebut kereta arwah boleh menjadi milik saya? Mohon penjelasan.
Jawapan Situasi di atas berkait dengan permasalahan isu faraid kerana melibatkan harta yang ditinggalkan si mati. Harta faraid atau harta peninggalan seperti yang ditetapkan oleh pihak Baitulmal MAIWP[1] ialah semua harta yang mempunyai nilai dan dimiliki semasa hayatnya serta berterusan sehingga kematiannya.
Harta-harta itu termasuklah:
Semua harta yang diperolehi secara halal melalui jual beli, hibah, wasiat, pembahagian pusaka, hadiah, sedekah dan sebagainya.
Sewa yang masih belum dijelaskan kepada si mati.
Hutang kepada si mati yang dijelaskan selepas kematiannya.
Dividen/faedah yang terbit daripada harta si mati.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Barang yang terbit selepas kematiannya dari usaha semasa hayatnya, misalnya ikan yang masuk ke dalam bubu yang ditahan oleh si mati.
Berdasarkan harta-harta yang disenaraikan di atas, kedua-dua kereta arwah termasuk dalam kategori harta peninggalan yang perlu dibahagikan kepada ahli-ahli waris yang berhak.
Seterusnya, jika arwah mempunyai hutang, maka hutang itu perlu diselesaikan terlebih dahulu menggunakan harta arwah yang sedia ada.
Ini kerana apabila seseorang meninggal dunia, terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan berhubung harta peninggalan arwah sebelum ia difaraidkan kepada ahli-ahli waris yang ada.
Harta tersebut digunakan untuk membiayai kos pengurusan jenazah, hutang-piutang, wasiat dan akhir sekali difaraidkan kepada ahli waris.
Berdasarkan situasi di atas, perlu dijelaskan terlebih dahulu bahawa duit KWSP yang diterima oleh isteri arwah sebenarnya masih di bawah hak milik arwah suaminya. Kedudukan duit KWSP yang diterima oleh isteri hanyalah sebagai penama sahaja.
Ads
Penama bermaksud mereka bertindak selaku pentadbir bagi menguruskan pengeluaran dan pembahagian simpanan KWSP ahli mengikut Undang – Undang Islam. Oleh yang demikian, penama bukanlah pemilik harta, lebih tepat disebut sebagai pengurus harta.
Selain itu, hutang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Memandangkan duit KWSP dianggap sebagai harta arwah, maka tidak menjadi masalah kepada ahli waris khususnya penama untuk menggunakan duit tersebut bagi menyelesaikan segala hutang-piutang arwah termasuklah hutang kereta.
Namun begitu, sekiranya isteri arwah beranggapan kereta akan menjadi miliknya kerana menyelesaikan hutang kereta suami melalui duit KWSP tersebut, maka kami berpandangan kefahaman ini kurang tepat dan perlu diperbetulkan.
Alasannya, penerimaan duit KWSP tersebut hanya sebagai penama bukan bertukar hak pemilikan.
Ads
Lantaran itu, jika arwah masih mempunyai ibu bapa dan anak-anak, maka mereka semua mempunyai bahagian dan hak terhadap harta arwah termasuk dua biji kereta yang ditinggalkan.
Kereta itu tidak terhad kepada isteri arwah semata-mata melainkan kereta tersebut sudah dihadiahkan dan ditukar geran kepada nama isteri semasa suaminya masih hidup.
Sebagai ilustrasi bahagian faraid bagi ahli waris sekiranya si mati masih mempunyai seorang anak lelaki, ibu dan bapanya.
Contoh Pembahagian Faraid:
Harga semasa kereta: RM 24,000 Ibu: 1/6 (RM 4,000) Bapa: 1/6 (RM 4,000) Isteri: 1/8 (RM 3,000) Anak Lelaki: Baki harta (RM 13,000)
Berdasarkan penerangan di atas, dapat disimpulkan bahawa kereta tersebut tidak menjadi milik penuh isterinya walaupun dia sendiri menawarkan diri untuk melangsaikan hutang arwah, sebaliknya kereta tersebut tetap perlu dibahagikan mengikut pecahan faraid seperti contoh di atas.
Pemilikan penuh hanya boleh berlaku sekiranya ahli-ahli waris yang lain menggugurkan hak masing-masing sama ada diberikan secara percuma ataupun mereka menuntut bayaran bahagian masing-masing sebelum dilepaskan.
Kala ini ramai mempersoalkan SOP di kalangan orang miskin dan orang kayangan. Banyak contoh-contoh jelas berlaku di depan mata sehingga segelintir netizen merasakan mereka juga perlu menjadi kaya agar boleh balik kampung menjengah mak ayah atau pergi berbulan madu. Walau kerajaan menegaskan tiada kompromi antara golongan ini tetapi semakin hari semakin banyak kepincangan peraturan ditunjukkan di depan mata.
Malah di media sosial, ramai yang melihat kemiskinan atau hidup seadanya sebagai “satu masalah” di mana mereka beranggapan menjadi kaya boleh buat macam-macam perkara. Misalannya dakwaa boleh rentas negeri, boleh balik kampung, boleh hantar kereta pada mak ayah dan sebagainya tapi kalau orang miskin hanya perlu duduk di rumah sahaja. Kalau buat kena denda? Namun sebelum kita merosakkan pemikiran tentang istilah miskin, kaya atau kayangan ini, dengarkanlah sebuah hadis Rasulullah SAW ini.
Daripada Ibnu Abbas dan ‘Imran bin Hussain r.a, bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: “Aku melihat ke dalam syurga, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada kalangan orang-orang fakir miskin. Dan (apabila) aku melihat ke dalam neraka, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada golongan perempuan.” (Hadis riwayat Muttafaqun ‘alaih)
Sesuatu yang perlu dikaji dan kita fikirkan, kenapakah di dalam syurga ramai kaum fakir dan miskin? Di mana orang kaya? Dari hadis ini jelas tidak ramai orang kaya di syurga Allah. Di mana golongan kaya di dunia berada kalau bukan di syurga Allah? Di akhirat kita bukan ada rumah banglo, rumah teres atau rumah flat sebaliknya hanya ada dua sahaja iaitu syurga dan neraka? Apa kelebihan si fakir dan miskin sehingga mereka pula yang meramaikan syurga?
Perlu difahami, atau jangan pula beranggapan tak apa jadi miskin, nanti masuk syurga kerana hadis di atas. Kita memang disuruh bertebaran ke serata ceruk muka bumi mencari rezeki tapi rezeki yang halal selain meneguh keimaman kita kepada Allah. Jangan jadi orang miskin tapi iman selemah-lemah iman kerana beranggapan akan hadis di atas.
Bacalah satu perkongsian cerita di bawah ini yang sarat dengan pengajaran.
Dipetik dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, lihatlah bagaimana orang miskin tapi imannya teguh (walau ditawar kekayaan oleh putera Raja namun dirinya menolak sama sekali). Kerana teguhnya iman dan pendiriannya, mendorong putera raja “mengikut” langkah si miskin dan membuang kekayaannnya dan merasai kehidupan sebagai orang miskin sehingga ke akhir hayatnya.
Kisah ini diambil dari tulisan Dr. Aidh al-Qarni dalam bukunya bertajuk Siyat al-Qulub. Berikut kisah yang beliau nukilkan dalam buku tersebut:
Pada suatu hari, Putera ‘Ali – salah seorang daripada putera Khalifah al-Ma’mun – berdiri sambil melontarkan pandangannya ke luar istana memerhatikan pasar kota Baghdad. Dia sedang berada di puncak istana yang megah; makanannya lazat, kenderaannya empuk dan hidupnya menyenangkan. Dia memakai pakaian yang cantik lagi indah dan menikmati makanan yang paling lazat. Sepanjang hidupnya dia tidak pernah merasa apa yang dinamakan lapar dan tidak pernah merasa haus. Dahinya juga tidak pernah terkena pancaran sinar matahari.
Dia memandang ke arah orang-orang yang lalu lalang di pasar. Pandangan putera mahkota terhala kepada seorang lelaki daripada sekian banyak manusia yang dilihatnya. Lelaki itu bekerja sebagai kuli yang bekerja mengangkat barang-barang orang lain dengan diberi upah.
Pada diri lelaki tersebut terpancar tanda kesolehan dan ahli ibadah. Barang yang dipikulnya diletakkan di atas belakangnya. Dia memikul barang-barang tersebut dari satu kedai ke kedai yang lain, dari satu tempat ke tempat yang lain.
Putera mahkota tersebut, dari atas istana memperhatikan tingkahlaku dan aktiviti yang dilakukannya di pasar itu. Apabila waktu Dhuha telah mencapai pertengahannya, tukang pikul ini lalu meninggalkan pasar dan pergi menuju ke tepi sungai Tigris, lalu mengambil air wudhuk dan menunaikan solat dua rakaat. Kemudian dia mengangkat kedua tangannya berdoa kepada Allah SWT.
“Maha Suci Allah yang dapat dihubungi oleh orang-orang fakir miskin. Maha Suci Allah yang berlindung kepada-Nya orang-orang yang teraniaya dan orang-orang yang tertindas. Maha Suci Allah yang dikenal oleh orang-orang yang sederhana dan terhalang dari kebanyakan orang-orang kaya dan orang-orang yang terpandang.” Apabila tukang pikul ini selesai solat Dhuha, dia kembali bekerja sehingga menjelang waktu Solat Zohor. Kemudian dia membeli roti berharga satu dirham, lalu roti itu dibawanya ke tepi sungai Tigris. Roti itu kemudian dibasahkan dengan air terlebih dahulu, barulah dia makan dan minum.
Setelah selesai makan, dia mengambil air wudhuk untuk solat Zohor dan kemudian berdoa, menangis dan mengadu kepada Allah SWT. Kemudian dia tidur sejenak. Setelah itu, dia bangun, lalu turun ke pasar dan bekerja lagi dengan bersungguh-sungguh. Selesai semuanya itu, dia membeli roti lalu pulang ke rumahnya.
Putera Raja tawar kekayaan dunia namun ditolak mentah-mentah
Pada hari yang kedua, dia kembali melakukan kegiatan rutinnya seperti biasa tanpa ada perubahan. Hal yang sama dia lakukan pula pada hari yang ketiga, hari yang keempat sehingga beberapa hari berikutnya.
Akhirnya, putera mahkota itu pun menyuruh salah seorang pengawalnya untuk memanggil tukang pikul itu, kerana dia ingin bercakap dengannya di istana. Pengawal itu lalu pergi untuk memanggil tukang pikul tersebut.
Apabila melihat kedatangan pengawal kerajaan itu, tukang pikul berkata kepada dirinya sendiri, “Ada urusan apakah tentang Bani Abbas ini datang kepadaku? Aku rasa aku tiada urusan dengan khalifah.” Mereka berkata, “Putera khalifah memerintahkan kepadamu untuk datang menghadap beliau sekarang juga.”
Seketika terlintaslah dalam fikiran si miskin ini bahawa putera khalifah pasti akan bertanya dan menghukum dirinya. Disebabkan itu, dia berkata, “حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ” (Cukuplah Allah menjadi pelindung kami, dan Dia adalah sebaik-baik penolong).
Kalimat ini adalah senjata orang-orang miskin, orang-orang yang tertindas, dan orang-orang yang teraniaya serta orang-orang yang lemah, namun dapat meruntuhkan keangkuhan orang-orang yang melampaui batas, dapat merobekkan jerejak besi, dan dapat meruntuhkan benteng yang kukuh.
Nabi Ibrahim AS ketika ditangkap, sedangkan api telah menyala dengan hebatnya, lalu mereka melemparkannya ke dalam kemarakan api itu, dia mengeluarkan senjatanya dan berdoa, , “حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ” (Cukuplah Allah menjadi pelindung kami, dan Dia adalah sebaik-baik penolong). Maka ketika itu juga Ibrahim AS sdengan nikmat daripada Allah dan kurniaan-Nya selamat daripada api tanpa terbakar walaupun sedikit pada badannya.
Orang miskin ini masuk menemui putera khalifah yang bernama Ali bin al-Ma’mun dan mengucapkan salam kepadanya. Beliau bertanya kepadanya, “Adakah kamu kenal diriku?”
Dia menjawab, “Aku belum pernah melihat tuan, tetapi aku mengenal tuan.”
“Aku adalah anak khalifah,” jawab Ali.
“Orang ramai menyebut demikian,” jawab si miskin bersahaja.
“Apa pekerjaanmu?” tanya Ali.
“Aku bekerja bersama hamba-hamba Allah di negeri Allah,” jawab si miskin.
“Aku telah melihatmu selama beberapa hari terakhir ini, dan aku lihat kamu begitu sengsara. Maka aku ingin meringankan penderitaanmu,” Putera khalifah itu menawarkan bantuan kepadanya.
“Dengan cara apakah tuan akan melakukannya?” si miskin kembali bertanya.
“Kamu dan keluargamu boleh tinggal dalam istana bersamaku. Kamu akan hidup senang, mempunyai tempat tinggal, makan dan minum tanpa ada sebarang kesusahan dan kesulitan, serta tanpa ada penderitaan dan kesedihan,” jawab putera khalifah tersebut.
Si miskin menjawab, “Wahai putera khalifah, tidak ada kesusahan bagi orang yang tidak berdosa, tidak ada penderitaan bagi orang yang tidak derhaka, dan tidak ada kesedihan bagi orang yang tidak melakukan kejahatan. Adapun orang yang berpetang hari dalam kemurkaan Allah dan berpagi hari dalam keadaan derhaka terhadap Allah, maka dia adalah orang yang selalu ditimpa kesusahan, kesedihan dan penderitaan.
Putera khalifah kemudian bertanya tentang keluarganya, lalu si miskin menjawab, “Aku hanya memiliki ibuku yang sudah tua renta dan saudara perempuanku yang buta lagi papa. Aku datang dengan membawa roti untuk memberi makan berbuka puasa kepada keduanya sebelum matahari tenggelam, kerana keduanya selalu berpuasa setiap hari. Kami makan bersama, kemudian tidur.”
Putera khalifah bertanya, “Waktu mana engkau bangun?”
Dia menjawab, “Apabila rahmat yang Maha Hidup Kekal lagi terus-menerus mengurus makhluk-Nya turun ke langit yang terdekat (waktu sahur).”
Putera khalifah bertanya lagi, “Apakah kamu mempunyai hutang?”
Dia menjawab, “Dosa-dosa yang aku lakukan antara aku dan Allah yang Maha Hidup Kekal lagi terus-menerus mengurus makhluk-Nya.”
Putera khalifah bertanya, “Adakah kamu ingin hidup seperti kami?” “Tidak, demi Allah,” jawab tegas si miskin.
“Mengapa?” Putera khalifah bertanya kehairanan.
“Aku takut hatiku akan menjadi keras, dan agamaku menjadi rosak,” jawab si miskin.
“Apakah kamu lebih memilih menjadi kuli tukang pikul di pasar dalam keadaan lapar di bawah terik matahari, tidak berpakaian, susah, sedih lagi sengsara, dan tidak mahu hidup bersamaku di dalam istana kerajaan?” tanya putera khalifah.
“Benar, demi Allah.” Jawab si miskin. Kemudian dia pun turun, dan pergi meninggalkan putera khalifah.
Disangka sudah mati tapi hidup Putera Mahkota penuh dengan amal selepas menyamar menjadi miskin
Putera khalifah merenung dan berfikir dengan perasaan yang syahdu sesudah mendengar ucapan si miskin yang penuh keimanan dari hatinya.
Pada suatu malam, putera khalifah terbangun dari tidurnya yang begitu lena lagi lama. Beliau disedarkan oleh seruan daripada Allah yang membangunkannya:
Bangunlah wahai orang yang banyak tidur, Sampai bilakah keadaan seperti ini, Dunia ini adalah negeri yang fana (binasa), Semuanya yang ada pastilah lenyap, Kebaikannya pula sangat sedikit, Sedang keburukannya amat banyak, Usia di dunia makin berkurang dan keburukan makin bertambah, Oleh kerana itu, perbanyaklah membuat bekal, Kerana perjalanan yang akan ditempuh sangatlah jauh.
Putera khalifah terjaga di tengah malam, lalu berkata kepada pengawal peribadinya, “Aku akan bermusafir ke suatu tempat. Setelah tiga hari dari musafirku, sampaikanlah kepada ayahku, al-Makmun, bahawa aku bermusafir dan akan bersua lagi dengannya pada hari Akhirat kelak di padang Mahsyar.”
Mereka bertanya, “Mengapa engkau mahu bermusafir?”
Putera khalifah menjawab, “Aku telah muhasabah diriku, dan ternyata aku berada dalam kealpaan, tidur yang nyenyak, terdampat dan sesat, maka aku ingin berhijrah kepada Allah dengan membawa ruhku.”
Dia pun berangkat pergi di tengah malam, dalam keadaan meninggalkan baju kebesarannya dan memakai pakaian orang miskin, lalu pergi bermusafir menempuh perjalanannya hingga lenyap dari pandangan mata. Adapun khalifah tidak mengetahui ke mana arah yang dituju oleh puteranya. Begitu juga penduduk kota Baghdad. Saat terakhir pembantu istana melihat putera khalifah ialah pada hari dia meninggalkan istana menaiki kenderaannya menuju ke Wasith[16] sebagaimana yang dikatakan oleh ahli sejarah.
Putera khalifah telah mengubah penampilan dirinya dan menjadi seperti orang miskin serta bekerja dengan seorang saudagar untuk menghasilkan batu bata. Beliau mempunyai wirid yang selalu dilaziminya dan setiap pagi dia menghafal al-Qur’an, berpuasa setiap Isnin dan Khamis serta di malam harinya berqiamullail dan bermunajat kepada Allah yang Maha Hidup Kekal lagi terus menerus mengurus makhluk-Nya. Dia tidak mempunyai wang yang cukup untuk keperluan hidup sehari-harinya. Seketika kemudian, lenyaplah kesusahan dan kesulitan serta kesedihannya. Begitu juga lenyaplah rasa besar diri, sombong dan angkuh dari dalam hatinya.
Maksudnya: Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Surah al-An’am (122)
Ketika ajal sudah mendekatinya, dia memberikan cincin yang selalu dipakainya kepada majikannya – saudagar tersebut – dan berpesan, “Aku sebenarnya adalah anak khalifah al-Ma’mun. Apabila aku mati, maka mandikanlah, kafankanlah, dan kuburkanlah aku. Kemudian serahkanlah cincin ini kepada ayahku.”
Saudagar itu pun memandikan, mengafankan, dan mensolatkan jenazahnya, kemudian menguburkannya. Setelah itu, lalu dia membawa cincin itu kepada Khalifah al-Ma’mun. Pada awal mulanya, khalifah menyangka bahawa puteranya telah terbunuh di suatu tempat atau hilang atau pergi ke suatu tempat tanpa ada khabar beritanya. Setelah dia melihat cincin itu, dia pun sangat terkejut dan menangis dengan suara yang sangat kuat. Kemudian khalifah bertanya kepada saudagar itu berita tentang anaknya. Saudagar pun menceritakan kepada khalifah perihal puteranya.
Setelah mereka mendengar kisahnya, khalifah dan para menterinya menangis kesemuanya. Mereka mengetahui bahawa puteranya telah mengetahui jalannya, tetapi mereka tidak mahu berjalan bersamanya.
Maksudnya: Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam. Surah al-An’am (125)
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Menjadi rakyat Malaysia, sangat bangga melihat kegigihan barisan hadapan atau dipanggil frontliner yang bertanggungjawab membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjuang menentang wabak COVID-19 ini.
Mereka sanggup mengetepikan keluarga demi untuk menunaikan tanggungjawab serta komited dengan tugas yang diamanahkan.
Melihat perkongsian perbualan Datuk Aznil Haji Nawawi dengan seorang kakitangan barisan hadapan ini yang bertugas di Hospital Seremban dikenali dengan Nurul memang cukup beri kesan mendalam.
Menurut Nurul, dia dipinjam daripada unit rawatan jantung untuk memenuhi keperluan rawatan pesakit COVID-19 di Malaysia.
Dia turut berkongsi kesukaran pemakaian Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) di mana Setiap kakitangan terpaksa mengenakan sut berkenaan sehingga 18 jam sehari.
Dan disebabkan itu juga kebanyakan frontliner ini terpaksa menjamak solat fardhu, menahan lapar sehingga PPE dibuka dan terus dilupuskan.
Tambah Nurul lagi, kakitangan yang bertugas di Unit Rawatan Rapi pula terpaksa bekerja lebih dari 18 jam sehari bagi memastikan pesakit mendapat rawatan sepenuhnya.
Apa yang lebih menyedihkan dalam perbualan itu, Nurul yang juga ibu tunggal memberitahu dia sudah lama tidak berpeluang bertemu dan memeluk anaknya kerana tidak mahu merisikokan nyawa mereka.
“Saya tidak dapat berjumpa mereka sejak cuti sekolah bermula. Saya terpaksa menghantar kedua-dua anak untuk dijaga oleh adik. Saya juga merupakan seorang ibu tunggal.
“Selalunya kami akan buat panggilan video call dan mereka selalu bertanya bila ibu boleh balik, bila kita boleh makan bersama, bila nak keluar jalan sama-sama.
“Saya hanya mampu menjawab, bila keadaan sudah reda nanti. Kami sendiri tidak pasti bila keadaan akan beransur pulih. Ramai kawan-kawan di Hospital Sungai Buloh sudah lama tidak pulang ke rumah kerana kekurangan kakitangan.
“Bukan tidak takut terkena jangkitan, namun kita kena ikhlaskan diri. Selama mana harus melawan wabak ini jika kita tidak berjuang. Apa yang membuatkan saya terus berjuang dan bertahan merawat pesakit ialah saya mahu balik rumah dan berjumpa anak-anak, saya tidak mahu terus begini.
“Ayah saya pesan, saya kena teruskan berdoa dan jangan putus berdoa kepada Allah, dan kena kuat nutuk anak-anak. Ada juga frontliner terpaksa putuskan susu badan kerana tidak mahu risikokan nyawa anak.
“Apa yang boleh saya pesan kepada rakan-rakan seperjuangan, ikhlaskan hati, kuatkan hati. Kita kena berjuang sehingga wabak ini tamat, kita berjihad kerana Allah,” luahnya sambil menangis.
Ternyata perkongsian daripada Pak Nil ini sangat menyentuh hati. Walaupun ada yang kecam kerana dikatakan mahu mencuri perhatian, tetapi niat sebenar Pak Nik sekadar mahu memberi kesedaran kepada mereka yang masih ambil ringan tentang bahaya COVID-19 ini.
Walaupun ada yg kecam Paknil dgn menuduh Paknil cari perhatian dgn cerita2 yg #paknil paparkan, sesungguhnya nawaitu sebenar adalah untuk memberi kesedaran kpd mereka yg masih ambil ringan ttg bahaya covid 19. Paknil tidak akan tunduk pd kata2 negatif #teampaknil
Dalam keadaan ekonomi yang tidak begitu stabil ini, memang patut jika kita sentiasa beringat dalam bab kewangan.
Kalau sewaktu kita kecil dulu pastinya emak akan menyuruh kita menyimpan wang dalam tabung. Dan setelah penuh tabung akan dipecahkan untuk disimpan duitnya dalam akaun bank.
Itu adalah cara paling selamat dan terbaik untuk menyimpan duit. Dan apabila sudah dewasa pula kita lebih yakin untuk menyimpan wang dalam akaun Tabung Haji. Dengan harapan akan cepat giliran untuk tunaikan haji.
Tetapi sebenarnya sebagai orang Islam kita sangat digalakkan untuk menyimpan wang dalam dua akaun menyimpan ini.
Perkongsian di laman sosial Facebook oleh Nur Amalina Izzati Azman memberitahu dua jenis tabung yang perlu ada.
2 JENIS TABUNG PERLU ADA
================================================
Sebagai orang ISLAM. Kita kena buka akaun TABUNG HAJI. Matlamat akaun TABUNG HAJI untuk simpanan kita menunaikan umrah dan haji. Dividen atau hibah yang diberikan setiap tahun anggaplah sebagai bonus tambahan. Jangan berkereta mewah. Bulanan kereta seribu sebulan. Tapi dalam akaun TABUNG HAJI pun tak sampai seribu.
Ituu kalau yang ada akaun TABUNG HAJI. Yang tiada ni?? Macam mana pula. Malu dengan diri sendiri. Harta dunia mampu kita beli. Tapi syarat kelima rukun ISLAM ni kita tak mampu tunaikan. Walapun MENUNAIKAN HAJI BAGI YANG BERKEMAMPUAN. Padahal kau mampu sebenarnya. Tapi habis duit ke lain.
Dulu zaman raya, duit raya saya mesti PARENTS letak dalam TABUNG HAJI. Siap berlumba dengan adik beradik siapa punya duit lagi banyak dalam akaun. Masa PARENTS bukakan akaun. Saya sorang je dapat menara tabung haji tu. Jadi as a PARENTS pun bukalah akaun TABUNG HAJI untuk anak² sejak kecil. Ajar mereka menabung. Tunjuk kat mereka duit ni buat pergi UMRAH atau HAJI.
Tabung kedua, AMANAH SAHAM BUMIPUTERA (ASB). Ramai yang masih tiada akaun yang satu² nya khas untuk GOLONGAN BUMIPUTERA menyimpan. Ada yang kata, simpan duit banyak² bukan boleh bawa mati. Tapi anda silap, boleh MATI kalau tak ada duit sebenarnya. Tambahan skrg ada PEMBIAYAAN ASB, tapi masih ramai yang tidak tahu cara menguntungkannya.
Nak cepat kaya, tapi kedekut keluarkan duit. Masuk MLM laju je buat PERSONAL LOAN semua. ASB ni korang jadikan dia sebagai saving kecemasan korang. Sebab duit susah nak keluar masuk. Ada yang nak kumpul DUIT KAHWIN, DEPOSIT RUMAH, BELI KERETA CASH pun boleh gunakan TEKNIK² PEMBIAYAAN ASB.
Belajarlah untuk berjimat cermat. Belanja mana perlu. Tak dosa pun pakai kereta JENAMA MALAYSIA. Support produk tempatan kan. Tak jatuh miskin pun menyimpan. Dan tak jangan lupa sentiasa BERSEDEKAH.
Kashoorga: Sentiasalah menyimpan untuk keperluan masa depan. Beli jika benar-benar memerlukan sesuatu barangan itu. Hanya klik di sini
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Membesarkan anak bukan sekadar memastikan mereka cukup makan, cukup pakaian dan berjaya dalam akademik. Hakikatnya, ia adalah amanah besar yang akan dipersoalkan di akhirat...