
Cium kaki ibu atau orang alim, walaupun ada yang melihat ia sebagai berlebihan namun tak dapat dinafikan golongan ni berhaka untuk dihormati dan dimuliakan. Bagaimanapun adakah perkara ini dituntut oleh syarak.
Menerusi penjelasan dalam Maktabah Al Bakri secara asasnya adalah diharuskan untuk mencium tangan, kepala dan dahi orang alim yang warak, pemerintah yang adil, kedua ibu bapa, para guru dan semua orang yang berhak untuk dihormati dan dimuliakan.
Perkara tersebut dibolehkan sekiranya ia bertujuan untuk menghormati, memuliakan dan merendah diri, ketika bertemu dan berpisah serta jauh daripada syahwat.
Dalam hal ini terdapat riwayat daripada Zari‘ bin ‘Amir, beliau berkata:
لَمَّا قَدِمْنَا الْمَدِينَةَ فَجَعَلْنَا نَتَبَادَرُ مِنْ رَوَاحِلِنَا فَنُقَبِّلُ يَدَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم وَرِجْلَهُ
Maksudnya: “Tatkala kami tiba di Madinah, kami berlumba-lumba untuk turun daripada tunggangan kami, kemudian kami mencium tangan Nabi SAW dan kaki Baginda.”[
Keharusan mencium tangan dan kaki tapi makruh jika…
Al-Mubarakfuri mensyarahkan hadis di atas menyebutkan, ia menunjukkan kepada keharusan untuk mencium tangan dan kaki.
Malah Imam al-Nawawi menyebutkan, disunatkan untuk mencium tangan orang soleh, alim dan seumpamanya dalam kalangan ahli akhirat. Manakala mencium tangan seseorang kerana kekayaan, keduniaan atau kedudukannya pula, hukumnya adalah makruh.
Dalam pada itu menurut Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin tidak mengapa melakukannya kepada orang yang dihormati seperti ayah, orang alim dan guru. Akan tetapi jika dikhuatiri adanya kemudaratan iaitu orang yang dicium tangannya itu merasa takjub dengan dirinya sendiri dan melihat diri mereka berada di kedudukan yang tinggi maka ia tidak dibenarkan disebabkan oleh mafsadah tersebut.
Oleh itu berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa mencium kaki para ulama, orang soleh, ibu bapa dan seumpamanya, hukumnya adalah diharuskan.
Namun dengan syarat tidak berlebih-lebihan sehingga ke tahap mengagungkan dan mensucikan mereka, atau adanya kemudaratan seperti menimbulkan perasaan ujub dalam diri orang yang dicium tangannya itu, perasaan syahwat dan seumpamanya.
Maka, dalam keadaan ini ia tidak dibenarkan, malah ada yang menghukumnya sebagai haram.

Dalam pada itu diingatkan supaya kita sedaya upaya untuk membezakannya daripada rupa bentuk sujud.
Selain itu, budaya mencium kaki orang alim dan seumpamanya ini, sebaiknya tidak dijadikan amalan kebiasaan kerana dikhuatiri ia akan menimbulkan fitnah disebabkan ia bukan budaya dalam kalangan masyarakat setempat. Cukuplah dengan hanya bersalaman lalu mencium tangan atau dahi mereka.
Sumber: Zulkifli Al Bakri
Baca Lagi: Jumpa Sahabat Jangan Biasakan Peluk, Cium Pipi. Makruh Hukumnya Melainkan…
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI