Kebiasaannya, ketika banjir agak susah untuk mendapatkan bekalan air bersih kecuali air minuman dibekalkan. Lalu bagaimana dengan wuduk yang kita ambil untuk bersolat?. Bolehkah kita menggunakan air banjir untuk mengambil wuduk sekiranya ketiadaan air bersih. Adakah mangsa banjir perlu menggunakan air banjir sebagai alat untuk bersuci ataupun bertayamum?
Jawapan:-
Ads
Pendapat kami, dibolehkan untuk mangsa banjir menggunakan air banjir sebagai alat untuk bersuci. Kata al-Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili:
Ads
“Sekiranya air berubah pada warna, bau, dan rasanya sama ada disebabkan oleh lamanya menetap, disebabkan debu tanah, lumut, tanah kibrit (sulfur), dan kesemua yang susah untuk dipelihara darinya, maka ia kekal suci lagi menyucikan.
Ads
Adapun jika air tersebut telah digunakan untuk berwuduk, mandi, serta menghilangkan najis maka ia tidak lagi berada dalam keadaan suci lagi menyucikan.” Rujuk al-Muktamad fi Fiqh al Syafie (1/38).
Wallahua`lam.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Hukum buat hair bleaching, kena tahu sebelum pergi salun supaya perbuatan kita tak bertentang dengan syarak yang ingin tampil bergaya, dan trendy.
Namun, sebagai seorang Muslim, setiap bentuk perhiasan dan gaya hidup perlu dilihat dari sudut syarak, bukan semata-mata mengikut budaya atau trend luar.
Islam tidak melarang umatnya untuk berhias, bahkan mewarnakan rambut yang beruban adalah sunnah. Tetapi, bagaimana pula dengan melunturkan rambut yang masih sihat dan hitam? Di sinilah pentingnya kita memahami pandangan ulama agar tidak terjebak dalam perbuatan tabaruj dan tasyabbuh (menyerupai orang bukan Islam).
Hair bleaching atau melunturkan rambut adalah proses kimia yang menyingkirkan pigmen melanin dalam rambut menggunakan bahan seperti hidrogen peroksida. Ia menjadikan batang rambut lebih mudah menyerap warna lain.
Proses ini kebiasaannya dilakukan di salon, tetapi kini banyak produk tersedia untuk digunakan sendiri di rumah.
Dalam Islam, mewarnakan rambut beruban adalah sunnah. Rasulullah SAW sendiri menyuruh Abu Quhafah, bapa kepada Abu Bakar RA, untuk mengubah warna ubannya dengan sesuatu selain warna hitam.
Imam al-Nawawi menjelaskan, hukum mewarnakan uban dengan inai merah atau kuning adalah sunat, manakala menggunakan warna hitam adalah haram kerana dianggap menipu.
Namun, melunturkan rambut hitam yang masih sihat tidak termasuk dalam keperluan yang dianjurkan syarak. Ia lebih kepada tujuan berhias berlebihan (tabaruj) serta meniru gaya hidup bukan Islam (tasyabbuh). Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka. (HR Abu Daud)
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-San’ani bahawa hadis di atas menunjukkan seseorang yang meniru perbuatan khusus golongan ahli fasik, ahli kafir mahupun orang yang berbuat bid’ah sama ada dari sudut pemakaian, tunggangan dan tingkah laku, maka dia tergolong dalam kalangan mereka
Maka, melunturkan rambut kepada gaya seperti blonde dianggap tidak wajar, kerana ia lebih kepada mengikut trend Barat berbanding tujuan syarie.
Islam mengajar umatnya menjaga maruah dalam berhias. Jika ada keperluan tertentu seperti menutup uban pada usia muda atau rawatan perubatan, ia dibolehkan dengan cara sederhana.
Namun, melunturkan rambut semata-mata kerana fesyen dan gaya perlu dielakkan. Ingatlah, kecantikan seorang Muslim bukan diukur pada warna rambutnya, tetapi pada akhlak, adab, dan ketakwaannya kepada Allah.
Hari ini hari ke tiga umat Islam meraikan Syawal dan ketika ini ada yang sudah memulakan puasa enam di bulan Syawal. Dalam menjalani ibadah ini kerap kali ditanya bolehkah digabungkan niat puasa enam digabungkan sekali dengan puasa qada. Semoga penjelasan dari Mufti Wilayah Persekutuan ini menjawab persoalan ramai.
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Surah al-Baqarah:183)
Berbuka Puasa Di Bulan Ramadhan Tanpa Ada Sebarang Keuzuran
Sesiapa yang berbuka puasa pada bulan Ramadhan tanpa sebarang keuzuran wajib ke atasnya menqadhakannya serta merta selepas tamatnya Ramadhan dan selepas selesai hari raya yang pertama. Seseorang itu tidak boleh mendahulukan puasa sunat enam pada bulan Syawal kemudian diekori dengan puasa qadha.
Adapun sekiranya dia tidak berpuasa pada bulan Ramadhan kerana ada keuzuran (yang dibenarkan syarak) maka harus baginya mendahulukan puasa enam pada bulan Syawal daripada puasa qadha kerana qada waktu puasa qadha adalah muwassa` (luas).
Imam as-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani Rahimahullahu Taala menyebut: “ (Dan demikian lagi) orang yang tiada puasa dengan uzur sunat dia berpuasa enam hari sunat syawwal melainkan orang yang berbuka puasa Ramadhan dengan tiada uzur maka wajib ke atasnya menyegerakan menqada Ramadhan kerana makruh mengerjakan sunat orang yang ada padanya qada Ramadhan dengan tiada uzur maka wajib menyegerakan qada dahulu.”(Rujuk Kitab Bughyah at- Tullab, hlm. 128)
Isu Menggabungkan Dua Ibadat Dengan Satu Niat
Masalah ini dikenali di sisi para ulama sebagai masalah tasyrik (mengabungkan dua ibadat dengan menggunakan satu niat) hukumnya :
Persoalannya, adakah berpuasa dengan niat qadha Bulan Ramadhan dan niat puasa 6 pada bulan syawal yang digabungkan sah keduanya? Atau salah satu sahaja sah? Jika dibuat secara ithlaq (Umum) berhasil keduanya atau salah satu sahaja?
Gabung Niat Puasa Qadha Ramadhan Dan Puasa 6Syawal
Fuqaha dalam Mazhab Syafie berselisih pendapat tentang isu menggabungkan niat di antara puasa qadha Ramadhan dan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.
Syaikul Islam Zakaria al-Ansari Rahimahullahu Taala: “Jika seseorang berpuasa pada Bulan Syawal untuk qadha bagi puasa Ramadhan, atau selainnya sama ada puasa nazar atau puasa sunat lain maka terhasil pahala sunatnya. Kerana topik perbincangannya adalah tentang puasa pada 6 hari daripada bulan Syawal…tetapi dia tidak akan memperolehi pahala yang sempurna sebagaimana yang diinginkannya melainkan dengan hanya dia berniat puasa khusus untuk 6 hari pada bulan Syawal sahaja.
Terutamanya orang yang telah luput daripadanya puasa Ramadhan kerana tidak sesuai dia berpuasa Ramadhan dan seterusnya berpuasa 6 hari di bulan syawal” (Rujuk Kitab Syarqawi ‘ala al-Tahrir)
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menyebut bahawa dia pernah ditanya tentang puasa Ramadhan dan qadha di bulan Syawal, adakah berhasil qadha puasa Ramadhan dan pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal, ada ke tidak dalam masalah ini sebarang nukilan?
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menjawab: “Bahawa berhasil puasa qadha Ramadhannya walaupun dia gabung niat puasa qadha Ramadhannya dengan puasa yang lain. Dan berhasil pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal. Masalah ini disebut oleh ramai ulama terkemudian (mutaakhirin).”(Rujuk Fatawa Imam Ramli, 2/339)
Imam Ibnu Hajar Al-Haitami Rahimahullahu Taala dalam mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib: “Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib), dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.”(Rujuk Kitab Al-Fatwa Al-Kubra, 2/75)
Sebahagian ulama menyebut sah seseorang itu melakukan qadha puasa bulan Ramadhan bersama puasa sunat enam Syawal dan terhasil pahala puasa sunat yang dilakukan di dalam bulan Syawal tersebut. Hal ini kerana diqiyaskan dengan seseorang yang memasuki masjid kemudian solat 2 rakaat fardu atau solat sunat rawatib (mengiringi solat fardu) maka terhasil sekali baginya pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid kerana ia melakukan solat berkenaan sebelum ia duduk.
Imam Sulaiman al-Bujairimi Rahimahullahu Taala berkata: “Terhasil pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid dengan melakukan solat fardhu atau sunat yang lainnya, sama ada diniatkan atau tidak solat sunat Tahiyyatul Masjid tersebut. Hal ini berdasarkan hadith yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim : “Apabila masuk salah seorang dari kamu ke dalam masjid hendaklah ia solat dua rakaat sebelum ia duduk” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat Fardhu atau solat sunat yang lain.(Rujuk Kitab Hasyiah al-Bujairimi 1/280)
Begitu juga nas yang hampir serupa dikatakan Syeikh Islam Zakaria Al-Ansori Rahimahullahu Taala: Terhasilnya solat sunat dua rakaat atau lebih (yang dimaksudkan dengan adalah hasilnya pahala solat walaupun bersama dengannya solat fardhu atau solat sunat yang lain) sama ada diniatkan sekali ataupun tidak. Ia berdasarkan hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim Rahimahumahullahu Taala “ Apabila masuk seseorang daripada kamu ke dalam masjid maka janganlah ia duduk sehingga ia solat dua rakaat”. ” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat Fardhu atau solat sunat yang lain (Rujuk Kitab Fathul Wahab Syarah Manhajul Tullab 1/67)
Imam ar-Ramli Rahimahullahu Taala telah berkata: “Dan sekiranya berpuasa pada bulan syawal, puasa qadha, nazar atau selain daripada keduanya atau seumpama dengannya, seperti berpuasa pada hari A^syura maka telah dapat pahala puasa sunat itu baginya, seperti yang telah difatwakan oleh bapanya (bapa kepada Imam ar-Ramli), begitu juga oleh al-Barizi, al-Asfahuni, A—Nasyizi, al-Faqih Ali Soleh al-Hadrami dan selainnya tetapi ia tidaklah mendapat pahala yang sempurna ke atas yang dituntut.” Begitulah sama hukumnya puasa Ramadhan dengan puasa sunat enam Syawal. (Rujuk kitab Nihayah al-Muhtaaj, 3/208-209)
Imam as-Suyuti Rahimahullahu Taala berkata : “Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qadha atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah, maka al-Barizi telah memberi fatwa bahawa sah puasa dan terhasil pahala untuk kedua-duanya. Begitu juga halnya jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa) maka masalah tersebut mengikut masalah solat tahiyyah Masjid. ”(Rujuk kitab Ashbah Wan Nazoir, hlm. 61)
Dalam Syarah al-Tanbih karangan al-Hafiz al-Suyuti Rahimahullahu Taala, daripada fatawa al-Baarizi Rahimahullahu Taala, beliau mengatakan : Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qadha atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah terhasih keduanya (sah keduanya), begitu juga jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa). Tetapi al-Isnawi menyebut perkara ini tertolak dan qiyas yang dilakukan tidak sah dalam menggambarkan perkongsian satu daripada keduanya. Disisinya apa yang terhasil adalah yang fardhu sahaja dalam gambaran ithlaq”
Walupun begitu, perlulah diambil perhatian, maksud terhasilnya pahala puasa sunat enam Syawal apabila dimasukkan sekali dengan puasa fardhu adalah pahala semata-mata pahala sunat bukannya pahala yang sempurna
Kesimpulan
Kesimpulannya, mengikut pendapat yang muktamad, afdhal seseorang itu menjadikan puasa qadha berasingan dengan puasa 6 pada bulan syawal. Namun begitu, menyatukan puasa qadha dengan puasa enam itu tetap diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya mengikut pendapat yang dhaif. Namun begitu, menyegerakan qadha puasa itu adalah sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak terutama kepada sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur yang dibenarkan syarak. Semoga kita termasuk bersama-sama dengan orang bertaqwa.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Isu tak letak ‘bin’ dan ‘binti’ pada nama anak. ‘Boleh ke kita gugurkan pada sijil kelahiran?’. Selama ini, boleh dikatakan setiap daripada kita yang beragama Islam meletakkan nama berserta ‘bin’ bagi lelaki, manakala ‘binti’ bagi perempuan.
Namun baru-baru ini tular tentang isu ini dan golongan ini dikatakan lebih selesa untuk tidak meletakkan ‘bin’ dan ‘binti’ bagi memudahkan urusan keti travel di luar negara.
Ikuti perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan isu ini:
Maksudnya:
“Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.”
Riwayat Abu Daud
Tular di media sosial trend ibu bapa muda pada hari ini yang tidak meletakkan ‘bin’ atau ‘binti’ pada nama anak ketika mendaftarkan kelahiran.
Jika dilihat kepada syarat permohonan kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negara pun maka tidak akan ditemui syarat yang mewajibkan untuk meletakkan ‘bin’ atau ‘binti’ dalam nama anak.
Meskipun begitu jika penjaga mahu menggugurkan perkataan ‘bin’ atau ‘binti’ pada nama anak mereka maka mereka perlu mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara.
Dari aspek ‘uruf (adat setempat) pula memang semenjak dahulu di Malaysia setiap nama bagi individu muslim akan diletakkan ‘bin’ atau ‘binti’.
Perkara ini berpandukan kepada tradisi perletakan nama dan nasab para Rasul AS, Sahabat RA, Tabiin, Tabi Tabiin dan seluruh ulama Islam. Sebagai contoh, nama Rasulullah SAW iaitu Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib.
Oleh itu, tidak benar tanggapan sebahagian masyarakat yang mengatakan bahawa bangsa Arab sendiri pun tiada pemakaian ‘bin’ atau ‘binti’.
Sedangkan pemakaian tersebut digunakan sehingga ke hari ini kerana bangsa Arab merupakan bangsa yang amat mementingkan asal usul keturunan mereka.
Amalan dalam masyarakat Islam di Malaysia meletakkan ‘bin’ atau ‘binti’ pada nama anak semenjak dari zaman dahulu adalah selari dengan amalan bangsa Arab ini.
Ia dikira sebahagian daripada ʻuruf (adat setempat) yang diiktiraf pada syarak sebagaimana kaedah yang menyebut:
العادة محكمة
Maksudnya:
“Adat setempat yang dijadikan sebagai hukum.”
Dalam konteks Islam, nasab dan keturunan merupakan perkara penting yang perlu dipelihara dengan baik demi menjaga sistem sosial dalam masyarakat.
Jika tidak ia boleh menyebabkan kerosakan terhadap institusi kekeluargaan seperti mengelirukan susur galur keturunan, menimbulkan fitnah dan masalah terhadap pembahagian harta pusaka.
Meskipun tanpa perletakkan ‘bin’ atau ‘binti’ tidak merosakkan institusi kekeluargaan dan tidak menjejaskan nasab seseorang, namun akibat normalisasi amalan ini akan mengakibatkan penyalahgunaan sebahagian individu yang tidak bertanggungjawab.
Sebagai contoh tanpa ‘bin’ atau ‘binti’ seseorang mampu membuat helah untuk menyembunyikan status anak angkatnya. Sedangkan sebagai seorang muslim wajib menisbahkan anak angkat itu kepada bapa kandungnya.
Selain itu, nasab merupakan tonggak utama dalam pembentukan sesebuah keluarga. Hal ini kerana setiap ahli keluarga mempunyai pertalian darah yang berhubung antara satu sama lain.
Nikmat keturunan merupakan satu anugerah yang diberikan oleh Allah SWT kepada setiap insan. Justeru, memelihara nasab adalah salah satu daripada maqasid syariah yang lima.
Maksudnya:
“Dan Dia lah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka dan penalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendakiNya).”
Surah al-Furqan (54)
Perkataan ‘bin’ dan ‘binti’ ini juga mengambil contoh daripada beberapa sunnah Nabi SAW yang memanggil nama ahli keluarganya serta para sahabatnya dengan nama yang ada ‘bin’ dan ‘binti’. Contohnya, Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa:
“Rasulullah SAW berdiri ketika Allah SWT menurunkan ayat: وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الأَقْرَبِينَ (Maksudnya: Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat)[Surah al-Syuʻara’: 214], Baginda SAW bersabda: “Wahai kaum Quraisy belilah diri-diri kamu, aku tidak dapat menghindarkan kamu sedikit pun daripada azab Allah SWT. Wahai Bani ‘Abd Manaf, aku tidak dapat menghindarkan kamu sedikit pun daripada azab Allah SWT. Wahai Abbas bin ‘Abd al-Muttalib, aku tidak dapat menghindarkan engkau sedikit pun daripada azab Allah SWT. Wahai Safiyyah, ibu saudara Rasulullah SAW, aku tidak dapat menghindarkan engkau sedikit pun daripada azab Allah SWT. Wahai Fatimah binti Muhammad, mintalah kepadaku apa yang engkau mahu daripada hartaku dan aku juga tidak dapat menghindarkan engkau sedikit pun daripada azab Allah SWT.”
Riwayat al-Bukhari
Islam begitu menjaga nasab dan keturunan kerana ia merupakan salah satu daripada maqasid syariah yang lima.
Dalam konteks Malaysia, tidak mahu meletakkan ‘bin’ dan ‘binti’ pada nama anak ketika mendaftar di Jabatan Pendafataran Negeri adalah sah di sisi undang-undang dan tidak wajib di sisi hukum taklif. Namun, dalam pandangan syarak meletakkan ‘bin’ dan ‘binti’ pada nama merupakan suatu perkara yang penting.
Hal ini kerana, bagi menjaga institusi kekeluargaan masyarakat Islam daripada sebarang kerosakan seperti mengelirukan susur galur keturunan, menimbulkan fitnah dan menimbulkan konflik dalam isu pembahagian harta pusaka.
Selain itu, telah menjadi kebiasaan amalan masyarakat Islam di Malaysia yang meletakkan ‘bin’ dan ‘binti’ pada nama anak dalam sijil daftar kelahiran.
Kashoorga: Tak salah pun nak letak ‘bin’ atau ‘binti’ kerana bukan sehari, dua orang-orang kita pergi travel. Selama ini tiada masalah berat pun yang timbul.