
Kemudahan visa pelancong Arab Saudi membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia untuk berkunjung ke Tanah Suci, termasuk Madinah dan Makkah.
Namun, dalam kemudahan ini timbul juga situasi apabila ada yang memilih untuk datang sekadar melancong atau melawat tanpa menunaikan umrah. Antara alasan yang diberikan adalah mental dan rohani masih ‘belum bersedia’ untuk melakukan ibadah tersebut.
Dalam persoalan memasuki Makkah bagi tujuan selain mengerjakan haji atau umrah, terdapat perincian hukum serta perbezaan pandangan dalam kalangan ulama berkaitan kewajipan ihram.
Justeru, seseorang yang merancang perjalanan ke Makkah perlu memahami hukum mengikut keadaan dan tujuan perjalanannya, selain mendapatkan penjelasan daripada pihak berautoriti atau asatizah yang dipercayai sekiranya timbul keraguan.
Namun dari sudut kerohanian, alangkah ruginya apabila seseorang sudah berpeluang menjejakkan kaki ke bumi Makkah tetapi langsung tidak mengambil kesempatan untuk memperbanyakkan ibadah.
Apatah lagi jika seseorang mempunyai kemampuan dari segi kewangan, fizikal dan keadaan yang mengizinkan untuk melaksanakan ibadah.
BACA JUGA: Kirim Doa Kepada Jemaah Umrah atau Haji, Harus Atau Membebankan Jemaah?
Ada juga yang merasakan dirinya belum cukup baik atau terlalu banyak dosa sehingga malu dan tidak bersedia untuk melakukan umrah.
Perasaan seperti ini tidak seharusnya menjadi penghalang untuk kembali mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Hakikatnya, kita tidak perlu menunggu sehingga menjadi ‘baik’ atau sempurna untuk datang beribadah. Sebaliknya, ibadah, taubat dan doa itulah antara jalan untuk memperbaiki diri serta membersihkan hati.
Jangan biarkan perasaan was-was membuatkan kita terus menjauh daripada Allah SWT sedangkan peluang untuk mendekatkan diri kepada-Nya sudah terbentang di hadapan mata.
Dalam masa sama, perlu difahami bahawa ziarah ke Madinah bukanlah sebahagian daripada rukun umrah mahupun haji. Ia merupakan perjalanan yang berasingan dan tidak mensyaratkan seseorang berada dalam keadaan ihram semata-mata kerana memasuki Madinah.
Bagaimanapun, apabila diberi peluang berada di kota Rasulullah SAW, manfaatkanlah masa untuk beribadah di Masjid Nabawi, memperbanyakkan selawat, berdoa dan menghayati sirah serta perjuangan Baginda SAW.
Bagi yang berpeluang memasuki Raudhah pula, gunakan kesempatan tersebut dengan sebaik-baiknya untuk beribadah dan berdoa dengan penuh adab.
Jika Allah SWT membuka jalan untuk kita sampai ke Tanah Suci, jangan terlalu mudah membiarkan alasan ‘belum bersedia’ menghalang diri daripada melakukan ibadah.
Kadangkala kita menyangka perlu berubah terlebih dahulu sebelum mendekati Allah. Sedangkan boleh jadi perjalanan ke Tanah Suci itulah yang menjadi titik permulaan kepada perubahan tersebut.
Makkah dan Madinah bukan sekadar destinasi untuk bergambar atau sebuah percutian biasa. Bagi seorang Muslim, kedua-duanya mempunyai kedudukan yang sangat istimewa dan menjadi tempat untuk menghidupkan kembali rasa kehambaan kepada Allah SWT.
Jika sudah diberi kemampuan dan kesempatan, manfaatkanlah peluang tersebut. Kita mungkin datang dengan hati yang masih penuh kekurangan, tetapi mudah-mudahan pulang dengan jiwa yang lebih dekat kepada-Nya.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok

sekarang ya?

